Wednesday, May 28, 2014

Konflik Syria, sektarianisme dan terorisme

Oleh HARIS ZALKAPLI

Semasa konflik di Syria memuncak pada 2012 hingga 2013, pandangan umum di hampir seluruh dunia Islam termasuk Malaysia banyak dipengaruhi sentimen sektarian, sehingga mencetuskan suasana tegang dan perpecahan yang berleluasa.

Sepanjang tempoh itu, wacana tentang mazhab dan geopolitik yang tercetus daripada konflik itu dikuasai oleh sudut pandang yang menyeleweng, yang membingkaikan seluruh isu ini menjadi isu pertembungan antara aliran Islam Sunni dan Syiah, dengan tuduhan paling ringan ialah golongan Syiah dipimpin Iran didakwa sedang berusaha untuk menguasai seluruh dunia Islam.

Banyak sekali pertubuhan bukan kerajaan dan ilmuan Islam termasuk dari Asia Barat memperjuangkan isu Syria dengan bersemangat sekali, dan hampir kesemuanya menangani konflik ini dari sudut pertembungan sektarian, dan membawa sekali kempen-kempen propaganda yang berniat jahat, sama ada secara sengaja atau disebabkan kenaifan.

Kempen-kempen ini jelas kelihatan disusun sebegitu rupa dan digerakkan secara global, dengan mesej kebencian yang seragam terhadap aliran Syiah. Kempen ini dapat dilihat di mana-mana, termasuk jaringan media sosial di internet, yang menerima sambutan hangat umat Muslim global.

Kempen-kempen ini membawa mesej yang mudah dan simplistik, seperti meletakkan semua kesalahan sepenuhnya di pihak rejim Bashar al-Assad, yang disokong oleh kuasa Syiah Iran.

Umat Muslim semua diseru menyokong usaha menentang rejim Bashar, dan dituntut memberi bantuan kewangan, tetapi yang lebih utama ialah usaha penentangan terhadap pemerintah Syria, dan memberi sokongan penuh kepada pemberontak.

Penentangan ini diberikan justifikasi keagamaan, dikemukakan dengan mudah sebagai pertentangan antara hak dengan batil secara hitam putih, mengabaikan segala kemungkinan dan muslihat lain yang timbul sepanjang konflik berlangsung.

Suasana panas ini berjalan selama sekitar tiga tahun, sehingga memecah-belahkan umat di banyak negara dalam dunia Islam, mencetuskan pelbagai tindakan tidak rasional dan menampakkan kesannya hingga ke hari ini, walaupun pada masa pihak-pihak berkepentingan yang terlibat telah mula mengubah pendirian atau pendekatan.

Dalam konflik di Syria, dari sudut geopolitik serantau, secara umumnya dua kumpulan besar terlibat, yakni Syria yang disokong Iran dan Rusia, dan kelompok pemberontak yang pelbagai disokong oleh Arab Saudi, Qatar, Turki dan kuasa-kuasa Barat.

Tetapi pembahagian ini tidak menjelaskan dengan mudah pecahan ideologi, mazhab, dan kepentingan geopolitik masing-masing pihak yang terlibat, walaupun melibatkan dua pihak yang berada di kelompok yang sama.

Satu contoh yang mudah ialah Arab Saudi dan Qatar, yang berkongsi agenda yang sama menjatuhkan Bashar di Syria, tetapi tidak sepakat dalam pendirian siapa yang akan mengambil alih dan berkuasa di Syria selepas kejatuhan rejim Bashar.

Saudi dan Qatar yang pada awalnya kelihatan bersatu akhirnya bertembung dan mengambil haluan berbeza dalam konflik di Syria, dengan masing-masing menyokong kumpulan yang berbeza dan bertentangan antara satu sama lain.

Kemuncaknya dilihat apabila Arab Saudi, Bahrain dan Kuwait memanggil pulang duta masing-masing dari Qatar sebagai tanpa protes terhadap agenda dasar luar Doha yang dilihat menjejaskan keselamatan negara-negara Arab jirannya itu.

