Monday, December 10, 2007

Malaysia ke arah negara polis


KUALA LUMPUR, 10 Dis: PAS melihat beberapa insiden yang berlaku beberapa hari ini bakal membawa negara ke arah Negara Polis. PAS dengan itu menegaskan bantahan sekeras-kerasnya terhadap apa yang berlaku itu, kata Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan medianya.

Pertama: Tindakan Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu yang enggan memberikan ikat jamin kepada dua orang ahli PAS, iaitu Suwandi Ab Ghani, 38, dan Muhammad Azman Aziz, 21 yang dituduh dengan pelbagai tuduhan berikutan Perisitwa Hitam Batu Burok, Kuala Terengganu, 8 Sepetember, 2007 lalu.

Katanya, keenganan memberikan ikat jamin kepada kedua-dua ahli PAS ini sangat luar biasa sedangkan kesemua kes yang dituduh terhadap mereka dibenarkan ikat jamin. Menurut rekod kedua-dua mereka adalah mangsa yang ditembak dengan peluru hidup oleh pihak polis dalam kejadian tersebut.

Dalam kes ini juga PAS berdukacita atas keputusan Peguam Negara yang bertindak sendiri sebagai pendakwa dalam kes yang disebut di di peringkat Mahkamah Sesyen ini.
Kedua: Penangkapan terhadap lima orang peguam dan tiga aktivis yang sedang meraikan hari Hak Asasi Sedunia di Kuala Lumpur anjuran Majlis Peguam Malaysia pagi tadi. Turut ditahan adalah seorang ahli Majlis Peguam kerana menghalang pihak DBKL dari menurunkan sepanduk perayaan tersebut.

Tindakan pihak polis melakukan penangkapan dalam majlis aman dan memperingati "Hari Hak Asasi Sedunia" seumpama ini sudah pasti mencacatkan lagi rekod hak asasi negara yang telah sedia tempang dan tercemar.

Ketiga: Waran tangkap yang dikeluarkan terhadap Naib Presiden PAS Hj Muhammad Sabu di Ipoh, ketika beliau sedang membawa rombongan perkahwinan anak perempuan beliau di sana. Beliau ditahan kononnya kerana menyertai perhimpunan haram.

Berikutan tindakan-tindakan ini PAS menganggap kerajaan pimpinan Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi sudah mula bergerak ke arah sebuah "Negara Polis" (Police State) dan tidak lagi menjunjung sistem demokrasi yang merupakan asas Perlembagaan Persekutuan.

"Saya menyeru semua ahli-ahli PAS diseluruh negara khasnya diperingkat kawasan-kawasan agar menunaikan solat hajat dipimpin oleh para ulamak peringkat masing-masing, dengan memohon kehadrat Allah swt agar menghapuskan segala bentuk kezaliman ini dan menyelamatkan kita semua dan negara tercinta ini dari angkara buruk kerajaan Barisan Nasional yang jelas membelakangkan demokrasi dan hak asasi itu," katanya dalam kenyataan itu.

Wednesday, December 5, 2007

Bukan etnik cleansing tetapi political cleansing - Mustafa

KUALA TERENGGANU, 4 Dis: PAS mendesak Kerajaan menghentikan 'political cleansing' di negara ini sebagaimana yang berlaku sekarang terhadap penyokong dan pemimpin politik yang tidak bersama dengan Barisan Nasional (BN).

"Apa yang berlaku sekarang bukan etnik cleansing sebagaimana yang didakwa oleh Hindraf tetapi adalah political cleansing terhadap pihak yang tidak menyokong parti kerajaan yang memerintah," kata Datuk Mustafa Ali, Pesuruhjaya PAS Terengganu.

Mustafa yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS mengulas dakwaan Hindraf (Hindu Action Force) yang mendakwa berlakunya etnik cleansing di negara ini sebagaimana yang berlaku dalam Peristiwa Kampung Medan tahun 2002 lalu.

Tuduhan Hindraf itu terkandung dalam memorandum yang diserahkan mereka kepada kerajaan Britain.

"Tuduhan bahawa berlakunya etnik cleansing sebagaimana yang didakwa Hindraf adalah melampau kerana ia tidak berlaku," kata Mustafa mengulas dakwaan Hindraf itu.

