Wednesday, June 22, 2011

Respons tulisan Abu Imad: Negara berkebajikan ialah pelaksanaan politik Islam

Oleh ZAKARIA ISMAIL

Ramai yang suka menjadi pemerhati yang tidak PAS dan tidak Umno, tidak Barisan Nasional dan tidak Pakatan Rakyat. Tengah-tengah kata mereka.

Kemudian mereka mengeluarkan pendapat yang pada anggapannya sangat bernas, PAS tak boleh begitu, Umno mesti begini, PR sepatutnya begini dan BN sepatutnya begitu.

Tetapi dalam kebanyakan keadaan, mereka sahaja yang selamat daripada kritikan. Menjayakan sesuatu agenda dan memperjuangkannya dalam wadah yang kita pilih seribu kali lebih sukar daripada mengkritik daripada jauh.

Tidak pernah mudah kepada PAS untuk memperjuangkan agenda perlaksanaan syariat Islam yang tulus, adil dan sesuai dilaksanakan pada setiap masa dan tempat dalam kerangka sebuah negara Islam yang dicita-citakan.

Ada orang yang menghentam dasarnya. Ada yang menyindir kedaifan cawangannya. Ada yang memperlekehkan segala cadangannya untuk kemajuan dan kesejahteraan negara.

Ada yang mencabar perdebatan falsafah dan hala tujunya seperti perbahasan akademik di pusat pengajian tinggi. Ada yang menyerangnya kerana segelintir tindak tanduk ahlinya. Bahkan ada yang mempertikaikan keislamannya.

Walaupun penulis artikel Abu Imad al-Mahshari menggambarkan beliau begitu telti, adil dan berhati-hati membuat ulasan, tetapi artikel beliau terlalu jelas dangkal dan cepat ingin sampai kepada kesimpulan.

Beliau hanya menggambarkan PAS parti yang berjuang semberono, syok berjuang tanpa tahu ke mana hala tuju yang dicita-citakan.

Contoh kedangkalan boleh dilihat daripada ulasan beliau tentang Islam Hadhari dan cadangan masyarakat Islam Hadhari. Walhal buku Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah membahaskan penyelewengan Islam Hadhari daripada aspek terma, perlaksanaan yang dimaksudkan daripada konsep, Islam Hadhari yang tidak mahu tunduk kepada nas syarak, Islam Hadhari yang mirip kepada Islam liberal dan merbahaya kepada akidah dan boleh menyebabkan kekeliruan di dalam masyarakat Muslim.

Contoh ingin cepat sampai kepada kesimpulan, negara kebajikan PAS dianggapnya sebagai plagiat daripada welfare state mengikut kaca mata Eropah. Walhal PAS berjuang untuk penubuhan negara Islam dan salah satu daripada ciri negara Islam ialah negara berkebajikan.

Untuk melaksanakan keseluruhan ciri negara Islam sekaligus, adalah amat sukar. Jadi satu ciri dipilih untuk diserlahkan untuk mendekatkan kefahaman dan penerimaan masyarakat terhadap konsep negara Islam secara praktikal.

PAS menimbulkan tema negara berkebajikan kerana mengambil kira tindakan kerajaan Malaysia yang membelakangkan kebajikan rakyat dengan menaikkan cukai, menghapuskan subsidi, mendahulukan kebajikan kroni, menaikkan tarif keperluan asas rakyat pada tahap yang amat membebankan rakyat.

Kerajaan BN secara semberono telah membebankan rakyat untuk menanggung pelbagai perbelanjaan kerajaan an dengan meningkatkan beban cukai dan tarif dalam perbelanjaan isi rumah.

Khazanah kekayaan negara melalui hasil minyak, cukai, keuntungan GLC dan lain-lain yang tidak diurus dengan baik menjadikan Malaysia tidak berupaya meningkatan keupayaan ekonominya, walaupun kerajaan BN mendakwa mereka begitu arif dan pakar dalam pengurusan ekonomi.

Dakwaan mereka hanya dibuktikan dengan inflasi sebenar yang semakin perit dirasai oleh setiap peringkat rakyat jelata.