Tindakan Saudi dan sekutu ini kelihatan dapat dilakukan selepas Emir Sheikh Hamad bin Khalifa al-Thani turun takhta dan menyerahkan kepimpinan kepada anaknya, Sheikh Tamim bin Hamad al-Thani.

Konflik di Syria dan peranan kuasa-kuasa serantau ini berada di tengah-tengah pergeseran antara negara-negara Arab Teluk Parsi yang sedang berlaku ini. Kebangkitan di Syria untuk menjatuhkan Bashar tidak berjalan seperti yang dijangka oleh kuasa-kuasa terbabit yang berkepentingan, sehingga membawa kepada perubahan yang sedang berlaku melibatkan mereka pada masa ini.

Beberapa peristiwa penting yang berlaku telah menampakkan perubahan pendekatan dan sikap kuasa-kuasa terbabit dengan konflik di Syria, yang membawa implikasi serius kepada negara-negara terbabit.

Arab Saudi telah menunjukkan perubahan apabila mufti besarnya, Sheikh Abdulaziz Al al-Sheikh pada Oktober 2013 mengatakan jihad ke Syria salah dan tidak perlu. Sebelum itu, pada 2012, Sheikh Ali al-Hikmi, seorang autoriti agama di Arab Saudi juga berfatwa mengharamkan jihad ke Syria.

Larangan ini dilihat sebagai perubahan sikap Riyadh ekoran ramai warganya pergi berperang di Syria, dan dikhuatiri akan membawa pemikiran dan pendekatan radikal dan militan apabila pulang. Radikalisasi dan militarisasi yang berpunca langsung daripada konflik Syria akhirnya menjadi satu penyebab perubahan agenda kuasa-kuasa yang terlibat.

Paling jelas menunjukkan perubahan di pihak Riyadh ialah tindakan menamatkan khidmat Putera Bandar bin Sultan sebagai ketua perisikan Arab Saudi pada April lalu. Bandar yang dikenali sangat rapat dengan pihak konservatif di Amerika Syarikat berperanan besar dalam tindakan Riyadh berhubung Syria, terutama melibatkan pembekalan senjata kepada militan yang berperang menentang kerajaan Bashar.

Penyingkiran Bandar di Riyadh dan penurunan takhta Sheikh Hamad di Doha menjadi petunjuk paling penting perubahan agenda negara-negara kuasa serantau melibatkan konflik di Syria. Saudi mula menyelaraskan dasar Syria dengan dasar AS yang menentang al-Qaeda dan kumpulan-kumpulan sepertinya, manakala Qatar mula berundur daripada dasar luar agresif yang bermula di bawah emir lama.

Pada masa yang sama, Bashar masih bertahan di Damsyik, dan kumpulan penentang-penentangnya di Syria terus menunjukkan ketidaksepakatan malah berperang sesama sendiri. Beberapa kumpulan pula telah terpinggir apabila dikaitkan dengan al-Qaeda dan dikategorikan sebagai pengganas oleh Washington.

Di Malaysia, kesan seperti radikalisasi dan peningkatan sentimen sektarian telah merebak dan berleluasa, dalam kalangan golongan elit dan juga masyarakat awam, akibat kelemahan dan sikap tidak bertanggungjawab ramai pihak yang terlibat, termasuk agamawan yang terpengaruh dan dipergunakan.

Selari dengan dasar AS, Malaysia telah mula bertindak terhadap militan di negara ini, menggunakan undang-undang Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012, tindakan yang kelihatan bermula sejurus selepas Presiden AS Barack Obama menamatkan lawatan rasmi ke negara ini.

Semangat dan sentimen yang tercetus akibat konflik di Syria, kini mendatangkan kesan yang jauh berbeza berbanding apa yang dibembar-gemburkan dan dirasai sebelum ini. - Mei 25, 2014

Monday, May 26, 2014

Kesepakatan China-Rusia dan dunia pasca-Amerika

Hampir 15 tahun lalu di bandar Shanghai, China, enam negara terdiri daripada China, Rusia dan empat negara Asia Tengah menyepakati penubuhan Pertubuhan Kerjasama Shanghai, sebuah organisasi serantau yang menyaksikan pakatan lebih rapat Moskow dan Beijing, serta negara-negara utama Asia Tengah.

