Saturday, July 9, 2011

Album: Bersih 2.0 9 Julai, 2011












Gambar-gambar sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman, salah satu kawasan peserta himpunan Bersih kedua berkumpul.

Pihak polis menembak gas pemedih mata dan melakukan tangkapan. Kawasan hanya dipenuhi peserta perhimpunan dan beberapa pelancong asing.

Jalan Tunku Abdul Rahman ditutup kepada kenderaan yang datang dari arah Gombak dan Setapak di Bulatan Pahang.

Foto oleh HMB.

Bersih kedua saksikan rekod tangkapan, dijangka cetus impak negatif kepada BN

Walaupun tanpa baju kuning warna pilihan gerakan Bersih, peserta himpunan tetap berhimpun di tengah-tengah ibu negara dan berarak menuju ke Stadium Merdeka.

Dilaporkan ribuan telah mendekati Stadium Merdeka termasuk Sasterawan Negara A Samad Said.

Walau bagaimanapun, sebahagian besar gagal mendekati lokasi itu akibat halangan pihak keselamatan.

Satu kumpulan lagi kini bergerak ke Stadium Merdeka melalui laluan lain.

Puluhan ribu perserta dilaporkan berkumpul di beberapa tempat, paling ramai di sekitar Menara Maybank, bank yang warna rasminya kuning, dan meliputi stesen bas Puduraya.

Ramai peserta pada awalnya tidak mendapat maklumat tepat tentang lokasi berhimpun, tetapi sebahagian besar kemudian bergerak bersama ke Stadium Merdeka.

Peserta protes dan ahli-ahli parti Pakatan Rakyat kini menyampaikan maklumat melalui media sosial Facebook dan Twitter.

Pemimpin-pemimpin PR termasuk Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Dr Hatta Ramli, Tian Chua dan lain-lain bertegas mengenakan baju kuning Bersih.

Perhimpunan kali ini menyaksikan rekod tangkapan pantas - sehingga pukul 3 petang tadi - pemimpin-pemimpin PR termasuk Abdul Hadi, Mohamad Sabu, Dr Dzulkifly Ahmad, dan Tian Chua tidak lama selepas mereka menyertai perarakan.

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar antara yang awal ditahan, di stesen KL Sentral.

Ketua Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan juga ditahan manakala Anwar pula cedera ringan dan pengawal peribadinya turut cedera.

Pada masa sama, pemimpin pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang mengetuai kumpulan anti-Bersih Patriot telah ditahan di Bukit Bintang. Patriot dilaporkan mengedarkan baju merah kepada orang ramai.

Tangkapan pemimpin-pemimpin ini dilihat sebagai usaha untuk menyukarkan aksi protes ini dengan menjadikannya tidak berketua.

Pihak FRU dilaporkan telah menahan orang ramai di sekitar stesen-stesen LRT seperti Kampung Baru sejak pagi tadi.

Sekitar jam 1 tengah hari tadi, dilaporkan hampir 500 orang telah ditahan atas alasan berkaitan dengan perhimpunan Bersih. Menurut polis, 672 telah ditahan sehingga pukul 2.30 petang tadi.

Sehingga kini, pemerintah kelihatan bimbang dengan persepsi kejayaan perhimpunan ini, mendorong pelbagai sekatan dilakukan.

Tekanan kuat pemerintah ini walau bagaimanapun dijangka mendatangkan impak negatif kepada Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti, seperti disuarakan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini.

Reaksi itu, sekiranya terjadi, menandakan Bersih 2.0 telah mencapai satu matlamatnya dalam perang persepsi dengan parti pemerintah.

Friday, July 8, 2011

Kurang 24 jam perhimpunan Bersih, suasana semakin tegang

Suasana hari terakhir sebelum perhimpunan Bersih kedua dijadualkan 9 Julai semakin tegang apabila kedua-dua pihak pemerintah dan gabungan Bersih 2.0 mula tegas mempertahankan pendirian masing-masing.

Pihak polis menafikan permit untuk Bersih 2.0 berhimpun di Stadium Merdeka, dan sekatan jalan menuju Dataran Merdeka dan jalan-jalan masuk ke Kuala Lumpur memperlihatkan kesungguhan pemerintah menghalang perhimpunan esok.

