Monday, November 2, 2009

Penduduk kampung Buah Pala masih berpeluang dapatkan pampasan – TKM 2 P Pinang

Penduduk Kampung Buah Pala yang telah menolak tawaran Kerajaan Negeri bagi mendapatkan pampasan sepertimana yang telah dijanjikan sebelum ini masih berpeluang berbuat demikian dengan syarat mereka perlu menghantar surat rayuan kepada Kerajaan Negeri kerana tempoh tawaran telah pun berakhir.

Demikian dinyatakan oleh Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Prof. Dr. P.Ramasamy.
Menurut beliau lagi Koperasi Pegawai-Pegawai Kerajaan Negeri telah membenarkan pemaju projek Kampung Buah Pala, Nusmetro Venture(M)Sdn Bhd untuk membina 24 unit rumah teres dua tingkat bagi penduduk yang terlibat.

"Daripada 33 keluarga yang tinggal di atas tanah milik koperasi tersebut, 9 telah bersetuju untuk menerima pampasan sebanyak RM75,000 manakala 15 lagi baru menandatangani surat perjanjian.

"Mereka yang sebelum ini menolak tawaran tersebut masih berpeluang untuk mendapatkan pampasan yang dijanjikan dengan syarat mereka perlu menghantar surat rayuan kepada Kerajaan Negeri."

Beliau yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan berkata, permintaan 11 keluarga yang menolak tawaran pemaju untuk mengosongkan tanah itu tidak akan dilayan.Namun begitu mereka perlu membuat tuntutan kepada Kerajaan Negeri dan pemaju terlebih dahulu.

"Terpulang kepada pemaju samada untuk menempatkan mereka semula di situ atau ke satu kawasan yang lain."katanya lagi.

Isu Kampung Buah Pala sebelum ini telah menjadi kontroversi apabila sebahagian daripada penduduk kampung tersebut enggan berpindah dan mengosongkan kawasan tersebut walaupun setelah mendapat perintah daripada mahkamah.

Ekoran itu Kerajaan Negeri telah berjaya menyelesaikan masalah ini dengan persetujuan Koperasi Pegawai-Pegawai Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk memberi tawaran rumah kediaman sebagai ganti kepada penduduk yang terlibat.

Nizar lawan Zambry: Artikel 72 sebagai bukti

Satu kenyataan media telah dikeluarkan oleh Setiausaha Dewan Pemuda PAS Negeri Perak, Dr Raja Ahmad Al-Hiss seperti berikut:

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) yakin Artikel 72 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan kesahihan sebarang prosiding di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) di mana-mana negeri tidak boleh dipersoalkan oleh mana-mana mahkamah adalah bukti yang kukuh tentang kedudukan Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar yang sebenar dan sah di sisi Undang-Undang kerana penggugurannya telah di buat di luar DUN Perak.
Mahkamah Persekutuan yang akan mendengar rayuan Mohammad Nizar pada 5 November ini mesti berpandukan kepada Artikel 72 ini kerana hanya keputusan yang dibuat melalui usul dan undian tidak percaya sahaja kepada Menteri Besar di dalam DUN Perak akan melucutkan jawatan tersebut. Perkara yang mesti ditekankan adalah keputusan yang mesti diluluskan di dalam DUN dan bukannya di luar bidang kuasa DUN itu sendiri.

DPPN Pk amat berkeyakinan bahawa Hakim-Hakim yang akan diberikan mandat untuk membuat keputusan bagi rakyat Perak seluruhnya akan membuat satu keputusan yang adil demi demokrasi di dalam Negara kita yang dicintai ini. Akan menjadi satu sejarah yang akan rakyat dan dunia akan melihat keputusan yang akan di buat oleh Hakim-Hakim tersebut kelak.

Jesteru, DPPN Pk meminta seluruh rakyat yang cintaikan demokrasi supaya bermunajat kepada Tuhan demi keputusan yang terbaik untuk rakyat Perak. Untuk yang beragama Islam, DPPN Pk meminta supaya menunaikan Solat Hajat dan Berpuasa Sunat untuk kita sama-sama memastikan keputusan berpihak kepada kebenaran dan keadilan.

