Hampir 15 tahun lalu di bandar Shanghai, China, enam negara terdiri daripada China, Rusia dan empat negara Asia Tengah menyepakati penubuhan Pertubuhan Kerjasama Shanghai, sebuah organisasi serantau yang menyaksikan pakatan lebih rapat Moskow dan Beijing, serta negara-negara utama Asia Tengah.
SCO menjadi penanda kesepakatan Beijing-Moskow, yang sejak awal 2000-an mula merapatkan agenda mengimbangi dominasi Amerika Syarikat, terutama di Asia Tengah dan kawasan sekitar, tetapi tidak terkecuali juga rantau lain.
Sejak itu, hubungan kedua-dua China dan Rusia dan pelbagai agenda bersama mengalami turun naik, dan gembar-gembur awal kebangkitan China-Rusia dan SCO mula kelihatan terlalu diperbesar-besarkan.
Tetapi, hubungan rapat dan kerjasama China dan Rusia terus berjalan, walaupun dengan tahap yang berbeza-beza dan tidak semestinya secara bersama, melibatkan usaha melawan dominasi AS dari sudut politik, ketenteraan dan urus tadbir ekonomi-kewangan global, agenda yang dikongsi oleh kedua-dua Beijing dan Moskow.
Kedua-dua negara juga bersama dalam kumpulan negara dikenali BRICS - Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan - yang juga mempunyai ide tersendiri dalam menolak aturan dikuasai AS melibatkan urus tadbir ekonomi global.
Rabu, 21 Mei lalu di Shanghai, China dan Rusia akhirnya menunjukkan satu hasil kesepakatan kedua-dua negara selama lebih sedekad lalu, apabila menandatangani perjanjian perdagangan gas bernilai AS$400 bilion, untuk tempoh 30 tahun.
Presiden Rusia Vladimir Putin dan Presiden China Xi Jinping yang menyaksikan kesimpulan perjanjian itu melibatkan Gazprom dengan Perbadanan Petroleum Nasional China, menyampaikan mesej yang paling jelas setakat ini berhubung haluan dan kerjasama kedua-dua negara.
Perjanjian ini, yang terbesar untuk syarikat Rusia Gazprom, melibatkan pembinaan infrastruktur bernilai sekitar AS$30 bilion, termasuk melibatkan pelaburan China untuk membina saluran paip untuk mengimport bekalan gas Rusia.
Pencapaian besar melibatkan perjanjian ini ialah disebabkan tempoh 10 tahun yang diambil untuk rundingan, dan penyelesaiannya pada masa ini menunjukkan kesediaan kedua-dua kuasa dunia itu berkompromi dan sedia memulakan kerjasama, selepas turun naik hubungan dan tarik tali selama 10 tahun.
Dicapai menyusuli konflik di Ukraine dan peningkatan hubungan AS dengan sekutu-sekutu yang terlibat dengan pertikaian wilayah perairan dengan China, perjanjian ini bakal merapatkan lagi hubungan kedua-dua kuasa, disebabkan komponen geopolitik melibatkan orde baharu dunia yang terlibat dalam persetujuan ini.
Hubungan China-Rusia yang semakin kukuh kali ini berbeza dengan gembar-gembur SCO 15 tahun lalu, kerana iltizam yang jauh berbeza kedua-dua kuasa besar ini pada masa ini, dan realiti orde dunia yang semakin berubah.
Kedua-dua Beijing dan Moskow berada dalam keadaan yang jauh lebih bersedia dan mampu untuk menangani langkah-langkah peminggiran oleh AS dan sekutu, malah, kedua-duanya, terutama Rusia, semakin kekurangan pilihan dalam hal ini.
Dari sudut ekonomi politik, Rusia mendapat pasaran baharu yang besar melalui perjanjian ini, yang mampu menyelamatkannya sekiranya Eropah - pelanggan utama gas Rusia - mengurangkan import gas dari Rusia secara mendadak, ekoran usaha Barat meminggirkan Rusia akibat kes Ukraine. Eropah masih pembeli utama gas Rusia dalam jumlah yang sangat besar.
China pula memperolehi bekalan gas yang lebih murah, dan berupaya meningkatkan pengaruhnya terhadap Rusia. Kedua-dua negara juga dapat merapatkan integrasi ekonomi, yang dapat membantu berdepan usaha peminggiran oleh Barat. China bakal membayar dalam matawangnya sendiri dalam beberapa projek infrastruktur dengan Rusia, menambahkan keupayaan yuan menjadi mata wang antarabangsa dan mengelakkan tindakan Barat.
Perjanjian ini menunjukkan dengan semakin jelas pendirian Beijing-Moskow dalam politik global, melibatkan hubungan kedua-dua kuasa dengan Barat, dan paling utama, pembentukan satu orde dan norma baharu bagi menyaingi kuasa AS, menuju kepada dunia pasca-Amerika. - Mei 22, 2014
No comments:
Post a Comment