Di Kuala Lumpur, sekatan-sekatan jalan yang meningkatkan lagi kesesakan dan menyukarkan orang ramai dilihat sebagai usaha untuk mencetuskan kemarahan terhadap Bersih 2.0.

Pada masa sama, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memberi amaran kerajaan Barisan Nasional mungkin menerima akibatnya dalam pilihan raya umum akan datang kerana tindakan keras terhadap penggerak perhimpunan Bersih kedua ini.

Bersih 2.0 walau bagaimanapun menegaskan akan berhimpun di Stadium Merdeka walaupun tanpa permit. Gabungan ini bersetuju mengadakan perhimpunan di stadium selepas pertemuan dengan Yang Dipertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat yang disenarai tidak dibenarkan memasuki Kuala Lumpur bertegas untuk tidak menghiraukan larangan itu.

Pemuda Umno turut akan merebut lokasi Stadium Merdeka dan merancang perarakan ke sana esok, pada masa sama perhimpunan Bersih kedua dijadualkan. Pertembungan dua kumpulan ini dijangka meningkatkan lagi ketegangan esok, mencetuskan pelbagai kemungkinan.

Walaupun ditegur supaya tidak mengadakan perhimpunan oleh menteri dalam negeri dan disenarai tidak dibenarkan memasuki Kuala Lumpur pada 9 Julai, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang memimpin pemuda Umno bertegas akan berhimpun.

Pada masa sama, kerajaan juga dilihat berlembut apabila membenarkan perhimpunan di stadium, kerana kesannya yang juga dijangka akan memberi impak besar.

Halangan dan tindakan terhadap peserta Bersih esok berpotensi untuk menjejaskan imej pentadbiran Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak.

Perbezaan pendapat bukan sahaja berlaku dalam kalangan pemerintah tetapi turut dirasakan oleh ahli gabungan Bersih 2.0, yang kesal kerana perhimpunan dipindah ke stadium.

Pertemuan ketua Bersih, Datuk Ambiga Sreenevasan dengan Tun Abdullah Ahmad Badawi juga menimbulkan tanda tanya dalam kalangan penyokong Bersih.

Kepimpinan Bersih 2.0 dilihat tunduk kepada tekanan kerana bersetuju tidak mengadakan perhimpunan di lokasi-lokasi asal.

Tuesday, July 5, 2011

Bersih demo di stadium, siapa menang, siapa kalah?

Ketua Bersih, Datuk Ambiga Sreenevasan memberitahu media bahawa demonstrasi besar-besaran gabungan kumpulan menuntut penambahbaikan proses pilihan raya itu akan diadakan di stadium dan bukan di jalanan.

Pendirian baharu Bersih ini muncul selepas bertemu dengan Yang Dipertuan Agong hari ini.

Bersih yang digerakkan oleh parti-parti Pakatan Rakyat sebelum ini bertegas untuk mengadakan protes di tengah bandar Kuala Lumpur di beberapa lokasi tetapi ditentang hebat Umno dan penyokong.

Perkembangan ini bermakna Bersih berundur daripada pendirian asal menolak demonstrasi di stadium atas sebab tertentu, manakala pemerintah dan penyokong seperti Perkasa terpaksa menerima protes Bersih akan tetap diadakan.

Gesaan Yang Dipertuan Agong yang telah mendorong perubahan rancangan Bersih kedua kini telah mengendurkan ketegangan antara pihak-pihak terbabit, yang termasuk Bersih 2.0, kerajaan, Perkasa dan pemuda Umno.

Beberapa pihak menjangka akan tercetus kekacauan atau satu bentuk aksi ganas pada masa perhimpunan Bersih kedua Sabtu 9 Julai nanti, yang bakal memburukkan imej pemerintah kerana mengulangi tindakan keras pada Bersih 2007 dan pada masa sama menjejaskan juga pihak pembangkang.