Laporan lanjut dalam Siasah Ahad ini.

Monday, December 3, 2007

Kelainan di majlis Tayangan Perdana Gelombang Kuning



Oleh Wartawan Siasah

LUAR KEBIASAAN PAS, tetapi itulah yang berlaku di majlis Tayangan Perdana Gelombang Kuning yang diadakan di Dewan Datuk Fadil Noor, Taman Melwar baru-baru ini.
Majlisnya bermula dengan nyanyian lagu Negaraku. Klip video Negaraku ditayangkan dan semua orang, termasuk Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa berdiri tegak menyanyikan lagu itu.

Lain-lain tetamu turut berdiri tegak termasuklah Mahfuz Omar (Ketua Penerangan PAS), Sivarasa Rasiah (Naib Presiden PKR) dan Ronnie Liu (anggota CWC DAP).

Yang menariknya, klip video itu menggambarkan para pimpinan PAS bersama masyarakat termasuk Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Keseluruhan majlis dikendalikan oleh tenaga muda PAS yang bertugas di Tvpas.com termasuk mempengerusikan majlis tersebut. Penerangan sebelum program (briefing) kepada para pemimpin PAS juga diberikan oleh tenaga muda sehingga ada yang tertanya-tanya, "siapakah budak itu?"

Pada awalnya agak membimbangkan kerana kerusi yang disediakan oleh pihak penganjur (Lajnah Penerangan PAS, Bersih dan Tvpas.com) hanya penuh sebahagian sahaja. Namun menjelang majlis tayangan bermula, dewan besar itu hampir penuh.

Kekurangan sambutan memang dijangka kerana majlis ini majlis tayangan bukan ceramah. Dewan ini akan sentiasa penuh sesak jika ada ceramah terutama dari tokoh-tokoh besar PAS dan parti pembangkang, tetapi majlis tayangan jarang benar diadakan.

Ketika tanyagan berjalan pun, ada yang bertanya, tak ada ceramah ke lepas ini. Apabila penulis berkata, ceramah telah diadakan sebelum tayangan, beliau nampak tidak berpuas hati. Maklumlah, dewan ini adalah tempat ceramah bukan tayangan.

Namun, selepas majlis tayangan selesai, berduyun-duyun penonton sehinggalah kepada pimpinan PAS, PJR dan DAP mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur. Bagi mereka, ini satu usaha yang bagus dan perlu dilakukan.

"Tahniah, bagus," kata Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa. Beliau yang telah melancarkan tayangan itu gembira dengan tayangan yang beliau lihat.

Filem yang ditayangkan adalah Perhimpunan Bersih 10 November lalu. Dari permulaan yang merakamkan pesanan pengerusi perhimpunan itu, Muhamad Sabu yang dirakamkan perbualan telefon dengannya, sehinggalah kemuncak perhimpunan itu iaitu penyerahan memorandum Bersih kepada wakil Yang Dipertuan Agung di Istana Negara.

Nasharudin dalam ucapan berkata, "Dunia telah melihat betapa disiplin perhimpunan yang kita anjurkan ini. Usahkan cermin kereta dipecahkan atau batu dilontarkan, sekuntum bunga yang menghiasi perkarangan Istana Negara pun tidak gugur dalam perhimpunan hampir ratusan ribu orang ini. Inilah yang kita tawarkan untuk negara."

Mahfuz selaku Ketua Penerangan PAS berkata, video ini akan disebarkan ke seluruh negara agar semua rakyat dapat melihat sendiri bukannya berdasarkan berita-berita yang disiarkan oleh media milik BN sahaja.

Di majlis itu, Nasharudin turut memperkenalkan 'Kopi pra campuran Bersih' yang dibuat oleh seorang perniagaan untuk rakyat negara ini. Ia memdapat tepukan gemuruh kerana kreativiti pelbagai pihak untuk menjual agenda Bersih ini.
Pendek kata majlis ini berlainan dari kebiasaan majlis PAS yang diadakan di Dewan Datuk Fadzil Noor, Taman Melewar ini.

