Monday, November 23, 2009

SPR akan buat rayuanke Mahkamah Rayuan setelah Mahkamah Tinggi tolak rayuan penangguhan keputusan

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menangguhkan keputusan mengosongkan kerusi DUN Kota Siputeh di Kedah minggu lalu.

Suruhanjaya itu bagaimanapun akan membuat rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung penolakan penangguhan tersebut.

Isnin lalu, hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin memutuskan bahawa kerusi itu kosong selepas penyandangnya Datuk Abu Hassan Sarif tidak menghadiri dua persidangan DUN tahun ini.

Dalam keputusannya, hakim menegaskan bahawa SPR bertindak secara tidak wajar dan keputusan suruhanjaya itu bahawa Abu Hassan masih merupakan wakil rakyat bagi Kota Siputeh dan kerusi DUN itu tidak kosong, perlu dibatalkan.

"Meskipun saya bersetuju bahawa SPR mempunyai kuasa untuk menentukan kekosongan berlaku secara kebetulan, namun saya tidak berpendapat SPR dapat mengatasi kuasa Speaker mengikut Perkara 51 Undang-undang Tubuh Negeri Kedah," katanya dalam penghakimannya.

"Pada pandangan saya, Perkara 51 menjelaskan syarat yang menyebabkan kerusi menjadi kosong dan responden pertama (Abu Hassan) telah menepati syarat tersebut," kata hakim itu lagi ketika membenarkan semakan kehakiman yang difailkan oleh Speaker DUN Kedah Datuk Dr Abdul Isa Ismail.

Speaker DUN itu memfailkan semakan berkenaan pada 1 Oktober, selepas SPR membuat keputusan bahawa tidak berlaku kekosongan dalam kerusi DUN Kota Siputeh dan Abu Hassan masih merupakan wakil rakyatnya.

Abdul Isa memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa Abu Hassan bukanlah wakil rakyat berikutan kegagalannya menghadiri dua persidangan DUN berturut-turut iaitu pada 19 April dan 9 Ogos tahun ini, dan kerusi itu adalah kosong.

Dalam permohonannya, Abdul Isa turut memohon perintah bagi SPR mengadakan pilihan raya kecil.

Nasharuddin Mat Isa dikejar ke IJN

Timbalan presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa dikejar dengan ambulans ke Institut Jantung Negara (IJN) selepas mengadukan sakit dada.

Nasharuddin yang menghadiri sidang Parlimen pagi ini, sebelum ini dibawa ke klinik di situ.

Timbalan presiden PAS itu dikejarkan ke IJN selepas menjalani pemeriksaan di klinik kesihatan di bangunan Parlimen setelah mengadu kepada ahli parlimen
PAS dari Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaffar.

Bagaimanapun, selepas melalui ujian electrocardiaogram (ECG), doktor tidak dapat mengenal pasti punca sakit dadanya.

Nasharuddin yang juga ahli parlimen Bachok, kemudiannya dirujuk ke IJN.

Beliau kemudiannya dilihat dibawa dengan kerusi roda ditemani Kamaruddin dan ahli parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar pada pukul 11.40 pagi ke IJN.

Mahfuz ketika ditemui pemberita berkata Nasharuddin "pada mulanya mengadu sakit otot di bahagian dada dan selepas pemeriksaan di klinik tadi, beliau dinasihatkan untuk ke IJN bagi pemeriksaan selanjutnya."

Beliau bagaimana pun enggan mengulas lebih lanjut mengenai keadaan Nasharuddin.

Pegawai khas timbalan presiden PAS itu, Mior Isfandy Mior Azizan, berkata Nasharuddin berada dalam keadaan stabil dan dijangka dibenarkan keluar pada Rabu.

Beliau dijangka menjalani pemeriksaan rapi pagi esok, katanya.

Mior Isfandy enggan mengulas ketika ditanya sama ada Nasharuddin diserang sakit jantung.

Hubungan Wanita PKR dan Muslimat PAS amat akrab-Salma Ismail


Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat(PKR)Negeri Kedah, Salma Ismail menolak dakwaan sesetengah pihak yang menyatakan bahawa hubungan antara wanita dalam Pakatan Rakyat tidak begitu akrab.

Menurut beliau lagi hubungan antara Wanita PKR dan Muslimat PAS terutamanya di negeri Kedah yang diterajui oleh beliau amat akrab dan begitu baik sekali.

"Dalam setiap aktiviti dan program kita sudah sekian lama memastikan ada partisipasi daripada komponen parti Pakatan Rakyat.Namun begitu jika dilihat dalam konteks Negeri Kedah hubungan antara Wanita PKR dan juga Muslimat PAS amat akrab sehinggakan setiap aktiviti yang diadakan kita akan bersama-sama bagi menjayakan program dan aktiviti yang direncanakan atau dianjurkan.

