Ketika kemenangan besar Parti Keadilan dan Pembangunan, AKP, masih diraikan dan menjadi tumpuan media, kerajaan popular pimpinan Recep Tayyip Erdogan itu memulakan satu langkah penapisan internet, yang berpotensi menjejaskan imejnya di peringkat antarabangsa.
AKP kini memulakan langkah penapisan internet besar-besaran, melibatkan pendaftaran pengguna internet di negara itu untuk menguruskan penapisan, yang didakwa berasaskan alasan moral.
Hal ini semakin menjadi perhatian sehingga mendorong Presiden Abdullah Gul mengadakan satu pertemuan baru-baru ini dengan pengerusi ekskutif Google, Eric Schmidt yang menumpukan pada isu-isu antarabangsa melibatkan Google.
Penapisan internet menjadi isu sensitif dalam iklim dunia yang liberal dan menyaksikan soal-soal demokratik semakin menjadi topik utama.
Masa tindakan kerajaan AKP itu, yang dimulakan ketika dunia politik Asia Barat sedang menyaksikan kebangkitan rakyat, menimbulkan persoalan berhubung motif sebenar tindakan penapisan itu.
Sebelum ini, beberapa negara serantau termasuk Mesir melaksanakan sekatan internet ketika berlaku kebangkitan rakyat, untuk menyekat penyebaran maklumat yang negatif untuk rejim.
Walaupun alasannya moral, kuasa yang diperolehi boleh sahaja membenarkan sekatan terhadap penentangan kerajaan apabila sesuatu seperti kebangkitan disaksikan di rantau Arab berlaku di Turki.
Walau bagaimanapun, pendirian konservatif AKP dalam isu sosial boleh menjadi asas tindakan ini, yang disebut oleh Gul dan beberapa pemimpin lain sebagai usaha memelihara keluarga dan moral masyarakat.
Tindakan ini memperlihatkan realiti had kebebasan yang menjadi pegangan banyak pihak, walaupun melibatkan kerajaan yang dinilai ramai sebagai liberal dan demokratik.
Hal ini menimbulkan persoalan keperluan penapisan yang melibatkan moral, yang boleh mendapat sokongan ramai, terutama dalam masyarakat konservatif.
Di Malaysia, soal penapisan internet juga menjadi soal sensitif yang menuntut pengimbangan antara soal moral masyarakat dan sekatan maklumat oleh rejim pemerintah.
Laman lucah dan bahan-bahan yang negatif mempunyai sebab yang kuat untuk disekat, kerana pelbagai kepentingan melibatkan masyarakat.
Walau bagaimanapun, isu ini masih dinilai kontroversi yang menghalang kebebasan oleh sesetengah pihak dengan mengatasnamakan kebebasan.
Soal penting di sini ialah ciri yang ditentukan untuk mengawal akses internet yang dikait dengan moral itu, satu ciri yang mempunyai sifat yang jelas berbanding isu politik yang terbuka untuk ditafsir oleh pihak yang berkuasa.
1 comment:
Kebebasan ada hadnya, supaya tidak bebas untuk memilih yang buruk.
Post a Comment