SCO menjadi penanda kesepakatan Beijing-Moskow, yang sejak awal 2000-an mula merapatkan agenda mengimbangi dominasi Amerika Syarikat, terutama di Asia Tengah dan kawasan sekitar, tetapi tidak terkecuali juga rantau lain.

Sejak itu, hubungan kedua-dua China dan Rusia dan pelbagai agenda bersama mengalami turun naik, dan gembar-gembur awal kebangkitan China-Rusia dan SCO mula kelihatan terlalu diperbesar-besarkan.

Tetapi, hubungan rapat dan kerjasama China dan Rusia terus berjalan, walaupun dengan tahap yang berbeza-beza dan tidak semestinya secara bersama, melibatkan usaha melawan dominasi AS dari sudut politik, ketenteraan dan urus tadbir ekonomi-kewangan global, agenda yang dikongsi oleh kedua-dua Beijing dan Moskow.

Kedua-dua negara juga bersama dalam kumpulan negara dikenali BRICS - Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan -  yang juga mempunyai ide tersendiri dalam menolak aturan dikuasai AS melibatkan urus tadbir ekonomi global.

Rabu, 21 Mei lalu di Shanghai, China dan Rusia akhirnya menunjukkan satu hasil kesepakatan kedua-dua negara selama lebih sedekad lalu, apabila menandatangani perjanjian perdagangan gas bernilai AS$400 bilion, untuk tempoh 30 tahun.

Presiden Rusia Vladimir Putin dan Presiden China Xi Jinping yang menyaksikan kesimpulan perjanjian itu melibatkan Gazprom dengan Perbadanan Petroleum Nasional China, menyampaikan mesej yang paling jelas setakat ini berhubung haluan dan kerjasama kedua-dua negara.

Perjanjian ini, yang terbesar untuk syarikat Rusia Gazprom, melibatkan pembinaan infrastruktur bernilai sekitar AS$30 bilion, termasuk melibatkan pelaburan China untuk membina saluran paip untuk mengimport bekalan gas Rusia.

Pencapaian besar melibatkan perjanjian ini ialah disebabkan tempoh 10 tahun yang diambil untuk rundingan, dan penyelesaiannya pada masa ini menunjukkan kesediaan kedua-dua kuasa dunia itu berkompromi dan sedia memulakan kerjasama, selepas turun naik hubungan dan tarik tali selama 10 tahun.

Dicapai menyusuli konflik di Ukraine dan peningkatan hubungan AS dengan sekutu-sekutu yang terlibat dengan pertikaian wilayah perairan dengan China, perjanjian ini bakal merapatkan lagi hubungan kedua-dua kuasa, disebabkan komponen geopolitik melibatkan orde baharu dunia yang terlibat dalam persetujuan ini.

Hubungan China-Rusia yang semakin kukuh kali ini berbeza dengan gembar-gembur SCO 15 tahun lalu, kerana iltizam yang jauh berbeza kedua-dua kuasa besar ini pada masa ini, dan realiti orde dunia yang semakin berubah.

Kedua-dua Beijing dan Moskow berada dalam keadaan yang jauh lebih bersedia dan mampu untuk menangani langkah-langkah peminggiran oleh AS dan sekutu, malah, kedua-duanya, terutama Rusia, semakin kekurangan pilihan dalam hal ini.

Dari sudut ekonomi politik, Rusia mendapat pasaran baharu yang besar melalui perjanjian ini, yang mampu menyelamatkannya sekiranya Eropah - pelanggan utama gas Rusia - mengurangkan import gas dari Rusia secara mendadak, ekoran usaha Barat meminggirkan Rusia akibat kes Ukraine. Eropah masih pembeli utama gas Rusia dalam jumlah yang sangat besar.

