Wednesday, September 26, 2007

Ribuan peguam berarak ke Jabatan Perdana Menteri


PUTRAJAYA, 26 Sept: Hampir 10,000 peguam berarak dari Istana Keadilan (Palace of Justice) ke Jabatan Perdana Menteri bagi mendesak Perdana Menteri agar menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat skandal klip video VK Lingam.

Walaupun usaha sebahagian daripada mereka menggunakan bas, tujuh buah tidak berjaya setelah disekat polis. Mereka kemudiannya berjalan kaki secara beramai-ramai bagi menyertai perarakan itu.

Perarakan itu dianjurkan oleh Majlis Peguam (Bar Council) ekoran pendedahan video klip yang memaparkan Peguam Kanan VK Lingam berbual dengan orang yang dinamakan sebagai Ketua Hakim Negara sekarang Tun Ahmad Fairus.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri mengumumkan penubuhan Penal Bebas bagi menyiasat kesahihan video itu namun ia tidak menghalang perarakan untuk menyerahkan memorandum bagi mendesak penubuhan Suruhanjaya Diraja ini.

Penal yang dianggotai tiga orang itu, Haidar Mohd Nor, Lee Lam Thye dan Mahadev Shankar akan menyiasat ketulinan video itu dan membuat laporan mengenainya kepada kerajaan dan bakal dibuka kepada umum.

Tuesday, September 25, 2007

PAS sambut baik JK Bebas, tetapi Suruhanjaya tetap perlu

KUALA LUMPUR, 25 Sept: PAS pada dasarnya menyambut baik penubuhan Jawatankuasa Bebas untuk menyiasat klip video perbualan peguam VK Lingam dengan orang yang dikatakan sebagai Ketua Hakim Negara sekarang, Tun Ahmad Fairuz tetapi menegaskan penubuhan Suruhanjaya Bebas tetap perlu selepas ketulinan video itu disahkan.

Bagaimanapun DAP beranggapan penubuhan JK Bebas ini cuba untuk mengalih perhatian rakyat kepada masalah teknikal iaitu ketulinan video itu berbanding dengan isu sebenar iaitu kredibiliti institusi kehakiman selepas tersebarnya video itu dan beberapa siri kejadian sebelum ini.

Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar berkata, penubuhan JK ini nampaknya bercanggah dengan kenyataan Perdana Menteri sebelum ini yang mahu menyerahkan siasatan ketulinan video klip ini kepada polis.

"Bagi saya ini satu tamparan kepada polis khasnya Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hasan sendiri," kata Mahfuz mengulas pengumuman itu.

Lim Kit Siang berpendapat, satu Suruhanjaya Diraja perlu ditubuhkan kerana ia akan membuat segala kerja yang perlu termasuk menilai ketulinan videp klip ini.


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan itu yang diketuai oleh bekas Hakim Besar Malaya, Haidar Mohd Nor. Dua lagi anggota adalah Mahadev Shanker dan Lee Lam Thye.

JK Bebas ini akan meneliti dan menebual pelbagai pihak untuk mengesahkan ketulinan video ini dan akan membuat cadangan selepas itu. Keputusannya akan diumumkan kepada orang ramai.

Mahfuz, bagaimanapun bimbang kredibiliti JK Bebas ini kerana ia bertanggungjawab terus kepada kerajaan sahaja.

"Saya rasa lebih sesuai kepada Parlimen," kata Mahfuz.

Mahfuz juga berpendapat, keputusan ini dibuat untuk mengelak perarakan yang dirancang oleh Majlis Peguam esok.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan video klip yang menggemparkan ini.

Antara kandungannya adalah perancangan kedua-duanya menyusun pegawai kanan sistem kehakiman negara.

Transkrip penuh di sini.

Tribunal lebih sesuai

Sementara itu, Peguam Muhamed Hanipa Maidin berpendapat, penubuhan JK Bebas tidak sesuai.

"Bagi saya, kerajaan wajar terus melaksanakan apa yang telah diperuntukkan oleh Perlembagaan dalam isu ini iaitu meminta Yang Dipertuan Agung menubuhkan Tribunal. Penubuhan JK Bebas silap-silap hanya membazirkan wang rakyat sahaja," kata beliau mengulas isu yang sama.

