Tuesday, April 26, 2011

PAS dalam PR semakin menjadi persoalan

Kedudukan PAS dalam gabungan pembangkang Pakatan Rakyat semakin menjadi persoalan pada masa kini, ekoran keresahan yang semakin meluas dalam kalangan ahli parti itu berhubung faedah yang diperolehi PAS berbanding parti lain.

Menjelang muktamar tahunan PAS pada Jun ini, isu kedudukan PAS dalam PR sekali lagi akan menjadi tumpuan.

Dua pandangan utama dalam parti itu bersaing dalam mengendalikan peranan PAS dalam PR yang dikuasai PKR, melalui kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kelebihan kerusi parti itu di beberapa negeri yang disebut sebagai negeri dikuasai PR.

PKR diikuti DAP menguasai Selangor manakala DAP menguasai Pulau Pinang dan Perak sebelum dirampas kembali oleh BN dikuasai DAP walaupun meletakkan menteri besar dari PAS. Kelantan dan Kedah pula dikuasai oleh PAS.

Anwar menguasai PR di peringkat pusat dalam banyak hal, paling jelas projek 16 September, 2008, bertujuan menarik ahli Parlimen Barisan Nasional menyertai PR - terutama PKR - untuk membolehkan PR menubuhkan kerajaan pusat dan Anwar menjadi perdana menteri.

Pendirian tidak bersetuju beberapa tokoh PAS dikecam banyak pihak yang menyokong projek 16 September sebagai mensabotaj agenda PR dan menjadi agen Umno.

Projek dikenali dengan nama popular 16 September atau 916 diilham dan digerakkan oleh Anwar dalam usaha menjatuhkan BN dan menubuhkan kerajaan pusat PR pimpinan beliau.

Persaingan kumpulan yang menyokong dan kritikal dengan ide itu mencetuskan krisis dalam PAS sehingga kedudukan Presiden Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dikecam hebat.

Abdul Hadi dan kumpulan digelar ulama dalam PAS turut dikaitkan dengan usaha bekerjasama dengan Umno dan membelakangi kerjasama dalam PR.

Ide dibawa Abdul Hadi yang dikemukakan sebagai kerajaan perpaduan ditolak dan ditafsirkan sebagai usaha membina pakatan politik antara PAS dengan Umno untuk kepentingan yang sempit.

Kumpulan yang kritikal dengan susunan kuasa dalam PR kini melihat gabungan itu didominasi PKR dan DAP dalam isu-isu nasional dan juga di negeri PR seperti Selangor, yang PAS didakwa dipinggirkan.

Di Selangor, pendirian dan inisiatif PAS berhubung arak dan bisnes yang dikaitkan dengan maksiat dikecam hebat rakan PR lain terutama DAP, meletakkan parti Islam itu sentiasa dalam keadaan defensif.

Di peringkat nasional, isu penggunaan nama Allah oleh Kristian Katolik mencetuskan kekecohan berpanjangan dan menyebabkan PAS dikritik kerana didakwa tidak tegas dan mengambil pendirian yang tidak tepat kerana bersetuju dengan tuntutan Katolik tersebut, pandangan yang dilihat dikuatkan lagi oleh Anwar.

PAS pula dikritik oleh ramai ilmuan Islam - termasuk yang prokerajaan dan daripada kumpulan bukan kerajaan Muslim - ekoran sikapnya yang dilihat berlembut dalam hal itu, sikap yang dilihat disebabkan oleh kepentingan politik pragmatik.

Sikap PAS itu turut diambil kesempatan oleh Umno yang mengecam keras apa yang disifatkan sebagai satu pengkhianatan PAS terhadap Islam.

Perkembangan terkini yang menyaksikan pembahagian undi Cina yang hampir sepenuhnya diberikan kepada parti pembangkang seperti DAP dan undi Melayu yang semakin mengukuh pada Umno dijangka bakal mencetuskan persoalan-persoalan kritikal berhubung kedudukan PAS dalam PR, terutama melibatkan kerjasama dengan DAP.

PAS dilihat mula memujuk pengundi Melayu selepas dikecam hebat Umno dan ekoran debat hangat dalam parti berhubung persepsi ramai yang parti itu semakin kurang memperjuangkan kepentingan Melayu.

