Menurut
kajian oleh Unit Intelijen Ekonomis (EIU), Malaysia tersenarai sebagai
salah sebuah negara yang berisiko rendah untuk menghadapi protes hingga membawa kepada kekacauan sosial pada tahun 2014 nanti.
Malaysia menurut kajian itu, tersenarai bersama negara aman dan
stabil lain seperti Sweden, Finland, Jerman dan New Zealand, negara yang
jauh kurang menghadapi kompleksiti kepelbagaian berbanding Malaysia.
Laporan
ini mungkin melegakan bagi pihak parti pemerintah, yang baru lepas
melalui pilihan raya yang mencabar dan akan memasuki tempoh getir
berhubung hal ehwal ekonomi rakyat.
Bagi pihak yang mahu protes terus digiatkan bagi meningkatkan
tekanan ke atas pemerintah, laporan itu dinilai dengan sangat kritikal.
Walau
bagaimanapun, berdasarkan perkembangan terkini di dalam negara, masih
banyak yang boleh berubah, disebabkan ketidaktentuan yang menanti pada
tahun depan.
Pemerintah Barisan Nasional telah menjadi sasaran sentimen negatif
orang ramai dan pembangkang ekoran prospek kenaikan harga tol dan tarif
elektrik, yang menambahkan lagi kos kehidupan harian rakyat.
Selain kenaikan itu, kenaikan harga bahan bakar tidak lama dulu akan menampakkan lagi kesannya pada tahun 2014 nanti.
Perkembangan semasa mempunyai potensi untuk mengulangi suasana global tahun 2007-2008, ketika dunia dilanda kenaikan drastik harga beras dan bijirin lain melebihi 100 peratus hingga mencetuskan protes di banyak negara dan menggugat pemerintah.
Hal ini dipercayai menyumbang kepada prestasi buruk gabungan parti pemerintah BN dalam pilihan raya yang diadakan pada Mac 2008.
Semua ini dapat digunakan oleh penentang parti pemerintah untuk
menggerakkan protes dan menambahkan tekanan ke atas pemerintah, walaupun
pilihan raya umum - yang pasti diambil kira oleh pemerintah dalam
menguruskan kenaikan itu - telah berlalu.
Isu ekonomi sentiasa menjadi hal besar yang memberi kesan kepada
pemerintah, dan tahun 2014 nanti akan menjadi sangat mencabar kepada BN,
dalam keadaan ekonomi yang menyuburkan rasa tertekan dan tidak puas
hati dalam kalangan rakyat.
Pemerintah sentiasa menjadi pihak yang perlu memberikan jawapan
kepada rakyat apabila keadaan ekonomi buruk, dan sentiasa menjadi yang
awal menerima kesan rasa tidak puas hati itu.
Ini menjelaskan
tindakan segera pihak berkuasa terhadap aktivis yang terlibat dalam
protes harga barang menjelang tahun baru 2014 beberapa hari lagi.
Kedua-dua pihak pemerintah dan pembangkang kini menghadapi cabaran
menguruskan sentimen ini dalam persaingan mengekalkan dan merebut
sokongan rakyat dan menjadi pihak yang suaranya paling didengari.
Pihak
Pakatan Rakyat telah mula menggerakkan protes menentang cukai barangan
dan perkhidmatan yang bakal dilaksanakan, dan kumpulan-kumpulan lain
turut terlibat mengeksploit kemarahan untuk dihalakan kepada parti
pemerintah.
Ini semua meningkatkan kemungkinan tahun 2014 nanti akan menyaksikan
siri protes besar-besaran terhadap pemerintah BN, yang
dipertanggungjawabkan atas peningkatan kos hidup yang dirasai hari ini.
Lebih
memburukkan keadaan kepada BN, kenaikan harga seperti tol dan tarif
elektrik, dan GST yang akan menyusul, dikaitkan terus dengan dasar
pemerintah - terutama pemberian konsesi kepada syarikat-syarikat
pengendali lebuh raya - pada masa sama pemimpin-pemimpin dan ahli
keluarga dilihat masih meneruskan gaya hidup mewah.
Berkaitan kenaikan tol, hal ini mendedahkan dengan jelas kegagalan
BN menunaikan janji dalam manifesto pilihan raya umum lalu untuk
mengurangkan kadar tol antara bandar secara berperingkat.
Pada
masa sama, mood global juga memperlihatkan protes politik menjadi
sesuatu yang semakin menjadi pilihan ramai, sejak bermula protes
besar-besaran di dunia Arab lebih tiga tahun lalu.
Apa pun jangkaan yang dibuat, tahun 2014 nanti boleh dijangka
menjadi tahun yang mencabar kepada BN, yang bakal menghadapi kesan rasa
tertekan rakyat akibat kenaikan kos. - Disember 27, 2013
No comments:
Post a Comment