Friday, October 30, 2009

AMK Selangor Desak ADUN Pelabuhan Klang Letak Jawatan ADUN Segera

Angkatan Muda Keadilan Selangor mendesak agar ADUN Pelabuhan Klang,YB Badrul Hisham Abdullah untuk meletakkan jawatannya sebagai ADUN dengan kadar segera. Ini adalah untuk membolehkan seorang wakil rakyat baru dipilih setelah beliau gagal melaksanakan tugas dan amanah yang diberi rakyat dengan baik, demikian menurut satu kenyataan media daripada Ketua Penerangan AMK Selangor, Mohd Ezli Mashut.

Menurut kenyataan itu lagi, AMK Selangor amat menghargai ketegasan Dato’ Menteri Besar Selangor,Tan Sri Dato’ Abdul Khalid Ibrahim dalam isu YB Badrul Hisham di mana ADUN Pelabuhan Klang ini telah gagal menjalankan amanah rakyat yang diberi dan pelbagai masalah dan kerenah yang ditimbulkannya. Tindakan dan ketegasan Menteri Besar Selangor ini
jelas mendahulukan kepentingan dan kebajikan rakyat adalah amat penting dan terutama daripada kepentingan politik semata-mata.

AMK Selangor membuat desakan kuat ini agar ADUN Pelabuhan Klang yang menang dalam Pilihanraya Umum ke-12 menggunakan tiket Parti Keadilan Rakyat apabila mengistiharkan dirinya keluar daripada PKR perlu melepaskan jawatan ADUN tersebut segera. Tindakan beliau tidak melepaskan jawatan ADUN tersebut dan menyokong pembangkang Barisan Nasional di Selangor seolah-olah beliau sudah tidak mempunyai harga dan maruah yang tinggi lagi.

AMK Selangor merasakan tindakan beliau semasa mengistiharkan keluar daripada PKR dan memilih untuk menjadi ADUN Bebas dengan menyerang kepimpinan tinggi PKR dan kerajaan Selangor, jelas membuktikan agenda perancangan busuk dan keji pihak tertentu untuk menjejaskan keutuhan dan kekuatan Pakatan Rakyat di Selangor. Malahan tindakan beliau seperti ‘kacang lupakan kulit’ yang sebelum ini memenangi jawatan ADUN Pelabuhan Klang menggunakan platform Parti Keadilan Rakyat.

Rakyat keseluruhannya dan pengundi di DUN Pelabuhan Klang sendiri sudah mengetahui segala-galanya berkenaan kegagalan total YB Badrul Hisham dalam melaksanakan tugas dan amanah yang diberi rakyat sejak sekian lama. Malahan kepimpinan parti dan juga negeri sudah beberapa kali memberikan teguran dan nasihat agar melaksanakan tugas dengan baik namun beliau sehingga kini gagal menjalankan tugasnya sebagai wakil rakyat seperti yang diharap-harapkan.

AMK Selangor berpandangan pemimpin yang mendatangkan terlalu banyak bermasalah,karenah dan menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat dan pengundi dalam melaksanakan tugas dan amanah perlu dihumban jauh-jauh daripada menjadi liabiliti kepada parti dan kerajaan. Dengan keluarnya YB Badrul Hisham daripada kerajaan Pakatan Rakyat Selangor membuktikan bahawa Pakatan Rakyat amat mementingkan dan mutu kerja yang cemerlang,bertanggungjawab dan bersih. Tindakan beliau keluar dan menyokong UMNO/BN membuktikan dan menjelaskan lagi itulah wadah politik yang amat sesuai dengan imej kini UMNO/BN yang penuh dan terpalit dengan pelbagai skandal,penyelewengan,rasuah dan jenayah politik.

AMK Selangor yakin bahawa imej positif Pakatan Rakyat di Selangor semakin meningkat mendadak pada pandangan rakyat yang berharap pemimpin yang menerajui Selangor adalah kalangan yang bersih,bertanggungjawab dan melaksanakan tugas dan amanah yang diberi dengan penuh berhemah dan komitmen. Isu ini juga sebenarnya memberikan gambaran bahawa menjelang PRU-13 ini,Pakatan Rakyat akan diwakili oleh pemimpin yang lebih berkredibiliti dan mempunyai rasa amanah dan integriti yang amat tinggi kepada rakyat untuk memimpin arus perubahan besar negara kelak.

