Monday, October 26, 2009

Boustead Holdings mungkin saman Kerajaan Negeri Pulau Pinang

Boustead Holdings Berhad kemungkinan besar akan menyaman Kerajaan Negeri Pulau Pinang kerana keengganan mereka untuk membenarkan projek pembinaan bangunan hotel 12 tingkat di kawasan yang diisytiharkan sebagai tapak warisan dunia di negeri ini diteruskan.
 
Boustead bercadang untuk meneruskan projek pembinaan hotel tersebut yang akan mengandungi 300 bilik itu setelah mendapat kelulusan pelan pembangunan dairpada Majlis Perbandaran Pulau Pinang ketika ianya diterajui oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini.
 
Namun begitu Kerajaan Negeri yang diterajui oleh Lim Guan Eng telah mengeluarkan garis panduan yang membenarkan pembinaan bangunan tidak melebihi lima tingkat dalam kawasan tapak warisan dunia di Georgetown.
 
Menurut Lim garis panduan yang dikeluarkan itu adalah bertujuan bagi mengelak status tapak warisan dunia itu ditarik balik oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu(Unesco).
 
"Kita akan cuba untuk mencari jalan yang terbaik melalui rundingan bagi menyelesaikan masalah ini.Namun begitu tiga pemaju daripada empat yang terlibat dengan projek pembinaan hotel dalam tapak warisan dunia ini telah berjaya diselesaikan melalui rundingan  kecuali Boustead Holdings Berhad sahaja.
 
"Walaupun Kerajaan Negeri komited bagi memastikan kawasan tapak warisan dunia ini berada dalam keadaan yang menurut garis panduan yang ditetapkan, kita tidak akan mengambil tindakan yang boleh menimbulkan masalah kepada pihak lain, ini termasuklah dibawa ke mahkamah yang akan merumitkan lagi keadaan."
 
Lim berkata demikian sebagai mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Cina yang menyebut Boustead Holdings Berhad akan menyaman Kerajaan Negeri sekiranya enggan membenarkan bangunan hotel tersebut dibina mengikut ketinggian asal setinggi 12 tingkat.

Mesyuarat Khas Rabu ini bincang Isu EGM


Mesyuarat Khas Jawatankuasa PAS Pusat Rabu ini akan membincangkan cadangan yang di minta oleh Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat agar diadakan satu mesyuarat agung luar biasa..


Setiausaha Agong Pas, Datuk Musyafa Ali berkata demikian dalam sidang medianya yang diadakan di Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini.

 

Mesyuarat ini akan dihadiri oleh  ahli jawatankuasa dan semua pesuruhjaya PAS negeri. 


Surat jemputan untuk mesyuarat ini akan segera dikeluarkan dan akan dihantar kepada semua AJK Pas Pusat dan Pesuruhjaya negeri.


Menurut Mustafa beliau telah mendapat arahan dari  Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang agar memanggil mesyuarat khas itu.


"Jadi apa-apa yang berkait kita akan bincang dalam mesyuarat pusat nanti," katanya.


Nik Aziz akan hadir sebagai Pesuruhjaya Kelantan dan jemputan khas bagi membolehkan beliau memberi penjelasan kepada ahli mesyuarat berhubung cadangan beliau dalam blognya agar diadakan satu muktamar agung khas.


Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub yang  telah mengadakan pertemuan dengan Nik Aziz di Kota Bharu memberitahu,  mesyuarat agung luar biasa tidak akan diadakan kerana Nik Aziz sendiri mencadangkan ia digantikan dengan mesyuarat khas.


Menjawab soalan pemberita mengenai cadangan mengadakan muktamar khas, beliau berkata mengikut perlembagaan PAS, mesyuarat agung luar biasa hanya boleh diadakan mengikut tiga cara.


Ia boleh dilakukan apabila ada arahan daripada presiden parti, ada permintaan bersurat satu pertiga daripada ahli jawatankuasa pusat, atau permintaan bertulis satu pertiga daripada PAS kawasan-kawasan.