Exco Terengganu jadi mangsa

KUALA TERENGGANU, 2 Dis: Seorang Exco kerajaan negeri Terengganu bakal menjadi mangsa politik dalaman Umno apabila beliau dikatakan sedang disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang bertujuan untuk dijadikan alasan penggugurannya dalam pilihan raya umum akan datang.

Menurut maklumat yang Siasah terima, ketegasan dan kelantangan exco berkenaan melawan Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh dalam beberapa isu telah menyebabkan 'beliau terpaksa diketepikan'.

Bagaimana caranya? Dengan cara memburukkan nama beliau dan penyiasatan BPR dikatakan menjadi caranya.

Siasah difahamkan, nama Exco berkenaan telah tidak ada dalam senarai calon BN Terengganu yang dikemukakan Umno kepada presidennya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Sebaliknya, nama seorang wakil rakyat dari kawasan lain yang merupakan rakan beliau sendiri disebut-sebut bakal menggantikan beliau. Ia bertujuan untuk mengurangkan kemarahan beliau.

Namun, maklumat yang Siasah terima memaklum, tindakan menggugurkan beliau dibuat secara yang sistematik dan bagi memastikan seluruh penyokong beliau yang menyusahkan MB juga tidak berpengaruh lagi dalam Umno Terengganu.

Antaranya, apabila rakan beliau mengambil alih tempatnya, pengganti tempat Adun berkenaan akan diambil alih musuh peribadi beliau sendiri. Penyokong beliau di Dun lain juga bakal diketepikan dalam pilihan raya ini.

Nama Exco berkenaan juga tidak ada dalam senarai calon anggota Parlimen BN yang dikemukakan secara berasingan kepada Abdullah.

Baru-baru ini, media melaporkan, seorang ahli politik terkenal merupakan antara 70 individu yang disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) di negeri ini sejak awal tahun ini.

Pengarah BPR Terengganu, Sharuddin Sapian berkata, kertas siasatan kes rasuah ahli politik berkenaan serta individu lain kini sedang disiapkan untuk tindakan lanjut.

Beliau bagaimanapun enggan memberitahu sama ada ahli politik itu mempunyai kedudukan dalam kerajaan negeri iaitu sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau ahli Exco mesyuarat kerajaan negeri.

"Memang umum berpendapat, ramai pemimpin Umno terlibat dengan rasuah tetapi mereka akan selamat selagi tidak bertembung dengan Menteri Besar," kata seorang ahli politik dari negeri ini.

Sebelum ini, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, beliau mendapat maklumat, BPR akan menyiasat mana-mana pemimpin kerajaan negeri dengan syarat mendapat restu dari menteri besar.

"Saya nak kata, pintu sentiasa terbuka untuk BPR menyiasat mana-mana pemimpin kerajaan negeri tanpa perlu restu saya," kata Nik Aziz sebagaimana yang dilaporkan media.

Wednesday, November 28, 2007

Air Kelantan: Khairy diminta tanya bapak mertuanya


KOTA BHARU, 28 Nov: Menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaludin perlu bertanya kepada bapa mertuanya sendiri bagaimana proses tender projek Air Kelantan kerana Menteri Kewanganlah pihak yang mengeluar sebarang tender mengenainya.

Exco kerajaan negeri Kelantan Datuk Husam Musa berkata, sudah menjadi peraturan semua tender yang dikeluarkan oleh Air Kelantan perlu diluluskan oleh Kementerian Kewangan sebelum diberikan kepada mana-mana kontraktor.

"Pihak Air Kelantan hanya boleh membuat senarai pendek sahaja," kata beliau semasa sesi penggulungan perbahasan Bajet Kelantan 2008 dalam sidang DUN Kelantan selasa lepas.

Siasah difahamkan, peraturan tender itu berkuatkuasa apabila Air Kelantan mendapat pinjaman dari kerajaan Pusat untuk membangunkan air di Kelantan.

Menurut Husam, kerana kuasa itulah kadang-kadang Menteri Kewangan menyalahgunakannya dengan cara tidak memilih kontraktor di kalangan yang disenarai pendekkan oleh oleh Air Kelantan tetapi memilih kontraktor yang tidak direkomenkan oleh Air Kelantan.