AMK Selangor berpandangan pemimpin yang berhak memimpin perubahan perlu mempunyai jatidiri,integriti dan komitmen yang kuat untuk memimpin rakyat dan perubahan. Pemimpin yang lemah,rasuah,mempunyai pelbagai masalah serta kerenah, tidak mempunyai jatidiri dan perjuangan yang kuat sepatutnya tidak layak untuk bersama-sama dengan arus perjuangan rakyat semuanya.

AMK Selangor melihat pelbagai ‘kemelut politik kecil’ yang disensasikan oleh media yang melanda khususnya Parti Keadilan Rakyat akan mematangkan lagi proses pengalaman politik PKR yang baru berusia 10 tahun. Sebuah parti yang langsung tidak diberi harapan langsung dalam PRU-12 tetapi membuat kejutan dan tsunami politik besar bersama-sama rakan Pakatan Rakyat daripada PAS dan DAP atas semangat dan kesedaran memuncak rakyat.

AMK Selangor berharap agar rakyat terus memberikan keyakinan dan sokongan kepada Pakatan Rakyat untuk terus memimpin dan membawa perubahan. Kejayaan parti baru sepertiDemocratic Parti of Japan (DPJ) yang menumbangkan seteru kuat politik daripada Liberal Democratic Parti (LDP) yang memerintah selama 50 tahun di Jepun membakar semangat dan iltizam baru seluruh rakyat dan pendukung Pakatan Rakyat untuk menerajui Putrajaya dalam PRU-13 ini.

AMK Selangor menaruh harapan yang amat tinggi bahawa semangat dan dokongan rakyat di Selangor akan terus meningkat kerana terbukti kini bahawa Pakatan Rakyat amat mementingkan individu pemimpin yang mampu menjalankan tugas, amanah, mempunyai integriti dan jatidiri unggul untuk memimpin arus perubahan dan kepimpinan negeri.

Ini jelas berbeza dengan dasar pemilihan kepimpinan UMNO/BN yang akan terus mendambakan pemimpin yang rasuah, menyeleweng kuasa dan penuh dengan pelbagai skandal keji dan jijik. Memang layak YB Badrul Hisham untuk menghuni parti seperti ini yang hanya menunggu masa sahaja untuk karam dan pupus daripada kamus politik negara.

Akhirnya,AMK Selangor mengulangi pendirian tegas mencabar YB Badrul Hisham jika masih mempunyai harga diri dan maruah yang tinggi untuk segera melepaskan jawatan ADUN Pelabuhan Klang dan bertanding semula atas tiket sendiri dalam pilihanraya kecil yang diadakan kelak.

Husam cadang pembangkang boleh jadi timbalan Exco Kelantan

KOTA BHARU: Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa mencetus idea baru apabila bersedia menerima wakil rakyat pembangkang di Kelantan sebagai timbalan Exco sekiranya ia tidak menyalahi peraturan.

Husam berkata, beliau sedia membincangkan cadangan melantik Adun pembangkang sebagai timbalan Exco sekiranya mendapat restu daripada Menteri Besar.

“Mungkin tiga daripada enam wakil rakyat pembangkang ada peluang menjadi timbalan Exco sekiranya perkara itu dibolehkan,” katanya ketika menggulung perbahasan Enakmen Saraan Adun (pindaan) 2009 pada persidangan Dun hari ini.

Ketika ini Kelantan yang ditadbir oleh PAS mempunyai enam Wakil Rakyat pembangkang, semuanya daripada Umno daripada jumlah keseluruhan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) negeri itu.

Menurut Husam, pelantikan timbalan kepada anggota Exco daripada Adun yang mempunyai kelayakan profesional dapat membantu kerajaan bagi merancang lebih banyak lagi program untuk manfaat rakyat.

“Ini satu keperluan dan bukan sekadar mengisi mereka ke jawatan yang baru. Mereka akan menerima elaun tetap bulanan sebanyak RM1,500 dan kuasa untuk menjalankan tugas.

“Mereka boleh melawat jabatan-jabatan kerajaan sebagai menggantikan Exco yang kesibukan dengan pelbagai tugasan lain,” katanya.