"Kita telah bersama sekian lama.Dalam pilihan raya umum dan juga pilihan raya kecil yang telah diadakan di Bukit Selambau calon kita daripada PKR bertanding.Muslimat PAS dan juga Wanita DAP turun padang sama-sama.Begitu juga di Bukit Gantang dan Permatang Pasir.Kita daripada Wanita PKR turun padang bersama-sama dengan Wanita DAP bagi memastikan calon daripada PAS menang.Inilah kesepaduan yang ada antara Wanita PR."

Menurut Salma lagi usaha bagi mempelbagaikan aktiviti dan mencambahkan program adalah antara usaha yang akan dipergiatkan supaya Wanita sebagai sayap parti akan dapat memainkan peranan yang konstruktif bagi membina jaringan dan hubungan akrab yang sedia ada antara Wanita dalam PR terutamanya bagi menghadapi pilihan raya umum yang ke-13 tidak lama lagi.

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas majlis perasmian Konvensyen Keadilan Wanita Negeri Pulau Pinang di Dewan Perkeso, Seberang Jaya, Permatang Pauh.

Tiada penyelewengan di negeri yang diperintah Pakatan Rakyat- Salahuddin Ayub


Alor Setar: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub yakin Pakatan Rakyat(PR) yang didokong oleh PAS, PKR dan DAP akan mampu untuk meneruskan pemerintahan dan memberi khidmat yang lebih baik pada masa yang akan datang.

Menurut beliau lagi sehingga kini tiada satu pun daripada negeri yang diperintah oleh PR kepimpinanannya terlibat dalam penyelewengan.

"Bukannya menjadi amalan PR menyembunyikan mana-mana pemimpin yang terlibat dalam penyalahgunaan kuasa atau penyelewengan.Amalan telus yang dilaksanakan oleh kepimpinan PR dalam memimpin negeri telah meyakinkan rakyat bahawa kita tidak mengamalkan korupsi dan rasuah.

" Sebagai bukti perbelanjaan secara berhemah yang diamalkan oleh negeri-negeri yang ditadbir oleh pemimpin PR telah berjaya menjimatkan dan mengurangkan 30 peratus perbelanjaan pentadbiran.Jumlah ini pula telah berjaya dimanfaatkan bagi membantu rakyat yang memerlukan dalam bentuk yang lain pula."

Menurut beliau lagi kepimpinan dalam PR perlu mempamerkan perjuangan yang dilaksanakan dan diamalkan adalah bersih serta berperanan untuk membantu rakyat dan bukannya kerana kepentingan peribadi.

"Kita juga yakin kerajaan PR yang kita dokong ini akan mampu untuk meraih sokongan rakyat sekali lagi dalam pilihan raya yang akan datang.Oleh kerana itu perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat akan diteruskan dalam usaha kita untuk memberi keselesaan kepada rakyat."

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Jubli Emas PAS Jerai di Dewan Orang Ramai, Yan, Kedah.

"Katakan tidak kepada keganasan rumahtangga"

Oleh Sharifah Norhayati Syed Omar

(Ketua Unit PR dan Media WIRDA Selangor)


Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita, Kebajikan, Kebudayaan, Sains, Teknologi dan Inovasi Kerajaan Negeri Selangor telah mengambil satu usaha murni dalam memperkenalkan One Stop Crisis Centre (OSCC) kepada masyarakat dalam usaha untuk mewujudkan satu masyarakat yang prihatin terhadap wanita dan kanak-kanak yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga, seksual, liwat dan dera.


Kewujudan OSCC ini mewujudkan suasana yang selesa dan penghidupan yang lebih baik kepada wanita dan kanak-kanak. Mereka tidak keseorangan sebaliknya OSCC bersedia untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik jika mereka di dera oleh si pelaku keganasan yang durjana.


OSCC telah diperkenalkan sejak 1997 tetapi tidak digerakkan secara serius oleh kerajaan negeri yang memerintah sebelum ini. OSCC adalah satu pusat perkhimatan yang lengkap dan menyeluruh bagi membantu mangsa penderaan, perkosaan, liwat dan mangsa keganasan rumah tangga. Pusat ini ditubuhkan khas untuk merawat dan mengasingkan mangsa-mangsa tersebut serta di beri bantuan dari segi sokongan emosi dan kaunseling agar mereka tidak mengalami taruma yang serius.


Exco kerajaan Selangor Rodziah Ismail telah mula mengorak langkah untuk menyedarkan masyarakat bahawa terdapat satu pusat khidmat yang dapat membantu mangsa keganasan rumah tangga dan dera.


