Monday, November 30, 2009

Kenyataan Media Wanita Keadilan : Kebajikan Anak-anak Malaysia diabaikan

Wanita KEADILAN memandang serius pengakuan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM); YB Senator Datin Paduka Chew Mei Fun bahawa KPWKM masih sedang ’berbincang’ untuk menyelesaikan beribu-ribu kes-kes mahkamah yang melibatkan kanak-kanak! Jika Kementerian Pembangunan Wanita sendiri tidak berupaya untuk menyelesaikan kes-kes mahkamah juvana ini, maka kementerian mana yang boleh diharapkan untuk melindungi kanak-kanak dalam sistem perundangan agar tidak merencatkan pertumbuhan mereka yang sedang membesar.

Kami juga resah apabila KPWKM hanya bercadang untuk menubuhkan Jabatan Pembangunan Kanak-kanak (JPKK) dua (2) tahun dari sekarang - tahun 2011. Bagaimana Kementerian Pembangunan Wanita hendak menyelaras dan memantau isu-isu berkaitan kelangsungan hidup, perlindungan, perkembangan dan penyertaan kanak-kanak jika penubuhan jabatan kanak-kanak ini dilewatkan?

Begitu juga Pelan Tindakan bagi Dasar Kanak-kanak Negara dan Dasar Perlindungan Kanak-kanak Negara yang melibatkan hampir kesemua kementerian. Apakah peruntukan ’cross-cutting budget’ dari kementerian-kementerian yang terlibat dan bagaimana KPWKM hendak memantau samada pelan tindakan itu telah berjaya dilaksanakan?

Ini mengambil pengajaran dari kegagalan pemantauan ’cross-cutting budget’ oleh KPWKM dalam Belanjawan 2008 terhadap empat (4) kementerian berkaitan – Kementerian Kewangan, Kementerian Pelajaran, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sumber Manusia.

Jelas, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat kurang peduli dalam melindungi hak kanak-kanak walaupun negara kita telah lebih setengah abad mencapai kemerdekaan. Tidak hairan perogol-perogol wanita dan kanak-kanak kaum Penan lepas bebas tanpa pertanggungjawaban.

HAJJAH ZURAIDA KAMARUDDIN

KETUA WANITA PARTI KEADILAN RAKYAT

Pas kesal sikap Muhyiddin

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kesal terhadap sikap Timbalan Perdana Menteri Malaysia Tan Seri Muhyiddin Yasin kerana tidak membenarkan Tengku Razaleigh Hamzah mengetuai KAUKUS yang dicadangkan oleh Pakatan Rakyat kerana dibentuk oleh parti Pembangkang.

Tindakan yang diambil oleh Tan Seri Muhyiddin tidak melambangkan sikap 1Malaysia yang sering dilaungkan oleh pimpinan Umno/BN.

KAUKUS perlu dibentuk kerana ia melibatkan soal maruah dan perundangan negara yang mengamalkan konsep Persekutuan. Negeri Kelantan perlu diberi hak untuk menguruskan wang royalti, bukan wang ehsan yang akan diberi kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP).

Kenapa kerajaan Kelantan masih di anak tirikan lagi dalam soal wang royalti Petronas. Apakah di negara kita ada dua perlembangaan.

Kenapa Sabah dan Sarawak mendapat royalti, bukan wang ehsan. Ini bermakna perjanjian tidak terpakai dan berubah kalau sebuah negeri jatuh ke tangan pembangkang, walaupun melalui proses demokrasi.

PAS penuh yakin bahwa wang ehsan ini akan digunakan untuk kepentingan politik umno dan kroni di Kelantan, akhirnya rakyat Kelantan dapat kuah. Ini dibuktikan di Terengganu di bawah BN di mana rakyat Terengganu terus dihimpit dengan kemiskinan nombor dua selepas Sabah, walaupun negeri tersebut mendapat wang ehsan. Sedangkan sewaktu Terengganu di bawah pemerintahan PAS kadar kemiskinan telah berjaya diturunkan kepada tangga keempat walaupun royalti ditarik.

Persetujuan Pakatan Rakyat menubuhkan KAUKUS adalah tepat demi kepentingan rakyat Kelantan untuk menuntut hak mereka dengan melibatkan juga daripada wakil dari Sabah dan Sarawak. Sikap yang ditunjukkan oleh pemimpin Umno/BN dalam isu wang royalti di Kelantan, adalah lanjutan “Tradisi Menindas Rakyat” slogan 1 Malaysia hanyalah retorik semata-semata.

Kenyataan Media Zuraidah MP Ampang


Penduduk Bukit Antarabangsa menyambut baik usaha Kerajaan Negeri Selangor untuk mengubah semula status Laporan Siasatan Tanah Runtuh Bukit Antarabangsa. Sekali lagi, Menteri Besar Tan Sri Dato’ Abdul Khalid Ibrahim membuktikan komitmen Kerajaan Negeri Selangor dalam melindungi keselamatan dan kepentingan rakyat negeri Selangor.

