Tuesday, October 30, 2007

Kelantan masih harapkan minyak didaratkan di pantainya

KOTA BHARU, 30 Okt: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memohon agar "Emas hitam anugerah Allah yang dipinggirkan dalam ECER" dikaji semula untuk didaratkan di bumi Kelantan sendiri.

Permohonan itu disebutkan didepan Perdana Menteri sediri ketika berucap dalam majlis perasmian Wilayah Ekonomi Pantai Timur peringkat negeri Kelantan dekat sini petang semalam.

"Walaupun cadangan pendaratan gas dan minyak di pesisir pantai kita masih tidak diberi perhatian dalam ECER, saya masihlah memandang kepentingannya sebagai sesuatu yang bersifat mendesak.

"Pada kami, ia sepatutnya diletakkan sebagai paksi asas dalam menjana pertumbuhan ekonomi negeri," kata Nik Aziz.

Seperti yang telah dikenalpasti oleh Kerajaan Negeri sejak 10 tahun lalu, katanya, kerajaan negeri Kelantan masih merayu agar gas dan minyak didaratkan di Pantai Senok (Kelantan).
Bukan senang deposit emas hitam ini boleh terbentuk, katanya.

Dengan penuh susah payah Allah S.W.T. telah ratusan jutaan tahun memeram, mengatur dan memprosesnya secara sebab musabab jauh di kerak bumi.

Dengan segala percaturan kimia melalui mendapan humus, fosil dan tindak balas haba di perut bumi, Allah S.W.T. telah dengan segala ehsan menyimpan lalu menganugerahkan bumi Kelantan dan laut Kelantan dengan bahan semahal ini.

Mensia-siakan nikmat namanya apabila ia seolah-olah dibuat-buat 'terlepas pandang' dan tidak ditimbangkan untuk dimasukkan ke dalam pelan induk pembangunan Wilayah yang sebesar dan sepenting ini, tegas beliau.

"Setakat ini, kami hanya berputih mata melihat khazanah bumi kami dipunggah dan dihirup sepuas-puas oleh golongan amir politik tanpa didaratkan di pantai Kelantan sendiri walaupun sesudu teh," tambah beliau lagi.

Dalam feqah Islam, katanya, telah lama ditulis "hukmul fa il wal khu roji wa rriqaz".

Bahkan zakat yang dipungut daripada sesebuah perkampungan tidak boleh dipindah zakat itu ke tempat lain kecuali terlebih dahulu diagih-agihkan kepada al mustahiqiin tempatan.

"Ini adalah hukum Allah dan Rasul. Tak disempurna di dunia oleh pihak al-umara', ia akan disempurna juga oleh Allah S.W.T. di akhirat kelak," tegas Nik Aziz.

"Sesungguhnya hari keputusan (hari kiamat) itu adalah waktu yang dijanjikan bagi mereka semuanya." (Surah Ad-Dukhaan: Ayat 40).

Untuk menyatakan komitmen Kerajaan Negeri terkini, katanya, kerajaan negeri Kelantan telah meluluskan penubuhan sebuah jeti penghantar (supply base) di Pengkalan Kubur, Tumpat, khusus untuk sokongan kerja penggerudian minyak dan gas di Joint Development Area (JDA) dengan Thailand dan Vietnam, di luar pesisir pantai Kelantan.

Kerja pembinaan Jeti tersebut mulai Oktober ini dan ianya akan menjadi pemangkin kepada satu industri yang dapat mengembangkan ekonomi negeri dan membuka peluang pekerjaan.

"Dalam keadaan-keadaan yang seperti inilah, relevannya kita mengetepikan sentimen politik bersifat kepartian.

"Tidakkah boleh kita menjadikan maudhu' ini sebagai perkara bersama untuk dikongsikan secara pintar bagi tujuan yang sama," jelasnya.

"Saya masih ingat betapa murninya ketika KUB menandatangani persefahaman ini bagi pihak Pusat dizaman Tun Dr. Mahathir pada tahun 1996 dahulu.

"Ini kekal terlipat dalam sejarah; kisah benar sebuah 'pelan indah' yang tidak menjadi hingga sampai ke hari ini," tambah beliau lagi.

Monday, October 29, 2007

Tahniah...Minggu dapat cucu dan anak


Datin Seri Wan Azizah menimang cucunya yang pertama. Ia dilahirkan oleh anak sulong beliau bersama Anwar, Nurul Izzah. Raja Petra Kamarudin juga memperolehi cucunya minggu lalu di Manchester, England. Upacara belah mulut cucunya dibuat sendiri oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang kebetulan ada di sana kerana menguruskan kes samannya ke atas akhbar Daily Mirror.