China pula memperolehi bekalan gas yang lebih murah, dan berupaya meningkatkan pengaruhnya terhadap Rusia. Kedua-dua negara juga dapat merapatkan integrasi ekonomi, yang dapat membantu berdepan usaha peminggiran oleh Barat. China bakal membayar dalam matawangnya sendiri dalam beberapa projek infrastruktur dengan Rusia, menambahkan keupayaan yuan menjadi mata wang antarabangsa dan mengelakkan tindakan Barat.

Perjanjian ini menunjukkan dengan semakin jelas pendirian Beijing-Moskow dalam politik global, melibatkan hubungan kedua-dua kuasa dengan Barat, dan paling utama, pembentukan satu orde dan norma baharu bagi menyaingi kuasa AS, menuju kepada dunia pasca-Amerika. - Mei 22, 2014

Sunday, May 25, 2014

Seksisme dan penindasan wanita antara Malala dan Julia Gillard

Baru-baru ini ada satu berita yang agak mengejutkan melibatkan media; pemecatan editor New York Times, Jill Abramson, yang dihentikan serta-merta daripada jawatannya yang berprestij itu.

Berita seperti ini akan berlalu begitu sahaja dalam tempoh yang agak singkat, dan akhirnya, biasanya akan hanya berlalu sebagai satu berita aktiviti seharian sebuah organisasi akhbar.

Satu yang menarik untuk diperhatikan ialah bagaimana sudut politik gender Abramson yang kurang mendapat tempat penting dalam wacana berkaitan, dan tidak "membunyikan penggera" seperti yang sepatutnya.

Kes ini membawa ingatan kita kepada permainan politik melibatkan bekas Perdana Menteri Australia, Julia Gillard yang disingkirkan daripada jawatannya, dengan faktor jantinanya menjadi satu faktor utama.

Isu melibatkan Gillard ini juga berlalu tanpa mencetuskan debat yang "sepatutnya" lebih panas, tanpa perhatian lebih khusus daripada kalangan liberal di dunia Barat yang biasanya amat peka dengan hal ini.

Politik rendah moral yang berlangsung di Australia pada masa itu bukan sesuatu yang tersembunyi, malah sebenarnya menjadi antara berita terbesar melibatkan wanita pada tahun lalu.

Kedua-dua kes ini menunjukkan satu bukti bagaimana wacana politik gender yang berjalan dengan berat sebelah oleh kelompok aktivis Barat, malah hampir keseluruhan jentera penjaga standard liberal Barat dalam hal gender sekiranya melibatkan dunia Barat sendiri.

Kes Gillard ditenggelamkan oleh Malala Yousafzai, gadis yang dijadikan simbol penindasan wanita dalam dunia Islam, walaupun penendasan itu dilakukan oleh kumpulan yang tidak sama sekali mewakili suara majoriti dalam dunia Islam yang luas dan plural.

Malala menjadi gadis poster perjuangan mengangkat martabat wanita, dengan segala isu yang dengan sendirinya menjelaskan perjuangan ini kepada umum, yakni akses kepada pendidikan, hak kebebasan memilih dan sebgainya.

Lebih mudah lagi, kes Malala berlaku melibatkan kumpulan Taliban di Pakistan, sebuah kumpulan yang menjadi ikon penindasan dan konservatisme melampau dan di Pakistan, yang juga, di mata Barat, satu ikon kemunduran dan ketidaksamaan gender.

Kes Malala mudah dimuatkan dalam naratif yang difahami oleh Barat, yakni layanan tidak adil kepada wanita dengan menafikan hak untuk mendapat pendidikan, malah sehingga beliau sendiri ditembak oleh pihak Taliban.

Kes Malala muncul seperti satu anugerah Tuhan kepada Barat untuk mengukuhkan lagi persepsi negatif terhadap dunia Islam, selari dengan prejudis ramai di sana berhubung hak wanita di "dunia mundur masyarakat Muslim."