Walau bagaimanapun, saya sungguh kecewa apabila penduduk Bukit Antarabangsa mengadu bahawa laporan yang sepatutnya dijual oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) masih belum boleh diperolehi. Ini berikutan keputusan Kementerian Kerja Raya untuk tidak mengeluarkan laporan tersebut dengan alasan Jemaah Kabinet tidak bersetuju untuk mengubah status laporan; dalam kata lain laporan ini masih menjadi rahsia Kerajaan.

Sebagai Ahli Parlimen Ampang, saya merayu agar Kerajaan Persekutuan membenarkan penyiaran laporan tersebut untuk mengelakkan kemungkinan berlakunya tragedi lebih besar pada masa akan datang akibat kegagalan mendedahkan sebab musabab tragedi tersebut. Hasil laporan ini sangat penting untuk diketahui oleh orang ramai bagi melanjutkan perbincangan dalam usaha mempercepatkan proses mengeluarkan peraturan bagi pembangunan di kawasan cerun Bukit Antarabangsa dan kawasan tanah tinggi lainnya di negeri Selangor. Kerajaan Persekutuan tidak perlu takut dan patut bersikap terbuka, telus dan bertanggungjawab dan mencontohi Kerajaan Negeri Selangor dalam isu ini.

Pendedahan kandungan laporan ini penting bagi menjaga keselamatan penduduk Bukit Antarabangsa dan membantu mereka dalam perancangan masa depan mereka. Apatah lagi, Bukit Antarabangsa telah diklasifikasikan sebagai kawasan tadahan air di bawah Rancangan Fizikal Negara (2005) yang memerlukan usaha pemuliharaan yang tinggi.

Sesungguhnya slogan ’1Malaysia’ yang dilaung-laungkan oleh Perdana Menteri semakin sayup dan malap bagi penduduk Bukit Antarabangsa yang telah menunggu selama satu tahun untuk mengetahui hasil siasatan tragedi tanah runtuh yang meragut lima nyawa.


HAJJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
Ahli Parlimen Ampang

Exco nafi arak dijual secara terbuka di Kedah- Lim Soo Nee


Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Masyarakat Siam, Pekerja Ladang Perpaduan, Lim Soo Nee menafikan arak dijual secara terbuka di negeri Kedah seperti mana yang didakwa sesetengah pihak sebelum ini.

Menurut beliau lagi penjualan arak secara terbuka di kedai serbaneka termasuk di kedai 7 Eleven tidak berlaku kerana ia turut dipantau oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kulim berkata, masyarakat harus tahu membezakan antara bir dan arak yang dijual.

"Oleh kerana isu ini merupakan isu yang menyentuh kesensitiviti masyarakat maka pemantauan sering dibuat di lokasi-lokasi terbabit.Malah Jabatan Agama Islam Negeri Kedah juga boleh membuat aduan sekiranya terdapat mereka yang menjual minuman keras ini yang membabitkan orang Islam kerana ia juga terletak dalam bidang kuasa mereka.Namun begitu kerjasama akan diberikan bagi menangani isu ini supaya ia adil kepada orang Islam dan juga yang bukan Islam."

Menurut Lim lagi terdapat perbezaaan dalam isu bir dan arak ini.
"Sehubungan itu perkara ini adalah tertakluk kepada bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta Pihak Berkuasa Tempatan dan ianya bukan tertakluk kepada Eksais.Oleh itu masyarakat harus tahu membezakan perbezaan ini supaya ia tidak menjadi satu isu yang kontroversi apabila disalah tafsirkan." katanya lagi.

Mohamad Sabu sebagai Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang akan diganti


Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Mohamad Sabu akan digantikan dengan seorang pemimpin baru yang telah dikenal pasti oleh Badan Perhubungan PAS Negeri Pulau Pinang tidak lama lagi.

Menurut Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Mohd Salleh Man, rombakan kecil yang dibuat itu adalah sebagai salah satu usaha untuk mengukuh dan memantapkan lagi PAS negeri Pulau Pinang bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 yang akan datang.

"Calon yang layak untuk mengisi tempat tersebut telah pun dikenal pasti.Namun begitu pengumuman mengenai perkara tersebut akan dibuat tidak lama lagi.Rombakan kecil ini masih mengekalkan Mohamad Sabu sebagai Ahli Jawatankuasa Dewan Harian PAS Pulau Pinang.Beliau juga diberi kepercayaan untuk menganggotai Lajnah Politik dan Pilihan Raya PAS Negeri.