Di Siasah, empat kakitangan kami juga mendapat anak minggu lalu. Terakhir Puan Dang Fatihah Ahmad Subky melahirkan anak keduanya pada 24 Oktober. Sebelum itu, Hafiz Baki, (Pengarang Berita), Haris Zulkapli (Pengarang rencana) dan Adnan Ibrahim (penyunting) turut mendapat cahaya mata baru masing-masing.

WPI: Kebimbangan PAS jadi kenyataan


JOHOR BAHRU, 29 Okt: Pemuda PAS Johor menyifatkan, kebimbangan PAS terhadap masa depan tanah-tanah milik orang melayu/bumiputera akan tergadai mula menjadi kenyataan apabila media memaparkan bagaimana pemaju pembangunan sudah mula menawarkan kepada pemilik tanah untuk membeli tanah mereka dengan harga yang cukup tinggi.

Demikian kata Ketua Pemuda PAS Johor, Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil dalam kenyataan medianya.

Menurutnya, media melaporkan, seorang pemilik tanah telahpun mengakui bahawa telah menerima tawaran jualbeli tanah dengan harga RM350,000 bagi satu ekar tanah. Beliau menyebut bahawa proses jualbeli tanah tersebut telah diproses dan sedang menunggu penyerahan milik sahaja.

Katanya, Pemuda PAS Johor yakin bahawa ramai lagi pemilik tanah yang telahpun merelakan tanah-tanah mereka untuk dibeli oleh mana-mana broker atau pemaju tanah dengan tawaran yang cukup lumayan.

Inilah ‘bencana’ yang cukup membimbangkan PAS seolah-olahnya pembangunan yang dicanangkan oleh kerajaan kononnya akan membantu rakyat Johor terutamanya kepada orang melayu dalam WPI sebenarnya masih tidak dirancang dengan teliti sehingga menyebabkan agensi-agensi kerajaan terlambat untuk memikirkan apakah bentuk ekonomi yang dapat dibangunkan terhadap tanah-tanah milik orang melayu.

Laporan penuh dalam Siasah.

Selepas terlebih tujuh bulan penjara:Amri masih menunggu pampasannya

KUALA LUMPUR, 29 Okt: 26 Oktober 2007, genaplah sudah Amri Abdullah, 37 tahun dibebaskan serta merta oleh Mahkamah Rayuan Kuala Lumpur setelah didapati terlebih penjara selama 217 hari.

Beliau sepatutnya menerima pampasan ekoran kesilapan terlebih penjara itu tetapi selepas dua tahun, Amri masih meraba-raba untuk mendapatkan keadilan untuk dirinya.

Hakim Mahkamah Rayuan pada 26 Oktober 2005 membebaskan serta merta Amri dan mengesahkan beliau terlebih penjara.

Keputusan itu dicapai sebulatsuara oleh Hakim Datuk Gopal Sri Ram, Datuk James Fong Chen Yuen dan Datuk Zulkifli Ahmad Makinudin.

Ekoran itu, Amri melalui peguamnya telah memfailkan tuntutan kepada Mahkamah Tinggi agar beliau diberikan pampasan yang sewajarnya. Hakim meminta kerajaan melalui Timbalan Pendakwaraya membuat tawaran pampasan kepada Amri agar kes itu diselesaikan di luar mahkamah.

Namun, sehingga sidangnya pada 23 Oktober yang lepas kes itu belum selesai. Jabatan Peguam Negara hanya menawarkan RM1.5 juta kepada Amri selepas tersalah penjara selama 217 hari atau kira-kira 7 bulan.

Amri menolaknya dengan alasan ia tidak memadai selepas trauma, masalah dan kesan yang beliau alami ekoran terlebih penjara tersebut. Banyak perkara yang beliau boleh buat sepanjang 217 hari itu.

Bagi Amri, beliau sepatutnya mendapat lebih lagi berdasarkan kes-kes yang telah diputuskan oleh mahkamah di Malaysia dan juga kes-kes seumpamanya yang berlaku di luar negara sebelum ini.

Dapatkan laporan penuh dalam Siasah.

Wednesday, October 24, 2007

Pendatang asing bakal timbulkan masalah kepada semua

KUALA LUMPUR, 24 Okt: Ahli Parlimen dari Barisan Nasional (BN) sendiri kini bangkit membantah kedatangan yang terlalu berlelusasa para pekerja asing ke negara ini selepas lain-lain pihak membangkitkannya sebelum ini.

