Friday, June 5, 2009

PAS perlu gerakkan perubahan hakiki


SHAH ALAM: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, PAS harus mengorak langkah memimpin rakyat dan negara ke arah perubahan hakiki.

PAS katanya, perlu memimpin perubahan dengan membawa gagasan politik Islam yang menyatukan kaum dengan keadilan sejagat, merubah masyarakat hari yang menyanjung tinggi materialistik, mencegah kemungkaran dan menyokong perubahan kearah kesejahteraan.


Justeru beliau menekankan setiap perubahan yang hendak dilakukan oleh PAS perlu ditangani sebaik mungkin agar perubahan yang berlaku akan hanya membawa kepada kebaikan bukannya sebaliknya.

"Perubahan yang kita rencanakan ini bukan akibat tekanan rakyat, tekanan golongan bangsawan, tekanan masyarakat dunia atau desakan dari sesiapa tetapi perubahan yang hakiki untuk kesejahteraan hidup manusia di atas muka bumi ini," kata beliau.

Beliau mencadangkan perubahan hakiki itu perlu dilaksanakan dalam negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat bersama PAS dengan tidak mengulangi kesilapan-kesilapan asas pemeritahan yang dilakukan oleh Barisan Nasional.

Katanya, bertitik tolak daripada perubahan hakiki inilah maka rakyat akan melihat keupayaan dan keadilan yang diperjuangkan oleh PAS serta Pakatan Rakyat.

"Matlamat kita mestilah jelas iaitu merencana ke arah kebaikan kerana ia adalah tututan fitrah manusia dan bukannya kerana desakan sesiapa," tambah presdien PAS itu lagi.

Dalam penjelasannya Abdul Hadi berkata, untuk memastikan perubahan yang berlaku dalam masyarakat hanya bergerak ke arah jalan yang baik ia mesti dipimpin oleh mereka yang beriman dan budiman, dengan menjadikan al-Quran dan Sunnah sebagai rujukan.

Menurut beliau, apa yang rakyat saksikan dalam negara hari ini seperti peras ugut politik serta perkauman adalah kerana kegagalan sistem politik yang dipraktikkan dan sistem ekomomi yang digunakan oleh dunia.

"Sepanjang perjalanan sejarah negara kita bertemu dengan pelbagai slogan demi slogan yang semuanya retorik, bersifat kosmetik dan akhirnya tidak membawa apa-apa yang boleh menyumbang kepada perpaduan masyarakat dan pembangunan roh serta jasad negara," kata beliau.

Abdul Hadi berkata demikan ketika menyampaikan ucaptama Muktamar Agung PAS ke-55 di Stadium Melawati hari.

Beliau menghabiskan lebih satu jam membaca teks ucapannya setebal 36 muka surat dihadapan hampir lima ribu orang perwakilan dan pemerhati dari seluruh negara.

Turut hadir dalam masjlis itu ialah Pimpinan utama PKR dan DAP, pimpinan NGO, diplomat asing dan wakil-wakil gerakan Islam antarabangsa.

Antara yang beliau sentuh dalam ucapannya ialah pemerkasaan parti, isu-isu dalaman negara dan antarabangsa dan isu ekonomi yang turut melibatkan nasib ratusan ribu pekerja di negara ini.

1 comment:

Unknown said...

Sudi-sudilah layari blog www.PemudaGombak.com, ada liputan menarik tentang muktamar Pemuda PAS Pusat yang bertajuk "Pemuda Selangor Mengamuk dan Bernasyid".

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...