Bagaimanapun Timbalan Exco tidak mempunyai kemudahan lain seperti kereta dan pejabat. Kelantan sekarang mempunyai 10 anggota Exco termasuk Timbalan Menteri Besar.

Sebelum ini kerajaan Kelantan mempunyai timbalan Exco, namun tidak mempunyai kuasa untuk menjalankan tugas.

Fikir baik buruk sebelum terima Ibrahim dalam Umno

PANDANGAN sesetengah pihak yang mahukan Datuk Ibrahim Ali kembali ke dalam Umno telah menimbulkan pendapat yang berbelah bahagi di kalangan Umno baik di peringkat nasional, negeri dan juga Umno Pasir Mas sendiri.

Ada yang merasakan ‘kepulangan’ Ibrhim wajar kerana beliau dikatakan dapat memperkuatkan kedudukan parti dan memberi ancaman baru kepada PAS.

Sebaliknya bagi mereka yang kurang senang dengan kerencaman gaya politik ahli Parlimen bebas itu merasakan elok kalau Ibrahim dibiarkan terkontang kanting tanpa berjejak di bumi nyata untuk memberi kesedaran kepadanya.

Salah seorang ahli Umno Bahagian Pasir Mas, Datuk Dr Wan Suhaimi Wan Daud melihat cadangan untuk membawa masuk Ibrahim ke dalam Umno sebagai subjktif, ada baik dan ada buruknya.

Bagi beliau cadangan membawa masuk itu hendaklah difikir secara mendalam dan direnungi dari berbagai sudut dan tidak dibuat secara terburu-buru.

Laporan lanjut dalam akhbar Siasah keluaran terbaru

Thursday, October 29, 2009

Konflik dalaman PAS akan dibincang bersama ahli: Seminar ganti EGM


KUALA LUMPUR: PAS memutuskan untuk mengadakan satu seminar bagi mengantikan Muktamar Luar Biasa (EGM) yang dicadangkan oleh Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang  berkata, seminar tersebut akan diadakan pada 7 Disember bertempat di Taman Melewar dengan yang akan disertai ahli-ahli PAS daripada seluruh negara.

Siasah difahamkan peserta seminar tersebut adalah sama dengan peserta muktamar tahunan PAS.

Abdul Hadi sebelum itu mempengerusikan mesyuarat khas ahli jawatankuasa PAS Pusat berhubung konflik terbaru dalam parti itu.

Turut diputuskan dalam mesyuarat yang berlangsung lebih empat jam itu ialah kajian terhadap kes Selangor - salah satu isu yang dicetuskan dalam konflik tersebut, yang akan diketuai Naib Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man daripada jawatankuasa disiplin PAS Pusat.

Mesyuarat juga memutuskan isu kerajaan perpaduan (unity government) tidak akan berbangkit lagi dalam PAS.

Konflik dalaman terbaru PAS tercetus apabila Nik Aziz menggesa satu muktamar Khas (EGM) diadakan bagi membincangkan isu yang beliau sifatkan "dua tiga kerat pemimpin bermasalah".

Menguatkan cadangannya itu, Nik Aziz juga merujuk kepada parti Umno, MCA dan MIC yang mengadakan EGM apabila berlaku masalah dalaman parti.

"Kalau Umno boleh buat sesuatu dengan mengadakan mesyuarat agung khas dan MCA pun boleh mengadakan EGM-nya sehingga sempat menggugurkan presiden dan timbalan presidennya.

"Demikian juga dengan PKR yang telah membuat pindaan perlembagaannya melalui kongres khas mereka. Maka kita?

"Isu kita ialah isu dua tiga kerat pemimpin bermasalah. Masyarakat India pun boleh menentang (presiden MIC Datuk Seri S) Samy Vellu dengan mewujudkan parti lain.

"Maka pelik apa, kita panggil mesyuarat parti yang tergempar misalnya, mungkin dipanggil muktamar khaslah. Kalau nak kirakan, kitalah yang sepatut buat dulu." tulis Nik Aziz dalam blog beliau.