Malala menjadi ikon yang membenarkan lagi segala tanggapan Barat terhadap isu gender dalam dunia Islam. Hakikat bahawa isu ini dengan mudah diangkat dan disambut menunjukkan bagaimana kuatnya persepsi yang telah diterima, dengan isu Malala ini dimuatkan sepenuhnya dalam kotak penindasan terhadap wanita.

Malala dijaja ke sana sini sebagai ikon perjuangan kebebasan wanita dan kebebasan daripada konservatisme melampau dunia Islam, dan muncul pada tahun lepas sebagai ikon perjuangan hak wanita.

Hakikatnya, kedudukan sebagai ikon perjuangan hak wanita itu, wajar sekali dikongsi bersama dengan Gillard, bekas perdana menteri Australia yang berdepan cabaran yang amat getir.

Gillard juga berjuang dalam satu suasana konservatisme dan politik gender yang tidak menyebelahi beliau, tetapi amat kurang tumpuan diberikan pada sudut perjuangan wanita itu berbanding politik biasa yang sememangnya ganas dan mencabar.

Hakikat bahawa kes Gillard berlaku dalam suasana tamadun Barat menjadikannya tidak menarik seperti kes Malala, yang sebahagian besar wacana yang diperlukan sudah siap terbina dalam minda ramai yang memerhati.

Naratif Malala mudah disampaikan, disambut dan dipanjangkan kerana persepsi dan prejudis yang telah siap terbina, dan lebih mudah mengaitkan dunia Islam dengan penindasan berbanding dunia Barat yang tidak dibebankan dengan persepsi buruk berhubung politik gender.

Kelompok liberal sendiri tidak mampu dan mempunyai prejudis tersendiri yang menghalang mereka daripada menilai Malala dan Gillard menurut pertimbangan yang sama.

Malala menjadi berita antarabangsa yang besar, yang menepati profil yang dikehendaki liberal Barat, melibatkan imej-imej yang mudah untuk difahami, kedua-dua oleh penyampai mesej dan kepada orang ramai.

Malala hanya perlu ditonjolkan tanpa penerangan yang banyak, dan prejudis serta pemahaman yang telah terbina dalam minda ramai akan dengan sendirinya melengkapkan naratif yang diperlukan.

Kerana inilah, wacana yang mengaitkan segala sifat dalaman masyarakat Muslim dengan budaya dan krisis yang melibatkan Malala menjadi mudah untuk diangkat, berbanding kes Gillard yang akan menyukarkan dan menyorot masyarakat berpandangan alam Barat secara negatif.

Wacana seperti yang disaksikan dalam kes Malala membenarkan apa yang mereka pegang selama ini, dan membantu mengukuhkan lagi agenda mengukuhkan pandangan alam pilihan mereka, tidak seperti Gillard - dan kini Abramson - yang menyukarkan dan mendedahkan kepincangan dunia Barat sendiri. - Mei 17, 2014

Friday, May 9, 2014

Kebangkitan China-Rusia dan masa depan orde liberal

Oleh HARIS ZALKAPLI

Zbigniew Brzezinski, dalam bukunya diterbitkan pada tahun 1997, The Grand Chessboard: American Primacy and It's Geostrategic Imperatives, menulis, "Senario yang paling merbahaya yang berpotensi muncul ialah gabungan besar China, Rusia dan mungkin Iran, satu gabungan 'antihegemoni' yang disatukan bukan oleh ideologi tetapi ketidakpuasan hati bersama."

Situasi ini sedang dihadapi Amerika Syarikat pada hari ini, walaupun pakatan China-Rusia-Iran ini amat kurang kohesif dan bersatu lebih pada penentangan. Tetapi, kedua-dua China dan Rusia memiliki pandangan alam tersendiri masing-masing, dan tidak sehaluan dengan orde dunia liberal yang dibawa oleh AS dan Barat.

Lawatan Presiden AS Barack Obama ke empat negara Asia-Pasifik hujung minggu lalu dengan jelas menunjukkan agenda menangani kebangkitan China, yang semakin kukuh sebagai kuasa ekonomi dunia, walaupun sangat bergantung pada modal dan pasaran Barat.