Bagi pihak pemerintah, titah YDP Agong ini telah menyelamatkan kerajaan pimpinan Umno daripada terpaksa mengambil tindakan-tindakan berdasarkan undang-undang pencegahan yang dilihat dengan kritikal oleh pembangkang dan sebahagian rakyat dalam usaha menghalang perhimpunan Bersih kedua.

Pada masa sama, pemerintah pimpinan Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak juga terpaksa akur bahawa hak demokratik untuk berhimpun secara aman perlu dihormati.

Sebagai respons kepada titah YDP Agong itu, penyokong-penyokong Umno termasuk penulis-penulis blog mendakwa ia sebagai kejayaan pemerintah menghalang perhimpunan Bersih 9 Julai nanti, dan mentafsirkannya sebagai membenarkan segala dakwaan mereka terhadap gabungan itu selama ini.

Walau bagaimanapun, perkembangan terbaharu menunjukkan perhimpunan Bersih kedua masih boleh diadakan, menandakan bahawa tuntutan-tuntutan sah gabungan itu masih diteruskan.

Umno dan penyokong tidak boleh mendakwa mendapat kemenangan dalam hal ini kerana isu yang dipersoalkan ialah perhimpunan yang dilihat boleh mencetuskan perkara tidak diingini, tetapi bukan tuntutan-tuntutan Bersih berhubung pilihan raya.

Pembangkang - terutama PAS yang menjadi wajah hadapan perhimpunan kali ini melalui Mohamad Sabu - dan gabungan Bersih juga mendapat manfaat kerana dielakkan daripada dipersalahkan sekiranya perkara tidak diingini berlaku dalam perhimpunan Bersih kedua di tengah kota Kuala Lumpur.

Perhimpunan 9 Julai nanti, sekiranya berjaya diadakan di mana sahaja, masih boleh meningkatkan momentum menuju Pilihan Raya Umum ke-13.

Sunday, July 3, 2011

Pilihan raya Thailand: Politik perdamaian dan perangkap populisme

Oleh HARIS ZALKAPLI

Dengan 92 peratus undi dikira, parti Puea Thai pimpinan Yingluck Shinawatra kini memenangi 260 daripada 500 kerusi parlimen memperolehi majoriti untuk menubuhkan kerajaan.

Yingluck, ahli perniagaan yang muncul dengan agak tiba-tiba untuk memimpin Puea Thai kini muncul sebagai bakal perdana menteri Thailand yang baharu.

Dalam pilihan raya ini, Puea Thai yang dari semua sudut kelihatan dikawal oleh Thaksin Shinawatra memenuhi jangkaan dengan memperolehi kemenangan yang dijangka oleh pemerhati.

Sejarah terkini pilihan raya tidak menyebelahi Demokrat, parti tertua Thailand yang memperolehi kuasa pada 2008 ekoran keputusan mahkamah perlembagaan mengharamkan pesaingnya, perkembangan yang dinilai memperlihatkan campur tangan meningkat untuk mengekalkan status quo kuasa di negara itu.

Parti berada di pihak bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra dilihat berdepan tekanan yang kuat daripada suruhanjaya pilihan raya yang semakin aktif sehingga menimbulkan persoalan bersabit kedudukannya yang sepatutnya neutral.

Kedudukan bertentangan dengan Demokrat juga bermakna penentangan daripada pihak tentera yang mempunyai kedudukan kuat dalam politik Thailand dan istana yang mempunyai hubungan baik dengan elit Demokrat.

Puea Thai perlu memenangi pilihan raya kali ini dengan jumlah kerusi yang cukup untuk menyukarkan entiti-entiti berkuasa dalam negara itu termasuk monarki, tentera dan pihak pemegang kuasa lain daripada menghalangnya menjadi pemerintah, atau melakukan pelbagai tindakan mengekang dan mengganggu.

Puea Thai, dengan slogan "Thaksin fikir, kami laksanakan" jelas tidak menjarakkan diri daripada Thaksin yang disebut-sebut bakal mendapat pengampunan dan kembali ke Thailand sekiranya parti pimpinan adiknya berkuasa.

Hal ini mengundang respons kuat daripada Demokrat, parti Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva, yang menyebut pilihan raya ini sebagai peluang "menyingkirkan racun Thaksin dari Thailand."

