Oleh AMBROSE EVANS-PRITCHARD
Para
saintis Amerika Syarikat telah mendapat satu penemuan mengejutkan.
Pertanian di kawasan tanah rata sejak penghujung abad ke-19 telah
menyebabkan kemusnahan mikro organisma yang membantu memelihara
ekosistem kawasan itu.
Mereka tidak tahu apa sebenarnya yang dilakukan oleh bakteria tersebut.
Ini merupakan satu medan penyelidikan yang baharu.
Mereka juga tidak
tahu di manakah hadnya, dan bagaimana kemerosotan itu boleh dipulihkan.
Tidak ada sesiapa yang tahu sama ada hal yang sama berlaku di tempat
lain di dunia.
Satu pasukan di Universiti Colorado di bawah Noah Fierer menggunakan teknologi gen DNA untuk menguji "verrucomicrobia" di kawasan tanah rata. Kajian diterbitkan jurnal AS, Science,
mendapati pertanian telah "mengubah secara drastik" biologi kawasan
tanah tersebut.
"Tanah yang sekarang didapati di seluruh wilayah itu
sangat berbeza dengan keadaannya sebelum pertanian dimulakan," menurut
kesimpulan kajian itu.
Mungkin ada yang akan berkata hal ini telah diketahui, tetapi sebenarnya
tidak. Tidak pernah ada kajian seumpamanya pada skala yang sama. Prof
Fierer berkata manusia perlu berhati-hati. "Kita sebenarnya hanya tahu
sangat sedikit tentang salah satu tanah paling produktif di dunia,
tetapi kita tidak tahu yang mikro organisma tanah memainkan peranan
penting dan kita tidak boleh terus sekadar menambah baja," katanya.
Kajian Universiti Colorado itu telah mengejutkan dunia kajian tanah. Kajian ini diiringi analisis menyedarkan dalam jurnal Science
oleh para akademik di Universiti Witwatersrand, Afrika Selatan.
Mereka
bimbang yang kita mengulangi kesilapan tamadun-tamadun silam yang
mengeksploit tanah sehingga tidak dapat dipulihkan lagi, mencetuskan
kitaran ganas kebuluran dan akhirnya keruntuhan sosial.
Bertajuk Dust to Dust, kajian itu mengemukakan hujah bahawa
penghakisan kesuburan tanah selama ini dikaburi oleh khasiat yang
ditaburkan ke atas tanah, memberikan kita gambaran salah tentang
kesuburan tanah.
Menurut kajian itu lagi, 1 peratus daripada tanah
global merosot kualitinya setiap tahun, yang ditakrifkan dengan
penghakisan tanah lapisan atas sebanyak 70 peratus.
Apabila tanah lapisan atas merosot, kadar pemulihan semakin perlahan.
Bahan kimia boleh mengekalkan hasil yang tinggi buat sementara waktu
tetapi ekologi kompleks di bawah semakin merosot. Hasil pertanian telah
merosot sebanyak 8 peratus di seluruh Afrika.
Kajian ini mengajak
perubahan menyeluruh sebagai "satu-satunya haluan untuk terus dapat
menghasilkan makanan dan memastikan dunia dapat terus didiami."
Masalah degradasi tanah ini membimbangkan kerana populasi dunia akan
meningkat sebanyak lebih satu per empat kepada 9 bilion sebelum mencapai
puncaknya pada pertengahan abad akan datang.
Masalah ini juga muncul
pada masa China dan Asia yang semakin membangun bertukar ke pemakanan
protein haiwan, mengikut corak yang sama dilihat di Jepun dan Korea
semasa mereka menjadi semakin kaya. Umumnya, sekitar 4 hingga 8kg
bijirin makanan haiwan diperlukan untuk menghasilkan 1kg daging.
Prof Robert Scholes, salah seorang pengkaji, berkata ada kalanya
kerajaan yang bimbang mengambil keputusan sukar mengorbankan masa depan
untuk menyelamatkan rakyat yang kebuluran pada hari ini. "Kita sedang
menyaksikan pengurangan hutan besar-besaran di Afrika," katanya.
Banyak amaran telah dapat diperhatikan. Bahagian timur Madagascar telah
dimusnahkan oleh amalan tebang dan bakar, dan tidak dapat dipulihkan
lagi. Pendatang di Iceland mengubah kawasan hijau dan berhutan kepada
padang pasir pada abad ke-10. Kerosakan tanah itu masih tidak dapat
dipulihkan seribu tahun selepas itu, walaupun dengan jagaan rapi.
"Kita semakin kekurangan kawasan baharu pertanian untuk diteroka dan
kita tidak dapat membuat kesilapan lagi. Kita telah menggunakan segala
zat tanah dan bakal menyaksikan krisis makanan dalam 30 ke 40 tahun akan
datang. Kita menghadapi risiko terperangkap akibat perbuatan kita
sendiri. Kemungkinan kebuluran tidak boleh dinafikan," katanya.
Tamadun Sumeria yang bertani di Tigris dan Furat dimusnahkan oleh
penghakisan tanah dan penggunaan tanah secara berlebihan. Hikayat Gilgamesh menceritakan hutan cemara di Iraq yang musnah kerana ditebang untuk perdagangan balak pada 2,600 sebelum masihi.
Kisahnya biasanya hampir sama, sama ada melibatkan Maya di tanah rendah
di Amerika Tengah, atau Empayar Khmer di Angkor, atau Pulau Easter, yang
diceritakan oleh Jared Diamond dalam bukunya Collapse: How Societies Choose to Fail or Succeed.