Pusat ini dikendalikan oleh secara bersama yang melibatkan beberapa agensi iaitu Hospital, polis, peguam dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.


Keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak perlu di tangani oleh setiap ahli dalam komuniti untuk melahirkan masyarakat penyayang yang memberikan saham besar dalam pembangunan negara yang lebih positif.


Ada tiga kaedah yang dikenal pasti untuk menangani keganasan rumah tangga dan gangguan seksual terhadap wanita di tempat kerja.

1) Memberi kefahaman dan kesedaran kepada wanita mengenai konsep keadilan dalam hubungan kekeluargaan.

2) Memberi kefahaman dan kesedaran wanita terhadap hak-hak mereka yang dilindungi oleh undang-undang.

3) Menyediakan tempat yang selamat untuk mendapat rawatan dan tempat yang selamat dimaksudkan ialah di OSCC.


OSCC telah lama ditubuhkan namun masih ramai tidak mengetahui kewujudan pusat ini dalam memberi perkhidmatan kepada orang ramai.


Objektif Kempen kesedaran "Katakan tidak kepada keganasan rumahtangga ialah:

1) Mewujudkan kesedaran dan peranan OSCC kepada masyarakat dalam membantu wanita dan kanak-kanak yang menjadi mangsa penderaan.

2) Memupuk kesedaran wanita untuk memperkasakan minda yang merdeka dan menggilap jatidiri wanita yang bermaruah.

3) Memberi maklumat dan kefahaman yang sahih lagi benar mengenai isu-isu keganasan rumah tangga dan gangguan seksual ditempat kerja.

4) Memberi pendedahan dan kefahaman mengenai undang-undang yang dapat melindungi wanita dan kanak-kanak.


Dalam agenda merakyatkan ekonomi Selangor (MES) fasa 1, antaranya diperkasakan semula program OSCC dimana kempen ini akan dilaksanakan dalam bentuk jaringan dengan Badan Bukan Kerajaan (NGO).


Kempen ini adalah untuk memberi kesedaran tentang keganasan terhadap kaum wanita dan kanak-kanak di samping memberi maklumat berkaitan undang-undang keluarga dan menghebahkan maklumat mengenai OSCC ini kepada orang ramai.


Program ini dijalankan dan dikendalikan oleh beberapa buah badan NGO yang terpilih antaranya WIRDA, dan pelaksanaannya mengikut Dun di seluruh Selangor.


OSCC diwujudkan di enam hospital di Selangor iaitu Hospital Ampang, Hospital Serdang, Hospital Selayang, Hospital Sungai Buloh, Hospital Tengku Puan Rahimah Klang dan Hospital Kajang.


Mangsa tidak perlu takut untuk ke OSCC untuk mendapatkan rawatan kerana pihak hospital menyediakan bilik khas yang terasing dari orang ramai. Maklumat mangsa juga dirahsiakan. Maruah mereka akan dijaga dan dipelihara. Mangsa juga tidak perlu untuk mengambil nombor sebaliknya akan terus dibawa ke bilik OSCC. Jururawat terlatih dan doktor akan memberikan bantuan yang segera kepada mangsa. Mangsa akan dilindung dari sebarang ancaman dari si pelaku dera.


http://wirdaselangor.wordpress.com

Sunday, November 22, 2009

Kenyataan Media Ketua Umum Keadilan


Parti Keadilan Rakyat telah membincangkan isu pinjaman yang dibuat oleh Kerajaan Negeri Selangor untuk mengambil alih hutang Talam Corp Bhd kepada anak syarikat PKNS yang berjumlah RM 391 juta. Isu tersebut telah dibangkitkan oleh Setiausaha Agung Parti, Dato' Salehuddin Hashim melalui edaran e-mel.

Biro Politik KEADILAN sememangnya menghormati pandangan yang dibangkitkan oleh pimpinan yang menyentuh dasar mana-mana negeri, termasuklah negeri-negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat (PAKATAN). Ini membuktikan iltizam kami untuk terus berpegang serta melaksanakan prinsip-prinsip asas demokrasi dan tadbir urus yang baik.

E-mel Setiausaha Agung hanya untuk edaran dalaman sahaja dan ianya merupakan pandangan peribadi bertujuan mendapat penjelasan dari YAB Dato’ Menteri Besar Selangor berhubung isu tersebut. Perlu ditegaskan di sini Setiausaha Agung KEADILAN tidak menuduh wujudnya penyelewengan oleh YAB Menteri Besar dan Kerajaan Negeri Selangor.

