Oleh HARIS ZALKAPLI
Zbigniew Brzezinski, dalam bukunya diterbitkan pada tahun 1997, The Grand Chessboard: American Primacy and It's Geostrategic Imperatives, menulis, "Senario yang paling merbahaya yang berpotensi muncul ialah gabungan besar China, Rusia dan mungkin Iran, satu gabungan 'antihegemoni' yang disatukan bukan oleh ideologi tetapi ketidakpuasan hati bersama."
Situasi ini sedang dihadapi Amerika Syarikat pada hari ini, walaupun pakatan China-Rusia-Iran ini amat kurang kohesif dan bersatu lebih pada penentangan. Tetapi, kedua-dua China dan Rusia memiliki pandangan alam tersendiri masing-masing, dan tidak sehaluan dengan orde dunia liberal yang dibawa oleh AS dan Barat.
Lawatan Presiden AS Barack Obama ke empat negara Asia-Pasifik hujung minggu lalu dengan jelas menunjukkan agenda menangani kebangkitan China, yang semakin kukuh sebagai kuasa ekonomi dunia, walaupun sangat bergantung pada modal dan pasaran Barat.
Pencapaian terbesar lawatan, melibatkan perjanjian yang memberikan AS pangkalan di Filipina, menunjukkan kepentingan agenda menangani perluasan kuasa China ini. Perjanjian ini didorong kuat oleh tindakan China di perairan dipertikaian sejak kebelakangan ini, sehingga menyebabkan Filipina melihat tidak ada pilihan selain merapatkan kerjasama ketenteraan dengan AS.
Walaupun lebih disibukkan dengan perkembangan di Asia Barat dan Asia Selatan sejak imbangan semula ke Pasifik diumumkan, perkembangan dalam dasar luar melibatkan mengekang China telah menjadi bahagian penting pemikiran AS sejak Presiden George W Bush.
Pada masa sama, Washington juga berdepan Rusia yang semakin asertif dan agresif, yang kemuncaknya telah ditunjukkan dalam perang dengan Georgia pada 2008, yang jelas merupakan satu perang antara dua negara, sesuatu yang mengejutkan masyarakat antarabangsa.
Tahun ini, di bawah Presiden Vladimir Putin, Rusia menakluk semula Crimea dan semakin menguasai wilayah timur Ukraine, menampakkan lagi yang AS kini terpaksa berdepan Rusia yang sedang pantas bangkit semula dan menyusun semula wilayah bekas Soviet.
Di Asia Tengah, kedua-dua Moskow dan Beijing menjalankan agenda anti-AS dengan berkesan, dengan negara-negara serantau walaupun berusaha mengimbangi AS, Rusia dan China, tetap menyedari hakikat kedudukan geografi yang menetapkan kuasa Rusia dan China yang tidak boleh ditolak.
Moskow juga mengukuhkan lagi pakatan dengan negara-negara bekas Soviet, dan telah merapatkan pertubuhan keselamatan kolektif yang dikuasainya, Pertubuhan Perjanjian Keselamatan Kolektif, CSTO - yang sebelum ini berusaha untuk mendapatkan kerjasama dengan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara, Nato - dengan Pertubuhan Kerjasama Shanghai, SCO, yang dikuasai Beijing.
Rusia juga menunjukkan perbezaan ideologi yang jelas, menolak nilai-nilai liberal yang diperjuangkan AS. Sejak beberapa tahun lalu, Moskow menunjukkan penolakan terhadap nilai-nilai Barat, dan menampakkan kecenderungan kepada satu pandangan yang dipengaruhi agama Kristian Ortodoks dan visi untuk mengambil haluan berbeza dengan Barat berdasarkan identiti Rusia yang unik.
Haluan dasar luar di bawah Putin kini semakin menampakkan perbezaan dengan AS, dan kelihatan semakin menyukarkan sebarang usaha pemulihan, ditambah dengan tindakan sekatan oleh Barat.
Perkembangan di Crimea menyempurnakan penentangan Rusia terhadap agenda AS yang bermula dengan konflik di Syria, sebuah sekutu Moskow dan juga Tehran. Rusia telah mula menegaskan tentang satu orde dunia yang berbeza dengan pegangan AS sejak bermula kekacauan di Syria, menunjukkan selain kepentingan geopolitik, wujud faktor perbezaan pandangan berhubung orde dunia dalam membentuk tindakan Rusia.