Dua program besar dengan tema Melayu diadakan di Selangor, medan persaingan paling sengit melibatkan PAS dengan parti PR lain, yang terbaharu bertema PAS sebagai pengganti Umno sebagai parti utama orang Melayu.

Progam tersebut walau bagaimanapun dilihat sebagai terlambat dan sukar untuk menangani persepsi ramai yang melihat PAS semakin kurang mewakili kepentingan Melayu dalam usaha memenangi undi bukan Melayu dan akibat tekanan DAP dan PKR.

PAS memperkukuhkan kedudukan penyokong bukan Melayu selepas Pilihan Raya Umum ke-12 dalam parti itu dengan penubuhan Dewan Himpunan Penyokong PAS.

Program itu turut menyampaikan jaminan PAS kepada pengundi Melayu untuk memperjuangkan kepentingan mereka.

PAS menguasai dua negeri Melayu yakni Kelantan dan Kedah, dan berpotensi untuk menguasai sebuah lagi negeri iaitu Terengganu yang pernah dimenangi pada 1999 tetapi dirampas kembali oleh BN pada 2004.

PAS juga mempunyai asas yang kuat melalui ahli yang ramai di Selangor, tetapi bersaing dengan PKR untuk memenangi sokongan orang Melayu di negeri itu.

4 comments:

Al-Lifsi said...

Pada penilaian professional saya, lebih baik untuk PAS keluar saja dari PR..Pengundi Melayu yang menjadi pendokong kuat PAS selama ini telah terasa bahana akibat kerjasama dengan bukan Islam...Isu Negara Islam dah hilang, Isu hudud dan terbang, Isu moral dah melayang..Elok setuju dgn TG Hadi dan adakan perbincangan dengan UMNO untuk kebaikan Islam bersama...kalau tidak jadi macam Sarawak, negara jatuh kepada bangsa asing...Melayu Sepakat, Islam Berdaulat

Anonymous said...

salam,

1. gaya politik ala partisan di Malaysia sudah tiba ke era pengakhiran dan perlu direvolusikan semula secara penuh hikmah dan ilmiah.

2. antara kesan negatif pemecahan rakyat melalui sebaran fahaman partisan ini adalah, manfaat dan kebajikan yang dijanjikan oleh mana-mana parti di Malaysia selalunya terbatas dan disempadani oleh fahaman politik yang berbeza.

3. dalam isu persoalan mengenai kedudukan/peranan PAS dalam PR, manifesto sepanjang masa PAS perlu diberi penekanan dan diperhalusi sama ada ianya bergerak mengikut keperluan semasa atau sudah jauh ketinggalan beberapa tahun ke belakang.

4. manifesto sepanjang masa ini perlu dimulakan pelaksanaannya dari ruang sedia ada dengan lebih berkesan dan mampu diterima/dihadam mesra oleh segenap lapisan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai bangsa, agama dan tahap ekonomi.

5. kerjasama dengan PKR atau DAP di peringkat nasional masih lagi perlu serta wajar diteruskan, cuma peranan yang dimainkan oleh PAS sepatutnya bukanlah sekadar ibarat lembu dicucuk hidung.

6. anwar ibrahim sewajarnya pencen daripada politik kerana dikhuatiri akan terus menjadi alat DAP, dan eloklah beliau lebih tumpukan kepada amal ibadat serta bertaubat, cukuplah setelah lebih 30 tahun situasi politik ala partisan di Malaysia bertambah huru-hara dan hilang arahnya sejak aktifnya beliau menjadi agen asing.

Anonymous said...

Semoga saff kepimpinan pas pusat dapat mengambil pendirian dan tindakan yang terbaik di dalam perkara ini..semoga Islam tidak menjadi bahan penghinaan org yg bukan Islam.

Prof.Amey said...

pas perlu keluar dari pakatan rakyat dan tidak mengadakan sebarang kerjasama dengan DAP kerana bekerjasama dgn dap xkan mguntungkan apa2 utk pas malah myebabkan wujud rasa sangsi dan kbencian rakyat terhadap pas yg semakin hilang kreadibiliti serta pendirian..hilang kekuatan sbg parti yg mpjuangkan islam dan melayu...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...