Negara berkebajikan yang diketengahkan oleh PAS ialah kerajaan yang bebas rasuah, kreatif menjana ekonomi, mengagihkan harta negara secara adil dan memberikan keutamaan kepada faedah yang akan diperolehi oleh rakyat menurut neraca Islam.

Bermakna perlaksanaan dasar-dasar kerajaan sedia ada yang membebankan rakyat akan dikaji semula dan digantikan dengan dasar yang lebih baik dan bermanfaat.

Langkah-langkah ke arah memberikan kesejahteraan dunia dan akhirat kepada rakyat akan diberikan keutamaan walaupun langkah tersebut tidak menghasilkan keuntungan secara langsung kepada kerajaan.

Bukan senang untuk menjana sokongan rakyat pelbagai lapisan peringkat, walaupun kerajaan BN jelas gagal dalam menangani isu rasuah, penyalahgunaan kuasa dan kenaikan harga barang.

Akan sentiasa ada golongan penentang, golongan yang dahagakan penjelasan, golongan yang inginkan perhatian dan golongan skeptikal sentiasa cuba melemahkan semangat.

Tetapi Allah tetap menyempurnakan cahayaNya. Semoga istiqamah atas perjuangan.

Penulis ialah setiausaha Pemuda PAS Marang.

8 comments:

Anonymous said...

Zombi Kg Pisang

Tuan Zakaria Ismail begitu sinikal mengkategorikan orang sebagai itu & ini - pada waktu yang sama mengkategorikan dirinya tergolong pejuang PAS kental lagi istiqomah.

Seekor zombi seperti aku hanya boleh ucapkan, Syabas!

Adapun wacana saranan Abu Imad, pada tahap paling-paling tidak, adalah lontaran buah fikir yang waras & layak. Wacana akal yang meminta percambahan daya keintelektualan demi bersama-sama membina persetujuan makna.

Aku tertanya-tanya di manakah unsur cabaran ke tahap mempertikaian keislaman PAS? atau di manakah kegopohan ingin cepat sampai kepada kesimpulan? dan apakah kedangkalan yang terlalu jelas bercontohkan kata Hadhari itu walhal seorang menyebut contoh-contoh kesan/akibat, seorang lagi berhujah berwali-wakilkan buku tulisan Presiden PAS secara umumnya?

Tidakkah kedua-duanya sama lagi serupa? Seorang cakap Cina, seorang lagi cakap Tamil. Matan cakapnya tetap sama.

Ingat. Ghairah sangat boleh tertikam diri sendiri.

Paling tragis - tulisan itu dikatakan "menggambarkan PAS parti yang berjuang semberono, syok berjuang tanpa tahu ke mana hala tuju yang dicita-citakan" .., sedangkan "PAS berjuang untuk penubuhan negara Islam dan salah satu daripada ciri negara Islam ialah negara berkebajikan" ..??

Walhal rata-rata pemimpin PAS hari ini secara terang lagi nyata lagi sedar memberitahu rakyat "Negara Islam" tidak ada di dalam Al-Quran & di dalam perlembagaan parti itu.

Lalu "salah satu" ciri Negara Islam ialah "negara berkebajikan" .., sejak bila pulak berjuang Islam ini sekadar berjuang "salah satu" cirinya sahaja - ciri-ciri lain bagaimana?

Justru apabila penulis merujuk adakah takrif "berkebajikan" itu merujuk kepada pemakaian sedia ada dalam sejarah dunia iaitu "welfare" mengikut faham sosialis di Eropah, serentak bertanya mungkinkah ini satu produk modifikasi PAS dalam merubah makna politik demokrasi kepada politik Islam? .., tidakkah ia suatu pertanyaan yang wujud legitimasinya, malah perlu diberi huraian yang jitu?

Kenapakah bila orang bertanya, Tuan SU Pemuda PAS Marang melatah menyerang.

Jawap ajelah dengan berhemah & akal budi yang tinggi sebagai tanda tuan pejuang kental lagi istiqomah.

PAS (baca pemimpin2nya) boleh saja dakwa-dakwi ia sahajalah berjuang Islam di planet bumi nih .., tapi tolong ingat ISLAM itu sendiri bebas dakwa-dakwi.

