Saturday, October 12, 2013

Selepas 56 tahun merdeka: Malaysia perlu pelihara asas kenegaraan

Tarikh 31 Ogos lalu negara kita Malaysia memasuki tahun ke-56 kemerdekaan, dan  merayakan Hari Malaysia pada 16 September lalu.

Ini bermakna sebagai sebuah negara yang berdaulat, kita telah membina negara yang meliputi wilayah Semenanjung Tanah Melayu dan sebahagian pulau Borneo ini dalam satu tempoh yang panjang.

Tempoh 56 tahun ialah satu tempoh yang cukup untuk membentuk sebuah negara yang bersatu, mempunyai identiti kenegaraan yang jelas dan pemahaman tentang sebuah negara yang kukuh.

Malangnya, dalam tempoh kita merayakan ulangtahun kemerdekaan ke-56 dan Hari Malaysia ke-50, isu-isu dasar dalam pembinaan negara masih menjadi perkara yang berupaya mencetuskan kontroversi yang merimaskan.

Selepas 56 tahun merdeka, kita masih terpaksa menangani isu perbezaan bahasa dan sistem pendidikan, pertempungan budaya dan persaingan politik yang sering bersifat memecah-belah.

Hal-hal yang sepatutnya telah diselesaikan sejak awal atau sebelum kemerdekaan terus menjadi isu yang memanaskan debat sosial dan politik di negara kita.

Bahasa kebangsaan masih tidak diletakkan di tempat yang sepatutnya, oleh mereka yang tidak senang dengan ciri penting negara Malaysia ini, malah oleh pemerintah yang ditunjangi oleh sebuah parti Melayu sendiri, apabila tiba-tiba memperjuangkan pembelajaran dan pengajaran subjek sains dan matematik dalam bahasa Inggeris.

Terkini, pihak pemerintah turut menjadikan pencapaian dalam bahasa Inggeris sebagai salah satu keutamaan dalam sistem pendidikan, ketika banyak hal-hal asas yang lain masih memerlukan perhatian khusus.

Di seberang yang lain, wujud pula pihak yang sedaya upaya memperjuangkan satu identiti, nilai dan sistem yang berbeza dengan ide negara Malaysia yang kita kenali ini.

Pihak yang lain ini mengabaikan dan menolak bahasa kebangsaan, dan berusaha memastikan kelangsungan satu aliran yang bertentangan dengan sebahagian besar rakyat Malaysia.

Aliran ini, yang salah satunya diwakili oleh kumpulan pendidikan Cina yang ekstrem dan sangat eksklusif, melakukan sesuatu yang bertentangan dengan ide sebuah negara yang bersatu.

Tuntutan-tuntutan yang melampau dan eksklusivis menampakkan sikap kumpulan ini yang tidak menghormati perjanjian yang dicapai dalam menubuhkan negara ini.

Tidak keterlaluan dikatakan aliran ini enggan menerima asas-asas negara Malaysia ini, dan sebenarnya mengimpikan sebuah negara yang sangat berbeza segala ciri dan identitinya.

Hal ini semakin sukar ditangani disebabkan kesatuan yang masih tidak kukuh dalam kalangan rakyat Malaysia, ditambah lagi dengan politik populis yang menghalang usaha dan tindakan yang tidak popular.

Kita sering membandingkan pencapaian dan kelemahan kita dengan negara maju, misalnya apabila mengkritik sesuatu perkara yang berlaku dan berlanjutan di negara ini.

Dalam hal ini, apabila dibandingkan dengan negara maju, pemisahan ini dapat menunjukkan satu ciri kemunduran dan tidak bersatu yang jelas. 

Tidak akan ada kumpulan-kumpulan tertentu di negara maju seperti Jerman, Perancis dan Amerika Syarikat yang boleh dapat memperjuangkan satu budaya yang berbeza dan bertentangan dengan asas-asas negara-negara tersebut.

Di negara-negara maju, hukum yang dipegang ialah pentingnya asimilasi dan usaha menyatukan seluruh rakyat berdasarkan asas-asas sesebuah negara, paling utama melibatkan bahasa.

Sikap yang eksklusif dipandang dengan penuh syak, dan dilihat sebagai sesuatu yang kurang melayakkan mereka yang terlibat itu untuk menjadi warga negara.

Setelah tertubuh sebuah negara bangsa, mereka yang menjadi warga dianggap telah menerima asas-asas negara tersebut, paling utama bahasa kebangsaan yang menjadi identiti dan penyatu rakyat yang berbilang etnik dan agama.

Rakyat negara Malaysia yang merdeka dan berdaulat ini perlu memastikan asas-asas negara ini dipelihara dan diperjuangkan, walaupun mempunyai perbezaan politik kepartian.

Selepas 56 tahun merdeka, seluruh warga negara sepatutnya sudah mampu berfikir dan bertindak sebagai sebuah negara yang maju dari segi ini, dan memastikan kelangsungan dan kemakmuran negara kita Malaysia. - September 13, 2013

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...