Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin membuat kenyataan agak mengejutkan apabila menuntu kerajaan terlebih dahulu berjimat sebelum mengambil langkah kurangkan subsidi untuk rakyat.
Kenyataannya itu senada dengan apa yang sering ditimbulkan oleh pembangkang dan mengejutkan daripada seorang yang terpinggir dalam parti pemerintah.
Khairy mengemukakan satu senarai projek-projek kerajaan yang dianggap membazir dan tidak membawa hasil yang sewajarnya, seperti khidmat negara yang menelan belanja RM560 juta tahun ini.
"Jangan meminta rakyat mengikat perut sebelum (kerajaan sendiri) memendekkan senarai perbelanjaan sendiri," katanya kepada Malaysian Insider, portal berita dikuasai tokoh yang rapat dengan beliau.
Kenyataan Khairy itu dibuat tidak lama selepas harga gula dan petro RON 97 meningkat dan di tengah-tengah jangkaan kenaikan harga RON 95 dan tarif elektrik.
Pemerintah menyatakan peningkatan harga minyak mentah di pasaran global menyebabkan perbelanjaan subsidi meningkat, dan telah memulakan tindakan mengurangkan subsidi, menyebabkan peningkatan harga barang-barang keperluan.
Kenyataan Khairy meningkatkan tekanan terhadap pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak yang berdepan cabaran mengukuhkan sokongan menjelang Pilihan Raya Umum ke-13.
Isu kenaikan harga barang keperluan mudah menjadi isu yang menjejaskan sokongan kepada pemerintah dalam pilihan raya, seperti yang berlaku pada pilihan raya umum lalu pada 2008.
Pentadbiran Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi membenarkan kenaikan mendadak yang tinggi harga bahan bakar semasa pemerintahannya, sehingga mengundang kritikan pemimpin Umno sendiri dan juga bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad.
Dalam perkembangan sama, orang kuat pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mencetuskan kembali ingatan kepada kenaikan harga menjelang 2008 yang menyumbang kepada kekalahan teruk Barisan Nasional dalam pilihan raya.
Tegas Anwar, undi untuk BN bermakna undi untuk salah urus ekonomi dan kenaikan harga makanan.
1 comment:
Macam tu la baru nama Ketua Pemuda baru boleh ikut Singa Amno Jaapaq albar. Bukan penakut macam.....
Post a Comment