Abhisit mendakwa kumpulan baju merah yang kini diwakili oleh Puea Thai mempunyai agenda untuk membawa pulang Thaksin.

Pihak tentera telah menunjukkan campur tangan dengan membuat gesaan supaya rakyat memilih calon-calon parti Demokrat. Wujud kebimbangan tentera akan campur tangan pada satu masa untuk menggugat atau menjatuhkan kerajaan pimpinan Puea Thai.

Pengaruh tentera dalam politik Thailand sentiasa menjadi faktor yang penting dan memberi kesan besar, seperti di wilayah majoriti Muslim di selatan dan pertikaian sempadan dengan negara jiran Kemboja.

Dalam kedua-dua kes, tentera berperanan dengan agak bebas dan dilihat berhasrat meneruskan agenda mereka tanpa dipengaruhi kuasa politik yang menjadi pemerintah.

Tetapi kedua-dua Puea Thai dan tentera didakwa cuba mencapai persetujuan agar parti itu dibenarkan memerintah dengan balasan pemimpin tentera yang terlibat dalam keganasan terhadap kumpulan baju merah pada Mac dan Mei tahun lalu mengorbankan lebih 90 orang.

Satu kritikan utama terhadap Puea Thai ialah individu-individu baju merah dikaitkan dengan terorisme yang mempunyai kedudukan berpengaruh dan menjadi calon untuk parti itu.

Protes kumpulan baju kuning dan baju merah yang melumpuhkan Bangkok lebih setahun lalu berpunca daripada Thaksin, tokoh divisif dalam politik Thailand yang terus menjadi isu utama yang membawa negara yang sebelum ini stabil memasuki satu fasa yang sukar, yang belum tentu diselesaikan selepas pilihan raya ini.

Kedua-dua kumpulan telah mengukuhkan perbezaan politik dalam masyarakat Thailand dan menyukarkan usaha perdamaian, serta menjadikan politik lebih keras dengan pembahagian kumpulan yang jelas dan sukar dikompromi.

Protes baju kuning yang anti-Thaksin dan baju merah pro-Thaksin telah melumpuhkan Bangkok dan menjejaskan aktiviti ekonomi. Kumpulan baju merah yang pro-Thaksin pula dikaitkan dengan elemen jenayah.

Selepas pilihan raya ini, pemerhati menjangka protes baju kuning dan merah berpotensi tercetus lagi, terutama sekiranya isu-isu sensitif seperti kepulangan Thaksin dan keganasan pada tahun lalu terus memanaskan suasana.

Satu isu kritikal dalam pilihan raya ini ialah dasar-dasar populis yang kini mendominasi politik Thailand selepas dibawa secara besar-besaran oleh Thaksin.

Thaksin dan parti dikuasainya menerima sokongan ramai, dan menjadi sandaran kepada golongan miskin dan juga kelas pertengahan Thailand sebahagiannya disebabkan tindakan-tindakan populisnya, termasuk bantuan perubahan, bantuan wang tunai dan yang terbaharu, komputer tablet untuk sejuta murid sekolah.

Amalan ini, walaupun bukan sepenuhnya negatif, dan ramai pihak mendapat manfaat, berpotensi mewujudkan persaingan tidak sihat ke arah populisme, tanpa didasari penilaian mendalam dan kemampuan sebenar.

Kejayaan Thaksin memenangi undi ekoran dasar populisnya menjadikan pendekatan ini pilihan utama parti-parti bertanding, sebagai senjata untuk memenangi pilihan raya.

Kedua-dua Demokrat dan Puea Thai kini membawa janji-janji melibatkan perbelanjaan besar, termasuk keretapi laju dan komputer tablet percuma.

Isu pemberian wang tunai kepada orang miskin ialah satu contoh jelas amalan populis yang sukar dibezakan dengan pembelian undi dan merupakan satu eksploitasi yang tidak bertanggungjawab.

Projek pemberian komputer tablet juga menimbulkan persoalan berhubung kos, matlamat dan terhadap keutamaan parti Puea Thai yang sangat rapat dengan komuniti perniagaan.