Pencapaian terbesar lawatan, melibatkan perjanjian yang memberikan AS pangkalan di Filipina, menunjukkan kepentingan agenda menangani perluasan kuasa China ini. Perjanjian ini didorong kuat oleh tindakan China di perairan dipertikaian sejak kebelakangan ini, sehingga menyebabkan Filipina melihat tidak ada pilihan selain merapatkan kerjasama ketenteraan dengan AS.

Walaupun lebih disibukkan dengan perkembangan di Asia Barat dan Asia Selatan sejak imbangan semula ke Pasifik diumumkan, perkembangan dalam dasar luar melibatkan mengekang China telah menjadi bahagian penting pemikiran AS sejak Presiden George W Bush.

Pada masa sama, Washington juga berdepan Rusia yang semakin asertif dan agresif, yang kemuncaknya telah ditunjukkan dalam perang dengan Georgia pada 2008, yang jelas merupakan satu perang antara dua negara, sesuatu yang mengejutkan masyarakat antarabangsa.

Tahun ini, di bawah Presiden Vladimir Putin, Rusia menakluk semula Crimea dan semakin menguasai wilayah timur Ukraine, menampakkan lagi yang AS kini terpaksa berdepan Rusia yang sedang pantas bangkit semula dan menyusun semula wilayah bekas Soviet.

Di Asia Tengah, kedua-dua Moskow dan Beijing menjalankan agenda anti-AS dengan berkesan, dengan negara-negara serantau walaupun berusaha mengimbangi AS, Rusia dan China, tetap menyedari hakikat kedudukan geografi yang menetapkan kuasa Rusia dan China yang tidak boleh ditolak.

Moskow juga mengukuhkan lagi pakatan dengan negara-negara bekas Soviet, dan telah merapatkan pertubuhan keselamatan kolektif yang dikuasainya, Pertubuhan Perjanjian Keselamatan Kolektif, CSTO - yang sebelum ini berusaha untuk mendapatkan kerjasama dengan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara, Nato - dengan Pertubuhan Kerjasama Shanghai, SCO, yang dikuasai Beijing.

Rusia juga menunjukkan perbezaan ideologi yang jelas, menolak nilai-nilai liberal yang diperjuangkan AS. Sejak beberapa tahun lalu, Moskow menunjukkan penolakan terhadap nilai-nilai Barat, dan menampakkan kecenderungan kepada satu pandangan yang dipengaruhi agama Kristian Ortodoks dan visi untuk mengambil haluan berbeza dengan Barat berdasarkan identiti Rusia yang unik.

Haluan dasar luar di bawah Putin kini semakin menampakkan perbezaan dengan AS, dan kelihatan semakin menyukarkan sebarang usaha pemulihan, ditambah dengan tindakan sekatan oleh Barat.

Perkembangan di Crimea menyempurnakan penentangan Rusia terhadap agenda AS yang bermula dengan konflik di Syria, sebuah sekutu Moskow dan juga Tehran. Rusia telah mula menegaskan tentang satu orde dunia yang berbeza dengan pegangan AS sejak bermula kekacauan di Syria, menunjukkan selain kepentingan geopolitik, wujud faktor perbezaan pandangan berhubung orde dunia dalam membentuk tindakan Rusia.

Di Asia-Pasifik, cabaran China dan kebangkitan maritimnya sedang merancakkan perkembangan di rantau ini dan semakin memungkinkan konflik bersenjata ekoran tindakannya mencabar negara-negara yang terlibat dalam pertikaian, walaupun kemungkinan besar bukan dalam masa terdekat ini.

China sedang menyaingi dunia maju dalam perdagangan, dan semakin menyamai AS dari sudut keupayaan ketenteraan terutama sebagai kuasa maritim di wilayah Asia-Pasifik.

Perkembangan ini dijelaskan lagi oleh satu kajian Institut Kajian Keamanan Antarabangsa Stockholm, SIPRI, yang mendapati perbelanjaan ketenteraan rantau Asia meningkat, pada masa rantau lain menyaksikan penurunan, dengan peningkatan 3.6 peratus tahun 2013.