Dalam sidang media yang sama Mustafa turut menafikan masalah komunikasi antara Nik Aziz dan Abdul Hadi atau dengan AJK PAS Pusat.


Mengulas kerjasama antara PAS dengan Umno, Mustafa menjelaskan ia "sudah ditutup sebagaimana yang telah diputuskan di dalam muktamar yang lalu.


"Kerjasama politik (dengan Umno), kita sudah tutup buku kerana keputusan muktamar. Tetapi perbincangan antara kerajaan dengan kerajaan dalam konteks federelisme sebagai contoh isu royalti tidak jadi masalah," ujarnya lagi.


Mustafa juga yakin isu yang akan dibincangkan dalam mesyuarat ini akan dapat mencari penyelesaian yang baik.


Mustafa juga enggan mengulas sama ada kemungkinan artikel di blog Nik Aziz itu disediakan oleh pihak ketiga.

Thursday, October 22, 2009

Kenyataan MediaDPPN Pk: Buat laporan polis Ganesan tiada kuasa

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) cukup hairan dengan kenyataan Datuk G. Ganesan yang mendakwa beliau adalah ‘Speaker’ Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang sah dengan tidak memahami Perintah-Perintah Tetap DUN Perak itu sendiri tentang pemegang jawatan Speaker malah cuba membohongi rakyat Perak khasnya.

DPPN Pk meminta supaya Ganesan seorang yang dipertanggungjawabkan mencemar dan merosakkan imej DUN Perak mesti diambil tindakan segera oleh Polis kerana Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Perak yang dipengerusikan oleh V. Sivakumar telah menjatuhkan hukuman terhadap beliau. Dan Polis adalah bertanggungjawab melaksanakan keputusan tersebut apabila telah diterima oleh sidang DUN.

DPPN Pk kesal jika Polis hanya menerima laporan daripada Ganesan yang bukan melalui keputusan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Perak terus mengambil tindakan adalah amat malang bagi DUN Perak jika perkara ini berlaku. Malah tindakan tersebut bertentangan dengan Peraturan-Peraturan Tetap DUN Perak dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak itu sendiri.

Persoalan yang rakyat perlu tahu, bagi seorang Speaker yang akan mempengerusikan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Perak boleh memanggil mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang didapati melanggar peraturan-peraturan berkaitan DUN akan dihadapkan ke jawatankuasa ini. Apa yang menghairankan kita kenapa Ganesan hanya membuat laporan Polis sebanyak 3 kali semata-mata. Kenapa beliau yang mendakwa sebagai seorang ‘Speaker’ yang sah tidak mengambil tindakan mengikut peruntukan yang ada.

Oleh yang demikian, DPPN Pk yang masih menunggu perkenan untuk mengadap Paduka Seri Sultan Perak akan juga memperjelaskan isu Speaker ini dan meminta supaya rakyat menilai sendiri kejadian yang telah berlaku semasa sidang DUN Perak pada 7 Mei yang lalu.


DR. RAJA AHMAD AL-HISS
Setiausaha,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.

Wednesday, October 21, 2009

Beng Hock: Selangor gesa tubuhkan Suruhanjaya Diraja


SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor mendesak sebuah Suruhanjaya Diraja ditubuhkan bagi menyiasat kematian Teoh Beng Hock.

Desakan itu ekoran pendedahan yang dibuat oleh ahli patologi dari Thailand, Dr Pornthip di inkues mendiang Teoh Beng Hock Rabu lalu yang merupakan perkembangan terbaru kes tersebut.

Dr Pornthip telah membuat kesimpulan bahawa 80 peratus kemungkinan kematian Teoh adalah dibunuh. 

