Tuesday, April 19, 2011

Kritik Hadi mulakan kempen pemilihan PAS

Kritikan keras akademik Prof Dr Abdul Aziz Bari terhadap Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menjelang pemilihan kepimpinan parti itu Jun nanti memulakan suasana panas kempen.

Kritikan yang telah lama disuarakan itu membawa kembali tekanan terhadap Abdul Hadi yang bermula sejak selepas Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008 dan memuncak semasa pemilihan 2009.

Abdul Aziz mengulangi kritikan mengaitkan Abdul Hadi dengan beberapa isu termasuk kekalahan PAS dan kehilangan kerajaan di Terengganu pada 2004 dan kegagalan rancangan 16 September, 2008.

Abdul Aziz sebelum ini mencetuskan kekecohan dalam PAS apabila satu tulisannya pada penghujung 2009 mendorong Mursyidul Am Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyarankan mesyuarat agung luar biasa diadakan.

Kritikan Abdul Aziz sebelum ini biasanya mendapat sokongan tokoh-tokoh yang kritikal dengan Abdul Hadi, seperti Khalid Samad, ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Kritikan terbaharu itu menimbulkan kembali persaingan dua kumpulan utama dalam PAS, yang digelar kem "ulama" terdiri daripada sebahagian besar golongan konservatif dan kem "Erdogan," yang dikuasai tokoh profesional dan berlatar belakang kumpulan Islam seperti Jamaah Islah Malaysia serta dekat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kritikan Abdul Aziz itu memberi gambaran kem ulama dan Abdul Hadi bakal sekali lagi berdepan tekanan dikaitkan isu-isu seperti dakwaan agenda kerjasama dengan Umno dalam pemilihan tahun ini, yang mampu memberi bahan kempen kepada kumpulan penentang presiden PAS itu seperti yang berlaku pada 2009.

Walau bagaimanapun, belum ada individu yang menunjukkan kesediaan untuk mencabar Abdul Hadi sebagai presiden, walaupun PAS Kawasan Bukit Bintang telah mencalonkan Datuk Husam Musa, bekas naib presiden untuk mencabar jawatan presiden.

Husam walau bagaimanapun menolak pencalonan itu dan menyatakan sokongan kepada presiden parti, tindakan yang menjarakkan dirinya daripada kumpulan yang dilihat sebagai penentang Abdul Hadi.

Bukit Bintang ialah kawasan yang mempunyai hubungan baik dengan Mohamad Sabu, ahli Jawatankuasa Pusat yang telah memulakan kempen mencabar Timbalan Presiden, Nasharudin Mat Isa yang mewakili kumpulan ulama.

Mohamad ialah antara tokoh PAS yang paling lantang menentang sebarang kerjasama dengan Umno dan sangat kritikal dengan Nasharudin.

Pencalonan Bukit Bintang itu juga dilihat meletakkan Mohamad dalam kumpulan penentang Abdul Hadi, ekoran hubungan baik kawasan itu dengan Mohamad, yang sebelum ini dilihat sebagai tidak bersama sama ada kem ulama ataupun Erdogan.

Mohamad walau bagaimanapun mempunyai hubungan lebih baik dengan kumpulan Erdogan, antaranya disebabkan penentangan terhadap apa yang dilihat sebagai agenda bersama dengan Umno.

Mohamad telah memulakan kempen membina sokongan dalam usahanya mencabar Nasharudin. Satu acara pelancaran kelab penyokong tokoh terkenal dengan imej marhaen itu - termasuk kumpulan Facebook Kelab MohamadSabuDotCom - dijadual diadakan pada 6 Mei nanti di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor.

Kempen Mohamad ini merupakan yang paling awal dan agresif dalam musim pemilihan kali ini, bermodalkan sentimen sokongan meluas tokoh lama PAS ini dan populariti Nasharudin yang dilihat merosot.

Mohamad juga dilihat lebih yakin ekoran tokoh agamawan yang dianggap layak dan berpotensi, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menolak pencalonan.

Bentuk kempen Mohamad itu walau bagaimanapun dikritik sesetengah pihak yang menyokongnya sebagai memperlihatkan sikap terlalu ambisius.

Kempen yang membangkitkan semula sentimen penentangan terhadap usaha berbaik dengan Umno dengan menyimpulkannya sebagai "kerajaan perpaduan - yang telah mencetuskan krisis dalam parti sejak 2008 - sebagai kritikan terhadap kem ulama juga dikritik sebagai berpotensi memberi kean negatif terhadap Mohamad.

Nasharudin sejak beberapa bulan lalu dispekulasi tidak akan mempertahankan kedudukan, tetapi dijangka sesetengah pihak akan mempertahankan jawatan dan mendapat sokongan tokoh-tokoh ulama yang berpengaruh dalam kalangan ahli akar umbi.

Sentimen meluas yang mahu timbalan presiden dipegang pemimpin berlatar belakang agama berpotensi membina sokongan untuk Nasharudin sekiranya beliau mempertahankan jawatan dan tidak ada tokoh agamawan popular lain bersaing untuk jawatan itu.

Mohamad dan Husam terlibat dalam pertandingan tiga penjuru dengan Nasharudin untuk jawatan timbalan presiden pada 2009, dengan keputusan Nasharudin mempertahankan jawatan dengan undi yang selesa.


4 comments:

Anonymous said...

buat gua husam layak tanding haji hadi dan cik mat tanding timbalan....yg ulama tu dok jaga kat atas aje le...penentu dasar dan hukum hakam agar dasar pas tidak lari dan menyeleweng....biar golongan profesional ni yg mentadbir dan mengerakan pas...hj hadi dah tak layak...ada trengganu pun boleh hilang...mcm mane nak pimpin malaysia pulak nanti....paklah gentelman...dia tau org tak suka ....dia pun pencen...haji hadi pun patut pencen le mcm paklah....takkan nak jadi presiden se umur hidup...hari tu kat sarawak haji hadi peluk si najib...alahai meluat betul aku tengok....bersalam tangan aje dah le...buat apa sampai nak peluk peluk.....

Anonymous said...

lawan tetap lawan.. ada berani..

Anonymous said...

as salam,bertanding lah ,apa masaalahnya?Kata PAS bkn cam UMNO,PAS kan ada adab pertandingan,ni la masa nk tunjukkan demokkrasi cara islam,lepas tu tk kira sapa kalah mesti bersatu pada pemimpin yg di pilih,tak tau la kalau PAS & UMNO tu sama jer.....

perwakilan muda said...

sebenernya le HUSAM memang layak di beri laluan jadi presiden tanpa bertanding.
hj hadi jadi timbalan mursyidul am.
bukan masaalah nak lawan2 tapi itulah kenyataan,politik malaysia hari ini yang nak berhadapan umno laknat kena orang yang bijak berpolitik.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...