Orang lain (walau apa pun kategori yang diberi - selain pejuang PAS kental lagi istiqomah) kekal berhak bertanya, apatah lagi memberi ingat supaya sediakan payung sebelum hujan. Contoh Trengganu 1999. Belajar daripada kekhilafan terdahulu bukan nak tunjuk taring tumpul semena-mena.

Anonymous said...

sentiasa ada pertembungan antara jemaah islam... antara yg menarik adalah dari pas dan ht..
ht yg kaya dgn teori dan perbandingan dari kaca mata barat

Anonymous said...

hello .., apa dalam PAS itu sendiri tidak kaya dgn segala macam teori & perbandingan dari "kaca mata barat"?? terutama puak yg kini menguasai kepimpinannya iaitu Erdogan?

Dan apa segala sesuatu dari "kaca mata barat" itu tidak betul & sesat dari Islam?

Orang tua2 Melayu ada pesan, mengata dulang paku serpih.

Anonymous said...

haha.... at least ada la juga gerak kerja n memerintah dari dok komen n kutuk jer

Anonymous said...

Rata rata saya lihat di blog ni ada orang-orang tetap yang jadi batu api.Komen2 mereka dilihat cuba menfitnah dan mengelirukan pembaca lain. Mungkin tak orang orang ni dibayar gaji??

Anonymous said...

hahaha.., kenapa mesti prasangka negatif bila berlainan pandangan? terutama bila mengaku ada gerak kerja n memerintah. orang beri komen (mungkin pada org lain itu kutuk - rambut tak sama hitam) bukan kerja ke? Habis nak org setuju aje? bila tak sependapat - hah itu kutuk ler, fitnah ler, bayar gaji ler, jadi batu api ler ..., sebijik macam umno. usaha nak cuba wujudkan sistem dua parti macam amerika kononnya itu pun bukan mesti bermakna hanya wujud dua sisi pandangan sahaja. Pandangan tak terhitung kerana akal bukan hitam/putih. Kan bukan sekadar ada halal/haram - ada juga harus/makruh dll. Nabi SAW sendiri sabda selisih pendapat itu rahmat bagi umatnya, eh eh kita pulak nak hadkan pandangan kita saja yang betul/tepat/muktamad lagi benar macam wahyu dari langit. Sapa sebenarnya keliru? Lazimnya org yang kata org lain keliru pada hal org lain tu OK aje. ini namanya memaksa sangkaan/andaian sendiri ke atas org lain - macamlah "pembaca lain" tu perlu pembelaan. Berdirilah dgn hujah diri sendiri, takyah sabit-sabitkan org lain.

Anonymous said...

Ramai sangat pengomen celaka dalam dunia blog pro-Pakatan, yang mahu semua pandangan selari dan kena dengan pandangan mereka. Yang berbeza dilabel UG dan macam-macam lagi nama buruk. Tak dapat berhujah dengan akal yang sihat, terlalu dikuasai emosi. Masa bantai UMNO memang sedap, bila kena batang hidung sendiri macam2 dikata. Kalau macam ni, saya bayangkan 'polis moral' dan 'polis pendapat' Pakatan bakal jadi lebih teruk dari UMNO. - ZZ

Abi Qalam said...

Salam,

Berjuang kerana Allah, bukan kerana PAS. PAS sekadar kapal.. bila kapal bocor nak karam.. tunggu apa lagi?

Ramai ustaz-ustaz yang saya kenal sudah uzlah dari politik cara PAS. Bila mengata ke UMNO, tak payah bukti saksi.. semuanya boleh.. tapi bila balik batang hidung sendiri mulalah keluar hukum itu ini.

Mengata kat UMNO yang depa itu sekular.. jahiliyah.. menolak islam yang patut di tegakkan secara kaffah.. tapi dalam dok berdegung degang ceramah.. tak dak batas dah fitnah keji caci maki... kaffah kepala hotak hang! Akhlaq islamiyyah bubuh mana??

Politik laa ni buat mati hati saja!

Abi Qalam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...