Sunday, December 22, 2013

Kebangkitan Arab: Antara demokrasi, perubahan dan kesinambungan


Pada Disember 2010, peristiwa yang disifatkan permulaan gelombang kebangkitan menuntut demokrasi bermula di dunia Arab, di Tunisia.

Secara mudah, siri protes di negara-negara Asia Barat dan Afrika Utara itu disifatkan sebagai proses pendemokrasian yang baik untuk kesejahteraan warga dunia Arab.

Demokrasi dijadikan kata kunci utama dalam perbincangan mengenai kebangkitan Arab, dan Tunisia diterima sebagai titik mulanya.

Kini, selepas tiga tahun, perbincangan tentang kebangkitan Arab memerlukan perhatian yang lebih luas daripada sekadar demokrasi dan menuntut penilaian yang lebih kritikal.

Tulisan di bawah ini, yang ditulis pada Januari tahun ini, menimbulkan persoalan-persoalan berhubung konsensus yang diterima apabila membincangkan kebangkitan Arab, dan menekankan perhatian lebih pada perubahan dan kesinambungan dalam perkembangan ini.  

Kebangkitan Arab: Demokrasi, perubahan dan kesinambungan
Oleh HARIS ZALKAPLI

Dunia Arab yang meliputi Asia Barat dan Afrika Utara menjadi perhatian dunia sejak tercetus kebangkitan yang menjatuhkan pemerintah di Tunisia, yang disebut sebagai permulaan peristiwa besar dinamakan “Arab spring.”

Dua hal di sini ditetapkan dan diterima ramai; iaitu kebangkitan bermula di Tunisia, dan diletakkan di bawah tajuk besar satu kebangkitan baharu dalam politik dunia.

Hakikatnya, Tunisia boleh dianggap permulaan satu gelombang baharu kebangkitan di dunia Arab, tetapi sebelum Tunisia, kebangkitan telah berlaku di Yaman pada 2009, dalam pertembungan terbaharu pemberontak Houthi di utara dengan kerajaan, dan di Bahrain, melibatkan warga yang majoritinya beraliran Islam Syiah.


Kebangkitan di dunia Arab telah berlaku banyak kali sebelum Disember 2010 di Tunisia, yang tiba-tiba mendapat perhatian khusus media Barat dan dunia dan dijadikan satu permulaan episod baharu warga dunia Arab menuntut demokrasi dan kebebasan.

Bahrain kini menjadi satu kisah kebangkitan yang gagal, akibat ditekan hebat oleh pemerintah monarki negara itu dan kuasa serantau Arab Saudi, yang turut menghantar tentera untuk membantu rejim mematahkan protes rakyat.

Protes di Bahrain, yang menerima tekanan kuat dan tindakan keras pemerintah kini tenggelam daripada perhatian dunia dan juga umat Muslim sedunia yang secara umumnya berminat memerhatikan perubahan yang sedang melanda dunia Islam di rantau Asia Barat dan Afrika Utara.

Apa yang menarik di sini ialah sekiranya berlaku perubahan pemerintahan di Bahrain, perubahan yang berlaku itu berpotensi menjadi perubahan yang paling besar, melibatkan perubahan sistem dan bukan sekadar perubahan pemimpin seperti yang berlaku di Tunisia dan Mesir, dua kes perubahan yang paling menarik minat dan dijadikan contoh perubahan di dunia Arab.

Lebih memburukkan keadaan, kebangkitan di Bahrain dan di negara-negara monarki Arab Teluk Parsi diberikan wajah sektarian oleh pemerintah monarki terbabit, dengan menuding kepada pengaruh asing dari Iran.

Elemen Syiah dan pengaruh Iran dijadikan isu yang utama, mencetuskan sentimen sektarian di dalam negara terbabit dan juga mempengaruhi pemerhati dari luar dalam kalangan sesetengah umat Muslim.