Beliau juga mengambarkan cadangan untuk EGM itu turut dipengaruhi setelah membaca tulisan pensyarah Undang-undang Universiti Islam Malaysia (UIA) Dr Aziz Bari yang mengaitkan kemerosotan undi PAS di Bagan Pinang baru-baru ini dengan kekecohan di Selangor serta mengkritik kepimpinan Abdul Hadi.

Sekurang-kurangnya dua pimpinan tertinggi PAS iaitu Nasharuddin dan Naib Presiden, Salahuddin Ayub telah bertemu Nik Aziz ekoran kenyataan tersebut.

Isu yang turut dipanaskan oleh media dan menjadi topik utama kebanyakan blog yang dikendalikan individu yang dekat dengan PAS telah menimbulkan kegelisahan dikalangan ahli PAS apalagi ada pemimpin yang memperlihatkan sokongan dan bantahan terhadap cadangan Mursyidul Am itu.

Bagaimanapun Abdul Hadi dalam reaksinya beberapa hari selepas isu tersebut menjadi panas meminta kemelut dalaman yang sedang dihadapi PAS perlu diselesaikan secara musyawarah dan bukannya menerusi penggunaan media massa dan media baru.

Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan, Abdul Hadi berkata pendekatan musyawarah dengan berpegang kepada budaya dan panduan yang menjadi pegangan PAS sewajarnya dipilih, sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan parti.

"Sehubungan itu, saya meminta seluruh ahli dan kepimpinan PAS di pelbagai peringkat untuk bersabar dan bertenang dalam menghadapi persoalan dalaman parti pada waktu ini," katanya.

Nik Aziz kemudiannya juga akur untuk menukar EGM seperti mana cadangan awalnya kepada mesyuarat khas.

Sejurus itu, Setiausaha Agung PAS menetapkan jam 8.30 malam pada 28 Oktober untuk mengadakan mesyuarat khas dikalangan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat bagi membincangkan isu berkaitan EGM yang dicadangkan Nik Aziz, melalui sidang media pada 26 Oktober.

Mesyuarat tersebut turut menjemput Nik Aziz hadir untuk membolehkan membentangkan pendapatnya disamping semua pimpinan PAS mendengar sendiri penjelasan daripada beliau.

Nik Aziz pada asalnya dilaporkan keberatan untuk hadir kerana bertembung dengan persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan yang berakhir pada petang rabu bagaimanapun mengambil keputusan untuk turut serta dalam mesyuarat tersebut.

Kenyataan Media: Dewan Pemuda PAS Perak

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) amat sedih dan cukup bimbang dengan suasana di Perak terutamanya apa yang telah berlaku semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada hari ini sebentar tadi.  

   

Krisis yang sudah hampir lapan (8) bulan berlalu ini seolah-olah tiada jalan penyelesaian kerana banyak pihak yang diberikan kuasa telah menyalahgunakan kuasa mereka mengikut perancangan-perancangan yang telah di susun oleh UMNO / Barisan Nasional (BN).  

   

DPPN Pk melihat bahawa krisis yang sepatutnya diselesaikan oleh rakyat telah diketepikan kerana terlalu gilakan kuasa dan sikap tidak sabar UMNO / BN untuk berkuasa kembali sebelum Pilihan Raya Umum ke - 13 sehingga sanggup membelakangkan nilai-nilai adab ketimuran serta adap-tertib kepimpinan.  

   

DPPN Pk sedar bahawa suara yang telah kami sembahkan kepada DYTM Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah semasa mengadap baginda tempohari tidak membuahkan hasil sepertimana yang rakyat Perak harapkan.  

   

DPPN Pk amat bersimpati kepada seluruh rakyat Perak khasnya dan rakyat Malaysia amnya malah masyarakat antarabangsa yang melihat sendiri krisis yang masih berlarutan ini tanpa penyelesaian konkrit serta terkuburnya demokrasi dan undang-undang yang menjadi asas keluruhan dalam Rukun negara Malaysia. 

   

DPPN Pk sekali lagi merafak sembah merayu kepada Paduka Seri Sultan Perak dan juga Raja Muda Perak membantu kami dan rakyat yang cintakan demokrasi untuk memastikan krisis ini dapat diselesaikan secepat mungkin melalui jalan musyawarah dan keluhuran perlembagaan.  

   

   

DR. RAJA AHMAD AL-HISS  

Setiausaha,  

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...