Wednesday, May 6, 2009

Mohamad Sabu ditahan



KUALA LUMPUR, 6 Mei:
Mohamad Sabu ditahan pihak polis pukul 3 petang tadi selepas makan di sebuah restoran mamak berhampiran pejabat Siasah.

Beliau yang berada di restoran itu bersama Salahuddin Ayub dan ahli PAS, Ali Maidin, didatangi sekumpulan anggota polis berpakaian preman yang menariknya menaiki sebuah kereta Toyota.

Mohamad berusaha melepaskan diri dan menjerit meminta pihak terbabit menunjukkan waran terlebih dahulu tetapi gagal akibat jumlah anggota polis yang lebih ramai.

Salahuddin dan Ali yang turut cuba membantu Mohamad melepaskan diri telah ditolak oleh anggota polis terbabit.

Kejadian yang berlangsung hanya sekitar dua minit itu menarik perhatian orang ramai di kawasan tersebut.

Pengakapan beliau ialah yang kedua dikaitkan dengan protes terhadap kerajaan Barisan Nasional Perak yang bakal diadakan esok.

Monday, May 4, 2009

Wong ditangkap selepas menggesa pakai baju hitam esok

KUALA LUMPUR, 6 Mei: Kerana mengajak orang ramai pakai baju hitam esok, jurucakap Bersih, Wong Chin Huat (gambar paling kiri) ditangkap di bawah Akta Hasutan.

Siasah difaham, Wong akan dibawa ke mahkamah hari ini untuk permohonan tahanan reman oleh polis.

Wong ditahan malam tadi di rumahnya Taman Sri Sentosa Kuala Lumpur dan dibawa ke ibu pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan untuk siasatan.

Namun selepas tengah malam, dia telah dibawa ke tempat yang tidak diketahui.

Pagi semalam, Wong bersama rakan Bersihnya mengadakan sidang akhbar di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur meminta orang ramai memakai baju hitam 7 Mei esok dengan menamakannya sebagai 'IBlackMalaysia'.

Ia adalah sempena persidangan Dun Perak esok yang antara agendanya adalah memecat Speaker Dun Perak, V Sivakumar.

7 Mei: Hari 1MalaysiaGelita

KUALA LUMPUR, 5 Mei: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk berkabung pada 7 Mei 2009 ( Khamis) dengan berpakaian hitam sepanjang hari yang dinamakan 1MalaysiaGelita.

Ini bertujuan untuk menunjukkan protes kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terhadap apa yang berlaku di Perak.

Selain daripada itu, warna hitam itu juga melambangkan protes terhadap pengambilan kuasa oleh pihak Barisan Nasional di negeri Perak.

Pada sidang media di Dewan Perhimpunan Cina sebentar tadi, penyelaras program, Wong Chin Huat berkata bahawa slogan Najib sebagai "1Mmalaysia: Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan" sebagai bahan lawak bagi rakyat Malaysia kini.

Ini kerana Najib sendiri tidak mempraktikkan slogan tersebut.

Bagi Bersih, kata Wong, Najib langsung tidak memperjuangkan rakyat dan tidak mementingkan hak rakyat terutama hak para pengundi di negeri Perak.

Beliau juga menyeru rakyat Malaysia supaya turut sama di dalam protes itu dengan memakai pakaian hitam dan menunjukkkan bahawa rakyat Malaysia menentang sebarang pencerobohan demokrasi dan sekatan ke atas media.

Selain daripada itu, wakil gabungan Bersih juga mencadangkan pembubaran DUN Perak dan adakan semula pilihan raya.

Turut menyokong 1MalaysiaGelita ialah Centre for Orang Asli Concerns, Centre for Policy Initiatives (CPI) dan juga Anwar Ibrahim Club (AIC).

Sidang media itu juga disertai oleh Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Phua, Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr. Dzulkifly Ahmad, Ahli Parlimen Subang, S.Sivarasa, Li Yoon dari Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor dan Dr Lim Teck Ghee, pengarah CPI.

Dalam sidang media itu juga kesemua wakil Bersih mengecam tindakan sekatan media terhadap liputan Dun Perak serta mendesak Najib supaya menyelesaikan segera kemelut yang melanda negeri Perak.

Ahli lebih berhak tentukan timbalan presiden - Abdul Hadi

SHAH ALAM, 4 Mei: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan, biarlah pemilihan jawatan Timbalan Presiden parti itu ditentukan sendiri oleh kematangan semua ahli PAS di seluruh negara menjelang Muktamar PAS ke-55 pada awal Jun depan.

(Gambar: Abdul Hadi mendengar taklimat dari Pengarah Urusan Karangkraf, Datuk Hussamudin Yaakub)

Ahli Parlimen Marang itu berkata, beliau tidak boleh mengatakan begitu dan begini kerana dengan berbuat demikian ia dikira akan mengganggu kelicinan proses pemilihan untuk jawatan kedua tertinggi dalam parti.