Permainan politik monarki Arab itu terlepas daripada pandangan dan penilaian kritikal banyak pihak, lebih-lebih lagi akibat sentimen yang sudah terbina dan perhatian yang dihalakan ke Syria, yang bertentangan dengan Bahrain yang majoriti Syiah tetapi berpemerintah Sunni, dikuasai pemerintah daripada sekte minoriti dengan majoriti penduduk beraliran Sunni.

Kebangkitan di Bahrain terus tenggelam daripada pemerhatian umat Muslim pada masa ini, ekoran pertembungan yang lebih rancak di Syria dan seluruh wilayah Syam, tempat terletaknya Palestin yang melibatkan isu sentral dunia Islam.

Kebangkitan di Bahrain yang terkini, bermula pada 2010 itu tidak berakhir dan diteruskan setelah episod yang dinamakan kebangkitan Arab itu bermula.

Kini, selepas lebih dua tahun gelombang dinamakan “Arab spring” itu berlangsung, Bahrain terus tenggelam, ditenggelamkan sentimen sektarian dan perhatian media yang jauh lebih kecil berbanding kisah di Syria.

Pengalaman menuntut demokrasi dan kejayaan yang bermakna juga tidak bermula dengan Tunisia, seperti yang mungkin tergambar hasil wacana yang berleluasa pada masa kini.

Pada 2006, Hamas, kumpulan Islam yang dilabel teroris oleh Barat memenangi pilihan raya parlimen di Palestin berdepan dengan Fatah, kumpulan sekular yang didukungi Barat.

Peristiwa ini, selepas episod kemenangan kumpulan Islam di Algeria pada pilihan raya 1991, menunjukkan pengalaman demokrasi yang tidak asing kepada dunia Arab, tetapi berdepan halangan termasuk akibat tidak sehaluan dengan kuasa-kuasa Barat.

Peristiwa-peristiwa itu tidak diletakkan di bawah tajuk demokrasi yang sewajarnya, dan tidak disambut seperti kebangkitan terkini yang bermula di Tunisia, tetapi masih berada di bawah tajuk “ancaman Islamis” dan sama ada Islam dan demokrasi itu selari, yang sering kali bermaksud adakah Islamis akan mengancam nilai-nilai demokratik dan mencabulhak asasi manusia.

Di Iraq pula, yang dinamakan sesetengah pemerhati sebagai “Arab spring” pertama, pada Januari 2005 menyaksikan pilihan raya pertama pasca-Saddam Hussein, yang hasilnya meletakkan kepimpinan baharu yang jauh berbeza komposisinya, melibatkan aliran ideologi politik dan sekte agama.

Tetapi, episod ini juga dilihat dari sisi sektarian dan bukan kebangkitan menuntut demokrasi. Pemimpin Jordan, Raja Abdullah dalam satu wawancara dengan akhbar Washington Post memberi amaran tentang ancaman pengaruh Iran yang bakal diberi ruang besar hasil pilihan raya itu.

Abdullah memberi amaran tentang kewujudan kawasan di bawah pengaruh Iran yang dinamakan bulan sabit Syiah, meliputi kawasan berbentuk seperti bulan sabit dari Syam (Lubnan, Syria) hingga ke Teluk Parsi.

Amaran ini telah membentuk dan mempengaruhi wacana berhubung hubungan Sunni-Syiah dan pengaruh Iran, mempengaruhi sikap rejim-rejim Arab, Israel dan kuasa-kuasa Barat.

Perkembangan melibatkan Syria, Hamas dan hubungan Arab dengan Iran pada masa ini mendapat sumbangan besar daripada wacana yang diperkukuhkan oleh amaran Raja Abdullah pada Disember 2004 itu.

Wacana yang meletakkan kebangkitan bermula di Tunisia sebagai satu permulaan baharu dalam politik dunia juga mengabaikan kebangkitan-kebangkitan di Asia Tengah dan Kaukasus yang bermula sejak hujung 2003.