Kesimpulannya, kedua-dua isu pertembungan baju kuning dengan baju merah dan perlumbaan membawa dasar populis boleh dijadikan pengajaran penting dalam melalui proses politik demokratik.

Parti-parti politik dan kumpulan yang berbeza mempunyai pilihan untuk menumpukan pada perdamaian atau menajamkan lagi perbezaan sehingga politik kumpulan menguasai dan menyukarkan sebarang elemen yang lebih rasional.

Ini memerlukan kompromi dan pertimbangan yang sihat daripada semua pihak terbabit, agar perbezaan tidak menjadi lebih sukar ditangani dan menguasai segenap ruang, dan tidak menguntungkan rakyat secara keseluruhan.

Hal yang sama juga dapat dinilai daripada dasar populis, yang sebahagian besarnya hanya penyelesaian jangka pendek dan tidak menumpukan pada penyelesaian sebenar yang lebih bersifat jangka panjang.

Hal ini dapat diperhatikan juga di Malaysia, apabila pemerintah menyediakan kedai barangan keperluan murah, dan pembangkang menjanjikan untuk menurunkan harga bahan bakar. Kedua-dua ini memberi manfaat kepada rakyat, tetapi pada masa sama tidak sepatutnya digunakan semata-mata untuk meraih undi.

Program lebih komprehensif melibatkan usaha menangani inflasi, ketidakseimbangan pendapatan dan pelbagai isu berkaitan perlu ditangani dengen lebih agresif.

Perlumbaan memenuhi keperluan rakyat perlu wujud supaya rakyat mendapat manfaat daripada proses politik demokrasi, tetapi bukan dasar populis yang hanya bertujuan memenangi undi.

Album: Lawatan kajian memerhati pilihan raya Thailand









Gambar-gambar lawatan Pemuda PAS dan PAS Selangor ke Bangkok, Thailand selama dua hari pada 30 Jun dan 1 Julai.

Sepanjang lawatan, perbincangan bermanfaat berjaya dilaksanakan dengan Parti Demokrat, Puea Thai dan majalah Asean Affairs.

Peserta menjalankan lawatan rasmi ke pejabat Parti Demokratik dan rali Puea Thai, menemui pemimpin-pemimpin kanan kedua-dua parti dan membincangkan isu-isu yang relevan termasuk masa depan hubungan Malaysia-Thailand, dari sudut negara jiran dan konteks Asean.

Saturday, July 2, 2011

Album: Lawatan Pemuda PAS dan PAS Selangor memerhati pilihan raya di Thailand

Dewan Pemuda PAS dan PAS Selangor menyempurnakan program lawatan kajian dan diskusi di Thailand semalam, 1 Julai 2011.

Program diketuai Naib Ketua Pemuda PAS Dr Raja Ahmad al-Hiss dan disertai Setiausaha PAS Selangor Mohd Khairudin Othman, pengarah pilihan raya Pemuda PAS Mohd Sany Hamzan dan timbalan 1 Lajnah Antarabangsa Pemuda PAS, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar.

Lawatan selama dua hari dipenuhi dengan kunjungan dan lawatan ke program-program dua parti terbesar, Parti Demokrat dan Puea Thai yang diketuai Yingluck Shinawatra, adik kepada bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra.

(Gambar atas, Raja Ahmad menyampaikan cenderamata daripada Pemuda PAS kepada Yingluck Shinawatra, dalam pertemuan yang disusun pada rali terbesar Puea Thai di Stadium Rajamangala, Bangkok.)

Lawatan selama dua hari ini dihoskan oleh Swarup Roy dan penerbitan beliau Asean Affairs, penerbitan global isu-isu Asean berpangkalan di Bangkok, Thailand.

Dalam lawatan ringkas ini, wakil Pemuda PAS dan PAS Selangor berpeluang memerhati perjalanan pilihan raya di negara yang kini mempunyai lebih 40 parti politik.

Program dimulakan dengan diskusi di ibu pejabat Asean Affairs, diikuti lawatan ke ibu pejabat Parti Demokrat dan diakhiri dengan pertemuan dengan pemimpin Puea Thai di Stadium Rajamangala, program terakhir terbesar sebelum pilihan raya Ahad ini.



























Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...