Politik dunia Islam: 10 isu utama
10. Hukuman mati Abdul Kader Mullah dan krisis politik Bangladesh
Abdul Kader Mullah, bekas pemimpin Jamaat-e-Islami Bangladesh dijatuhi hukuman mati - selepas melalui proses yang kontroversi - setelah didapati bersalah oleh tribunal menyiasat jenayah semasa perang kemerdekaan Bangladesh pada 1971. Abdul Kader pada mulanya dijatuhi hukuman penjara seumur hidup, tetapi kemudian hukuman itu digantikan dengan gantung sampai mati. Semasa dan selepas dijatuhi hukuman, perhimpunan dan protes besar-besaran diadakan oleh kedua-dua pihak yang menyokong dan memprotes. Tribunal yang matlamat asalnya untuk mencari keadilan akhirnya didakwa menjadi senjata politik parti pemerintah. Protes terhadap proses yang didakwa selektif dan bermotif politik itu telah menyebabkan puluhan mati, dan mengheret kembali Bangladesh ke dalam krisis politik.
9. Pertembungan Erdogan-AKP dengan gerakan Gulen
Selepas beberapa tahun, perselisihan melibatkan Recep Tayyip Erdogan dan partinya Parti Keadilan dan Pembangunan, AKP, dengan Fethullah Gulen yang mengetuai gerakan antarabangsanya meletus secara terbuka. Imej Erdogan tercalar agak teruk akibat siasatan korupsi melibatkan pentadbirannya, sesuatu yang disifatkan perdana menteri popular itu sebagai satu konspirasi yang turut melibatkan pihak asing, merujuk kepada Gulen dan Amerika Syarikat, yang menjadi tempat tinggal tokoh itu. Gerakan Gulen yang berpengaruh telah menunjukkan kekuatannya, dan bakal memberi kesan kepada pilihan raya presiden pada 2014, pilihan raya yang Erdogan, sebelum episod ini tercetus, dijangka bertanding dan berpeluang besar untuk menang, dan mengukuhkan lagi kuasanya di Turki.
8. Rundingan Iran-Amerika Syarikat dan kuasa-kuasa Barat
Iran menerima pemimpin baharu tahun ini, Presiden Hassan Rouhani yang disifatkan sebagai lebih liberal berbanding pemimpin sebelumnya, Mahmoud Ahmadinejad. Rouhani menunjukkan perbezaan yang dijangka itu apabila memulakan dialog dengan AS dan kuasa-kuasa Barat berhubung isu nuklear, walaupun menerima tentangan daripada dalaman Iran sendiri. Rundingan masih di peringkat permulaan dan berdepan halangan, tetapi merupakan satu permulaan yang diperhatikan banyak pihak, terutama sekutu-sekutu pihak yang terbabit seperti Arab Saudi, monarki Arab di Teluk Parsi dan Israel, sekutu-sekutu utama AS di dunia Arab yang bakal berdepan kesannya sekiranya hubungan Iran-AS pulih dan mengubah dasar luar Washington dan Tehran, terutama berkaitan aliansi di Asia Barat.
7. Pencerobohan Israel di Palestin
Ekoran dasar baharu pemerintah Israel, warga Yahudi kini diberikan hak lebih luas untuk memasuki dan beribadat di kawasan Haram al-Sharif di Baitulmaqdis, sehingga mencetuskan ketegangan dan kekerasan. Dengan perlindungan pasukan keselamatan Israel, penganut-penganut Yahudi kini dapat memasuki dan menggunakan tempat ibadat Muslim dan mendapat perlindungan pasukan keselamatan Zionis. Tanpa mendapat liputan media antarabangsa, pencerobohan Zionis ke atas Palestin semakin meningkat hari demi hari, dan pada masa pihak berkuasa Palestin dan kumpulan politik utama Palestin semakin lemah disebabkan politik dalaman dan pelbagai perkembangan serantau. Satu undang-undang baharu juga dicadangkan untuk membolehkan Yahudi dan Muslim berkongsi kawasan ibadat di Haram al-Sharif.
6. Rampasan kuasa di Mesir
Selepas protes besar-besaran di bandar-bandar utama, pihak tentera akhirnya merampas kuasa daripada Presiden Mohammed Morsi, mencetuskan kekacauan dan suasana tidak stabil yang berterusan hingga ke hari ini. Gaza, wilayah Palestin dikuasai Hamas menjadi mangsa awal implikasi kejatuhan Ikhwan al-Muslimin di Mesir, apabila pihak yang diharapkan dapat membantu hilang kuasa, dan tindakan kepungan digiatkan semula oleh tentera. Ikhwan berdepan cabaran paling getir sejak perubahan politik pada awal 2011 ekoran perkembangan ini, dan telah dilabel sebagai sebuah pertubuhan teroris oleh pihak berkuasa. Mesir, negara yang mendapat tumpuan dunia ini juga sedang menyaksikan satu lagi perkembangan yang merancakkan perbincangan berhubung gerakan Islam dalam politik masa kini.