Bermula di Georgia pada 2003, Ukraine pada 2004-2005 dan Kyrgyzstan pada 2005, mood kebangkitan dan protes telah bermula, dan menjadi satu ciri politik terkini.

Pada masa sama, Amerika Syarikat juga meningkatkan kempen penyebaran demokrasi di seluruh dunia, melalui usaha bersepadu kerajaan dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan yang menyediakan program latihan dan pendidikan hal-hal berkaitan demokrasi dan hak asasi manusia.

Usaha penyebaran demokrasi ini menyumbang satu bahagian besar kepada kebangkitan yang disaksikan di seluruh dunia, termasuk di dunia Arab.

Ini menjelaskan bahawa kebangkitan itu terhasil daripada banyak faktor dan bukan berlaku dengan berasaskan kesedaran yang datang tiba-tiba, walaupun tidak dapat dinafikan penyertaan sebahagian besar massa hanya tercetus selepas protes bermula.

Malah, pada 2010, berlaku satu lagi kebangkitan yang mengubah pemerintah di Kyrgyzstan, menjadikan dekad yang lalu dipenuhi kisah kebangkitan rakyat, yang sering disebut dengan takrif popular revolusi.

Tanpa menafikan kepentingan kebangkitan Arab dalam mencetus dan meningkatkan mood perubahan, protes dan kebangkitan di dunia Arab tidak boleh dilihat secara terpisah daripada trend kebangkitan di seluruh dunia, yang tercetus hasil kesedaran politik yang semakin meningkat dan berleluasa.

Selepas lebih dua tahun berlalu, janji-janji perubahan yang muncul pada peringkat awal kebangkitan juga perlu dinilai dengan lebih mendalam.

Sebarang perubahan politik yang dramatik dan emotif pasti akan mencetuskan sekali harapan-harapan besar, seperti disaksikan di Tunisia dan Mesir terutamanya.

Tunisia ialah negara Rachid Ghannouchi, pemikir Muslim yang popular dalam kalangan ahli gerakan Islam. Begitu juga Mesir yang menjadi medan Ikhwan al-Muslimin dan Dr Yusuf al-Qaradawi.

Kedua-duanya diharapkan oleh gerakan Islam, sekurang-kurangnya di negara kita, untuk memainkan peranan yang lebih dalam pemerintahan negara masing-masing selepas berlaku perubahan.

Kini, kelihatan harapan yang diletakkan pada mereka terlalu besar, dan telah melampaui jangkaan-jangkaan realistik, melibatkan pentadbiran, pembinaan negara dan juga hal ehwal hubungan luar.

Malah sehingga kini, banyak komentar dan pemerhatian terhadap perkembangan di dunia Arab mengabaikan pemerhatian lebih teliti terhadap perubahan dan kesinambungan.

Jangkaan dan bacaan salah ini sehingga mencetuskan dakwaan kebangkitan Islam secara berlebihan, sehingga ada yang mengaitkan pemerintahan baharu di Mesir dengan kebangkitan semula khalifah Islam.

Kes Mesir ialah yang paling mudah untuk menjelaskan pemerhatian berhubung perubahan dan kesinambungan selepas kebangkitan yang mengubah pemerintah.

Antara isu utama yang diperhatikan dalam hal ini ialah hubungan negara-negara terbabit dengan Israel.

Satu kesilapan dalam hal ini ialah menjangka perubahan akan berlaku dengan segera dalam hal hubungan dengan Israel dan Barat, dan juga sama ada perubahan boleh berlaku.

Pemerintahan oleh Mohammad Morsi daripada Parti Kebebasan dan Keadilan yang berkait dengan Ikhwan hakikatnya tidak membawa haluan baharu yang fundamental.

Pemerintahan pasca-Mubarak dijangka membina hubungan lebih rapat dengan Hamas, membantu Gaza berdepan tekanan dan kepungan Israel.

Tetapi kepentingan nasional terbukti terlalu kuat untuk diabaikan, termasuk oleh pemerintahan daripada gerakan Islam.