China, yang sedang pesat membangunkan kuasa ketenteraan, meningkatkan perbelanjaan sebanyak 12.2 peratus tahun ini, kepada AS$132 bilion.

Tahun lalu, China dilaporkan telah memulakan pembinaan 17 kapal perang baharu, dan pada 2012 memulakan operasi kapal pengangkut pesawat. Dalam tempoh sekitar 10 tahun, dua lagi kapal pengangkut pesawat akan dimiliki, dan menjelang tahun 2020, China dijangka memiliki 78 buah kapal selam.

Pengkaji geopolitik, Robert Kaplan dalam buku terbaharunya Asia's Cauldron: The South China Sea and the End of a Stable Pacific menulis: "Tentera Laut AS kini mendominasi Laut China Selatan. Tetapi situasi ini akan berubah. Saiz Tentera Laut AS telah merosot daripada hampir 600 buah kapal perang semasa era Reagan, kepada pertengahan 300 semasa era Clinton, kepada kurang daripada 300 sekarang."

Jumlah ini, menurut Kaplan, bakal merosot lagi menjelang 2020 disebabkan banyak faktor termasuk pengurangan belanjawan, pada masa sama China meningkatkan keupayaan spesifik seperti kapal selam dan teknologi peluru berpandu.

Dalam ekonomi dan perdagangan, Beijing juga mempunyai visi yang bertentangan dengan Washington, seperti melibatkan peranan antarabangsa matawang yuan dan penguasaan AS dalam institusi urus tadbir ekonomi global seperti Dana Kewangan Antarabangsa, IMF.

China, Rusia dan tiga negara lain; Brazil, India dan Afrika Selatan - dikenali dengan singkatan BRICS - telah mula membayangkan penubuhan bank pembangunan BRICS, yang berpotensi menyaingi peranan yang selama ini dikuasai oleh Bank Dunia dan IMF.

Menteri Kewangan Afrika Selatan, Pravin Gordhan dilapor berkata persediaan ke arah itu akan diselesaikan menjelang sidang kemuncak BRICS pada Julai nanti.  

Hasil dan kesan institusi baharu ini tentu sekali masih terlalu awal untuk dinilai, tetapi menunjukkan ada satu usaha yang jelas ke arah mengubah imbangan kuasa dan mencabar konsensus Washington. Malah, China telah pun memainkan peranan seperti IMF di negara seperti Kemboja, dan semakin meningkatkan penguasaan di Afrika.

Perkembangan ini terus mendatangkan cabaran yang besar kepada AS, dan menunjukkan tanda-tanda dunia yang sedang menuju era pasca-Amerika, era kemunculan dan pengukuhan kuasa-kuasa lain, yang bakal memaksa Washington berkongsi kuasa dalam menentukan orde global.

Perkembangan ini walau bagaimanapun ada turun naiknya, dan tidak bermakna trajektori meningkat kuasa-kuasa baharu akan pasti terus meningkat. Banyak faktor akan mempengaruhi peningkatan kuasa negara-negara sedang meningkat itu, dan pada masa sama, kuasa ketenteraan AS masih yang terkuat di seluruh dunia termasuk di Laut China Selatan. - Mei 2, 2014

Thursday, May 8, 2014

Apa Najib dapat daripada lawatan Obama?

Presiden Amerika Syarikat yang popular, Barack Obama telah menamatkan lawatan ke Asia minggu lepas, meninggalkan kenangan dan kesan politik di negara-negara dilawati.

Di Malaysia, nampaknya Obama mendapat pujian daripada pemerintah pimpinan Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak walaupun presiden AS itu sempat menyampaikan mesej menyeru Malaysia menjadi lebih terbuka kepada golongan minoriti.

Obama juga sempat bertemu singkat dengan wakil-wakil masyarakat sivil liberal, kumpulan yang umumnya selari dengan dasar yang diperjuangkan Washington.