"Inilah yang berlaku kepada projek Loji Kampung Puteh yang terbengkalai lebih tiga tahun akibat dari tersalah pilih kontraktor yang bukan dalam senarai pendek Air Kelantan," kata Husam.

Menurut Husam, Khairy semasa datang ke Kelantan tiga bulan lepas telah membawa satu sampul surat kononnya mengandungi dokumen yang mengaitkan beliau (Husam) dengan rasuah dalam Air Kelantan.

"Hasilnya BPR telah keluar masuk dalam Air Kelantan untuk mencari rasuah itu. Siasat dan siasat termasuk ke atas satu syarikat bernama Roadbilder yang menerima kontrak dari Air Kelantan.

"Pengerusi Roadbilder adalah Tengku Ahmad Rithaudeen yang juga Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Umno. Jadi Khairy minta siasat Pengerusi JK Disiplin Umno," kata Husam.

Kata Husam, ekoran dakwaan Khairy itu, pegawai BPR keluar masuk Air Kelantan dan memanggil para jurutera di syarikat milik kerajaan negeri itu.

"Tetapi sampai sekarang tidak ada yang boleh dikaitkan dengan dakwaan rasuah Khairy itu," kata Husam.

Tuesday, November 27, 2007

Anuar sedia jadi Presiden Kafa selepas Khairy jadi Timb Presiden FAM

KOTA BHARU, 27 Nov: Exco kerajaan negeri, Datuk Takiyudin Hassan mendakwa Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Annuar Musa menerima perlantikan sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Amatur Kelantan (Kafa) setelah menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaludin dilantik sebagai Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Dakwaan itu dibuatnya dalam sidang Dun Kelantan pagi ini (27 November).

"Dia terima jawatan itu untuk mudah jumpa Khairy...kalaupun tak dapat jumpa Perdana Menteri selalu pun tak apa...asal dapat jumpa menantunya," kata Takiyudin dalam ucapan penggulungan perbahasan belanjawan Kelantan 2008 Kelantan.

Sebelum ini, kata Takiyudin, Annuar Musa menolak tawaran jawatan itu dengan alasan dia lebih berminat untuk memajukan negeri berbanding dengan bolasepak.

Cadangan agar MB Kelantan dilantik sebagai Pengerusi Kafa untuk membolehkan kerajaan negeri membantu Kafa juga ditolak dengan alasan "MB Kelantan orang politik".

"Tetapi selepas Kahiry menjadi Timbalan Presiden FAM, dia terima tawaran jawatan itu. Saya tak taulah dia ni orang politik ke dak," kata Takiyudin menyindir.

Takiyudin berucap bagi mengulas sindiran Annuar Musa dalam ucapannya yang kerajaan negeri tidak memberikan bantuan dalam pembangunan bolasepak Kelantan.

Antaranya, menurut Takiyudin, Annuar berkata, kerajaan negeri hanya memperuntukkan RM10 sahaja untuk pembangunan bolasepak dalam belanjawannya.

Takiyudin bersetuju agar kerajaan negeri membantu pembangunan bolasepak di Kelantan khasnya membantu Kafa tetapi bagi beliau permohonan itu biarlah beradab dengan cara Kafa menemui sendiri Menteri Besar Kelantan atau Ecxco pembangunan belia dan sukannya.

Monday, November 26, 2007

Adun BN sepak Adun PAS dua kali dalam sidang DUN Kelantan

KOTA BHARU, 26 Nov: Adun Paloh, Norzula Mat Diah dan Adun Bukit Bunga, Adham Kechik telah digantung selama enam bulan jika tidak memohon maaf kepada Speaker DUN Kelantan selepas mendakwa beliau tidak adil dalam kenyataan akhbarnya.

Usul mengenai perkara tersebut telah diluluskan oleh DUN dengan undi 23 menyokong dan 21 menentang.

Bagaimanapun, tidak ada masa yang ditetapkan untuk kedua-duanya berbuat demikian.

Sementara itu, sidang DUN Kelantan juga kecoh apabila Adun Paloh, Norzula Mat Diah meluru ke arah Adun PAS dari Kelaboran, Mohd Zaki Ibrahim dan menyepaknya (Zaki) sebanyak dua kali.

Video klip mengenainya kini disiarkan Harakhdaily.net.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...