Oleh HARIS ZALKAPLI
Bencana
banjir sentiasa menjadi peristiwa besar negara kita setiap tahun, yang
biasanya terjadi pada musim yang sama dan cuma dibezakan oleh tahap
bencana tersebut.
Pengalaman berdepan banjir sepatutnya telah menyediakan kita untuk menangani dan menguruskan bencana tersebut.
Bencana
banjir, sejak kebelakangan ini kelihatan semakin dahsyat, ekoran
pelbagai faktor termasuk alam sekitar yang semakin banyak berubah.
Sebagai sebuah negara yang bencana alam utamanya ialah banjir,
Malaysia sewajarnya meningkatkan persediaan menghadapi kemungkinan
bencana ini berlaku pada bila-bila masa.
Pendidikan berkaitan
menangani bencana - yang tidak terhad kepada banjir - perlu disebarluas
melalui pelbagai cara, agar persediaan menghadapi bencana diambil
perhatian oleh semua.
Persediaan bukan sahaja perlu dilakukan oleh pihak berkuasa, tetapi
orang ramai juga perlu sentiasa memastikan persediaan yang munasabah
bagi menghadapi kemungkinan bencana alam.
Antara yang paling
mudah dilakukan ialah persediaan penyimpanan barangan paling asas,
seperti air minuman dan air bersih dalam botol, beras, dan makanan dalam
tin dan kering, antara keperluan paling utama.
Penyimpanan stok air bersih dan air minuman sewajarnya telah diberi
perhatian dan diamalkan, ekoran gangguan bekalan air yang agak biasa
dihadapi oleh penduduk di sesetengah kawasan seperti Lembah Kelang.
Amalan ini dapat membantu dalam senario-senario lain, kerana keputusan bekalan air hampir pasti mengiringi bencana alam lain.
Simpanan bahan-bahan ini perlu dipastikan dan mungkin ditingkatkan
semasa musim hujan, terutama bagi yang tinggal di kawasan dilanda banjir
atau yang berpotensi dilanda.
Terutamanya bagi mereka yang
terperangkap dan terputus hubungan, dan tidak perlu berpindah ke pusat
pemindahan, keperluan paling asas yang disimpan di dalam rumah, yang
sentiasa dipastikan mencukupi dapat membantu meringankan kesan bencana.
Keperluan lain ialah makanan dalam tin dan makanan kering (seperti
mee segera, makanan dipek yang hanya perlu dipanaskan) yang boleh
disimpan lama tanpa memerlukan peti sejuk.
Selain makanan, ubat-ubatan termasuk kit rawatan awal, lampu, bateri, dan sebagainya juga perlu sentiasa dipastikan ada.
Menurut panduan asas bencana, keperluan kit bekalan bencana ini
perlu mencukupi untuk tempoh 72 jam, tempoh yang biasanya diperlukan
untuk bantuan sampai.
Kit bekalan kecemasan ini juga boleh dilengkapi dengan keperluan lebih asas (kit yang juga dikenali sebagai go bag) yang boleh dibawa bagi yang perlu bergerak.
Dalam senario bencana tidak teruk dan tidak memerlukan pemindahan,
persediaan makanan dan keperluan asas yang munasabah dapat banyak
membantu.
Di pihak kerajaan dan pihak yang terbabit memberi
bantuan, pelan tindakan yang lebih terperinci dan dapat digerakkan
dengan segera mungkin perlu diberi lebih perhatian.
Perkara ini mungkin dapat dilakukan dan diselaras dengan lebih mudah
oleh pihak seperti PAS, yang mempunyai rangkaian dan ahli yang ramai
serta agak mudah dimobilisasi.
Pengalaman PAS, termasuk
pengalaman spesifik Jabatan Amal, perlu dimanfaatkan untuk membina satu
pelan tindakan yang lebih lengkap, meliputi masa sebelum, semasa dan
selepas bencana.
Persediaan ini dapat membantu mengurangkan masa respons terhadap
bencana, yang biasanya mengambil masa beberapa hari sebelum
bantuan-bantuan dari luar tiba dan diselaraskan.
Persediaan ini
juga, apabila dibuat secara lengkap, akan menyampaikan pengtahuan
tentang keperluan bencana kepada orang ramai yang tidak terlibat atau
tidak pernah terlibat dalam bencana alam.
Hal ini dapat membina sensitiviti mereka yang tidak terlibat dan memberi input tentang barangan yang paling perlu disumbangkan.
Pada
masa ini, banyak barangan keperluan termasuk air bersih, keperluan
wanita dan bayi agak kurang mendapat perhatian, dan sesetengah pihak
amat mudah memilih untuk memberikan pakaian pada masa keperluan lebih
utama masih belum dipenuhi.
Pengetahuan yang lebih tentang bencana alam seperti banjir juga akan
memberi kesedaran kepada orang ramai tentang keperluan pascabencana,
melibatkan pembersihan, pemulihan infrastruktur dan melibatkan mangsa
terbabit.
Selepas bencana, liputan media tidak seperti semasa bencana berlaku,
dan ini memberi gambaran kepada orang ramai yang masalah telah selesai.
Hal
ini menyebabkan orang ramai berhenti daripada menghulurkan bantuan,
sedangkan kesan bencana, termasuk kos kewangan memperbaiki kerosakan,
mengganti keperluan yang rosak atau hilang dan kesan tekanan kepada
mangsa terlibat masih belum berakhir, malah mungkin baru bermula.
Pelbagai pihak perlu memberikan perhatian yang lebih berbanding biasa kepada senario selepas bencana.
Bencana alam banjir yang berlaku saban tahun wajar menjadikan semua pihak, daripada kerajaan dan agensi-agensi yang berkaitan. Begitu juga dengan orang ramai sama ada terjejas atau tidak dengan bencana tersebut.
Kesedaran
terhadap persediaan bencana perlu ditingkatkan dalam kalangan orang
awam sehingga persediaan bencana diamalkan oleh semua supaya kesan buruk
daripada bencana lebih dapat ditangani dan dikurangkan.- Disember 6, 2013
No comments:
Post a Comment