Di Asia-Pasifik, cabaran China dan kebangkitan maritimnya sedang merancakkan perkembangan di rantau ini dan semakin memungkinkan konflik bersenjata ekoran tindakannya mencabar negara-negara yang terlibat dalam pertikaian, walaupun kemungkinan besar bukan dalam masa terdekat ini.
China sedang menyaingi dunia maju dalam perdagangan, dan semakin menyamai AS dari sudut keupayaan ketenteraan terutama sebagai kuasa maritim di wilayah Asia-Pasifik.
Perkembangan ini dijelaskan lagi oleh satu kajian Institut Kajian Keamanan Antarabangsa Stockholm, SIPRI, yang mendapati perbelanjaan ketenteraan rantau Asia meningkat, pada masa rantau lain menyaksikan penurunan, dengan peningkatan 3.6 peratus tahun 2013.
China, yang sedang pesat membangunkan kuasa ketenteraan, meningkatkan perbelanjaan sebanyak 12.2 peratus tahun ini, kepada AS$132 bilion.
Tahun lalu, China dilaporkan telah memulakan pembinaan 17 kapal perang baharu, dan pada 2012 memulakan operasi kapal pengangkut pesawat. Dalam tempoh sekitar 10 tahun, dua lagi kapal pengangkut pesawat akan dimiliki, dan menjelang tahun 2020, China dijangka memiliki 78 buah kapal selam.
Pengkaji geopolitik, Robert Kaplan dalam buku terbaharunya Asia's Cauldron: The South China Sea and the End of a Stable Pacific menulis: "Tentera Laut AS kini mendominasi Laut China Selatan. Tetapi situasi ini akan berubah. Saiz Tentera Laut AS telah merosot daripada hampir 600 buah kapal perang semasa era Reagan, kepada pertengahan 300 semasa era Clinton, kepada kurang daripada 300 sekarang."
Jumlah ini, menurut Kaplan, bakal merosot lagi menjelang 2020 disebabkan banyak faktor termasuk pengurangan belanjawan, pada masa sama China meningkatkan keupayaan spesifik seperti kapal selam dan teknologi peluru berpandu.
Dalam ekonomi dan perdagangan, Beijing juga mempunyai visi yang bertentangan dengan Washington, seperti melibatkan peranan antarabangsa matawang yuan dan penguasaan AS dalam institusi urus tadbir ekonomi global seperti Dana Kewangan Antarabangsa, IMF.
China, Rusia dan tiga negara lain; Brazil, India dan Afrika Selatan - dikenali dengan singkatan BRICS - telah mula membayangkan penubuhan bank pembangunan BRICS, yang berpotensi menyaingi peranan yang selama ini dikuasai oleh Bank Dunia dan IMF.
Menteri Kewangan Afrika Selatan, Pravin Gordhan dilapor berkata persediaan ke arah itu akan diselesaikan menjelang sidang kemuncak BRICS pada Julai nanti.
Hasil dan kesan institusi baharu ini tentu sekali masih terlalu awal untuk dinilai, tetapi menunjukkan ada satu usaha yang jelas ke arah mengubah imbangan kuasa dan mencabar konsensus Washington. Malah, China telah pun memainkan peranan seperti IMF di negara seperti Kemboja, dan semakin meningkatkan penguasaan di Afrika.
Perkembangan ini terus mendatangkan cabaran yang besar kepada AS, dan menunjukkan tanda-tanda dunia yang sedang menuju era pasca-Amerika, era kemunculan dan pengukuhan kuasa-kuasa lain, yang bakal memaksa Washington berkongsi kuasa dalam menentukan orde global.
Perkembangan ini walau bagaimanapun ada turun naiknya, dan tidak bermakna trajektori meningkat kuasa-kuasa baharu akan pasti terus meningkat. Banyak faktor akan mempengaruhi peningkatan kuasa negara-negara sedang meningkat itu, dan pada masa sama, kuasa ketenteraan AS masih yang terkuat di seluruh dunia termasuk di Laut China Selatan. - Mei 2, 2014
No comments:
Post a Comment