Tuesday, June 21, 2011

Khairy bersama Pakatan Rakyat PRU 13?

Ketua Pemuda Umno yang kontroversi, Khairy Jamaludin Abu Bakar menjadi perhatian kebelakangan ini ekoran tindakan-tindakan yang dilihat sengaja dilakukan untuk tujuan tertentu.

Dalam debat panas berhubung Bersih 2.0 yang dijadual mengadakan perhimpunan pada 9 Julai nanti, Khairy menentang amaran Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang juga seorang naib presiden Umno.

Dalam isu perhimpunan Bersih juga, Khairy bertembung dengan Perkasa, pertubuhan Melayu condong kepada Umno di bawah pimpinan Datuk Ibrahim Ali.

Menentu bekas perdana menteri itu kemudian mengkritik program Dialog Antarabangsa Langkawi yang sedang dihoskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak, menyinggung kedua-dua Najib dan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu kenyataan.

Terbaharu, Khairy dalam satu majlis mempertahankan tindakan Uda Holdings yang dikecam hebat oleh beberapa pihak dalam Umno dan oleh Perkasa, berhubung penglibatan syarikat Melayu dalam satu projek pembangunan di Bukit Bintang.

Khairy pada masa yang sama juga dilaporkan mengkritik dasar afirmatif membantu orang Melayu dan menggesa orang Melayu "berdepan dengan realiti dan tidak bergantung pada kerajaan semata-mata."

Tindakan-tindakan kontroversi Khairy ini tercetus dan berterusan sejak kebelakangan ini, dilihat sebagai sengaja untuk agenda tertentu.

Antara sebab yang mungkin ialah Khairy menuntut sesuatu daripada Najib dan hanya akan berhenti apabila tuntutan itu dipenuhi, yang mungkin berkaitan dengan kedudukannya dalam pentadbiran Najib dalam pilihan raya nanti.

Kritikan berterusan Khairy berpotensi untuk memberi kesan kepada Najib dan parti dalam pilihan raya umum nanti, terutama dalam membina persepsi negatif terhadap pemerintah.

Umno akan dilihat sebagai tidak bersatu, atau tidak mampu bertindak terhadap seorang pemimpin Pemuda Umno. Ini akan memperlihatkan Umno lemah dan mudah dieksploit oleh pembangkang.

Janji beliau untuk hadir dalam perhimpunan pada 9 Julai nanti juga bakal dituntut untuk dipenuhi oleh pembangkang, untuk menjejaskan kesatuan pemerintah dan mengeksploit sebarang tindakan atau ketiadaan tindakan terhadap pihak pemerintah yang terlibat dalam demonstrasi.

Khairy juga mungkin sengaja mencetuskan keadaan kucar-kacir dalam Umno untuk mengundang tindakan keras daripada parti, yang kemudian boleh dimanfaatkan untuk popularitinya.

Hal itu akan mencetuskan perpecahan dalam parti, sekiranya beliau mempunyai pengikut yang cukup untuk memberi impak.

Khairy mungkin melihat jalan mati di hadapan dalam partinya menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 nanti, dan melakukan tindakannya kini untuk menyediakan asas bergiat sebagai penentang kerajaan.

Khairy yang berfahaman liberal mudah untuk terlibat dalam politik pembangkang, yang kini didominasi aliran ideologi liberal. Kenyataan-kenyataan beliau konsisten dalam memperjuangkan isu liberal seperti kesamarataan, termasuk melibatkan hak Melayu.

Beliau yang dilihat sebagai salah satu penyebab kekalahan teruk Umno dalam pilihan raya umum lalu lebih mudah diterima pembangkang dan kumpulan-kumpulan aktivis bukan Melayu yang bersetuju dengan ide politik dan sosial ketua Pemuda Umno ini.

Kontroversi terbaharu melibatkan Khairy ini mula menjadi isu penting dalam blog-blog Umno, yang sebelum ini menjalankan kempen menentang kemasukan ketua Pemuda Umno itu ke dalam kabinet Najib.

1 comment:

Anonymous said...

Penyertaan Khairy Jamaluddin dalam Pakatan Rakyat adalah amat dialu-alukan dan sekiranya dengan segera dia berambus dari UMNO, maka lebih baik baik lagi untuk Barisan Nasional kerana Khairy Jamaluddin adalah juak-juak Pakatan Rakyat, kaki demontrasi macam puak-puak Pakatan Rakyat juga. Khairy Jamaluddin adalah beban kepada UMNO dan Barisan Nasional, sikap melulu dan semberono Khairy ini hanya sesuai dalam Pakatan Rakyat sahaja, dalam UMNO dan Barisan Nasional, tindakan melulu dan semberono adalah tidak laku dan tidak mendapat tempat kerana dalam UMNO dan Barisan Nasional, perbincangan yang rasional dan bertolak ansur untuk mengatasi sesuatu masalah atau mencapai kata sepakat dalam sesuatu perkara. Maka adalah amat dialu-alukan sekiranya Khairy berambus dari UMNO dan pergi sertai Pakatan Rakyat supaya dia boleh bersama-sama kaki demontrasi liar seperti Shamsul Iskandar Mat Akin, Tian Chua, Naib Presiden PKR, Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP Ketua Pemuda PKR dan Mat Sabu, Timbalan Presiden PAS untuk berdemontrasi di sana sini.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...