Tetapi tindakan tidak bertemu dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, pemimpin Pakatan Rakyat, agak mengejutkan kerana tindakan ini tidak kena dengan mesej hak asasi dan demokrasi yang dilaung-laungkan AS.

Pemimpin utama pembangkang, yang membawa mesej hak asasi manusia dan demokrasi biasa mendapat perhatian khusus kerajaan AS, terutama di negara-negara yang dinilai tidak bebas sepenuhnya kerana masih mempunyai ciri-ciri autoritarian.

Di Malaysia, pemimpin ini tidak lain tidak bukan ialah Anwar, yang telah membuktikan kelayakan liberalnya dan dibuktikan lagi oleh dakwaan jenayah yang dilihat ramai sebagai selektif dan bermotif politik.

Walau bagaimanapun, ini dijelaskan oleh haluan yang diambil oleh Najib sejak mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan.

Najib bergerak semakin dekat kepada dasar ekonomi neoliberal, semakin liberal dari sudut sosial dan semakin terbuka dalam banyak hal, antaranya melibatkan syarikat milik negara Petronas yang semakin inklusif dalam pengambilan kakitangannya.

Di bawah Najib, satu gerakan moderat dilahirkan, dan wasatiyah, satu tafsiran liberal yang diberikan wajah Islam, dijadikan satu agenda penting pemerintah.

Sejak 2009, tahun Najib menjawat jawatan perdana menteri, haluan ke arah yang lebih liberal telah dapat diperhatikan melalui slogan 1 Malaysia.

Persaingan Najib dengan Anwar untuk dilihat sebagai mewakili ideal liberal mendorong Najib bergerak dengan lebih agresif memunculkan imej-imej liberal.

Najib melaksanakan pendekatan liberal dalam parti dan pemerintahan, sehingga mendapat tentangan dan kritikan keras kelompok konservatif dalam parti, yang paling utama bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Lawatan Obama ke Kuala Lumpur, seperti yang dinilai pemerhati, sememangnya satu pengiktirafan terhadap haluan liberal yang diambil Najib.

Walaupun kepentingan geopolitik, ekonomi dan perdagangan menjadi faktor penting dalam realiti kebangkitan Asia dan kuasa-kuasa sedang muncul hari ini, pengiktirafan AS berhubung haluan liberal Najib juga satu faktor yang penting.

Dengan munculnya Najib yang membawa pendekatan lebih liberal, Anwar dan kelompok masyarakat sivil tidak menjadi sepenting, misalnya, sekiranya Najib meneruskan pendekatan konservatif yang didesak oleh Mahathir.

Keperluan AS untuk menunjukkan sokongan kuat kepada kelompok liberal di Malaysia kelihatan tidak sekuat yang sepatutnya ditunjukkan oleh kuasa besar itu.

Sokongan Obama kepada kelompok liberal dan pendekatan lebih inklusif kelihatan lebih bersifat simbolik dan mungkin, sekadar untuk tidak mengecewakan lagi kelompok ini.

Obama jelas sekali mengimbangi kedua-dua pihak ini, tetapi Najib kelihatan lebih berjaya berbanding kelompok liberal yang bertentangan dengan pemerintah, tambahan pula, Najib sedang berkuasa dan mampu memberi kesan yang dikehendaki.

Pada masa sama, AS juga berkepentingan untuk Najib meneruskan dan meningkatkan apa yang telah dicapai selama ini, menyedari yang Najib amat berkehendakkan perhatian dan pengiktirafan daripada Obama.

Washington mempunyai agenda dasar luar yang penting di rantau Asia-Pasifik, dan penyertaan Malaysia diperlukan untuk menyokong dan menggerakkan agenda ini.

Kepentingan-kepentingan seperti perjanjian perdagangan bebas Trans-Pasifik, kesepakatan politik menghadapi kebangkitan China dan menangani militan di rantau ini memerlukan sokongan sekutu-sekutu, dan ini menjadikan Najib penting kepada Washington. - Mei 6, 2014
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...