Dalam keterangannya Dr Pornthip  memberitahu, tengkorak kepala Teoh Beng Hock pecah bukan kerana jatuh tetapi kerana pukulan kuat manakala tanda bulatan merah pada tengkuknya pula bagi beliau adalah akibat dari dicekik dengan menggunakan tangan dan ia adalah kesan jari pada tengkuk mangsa.

SPRM diminta siasat kenderaan kerajaan kerap isi minyak

Oleh KHAIRIL ABDUL RAHIM

TEMERLOH: Pemuda PAS Pahang membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan penyelewengan yang didedahkan oleh Laporan Ketua Audit Negara bagi tahun kewangan 2008.

Naib Ketuanya, Abdullah Abdul Karim berkata, laporan yang dibuat di pejabat SPRM Cawangan Temerloh pada 21 Oktober itu bertujuan meminta pihak SPRM menyiasat jika wujud penyelewengan kerana ia melibatkan kewangan kerajaan.

Laporan audit baru-baru ini melaporkan sebuah kereta milik kerajaan negeri Pahang dalam perbezaan satu minit saja, direkodkan mengisi minyak bernilai lebih RM100 sebanyak dua kali di sebuah stesen minyak yang sama di negeri itu.

Ini adalah penyalahgunaan kad inden bagi perolehan bahan api untuk kenderaan kerajaan yang didedahkan dan diedarkan di parlimen sehari sebelum itu mengenai aktiviti jabatan, agensi dan pengurusan syarikat kerajaan negeri Pahang 2008.

Laporan itu berkata semakan audit terhadap Laporan Butiran Belian Bahan Api yang dikeluarkan oleh pihak pembekal pada tahun lepas mendapati sebanyak 24 kes pengisian bahan api dalam tempoh kurang dari lima minit melibatkan lima buah kenderaan pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Pahang.

Kereta-kereta terbabit dikenalpasti sebagai Proton Perdana bernombor pendaftaran CBD88 yang telah membuat sebanyak 18 kes pengisian bahan api dalam tempoh masa yang singkat dengan jumlah kos sebanyak RM4,177.

Laporan itu menyebut pada 14 Dis lepas, kereta tersebut telah mengisi minyak di sebuah stesen minyak di Raub, Pahang pada pukul 12.14 tengah hari sebanyak 59.47 liter yang bernilai RM113 dan seminit kemudian pada 12.15 tengah hari kereta yang sama mengisi sebanyak 58.95 liter minyak yang bernilai RM112 di stesen yang sama.

'PAS Untuk Semua' berjaya tarik golongan terpelajar, bukan Islam

Kejayaan polisi "PAS Untuk Semua" bukan sahaja melalui ucapan tetapi kenyataan, di antaranya berjaya menarik golongan terpelajar yang majoriti mereka menyokong dan bersama dengan PAS. 

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, ini dapat dilihat daripada pengaruh PAS di bandar dan pinggir bandar, iaitu kawasan yang mempunyai kemudahan untuk mendapatkan maklumat terkini melalui internet dan maklumat alternatif. 

Tambahnya, yang kedua ialah PAS telah berjaya memecahkan tembok dengan golongan bukan Islam. 

"Kita bukan sahaja sampai ke tahap kerjasama dengan parti dan NGO bukan Islam, dalam masa yang sama kita telah berjaya menubuhkan Kelab Penyokong PAS yang disertai oleh orang-orang bukan Islam," ujarnya kepada media di Markas Tarbiah PAS Kubang Lembik, Manir, Hulu Terengganu, baru-baru ini. 

Beliau yang juga Penasihat PAS Terengganu berkata, mereka telah menyatakan sokongan kepada PAS dan membuktikan kesungguhan dalam kerja-kerja pilihan raya. 

Mengenai kelab itu menjadi sayap PAS, beliau berkata: ìSayap tak sayap begitulah. Sayap kita banyak dan (kelab penyokong) salah satu daripadanyaî. 