Menurut Hanipa yang juga AJK PAS Pusat, taraf Tribunal lebih tinggi dari Ketua Hakim Negara. Dengan itu, siasatan lebih menyeluruh boleh dibuat berbanding dengan JK Bebas ini yang anggotanya junior berbanding Ketua Hakim Negara yang ada sendiri.

"Kalau semasa mahu memecat Tun Salleh Abas dahulu Tribunal boleh ditubuhkan kenapa ketika mempertikaikan Tun Ahmad Fairuz Tribunal tidak boleh ditubuhkan," kata Hanipa.

PAS desak gantung Ketua Hakim Negara

KUALA LUMPUR, 25 Sept: PAS mendesak supaya sementara penyiasatan rapi dilakukan, demi memelihara maruah dan integriti institusi kehakiman, Ketua Hakim Negara perlulah digantung terlebih dahulu dari menjalankan tugasnya sehingga penyiasatan ini selesai.

Demikian kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Kamarudin Jaffar dalam kenyataan medianya.
Menurut Kamarudin, PAS memandang berat pendedahan klip video yang menunjukkan perbualan telefon antara peguam VK Lingam dengan seorang yang disyaki sebagai Tun Ahmad Fairuz Abdul Halim, Ketua Hakim Negara.

Dailog dalam klip video itu dimana Lingam dengan jelas membincangkan isu-isu perundangan dan politik serta jawatan-jawatan kehakiman dengan mengaitkan nama-nama dan jawatan-jawatan tertinggi politik dan korporat negara, sesungguhnya mendesak supaya satu penyiasatan segera dibuat bagi mengesahkan kesahihan rakaman itu.


PAS yakin dengan kemampuan teknologi semasa beserta kerjasama syarikat-syarikat telekom penyiasatan ini pasti dapat dijalankan dengan segera dan tepat, katanya.


"Walaupun kami menyokong agar penyiasatan segera dilakukan namun kami perhatikan dalam isu Timbalan Pendakwaraya Salahuddin Saidin dalam perbicaraan kes pembunuhan Altantuya Shaaribu, Salahuddin dilepaskan dari mengendalikan kes tersebut dalam tempoh kurang dari 24 jam hanya atas kenyataan Peguam Negara bahawa beliau dilihat bermain badminton dengan hakim yang membicarakan kes itu. Peguam Negara tidak pula mengemukakan bukti bagi mensahihkan dakwaan beliau itu,"katanya.

Dalam hal yang sama, katanya, PAS turut menyokong penuh tindakan Majlis Peguam Malaysia untuk menyerahkan memorandum ke Pejabat Perdana Menteri berhubung isu ini yag antara lain menuntut penubuhan sebuah Suruhanjaya di Raja bagi menyiasat isu ini.

Malaysia-today.net dan Tvpas.com diserang


KUALA LUMPUR, 25 Sept: Malaysia-today.net dan Tvpas.com adalah antara dua laman web Malaysia yang diserang oleh virus baru semalam menyebabkan kedua-dua laman web ini sehingga kini masih belum boleh dimasuki.

Menurut Pengurus Tvpas.com, Khairul Hartimi, laman webnya mula diserang jam 4 petang semalam serentak dengan Malaysia-today.

Menurut satu sumber lain pula, turut diserang adalah 48 lagi laman web yang berpengkalan di Singapura.

"Kami tidak tahu siapa penyerangnya, yang pasti ia memang disengajakan," kata Khairul ketika dihubungi Siasah.

Malaysia-today adalah laman web yang dikendalikan oleh Raja Petra Kamarudin. Ia kini menjadi antara laman web politik yang paling popular di Malaysia.

Menurut Alexa.com, laman ini berada pada ranking 6,087 di dunia dan yang ke 56 di Malaysia.

Tvpas.com adalah laman web berita video yang dimiliki dan lancarkan oleh PAS Ogos 2006 lalu.

Ia banyak memaparkan video yang menarik di samping mempunyai berita ala tv yang diupdate pada setiap hari.

