Presiden Amerika Syarikat yang popular, Barack Obama telah menamatkan lawatan ke Asia minggu lepas, meninggalkan kenangan dan kesan politik di negara-negara dilawati.
Di Malaysia, nampaknya Obama mendapat pujian daripada pemerintah pimpinan Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak walaupun presiden AS itu sempat menyampaikan mesej menyeru Malaysia menjadi lebih terbuka kepada golongan minoriti.
Obama juga sempat bertemu singkat dengan wakil-wakil masyarakat sivil liberal, kumpulan yang umumnya selari dengan dasar yang diperjuangkan Washington.
Tetapi tindakan tidak bertemu dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, pemimpin Pakatan Rakyat, agak mengejutkan kerana tindakan ini tidak kena dengan mesej hak asasi dan demokrasi yang dilaung-laungkan AS.
Pemimpin utama pembangkang, yang membawa mesej hak asasi manusia dan demokrasi biasa mendapat perhatian khusus kerajaan AS, terutama di negara-negara yang dinilai tidak bebas sepenuhnya kerana masih mempunyai ciri-ciri autoritarian.
Di Malaysia, pemimpin ini tidak lain tidak bukan ialah Anwar, yang telah membuktikan kelayakan liberalnya dan dibuktikan lagi oleh dakwaan jenayah yang dilihat ramai sebagai selektif dan bermotif politik.
Walau bagaimanapun, ini dijelaskan oleh haluan yang diambil oleh Najib sejak mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan.
Najib bergerak semakin dekat kepada dasar ekonomi neoliberal, semakin liberal dari sudut sosial dan semakin terbuka dalam banyak hal, antaranya melibatkan syarikat milik negara Petronas yang semakin inklusif dalam pengambilan kakitangannya.
Di bawah Najib, satu gerakan moderat dilahirkan, dan wasatiyah, satu tafsiran liberal yang diberikan wajah Islam, dijadikan satu agenda penting pemerintah.
Sejak 2009, tahun Najib menjawat jawatan perdana menteri, haluan ke arah yang lebih liberal telah dapat diperhatikan melalui slogan 1 Malaysia.
Persaingan Najib dengan Anwar untuk dilihat sebagai mewakili ideal liberal mendorong Najib bergerak dengan lebih agresif memunculkan imej-imej liberal.
Najib melaksanakan pendekatan liberal dalam parti dan pemerintahan, sehingga mendapat tentangan dan kritikan keras kelompok konservatif dalam parti, yang paling utama bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Lawatan Obama ke Kuala Lumpur, seperti yang dinilai pemerhati, sememangnya satu pengiktirafan terhadap haluan liberal yang diambil Najib.
Walaupun kepentingan geopolitik, ekonomi dan perdagangan menjadi faktor penting dalam realiti kebangkitan Asia dan kuasa-kuasa sedang muncul hari ini, pengiktirafan AS berhubung haluan liberal Najib juga satu faktor yang penting.
Dengan munculnya Najib yang membawa pendekatan lebih liberal, Anwar dan kelompok masyarakat sivil tidak menjadi sepenting, misalnya, sekiranya Najib meneruskan pendekatan konservatif yang didesak oleh Mahathir.
Keperluan AS untuk menunjukkan sokongan kuat kepada kelompok liberal di Malaysia kelihatan tidak sekuat yang sepatutnya ditunjukkan oleh kuasa besar itu.
Sokongan Obama kepada kelompok liberal dan pendekatan lebih inklusif kelihatan lebih bersifat simbolik dan mungkin, sekadar untuk tidak mengecewakan lagi kelompok ini.
Obama jelas sekali mengimbangi kedua-dua pihak ini, tetapi Najib kelihatan lebih berjaya berbanding kelompok liberal yang bertentangan dengan pemerintah, tambahan pula, Najib sedang berkuasa dan mampu memberi kesan yang dikehendaki.
Pada masa sama, AS juga berkepentingan untuk Najib meneruskan dan meningkatkan apa yang telah dicapai selama ini, menyedari yang Najib amat berkehendakkan perhatian dan pengiktirafan daripada Obama.
Washington mempunyai agenda dasar luar yang penting di rantau Asia-Pasifik, dan penyertaan Malaysia diperlukan untuk menyokong dan menggerakkan agenda ini.
Kepentingan-kepentingan seperti perjanjian perdagangan bebas Trans-Pasifik, kesepakatan politik menghadapi kebangkitan China dan menangani militan di rantau ini memerlukan sokongan sekutu-sekutu, dan ini menjadikan Najib penting kepada Washington. - Mei 6, 2014
No comments:
Post a Comment