Apabila pokok-pokok di tebing bukit ditebang, aliran air diganggu.
Akhirnya semakin sukar untuk menghasilkan makanan untuk penempatan yang
semakin padat. Masyarakat biasanya mahu mencari jalan pintas, dan
akhirnya tanah semakin kekurangan. Perubahan mendadak iklim pada masa
ini menambah buruk keadaan.
Konvensyen PBB untuk Memerangi Penggurunan (UNCCD) mengatakan permintaan
makanan dunia akan meningkat 50 peratus menjelang 2030. Ini memerlukan
sehingga 170 hingga 220 juta hektar tanah baharu.
Walau bagaimanapun
badan ini juga menjangka kemerosotan tanah akan mengurangkan pengeluaran
sebanyak 12 peratus dalam tempoh 25 tahun akan datang.
UNCCD mensasarkan satu kerjasama global untuk mencapai degradasi sifar
tanah pada 2015, sebahagian besarnya melalui penanama semula hutan.
Ketua bahagian alam sekitar badan ini, Veerle Venderweerde berkata
rancangan ini tidak berjalan lancar.
"Kita tahu bagaimana memulihkan
tanah yang mengalami degradasi. Hal ini tidak mustahil tetapi memerlukan
masa, wang, dedikasi dan keazaman politik, dan keazaman politik ini
yang sukar."
Tetapi ada juga kes yang memberi inspirasi. Yacouba Sawadogo,
menggunakan satu teknik lama menghentikan hakisan tanah di ladang
kecilnya di Burkina Faso. Beliau menanam semula 20 hektar hutan di
kawasan Sahel yang kering. Malangnya, pegawai tempatan kemudian merampas
tanahnya.
Menurut Venderveerde, syarikat-syarikat industri pertanian global
sekarang ini memasuki perbatasan baharu, menggunakan dan menjejaskan
tanah untuk mendapatkan untung segera, yang lebih mirip kepada
perlombongan berbanding pertanian.
"Mereka sepatutnya tidak boleh
datang, mengambil sumber dan kemudian pergi. Syarikat besar perlu
mengubah sikap mereka. Mereka tidak akan berubah melainkan dipaksa
berbuat demikian."
Pusat kajian Land Matrix Global Observatory menggabungkan lima pusat
kajian mendapati perlumbaan memperolehi tanah oleh pelabur tidak seteruk
yang disangka. Pelaburan Agri-SA di Congo didapati hanya 80,000 hektar,
dan bukan 10 juta seperti didakwa.
Mereka juga mendapati persetujuan melibatkan 48 juta hektar sedang
dirunding atau telah dicapai, sebesar saiz Sepanyol. Ini mungkin angka
yang diperkecilkan kerana syarikat-syarikat asing kini telah belajar dan
semakin berhati-hati ekoran kemarahan ramai di Afrika dan Amerika
Latin. Syarikat asing kini bekerjasama dengan syarikat tempatan.
Mereka mendapati pelabur utama datang dari AS, diikuti oleh Malaysia,
Emiriah Arab Bersatu, dan United Kingdom (kebanyakannya dana global di
London). China bukan pelabur besar, tetapi ini mungkin berubah selepas
persetujuan pada September melibatkan sewaan 5 peratus tanah di Ukraine
selama 50 tahun.
Sasaran utama ialah Papua New Guinea, lokasi salah satu hutan hujan
terakhir dunia, yang kini sebanyak satu pertiga dimiliki syarikat asing.
Ini diikuti oleh Indonesia, Sudan, Congo, dan Mozambique. Tidak ada
sesiapa yang memerhatikan hal ini.
Kebimbangan terhadap kebuluran telah berkurangan sejak peristiwa 2008
apabila harga jagung dan meningkat tiga kali ganda dalam tempoh tiga
tahun dan kekal tinggi, hingga membawa kepada rusuhan yang kemudian
membawa kepada kebangkitan Arab.
Menurut PBB, hasil yang banyak di AS,
Kanada, dan Ukraine telah meningkatkan pengeluaran bijirin dunia
sebanyak 8 peratus tahun ini, tetapi penggunaan meningkat kepada 3.5
peratus.
Stok bijirin global telah meningkat 13 peratus ke tahap yang agak
selamat, tetapi jumlah ini hanya meliputi 69 hari penggunaan global.
Stok pada tahun-tahun 1980-an dan 1990-an secara purata cukup untuk 107
hari.
Kita kini beroperasi dengan margin yang sangat tipis. Harga
makanan juga tidak kembali ke kadar sebelum ini. Indeks makanan
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu meningkat sebanyak 105 peratus sejak
sedekad lalu.
Kita telah kembali bersikap mengambil mudah. Hakikatnya ialah dunia
tidak mampu untuk terus kehilangan sehektar tanah setiap tahun, apatah
lagi 12 hektar. Ditambah dengan penemuan yang kita melakukan kemusnahan
yang lebih besar terhadap mikro organisma daripada yang kita sedari
sepatutnya menginsafkan. Kita terlalu banyak berdebat tentang pemanasan
global.
Krisis tanah global ini sepenuhnya akibat perbuatan manusia, dan semakin
menyukarkan kita pada masa ini. Perkembangan ini hanya boleh dipulihkan
sekiranya pemimpin-pemimpin dunia mengambil keputusan menanganinya. - Telegraph
No comments:
Post a Comment