5. Serangan dron di Yaman, Pakistan dan Somalia
Serangan dron yang direkodkan menurun berbanding tahun sebelumnya - terutama tahun 2010 yang menyaksikan serangan terbanyak - tetapi semakin mendapat perhatian dan memberi kesan kepada hubungan AS dengan sekutu, terutama Pakistan yang kelihatan semakin tidak sehaluan dengan Washington dan menunjukkan sikap itu secara terbuka. Kritikan terhadap Presiden Barack Obama - dan juga dasar peperangan Washington - semakin meningkat disebabkan jumlah kematian orang awam yang besar, dan persoalan perundangan serangan tersebut. Operasi dron juga semakin menjadi isu yang memberi kesan kepada pengendalian peperangan oleh AS. Serangan terburuk di Yaman berlaku pada 12 Disember lalu, ke atas satu konvoi majlis perkahwinan, mengorbankan sehingga 17 nyawa yang sebahagian besarnya orang awam.
4. Rohingya di Burma
Kezaliman terhadap etnik Rohingya di Burma berterusan pada 2013 tanpa mendapat perhatian sewajarnya, dan menjadi mangsa percaturan politik dalaman akibat pendekatan berhati-hati tokoh yang diharap menjadi pejuang demokrasi, Aung San Suu Kyi. Akibat persaingan geopolitik antara China dan AS di Burma, pengabaian terhadap pencabulan hak asasi manusia terus berjalan seperti sebelum Burma dilihat sebagai memasuki fasa baharu menuju politik yang lebih demokratik. Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara, Asean, turut sama menunjukkan kelemahan apabila tidak mampu bertindak, malah tidak mengeluarkan kenyataan yang tegas terhadap kekejaman disokong rejim di Burma. Burma menjadi tuan rumah sukan antara Asean, Sukan Sea, tanpa sebarang insiden protes dan bantahan keras daripada negara-negara anggota Asean.
3. Campurtangan ketenteraan Perancis di Mali dan Republik Afrika Tengah
Tahun 2013 menjadi tahun aktif dasar luar Perancis apabila dua negara Afrika, Mali dan Republik Afrika Tengah menjadi medan operasi tentera negara Eropah itu. Perancis, bekas penjajah di banyak negara Afrika dan Asia Barat - termasuk Mali dan Republik Afrika Tengah - kembali menggiatkan dasar luar campurtangannya, sebelum ini di Libya dan kemudian ke Mali dan Republik Afrika Tengah. Campurtangan Perancis di Mali bermula pada Januari, dan di Republik Afrika Tengah pada penghujung November lalu, dengan satu alasannya menghalang konflik sektarian antara Kristian dan Muslim berterusan, tetapi kini didakwa menyebelahi kumpulan Kristian dalam konflik itu. Perkembangan ini menandakan peningkatan peranan Perancis di dunia Islam, pada masa bekas jajahannya di wilayah Syam, masih bergolak dan tidak lepas daripada perhatian Paris.
2. Keganasan sektarian di Iraq
Sentimen sektarian melibatkan Muslim Sunni dengan Syiah semakin meningkat di seluruh rantau Asia Barat, malah seluruh dunia, akibat pelbagai isu yang berakar daripada konflik di Syria. Iraq yang menjadi titik mula sentimen sektarian ini melalui tahun 2013 dengan mencatat jumlah korban keganasan politik yang sangat tinggi, jauh mengatasi tahun-tahun sebelumnya. Selain Syria, Iraq menjadi medan utama pertembungan antara mazhab di dunia Islam, melibatkan militan daripada kedua-dua kumpulan Sunni dan Syiah. Menurut kajian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, sebanyak 7,818 orang awam telah terkorban sepanjang 2013 di Iraq, berbanding 3,238 pada 2012. Mangsa utama ialah komuniti Syiah, yang sering dijadikan sasaran pada masa hari sambutan keagamaan. Keganasan di Iraq memberi petunjuk kepada peningkatan sentimen sektarianisme Sunni-Syiah, dan permainan politik kuasa-kuasa serantau.
1. Konflik Syria
Konflik Syria menjadi isu sentral dunia Islam akibat kedudukannya yang merupakan manifestasi dasar luar kuasa-kuasa serantau, dan kesan yang diberikan kepada rantau sekitar dan kepada kuasa-kuasa dunia. Negara jiran kepada Lubnan yang selama ini mempengaruhi negara kecil itu kini bergolak dan berdepan bencana kemanusiaan yang dahsyat, akibat kezaliman pemerintah dan tindakan kuasa-kuasa asing. Pada masa sama, kesan konflik telah menampakkan kesannya di Lubnan. Konflik Syria menemukan pemain-pemain utama dunia Islam - terutama Arab Saudi, Qatar, Iran dan Turki - dan kuasa-kuasa global - AS, Rusia - dan menguji hubungan antara negara, pada masa sama menunjukkan perubahan aturan kuasa global. - Disember 26, 2013
Pembetulan: Angka dalam tajuk Keganasan Sektarian di Iraq sebelum ini dinyatakan sebagai "lebih daripada 7,000 orang." Angka sebenar, melibatkan kematian orang awam menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, ialah 7,818. Pembetulan telah dilakukan dalam tulisan di atas.
No comments:
Post a Comment