"Tindakan mengadakan rombakan kecil ini juga adalah sebagai salah satu langkah untuk menawan semula kerusi-kerusi yang ada dalam negeri ini masih dikuasai oleh Barisan Nasional dalam pilihan raya yang lalu."
Mohd Salleh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir berkata demikian semasa majlis korban di Masjid Kubang Semang, Permatang Pauh.

Sebelum ini Pengerusi Parti Keadilan Rakyat(PKR) Pulau Pinang, Dr.Mansor Othman turut membuat beberapa rombakan dalam PKR bagi memantapkan lagi parti dengan tujuan untuk menawan semula kerusi-kerusi yang turut dikuasai oleh Barisan Nasional(BN) dalam pilihan raya umum ke-12 yang lalu.

Adalah difahamkan perubahan yang sedang diambil oleh parti-parti dalam gabungan Pakatan Rakyat terutamanya di Pulau Pinang adalah bagi memberi satu komitmen penuh kepada usaha untuk merampas semula kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri yang masih dikuasai oleh Umno dan BN menjelangnya pilihan raya umum yang akan datang.

Monday, November 23, 2009

SPR akan buat rayuanke Mahkamah Rayuan setelah Mahkamah Tinggi tolak rayuan penangguhan keputusan

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menangguhkan keputusan mengosongkan kerusi DUN Kota Siputeh di Kedah minggu lalu.

Suruhanjaya itu bagaimanapun akan membuat rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung penolakan penangguhan tersebut.

Isnin lalu, hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin memutuskan bahawa kerusi itu kosong selepas penyandangnya Datuk Abu Hassan Sarif tidak menghadiri dua persidangan DUN tahun ini.

Dalam keputusannya, hakim menegaskan bahawa SPR bertindak secara tidak wajar dan keputusan suruhanjaya itu bahawa Abu Hassan masih merupakan wakil rakyat bagi Kota Siputeh dan kerusi DUN itu tidak kosong, perlu dibatalkan.

"Meskipun saya bersetuju bahawa SPR mempunyai kuasa untuk menentukan kekosongan berlaku secara kebetulan, namun saya tidak berpendapat SPR dapat mengatasi kuasa Speaker mengikut Perkara 51 Undang-undang Tubuh Negeri Kedah," katanya dalam penghakimannya.

"Pada pandangan saya, Perkara 51 menjelaskan syarat yang menyebabkan kerusi menjadi kosong dan responden pertama (Abu Hassan) telah menepati syarat tersebut," kata hakim itu lagi ketika membenarkan semakan kehakiman yang difailkan oleh Speaker DUN Kedah Datuk Dr Abdul Isa Ismail.

Speaker DUN itu memfailkan semakan berkenaan pada 1 Oktober, selepas SPR membuat keputusan bahawa tidak berlaku kekosongan dalam kerusi DUN Kota Siputeh dan Abu Hassan masih merupakan wakil rakyatnya.

Abdul Isa memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa Abu Hassan bukanlah wakil rakyat berikutan kegagalannya menghadiri dua persidangan DUN berturut-turut iaitu pada 19 April dan 9 Ogos tahun ini, dan kerusi itu adalah kosong.

Dalam permohonannya, Abdul Isa turut memohon perintah bagi SPR mengadakan pilihan raya kecil.

Nasharuddin Mat Isa dikejar ke IJN

Timbalan presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa dikejar dengan ambulans ke Institut Jantung Negara (IJN) selepas mengadukan sakit dada.

Nasharuddin yang menghadiri sidang Parlimen pagi ini, sebelum ini dibawa ke klinik di situ.

Timbalan presiden PAS itu dikejarkan ke IJN selepas menjalani pemeriksaan di klinik kesihatan di bangunan Parlimen setelah mengadu kepada ahli parlimen
PAS dari Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaffar.

Bagaimanapun, selepas melalui ujian electrocardiaogram (ECG), doktor tidak dapat mengenal pasti punca sakit dadanya.

Nasharuddin yang juga ahli parlimen Bachok, kemudiannya dirujuk ke IJN.

Beliau kemudiannya dilihat dibawa dengan kerusi roda ditemani Kamaruddin dan ahli parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar pada pukul 11.40 pagi ke IJN.

Mahfuz ketika ditemui pemberita berkata Nasharuddin "pada mulanya mengadu sakit otot di bahagian dada dan selepas pemeriksaan di klinik tadi, beliau dinasihatkan untuk ke IJN bagi pemeriksaan selanjutnya."

Beliau bagaimana pun enggan mengulas lebih lanjut mengenai keadaan Nasharuddin.

Pegawai khas timbalan presiden PAS itu, Mior Isfandy Mior Azizan, berkata Nasharuddin berada dalam keadaan stabil dan dijangka dibenarkan keluar pada Rabu.

Beliau dijangka menjalani pemeriksaan rapi pagi esok, katanya.

Mior Isfandy enggan mengulas ketika ditanya sama ada Nasharuddin diserang sakit jantung.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...