Monday, September 24, 2007

Kelantan mohon isu minyak dimasukkan dalam ECER


KOTA BHARU, 24 Sept: Kerajaan Negeri Kelantan merayu supaya pendaratan gas dan minyak dari perairan negeri itu ke pantai Kelantan menjadi sebahagian inisiatif pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Ini kerana, pantai Kelantan adalah yang terdekat sekali dengan sumber bahan asli itu dan boleh menjadi pemangkin kepada pembangunan negeri.

Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa berkta, perkara tersebut terkandung dalam maklumbalas kepada pihak terbabit selepas satu taklimat cadangan awal pembangunan Koridor Timur yang disampaikan Petronas kira-kira lapan bulan yang lalu.

“Ada beberapa perkara yang kita beri cadangan balas tetapi saya yakin tidak dimasukkan lagi ialah pendaratan gas di Kelantan. Saya berharap perkara ini dapat ditimbangkan semula," katanya kepada pemberita di pejabatnya di Kota Darulnaim.

Perhubungan keretapi di antara Kelantan dengan Pulau Pinang turut dipohon oleh Kelantan untuk dimasukkan di bawah ECER.

Ketika ditanya pemberita, sama ada perkara ini ditimbulkan pada pertemuan empat pemimpin negeri Pantai Timur dengan Perdana Menteri di Putrajaya, Rabu lalu, Husam berkata beliau tidak pasti, tetapi mengulangi bahawa ianya telah ditimbulkan pada taklimat awal sebelum ini.

Difahamkan tiga daripada empat Menteri Besar negeri Pantai Timur dijemput hadir perbincangan mengenai ECER bersama Abdullah, sementara Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Annuar Musa turut dilapor hadir.

Sunday, September 23, 2007

Jamaludin Jarjis dan TV3 disaman RM10 juta


KUALA LUMPUR, 23 Sept: Bekas Ketua Penerangan Umno Bahagian Rompin memfailkan saman RM10 juta terhadap Ketua Bahagiannya, Datuk Jamaludin Jarjis di Mahkamah Tinggi Jalan Duta baru-baru ini.

Turut dinamakan sebagai defendan adalah Sistem Televisyen Malaysia atau TV3 ekoran dakwaan fitnah yang dibuat kedua-duanya ke atas beliau.

(Berita lanjut dalam Siasah hari ini)

Strategi BN semuanya kantoi


KUALA LUMPUR, 23 Sept: Pelbagai pihak menyifatkan strategi pilihan raya Barisan Nasional (BN) serba tidak menjadi sejak kebelakangan ini apabila semua projeknya gagal mencapai sasaran.

Bajet 2008 disifatkan gagal menghasilkan faktor 'feel good' kepada rakyat walaupun sejumlah wang yang besar diperuntukkan selepas ia tenggelam oleh Tragedi Berdarah Batu Burok yang berlaku sehari selepas bajet itu dibentangkan oleh Perdana Menteri.

Peristiwa rusuhan Batu Burok yang diharapkan dapat memburukkan imej pembangkang khasnya PAS di Terengganu juga gagal apabila polis melepaskan peluru hidup dalam peristiwa itu sehingga mencederakan dua orang awam.

Laporan Ketua Audit Negara pula bukannya menunjukkan ketelusan kerajaan tetapi lebih mendedahkan pekung kerajaan apabila pelbagai penyelewengan agensi khasnya di bawah Perdana Menteri dan timbalannya sendiri didedahkan dalam lapuran itu.

Terkini, pendedahan video klip perbualan telefon antara peguam terkenal, VK Lingam dengan Ketua Hakim Negara sekarang, Tun Ahmad Fairus pada tahun 2002 (ketika itu Hakim Besar Malaya) bagi menyusun pejawat kanan badan kehakiman negara mendapat kecaman pelbagai pihak.

Bahkan, Perdana Menteri sendiri melahirkan rasa terkejutnya bagaimana perkara sebegitu boleh berlaku.

"Semuanya menjurus kepada hilangnya feel good factor untuk BN menjelang pilihan raya ini," kata seorang pensyarah universiti tempatan.

Laporan penuh dalam Siasah hari ini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...