Ini, katanya untuk melonjakkan PAS setelah mencapai kejayaan tersebut. 
Tambahnya, mereka bukan sahaja memberikan sokongan kepada PAS tetapi mahu melibatkan diri secara langsung dengan parti. 

Mengenai kemungkinan ada calon PAS dari kalangan mereka dalam pilihan raya umum akan datang, beliau berkata, perkara itu akan dibincangkan. 

"Kita tidak gopoh dalam perkara ini... tengok kepada keperluan," ujarnya. 
Ini, jelasnya kerana PAS masih lagi bersama dalam Pakatan Rakyat yang juga sudah mempunyai calon-calon daripada kalangan bukan Islam. 

Empangan Kedua: Kerajaan negeri wajar dapat royalti

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri perlu diberikan bayaran royalti oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang mahu membina empangan kedua di Hulu Terengganu dalam masa terdekat. 

Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Harun Taib berkata, ini kerana akan berlaku kemusnahan hasil hutan dan alam sekitar akibat pembinaan empangan tersebut. 
Beliau yang juga Ketua Pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu itu menambah, kerajaan negeri tidak mengambil kira perkara itu semasa pembinaan empangan yang pertama dahulu. 

 "Kalau dibina empangan kedua, kerajaan negeri perlu mengambil kira kerosakan yang berlaku dan perlu ada royalti," ujarnya ketika bercakap kepada media di pejabat PAS negeri, di sini, baru-baru ini. 

Harun yang juga Adun Manir menambah, PAS berharap pembinaan kedua itu memberi faedah kepada negeri dari segi kewangan di samping ganti rugi yang lain. 
PAS juga, katanya mencadangkan kerajaan negeri menyemak semula syarat perjanjian pembinaan empangan pertama dahulu agar turut mendapat hasil daripada jualan tenaga elektrik oleh TNB itu. 

Naib Presiden (Sumber Manusia) TNB, Muhammad Razif Abdul Rahman berkata, empangan hidroelektrik yang akan dibina itu terletak di kawasan Sungai Tembat dan Sungai Puah dengan kapasiti 250 megawatt (MW). 

Semasa memberitahu media di sini, baru-baru ini, beliau berkata masih terlalu awal untuk mendedahkan anggaran kos dan keluasan empangan berkenaan tetapi akan dimulakan dalam masa terdekat dan dijangka siap pada tahun 2014. 

Empangan yang akan dibina di Sungai Tembat dan Sungai Puah itu merupakan empangan ketiga di negeri tetapi lebih kecil daripada empangan pertama iaitu Stesen Janaelektrik Sultan Ismail di Paka yang mengeluarkan tenaga dengan kapasiti 1,200 MW dan Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud di Tasik Kenyir dengan kemampuan 400 MW. 

Siasah difahamkan dokumen rasmi berkaitan rancangan pembinaan projek hidroelektrik kedua di Hulu Terengganu telah dikeluarkan oleh TNB pada September 2008. 

Ringkasan projek tersebut menggariskan rancangan kerajaan Pusat membina dua empangan di Sungai Terengganu Mati dan Sungai Puah, yang akan membentuk dua takungan menenggelamkan kawasan seluas 6,000 hektar (Takungan Puah) dan 130 hektar (Takungan Tembat). 

Cadangan pembayaran royalti hasil tenaga elektrik yang dijana oleh TNB pernah dikemukakan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 2003 berikutan ura-ura pembinaan projek hidroelektrik kedua oleh TNB di negeri ini. 

Beliau menyifatkan ia adalah wajar memandangkan negeri ini merupakan antara negeri yang termiskin di Malaysia 

Justeru, kemusnahan kekal hutan dan alam sekitar yang akan berlaku ke atas khazanah hutan simpan Tembat dan Petuang, TNB wajar memperuntukkan dan mengagihkan íroyaltií kepada rakyat dan kerajaan negeri kerana bakal meraih keuntungan berterusan ratusan juta ringgit hasil daripada penjanaan tenaga elektrik itu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...