Oleh HARIS ZALKAPLI
Satu
gambaran utama yang diberikan oleh perwakilan dalam pemilihan yang baru
lepas ialah pemilihan dua perkara penting; kelangsungan dan kestabilan,
yang berpotensi untuk meneruskan kerja-kerja yang telah dimulakan oleh
kepimpinan lama dan sedia ada.
Hal ini paling utama dapat diperhatikan pada pemilihan jawatan
timbalan dan naib presiden, ketua Dewan Muslimat dan sejumlah besar ahli
jawatankuasa peringkat pusat.
Dalam jawatankuasa pusat juga,
beberapa muka baharu yang dipilih telah mempunyai kehadiran peringkat
nasional sejak sekurang-kurangnya sepenggal lepas, seperti Idris
Ahmad, Nasrudin Hassan dan Nik Abduh Nik Abdul Aziz.
Faktor penting yang mendorong pembuatan keputusan oleh perwakilan
nampaknya ialah populariti dan wajah-wajah yang dikenali, walaupun
faktor pemilihan berdasarkan senarai kumpulan juga tidak boleh
dinafikan.
Penyandang sentiasa memiliki kelebihan, terutama timbalan presiden Mohamad Sabu yang telah berada di barisan kepimpinan
tertinggi dan bersama memimpin parti melalui siri protes utama disertai
PAS sejak 2007 dan melalui Pilihan Raya Umum ke-13, pilihan raya umum
pertama bagi Pakatan Rakyat.
Mohamad mendapat majoriti lebih besar pada pemilihan kali ini,
sebanyak 98 undi. Undi diperolehi Mohamad ialah sebanyak 588 undi,
berbanding 490 diperolehi Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
Walau
bagaimanapun, Mohamad dalam pemilihan pada 2011 mendapat 420 undi,
dengan dua lawannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Nasharuddin Mat Isa
masing-masing memperolehi 399 dan 224 undi. Mohamad hanya mendapat kelebihan undi sebanyak 21 undi berbanding saingan terdekatnya Tuan Ibrahim.
Kemenangan Mohamad pada masa
itu disebut sebagai disebabkan oleh perpecahan undian melibatkan Tuan
Ibrahim dan Nasharuddin, yang dilihat sebagai mewakili kelompok yang sama.
Di peringkat naib presiden, kehadiran nasional Tuan
Ibrahim - yang lama disebut-sebut hendak bertanding timbalan
presiden - dan tiga penyandang yang lain memberi kelebihan besar kepada
mereka, walaupun seorang terkeluar disebabkan kemasukan Tuan Ibrahim.
Salahuddin Ayub kekal sebagai naib presiden mendapat undi tertinggi
dengan 917 undi. Pada pemilihan 2011, Salahuddin mendapat undi tertinggi
sebanyak 753 undi, diikuti Datuk Husam Musa yang mendapat 660. Mahfuz
yang tidak terpilih kali ini mendapat undi terendah dalam pemilihan
lalu, dengan 616 undi.
Bekas ketua penerangan ini mengalami hal yang hampir sama dengan
Idris yang disebut-sebut akan bertanding jawatan naib presiden dan
dilihat ramai ahli sebagai layak menduduki salah satu kerusi itu. Beliau
memenangi undi terbanyak dalam kalangan ahli jawatankuasa, sebanyak
927, diikuti oleh Mazlan Aliman dengan 840 undi.
Keputusan undian ahli jawatankuasa menunjukkan kewujudan pemilihan
berdasarkan kumpulan, apabila calon-calon yang mewakili kelompok digelar Erdogan atau
"reformis," yang juga merupakan penyandang, mengekalkan kedudukan
masing-masing dengan jumlah undi selesa, walaupun faktor populariti dan kelebihan penyandang juga tidak dapat dinafikan menjadi faktor dipilih.
Calon-calon kumpulan agamawan dan konservatif, seperti Nasrudin, Nik
Abduh, Datuk Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh, dan Dr Riduan
Mohamad Nor juga dipilih ke jawatankuasa pusat dengan undi yang selesa.
Di
Dewan Pemuda, kemenangan Suhaizan Kaiat memperlihatkan kehendak
perubahan dalam kalangan ahli dan pada masa sama pemilihan wajah yang
dikenali, yang telah aktif di peringkat nasional dan dinilai sebagai
calon berpotensi untuk jawatan ketua Pemuda, yang bermula sejak
pemilihan yang lalu apabila beliau menjadi satu pilihan popular untuk
bertanding jawatan ketua dewan itu.
Pemilihan pemimpin-pemimpin yang popular, dan dinilai mampu
menjalankan tugas masing-masing, memperlihatkan kelangsungan masih
menjadi pilihan ahli walaupun beberapa tokoh kunci kem masing-masing
telah dipastikan dipilih.
Kemenangan Mohamad dan Suhaizan terutamanya, telah menafikan
spekulasi panjang menjelang pemilihan yang mendakwa kumpulan ulama akan
menguasai sepenuhnya, dan membuktikan ahli PAS mengambil kira banyak
faktor.
Dari satu sudut, kemenangan timbalan presiden mengekalkan kedudukan dan
kemenangan ketua Pemuda baharu menyumbang kepada bukan sahaja
kelangsungan tetapi juga kestabilan parti dengan mewujudkan
keseimbangan.
Undi yang agak seimbang antara Mohamad dan Mohd
Amar menunjukkan kewujudan imbangan kuasa melibatkan dua aliran besar
dalam PAS, hal yang perlu diambil kira oleh semua pemimpin dalam
pembuatan keputusan.
Kemenangan kedua-dua pemimpin itu juga memaksa kerjasama dan
kompromi antara yang memiliki perspektif berbeza, dan tidak hanya
mengangkat agenda satu pihak sahaja yang mungkin berlaku - atau dilihat
sebagai berlaku - sekiranya lawan mereka menang.
Hal ini penting kepada PAS sebagai sebuah parti yang semakin
bersifat arus perdana, tetapi mempunyai akar umbi setia dan penggerak
parti yang besar terdiri daripada agamawan dan konservatif.
PAS
perlu meraikan dan menerima kecenderungan pragmatik dan inklusif yang
telah meningkatkan sokongan daripada kelompok luar daripada pengikut
tradisionalnya, tetapi tidak dapat dinafikan kepentingan elemen
konservatif yang telah membina kekuatan parti selama ini, yang kekal
setia sepanjang zaman sukar PAS pra-1998.
Kini terpulang kepada kebijaksanaan pemimpin-pemimpin dan seluruh
ahli untuk membina kekuatan atas kelebihan-kelebihan kepelbagaian aliran
ini, untuk terus mengemudi parti melalui medan politik yang semakin
berbeza berbanding apa yang dilalui PAS selama ini. - November 29, 2013
No comments:
Post a Comment