Kami berpuas hati dengan penjelasan awal oleh YAB Menteri Besar berkenaan perkara dasar yang menyangkut transasksi tersebut. Tuntas dengan prinsip ketelusan dan pertanggungjawaban, malah Tan Sri Khalid Ibrahim memberi jaminan bahawa transaksi tersebut terbuka untuk penelitian awam.


ANWAR IBRAHIM
Ketua Umum
Parti Keadilan Rakyat

Monday, November 16, 2009

Mahkamah arah pilihan raya kecil di Kota Seputeh

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan pilihan raya kecil untuk Dun Kota Seputeh Kedah.

Arahan itu dibuat oleh hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin.

Menurut hakim itu, Suruhanjaya Pilihan Raya telah melanggar sempadan kuasanya apabila menolak permohonan Speaker Dun Kedah agar diadakan pilihan raya semula di situ.

Menurut beliau, peguam plaintif (Speaker Dun Kedah) telah berjaya membuktikan bahawa Datuk Abu Hassan Sarif, Adun Kota Seputeh telah tidak hadir dua kali sidang berturut-turut tanpa kebenaran Speaker.

Ini bermakna, mahkamah bersetuju dengan keputusan Speaker Dun Kedah, yang memutuskan kerusi itu kosong berikutan kegagalan Abu Hasan (gambar) hadir dua kali berturut-turut ke sidangnya.

Speaker DUN, Datuk Dr. Abdul Isa Ismail menghantar surat kepada SPR memaklumkan mengenai kegagalan Abu Hassan hadir sidang DUN pada 19 April dan 16 Ogos lalu.

Mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah, mana-mana ahli dewan yang tidak hadir pada sidang DUN selama dua kali berturut-turut tanpa kebenaran Speaker, tempatnya hendaklah dikosongkan.

Kerusi itu dimenangi Abu Hasan dengan majorti 495 undi. Lawannnya, Ismail Wan Teh dari PAS menerima 7,665 undi.

Dalam sidang Dun Kedah baru-baru ini, Speaker menyifatkan Abu Hasan bukan lagi Adun Kedah yang sah.

Mengulas mengenainya, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata pegawai undang-undang SPR perlu meneliti secara terperinci desakan dibangkitkan Speaker DUN Kedah, Datuk Dr Abdul Isa Ismail sebelum membuat sebarang keputusan.

Pada 18 Ogos lalu Abd Isa meminta SPR mengisytiharkan kerusi itu kosong atas alasan Abu Hasan tidak menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dua kali berturut-turut tahun ini.

Peguam bagi Speaker, Sulaiman Abdullah memberitahu mahkamah, Artikel 51 Undang Undang Tubuh Kerajaan Kedah menyebut bahawa “sekiranya mana-mana anggota Dewan Undangan Negeri tidak menghadiri dua sidang berturut-turut tanpa kebenaran Speaker, kerusi mereka seharusnya dianggap kosong.”

Abu Hasan tidak hadir pada sidang 19 April dan kemudian pada 9 Ogos tanpa izin Speaker.

Sulaiman berkata, Abu Hasan tidak menafikan fakta itu.

“Apabila syarat-syarat ini dipenuhi, kemudian perjalanan undang-undang ialah Artikel 51, di mana kerusi itu dengan sendirinya menjadi kosong,” kata Abdullah yang juga bekas Presiden Majlis Peguam di mahkamah sebelum ini.

Namun, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan Abu Hasan agar terus menghadiri sidang DUN negeri itu yang dijadualkan hari ini.

Katanya, walaupun Speaker menganggap wakil rakyat itu hilang kelayakan sebagai Adun, namun BN memegang prinsip apa yang diputuskan oleh SPR bahawa tiada berlaku kekosongan kerusi DUN Kota Seputeh dan Abu Hasan adalah wakil rakyat BN yang sah.

“Abu Hasan masih ahli Yang Berhormat secara sah dan Speaker (DUN) tidak boleh menghalang beliau dari menghadiri sidang dewan itu.

“SPR umum tiada kekosongan dan tidak ada pilihan raya kecil, jadi apa kuasa Speaker itu saya tak tahu,” katanya selepas melawat mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Gunung, Alor Setar.

Muhyiddin berkata, Abu Hasan harus menghadiri sidang DUN itu bagi mengetahui apa yang sedang berlaku kerana beliau masih seorang Adun sehinggalah mahkamah memutuskan kedudukannya kelak.

Abd Isa baru-baru ini berkata, beliau menyifatkan Abu Hasan bukan lagi Adun walaupun mahkamah belum membuat sebarang keputusan mengenai kedudukan wakil rakyat itu.

Beliau sebelum ini memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap keputusan SPR yang mengekalkan Abu Hasan sebagai Adun kawasan Kota Seputeh.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...