Thursday, May 8, 2008

Dun Terengganu tolak usul kertas puteh dana khas

KUALA TERENGGANU, 8 Mei: Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu hari ini sekali lagi menolak usul yang dikemukakan oleh wakil PAS untuk menangguhkan persidangan bagi membahaskan cadangan penubuhan jawatankuasa khas bagi mengkaji projek melalui dana khas Persekutuan.

Datuk Tengku Hassan Tengku Omar (PAS-Ladang) mencadang untuk mengemukakan satu usul di bawah Fasal 30 supaya persidangan dewan ditangguhkan bagi maksud merundingkan satu perkara yang tertentu dan mustahak bagi orang ramai dan perlu disegerakan.

Katanya, perkara itu ialah cadangan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyediakan Kertas Putih – Laporan Kajian Projek-projek Dana Khas Kerajaan Persekutuan di Negeri Terengganu Dari Tahun 2004-2008.

“Datuk Yang Dipertua, Ahli-ahli Yang Berhormat dari pembangkang pernah mendedahkan projek-projek Dana Khas Kerajaan Persekutuan di negeri ini dilaksanakan tidak mengikut peraturan dan perbelanjaan tidak dikemukakan untuk diaudit seperti dilaporkan dalam buku Laporan Ketua Audit Negara – Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Terengganu tahun 2005 dan 2006,” ujarnya semasa mengemukakan usul itu setelah sesi menjawab soalan lisan berakhir.

Tambahnya, menteri besar telah mengaku wujud salah guna dan penyelewengan Dana Khas Kerajaan Persekutuan yang disalurkan kepada kementerian.

Beliau berkata, banyak projek yang dijalankan tidak dirujuk kepada kerajaan negeri, tidak mengambil kira keperluan dan keutamaan sebenar rakyat negeri ini dan jelas membazir.

“Oleh itu saya mencadangkan kerajaan negeri menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk menyediakan kertas putih dan dibentangkan kepada Dewan Undangan Negeri yang mulia ini hasil kajian terperinci semua projek-projek Dana Khas Kerajaan Persekutuan di negeri ini,” ujarnya.

Ketika menolak usul itu pada jam 11.04 pagi, Yang Dipertua Dun, Datuk Tengku Putera Tengku Awang berkata, beliau difahamkan telah sedia ada jawatankuasa antara negeri dan Persekutuan untuk mengurus tadbir dan memantau perkara yang berkaitan.

Tambahan pula, katanya, menteri besar sekarang masih baru mengambil tampuk kerajaan negeri dan adalah lebih adil memberi masa kepadanya untuk mengendalikan isu yang berbangkit demi kebaikan semua pihak.

“Jadi tidaklah perlu disegerakan dan saya buat keputusan menolak usul ini,” ujarnya.
Semalam, beliau yang juga Ketua Umno Hulu Terengganu menolak usul yang dibawa oleh Haji Mohd Abdul Wahid Endut (PAS-Wakaf Mempelam) berhubung royalti petroleum.

Abdul Wahid meminta agar Dun yang bersidang semalam mengambil ketetapan menyokong supaya royalti petroleum dikembalikan semula kepada kerajaan negeri.

2 comments:

asalbayu said...

Usul pembangkang ditolak adalah perkara biasa bagi sesebuah negeri yang masih dikuasai oleh parti pemerintah biarpun ia kadang-kadang sama dengan kehendak MB atau penyokongnya.

Kadang-kadang wakil pembangkang atau kesemua pembangkang ditempelak.

Pihak media arus perdana yang didominasi oleh BN/UMNO pula biasanya mensasikan cerita yang kadang-kadang remeh temeh. Ada agenda tersebunyi - mungkin bagi menutup kelemahan pentadbiran atau mungkin sebarang pergolakan.

Namun pembangkang bukannya boleh diperbudakkan kerana cerita yang sebenarnya akan disimpan sebagai rekod atau didedahkan menerusi media alternatif yang lebih canggih di alaf 21 ini.

Teruskan!

kulatlapok said...

pelik bin ajaib, DUN Negeri Terengganu ni, bila usul dari pembangkang je tolak. Padahal usul tu untuk kebaikan negeri Terengganu yang sepatutnya dah kaya raya pembangunannya hasil duit minyak. Ini tidak bila bos dia tak setuju yang lain pun menikus ikut tak setuju.

Rakyat Terengganu perlu rancang dari sekarang untuk PRU empat tahun akan datang.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...