Setakat ini belum dapat dilihat tindakan tegas dan jelas daripada kerajaan Morsi yang menunjukkan perubahan besar dalam hubungan dengan Israel.

Kaherah telah menghantar duta baharu ke Israel, meneruskan hubungan Mesir dengan Israel seperti biasa, walaupun tidak dinafikan kemungkinan sikap kritikal terhadap Israel dalam kalangan pemerintah baharu.

Pentadbiran Morsi telah memanggil pulang duta dari Israel ekoran serangan tentera Zionis ke atas Gaza pada November 2012, tetapi hal yang sama juga dilakukan pentadbiran Hosni Mubarak ekoran serangan ke atas Gaza pada Disember 2008 hingga Januari 2009.

Hal yang sama juga dapat diperhatikan pada tindakan Turki, ekoran serangan ke atas kapal bantuan Mavi Marmara pada 2010, yang menjelaskan tentang perubahan dan kelangsungan.

Hubungan Turki dengan Israel terjejas, dan mendapat sorakan ramai umat Muslim pada masa itu, yang mengangkat Turki dan Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan sebagai wira umat.

Tetapi pemerhatian terhadap Turki dalam hal hubungannya dengan Israel semakin kurang mendapat perhatian selepas lama peristiwa itu berlalu.

Sejarah sebenarnya telah menunjukkan hubungan baik Turki di bawah Parti Keadilan dan Pembangunan dengan Israel, dan kemerosotan hubungan kedua-dua pihak pernah berlaku semasa pemerintahan tentera, yang mempunyai hubungan lebih baik dengan Israel dan Barat. 

Isu berkaitan Palestin dan Israel sememangnya mampu mencetuskan emosi dan sentimen, yang berdasarkan sejarah, sering kali hanya bersifat bermusim, iaitu sekitar masa serangan berlaku.

Kesimpulannya, kebangkitan Arab perlu dilihat dengan lebih mendalam dari sudut perubahan dan kesinambungan, supaya dapat melihat dengan lebih jelas dan tepat tentang kesannya, dan mendapat penilaian yang lebih adil dan bukan dikuasai sentimen.

Konsensus media, sama ada Barat atau Islamis, mempunyai kecenderungan masing-masing, memperbesarkan sesetengah hal dan memperkecilkan hal-hal lain menurut ideologi dan kecenderungan masing-masing.

Banyak peristiwa perubahan politik di seluruh dunia, yang sesetengahnya belum lagi lama berlalu dalam catatan sejarah, dapat memberi pengajaran berguna dalam usaha memahami perubahan yang berlaku.

Perubahan yang dramatik tidak bermakna berlaku pendemokrasian yang seiring, melainkan ada turun naiknya berdasarkan persaingan dalaman dan juga luaran melibatkan kuasa-kuasa serantau dan global.

Contoh seperti negara-negara bekas Soviet yang janji-janji revolusinya tidak tertunai seperti Georgia, Ukraine dan Kyrgyzstan perlu diambil kira sebagai pengajaran.

Ukraine menyaksikan pihak yang sama-sama berjuang dalam revolusi menjatuhkan rejim lama terlibat dalam persaingan dalaman hingga menjejaskan kerajaan yang terbina hasil kebangkitan rakyat itu.

Kyrgyzstan juga mengalami pengalaman yang sama, dengan kerajaan baharu terbukti gagal menunaikan janji dan bersikap sama dengan rejim lama yang dijatuhkan sebelum itu.

Perubahan yang segera dan dramatik jelas sekali satu perubahan memasuki fasa baharu, tetapi tidak bermakna semestinya proses demokrasi lebih mudah selepas itu.

Malaysia, yang sedang menyaksikan mood untuk perubahan yang membuak-buak, perlu melihat perubahan-perubahan di dunia Arab tersebut untuk mendapat pengajaran yang berguna berhubung perubahan dan kesinambungan.- Januari, 2013

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...