Ini berikutan dari kedatangan mereka yang terlalu ramai sehingga penduduk tempatan terpaksa berebut peluang dengan mereka.

Anggota Parlimen Pasir Puteh, Alwi Che Ahmad berkata, kerana tidak tahan dengan apa yang berlaku, beliau sendiri telah bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mempengerusi JK Kemasukan Buruh Asing ini bagi membangkitkan perkara ini.
Ketika bercakap dalam Dewan Rakyat hari ini (24 Oktober), beliau berkata masalah buruk asing terlalu buruk di negara ini.

Pekerja asing di negara ini bukan sekadar buruh kasar di kilang, ladang dan kawasan pembinaan sahaja bahkan sudah merebak ke bidang perniagaan.

Ramai tidak bimbang dengan orang Indonesia, Bangladesh atau Myanmar tetapi ramai orang Melayu yang bimbang pandatang asing dari China dan India.

Laporan penuh dalam Siasah Ahad ini.


Tuesday, October 23, 2007

Flight participant bergema di radio Era pula

KUALA LUMPUR, 23 Okt: Selepas berlegar di sekitar media yang bukan utama, semalam isu angkasawan kita didakwa hanya 'flight participant' sahaja telah bergema di radio nombor satu negara, radio Era.

Seorang pendengar telah menelefon Era kira-kira jam 6.10 petang semalam (22 Oktober) dan berbual dengan DJ Era, Linda Onn dalam ruangan 'Yang sedap dan yang tidak sedap di dengar'.

Dalam perbualan itu, pendengar Era itu berkata, cerita yang tidak berapa sedap didengar adalah laman web NASA (Agensi Angsalepas Amerika) masih menyatakan Dr Sheikh Muszhapar Shukor sebagai flight participant sahaja bukannya cosmonout atau astronout.

Linda yang menjadi DJ ketika itu bertanya, di mana beliau mendengarnya, pendengar itu berkata, melalui laman web NASA sendiri.

Ketika ditanya, apa alamatnya, pendengar itu berkata dia tidak ingat tetapi ia boleh dicari dengan mudah melalui laman web Google.

Isu angkasawan Malaysia dinamakan sebagai flight participant timbul sejak Sheikh Muszhapar dan rakan-rakannya diperkenalkan oleh laman itu bakal ke ISS.

Menurut laman web Wikipadia, kamus internet, flight participant adalah nama khusus yang dirujuk kepada 'pelancong angkasa' sebagaimana yang pernah dinikmati oleh beberapa jutawan sebelum ini.

Perdana Menteri sebelum ini mempertahankan, penghantaran angkasawan itu bukan satu pembaziran dan ia tidak memakan peruntukan untuk pembangunan yang lain kerana 'kerajaan masih ada duit untuk itu'.

Monday, October 22, 2007

Presiden PAS menang saman ke atas Daily Mirror

LONDON, 22 Oktober: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang Jumaat lepas telah memenangi kes saman ke atas Daily Mirror, sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris berhubung kes laporan palsu ke atas beliau.

1 Mei yang lalu Daily Mirror di dalam akhbar dan juga web mereka, secara terang-terangan menyiarkan gambar Datuk Seri dan mengaitkan beliau sebagai perancang beberapa siri pengeboman di United Kingdom termasuk sebuah pusat membeli-belah di Kent.

Beliau juga telah dituduh sebagai orang ketiga dalam pertubuhan Al-Qaeda, dan sedang di tahan di Guantanamo Bay.

Mahkamah 19 Oktober telah di beritahu bahawa, Daily Mirror telah mengakui kesilapan di atas laporan palsu tersebut dan telah menyiarkan permohonan maaf tersebut di akhbar dan web mereka.

Mereka juga bersetuju untuk membayar segala pampasan dan yuran guaman yang ditanggung oleh pihak Abdul Hadi.

Abdul Hadi telah di wakili oleh peguam Adam Tudor dan Mohamed Hanipa Maidin sebagai peguam di Malaysia.

Abdul Hadi telah merakamkan rasa gembiranya selepas perbicaraan dan menyifatkan tuduhan yang mengaitkan dirinya dengan aktiviti Al-Qaeda sangat menjejaskan imejnya sebagai tokoh gerakan Islam yang memilih demokrasi sebagai jalan perjuangan.

Dengan kemenangan kes ini, membuktikan PAS komited dengan keamanan dan bersedia mengorak langkah dalam isu dialog Islam dan Barat, kata Abdul Hadi.

Laporan oleh Zulk Jay, London
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...