“Apa yang berlaku sekarang adalah pertelingkahan pendapat yang sememangnya dibenarkan di dalam PAS, dan kita yakin suasana ini akan kembali pulih sebaik sahaja selesai muktamar seperti mana selalu,” ujarnya yang menjelaskan isu pemilihan antara ulama dan professional ini berlaku sejak dari PAS ditubuhkan lagi.


Haji Abdul Hadi yang juga Adun Rhu Rendang, Terengganu berkata demikian ketika melayani warga media Syarikat Karangkraf Sdn Bhd, dekat sini yang dikunjunginya selama dua jam bermula jam 10.30 pagi tadi.

Rombongan Presiden PAS itu telah disambut oleh Pengarah Urusan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub, Ketua Pengarang Kumpulan, Encik Jalil Ali, pengurus-pengurus besar dan kakitangan di mana sidang media itu diadakan selepas sesi lawatan dan taklimat mengenai operasi syarikat berkenaan.

Turut serta di dalam kunjungan itu adalah Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Haji Salleh dan Setiausaha Akhbar Presiden, Roslan Shahir dan pegawai-pegawai parti.

Perkara ini berbangkit dari soalan wartawan yang ingin mendapatkan penjelasan secara peribadi dari hati Presiden sendiri; apakah berpuas hati dengan khidmat dan kerja buat Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa selama ini?

Ustaz Abdul Hadi dengan tegas mengatakan, persoalan ini biarlah ahli PAS sahaja yang menentukannya kerana merekalah yang paling berhak memilih kepimpinan mereka di semua peringkat dan beliau tidak boleh memihak.

Wartawan itu tidak berpuas hati lalu bertanyakan soalan tambahan, bagaimana pula dengan pendapat peribadi presiden mengenai perkara tersebut, Tuan Guru sekali menegaskan, ‘urusan peribadi terserahlah pada diri saya sendiri’ sambil meletakkan dua tapak tangannya ke dada.

Dalam pada itu, Abdul Hadi juga berkata, terdapat satu lagi kaedah pemilihan pimpinan yang dapat menyelesaikan banyak masalah berbangkit dengan mengadakan system syura iaitu pemilihan secara dalaman oleh jawatankuasa yang dilantik untuk tujuan berkaitan.

Dalam pada itu, Datuk Hissamuddin berkata, pihaknya terutama akhbar Sinar Harian tidak memihak ke mana-mana kerana bagi mereka urusan mendidik umat dengan mengenengahkan bahan berilmu ke tengah masyarakat adalah diutamakan.

Ustaz Abdul Hadi juga meluangkan masa bergambar dengan rombongan pelajar-pelajar dari Maahad Al-Hamidiah, Kajang yang kelihatan sangat gembira berpeluang bergambar bersama Presiden PAS itu.

Timbalan Presiden: Mohammad Sabu tidak cadang tarik diri

KUALA LUMPUR: Walaupun cadangan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden PAS dikhususkan kepada ulama semakin di perkatakan menjelang pemilihan pucuk pimpinan di muktamar agung parti itu akan datang, salah seorang calon untuk jawatan tersebut, Mohammad Sabu tidak bercadang untuk menarik diri.

Mohammad yang telah mengesahkan untuk bertanding jawatan timbalan presiden PAS beberapa minggu lalu merupakan aktivis sepenuh masa parti yang bukan dari kumpulan ulama.

Ditemui pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Mobilisasi Demokrasi di pejabat Agung PAS hari ini, Mohammad berkata keputusannya (untuk bertanding timbalan presiden) tidak berganjak sama sekali.

"Saya akan bertanding dan tidak bercadang untuk tarik diri," kata beliau yang juga naib presiden PAS.

Berhubung anggapan sesetangah ahli PAS bahawa jawatan nombor satu dan dua dalam PAS perlu diisi oleh ulama selaras dengan dengan konsep Kepimpinan Ulama yang diperkenalkan parti itu, Mohammad berkata beliau sangat memahami konsep tersebut.

"Saya juga terlibat (sebagai exco pemuda PAS) ketika pemuda PAS membincangkan Kepimpinan Ulama dalam muktamar pemuda pada tahun 1982 di Bukit Mertajam bersama (Datuk) Mustapha Ali, Subky Latif dan exco-exco pemuda PAS yang lain," kata beliau.

Justeru kata Mohammad, beliau yakin tindakannya untuk bertanding jawatan nombor dua dalam PAS tidak bertentangan dengan konsep Kepimpinan Ulama itu sebagaimana yang beliau fahami.

Mohammad merupakan salah seorang pemimpin PAS yang paling banyak mendapat pencalonan untuk bertanding jawatan timbalan presiden daripada kawasan-kawasan PAS seluruh negara yang telah bermesyuarat selain penyandang jawatan itu, Nasharuddin Mat Isa dan seorang lagi Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa.

Konsep Kepimpinan Ulama diperkenalkan pada tahun 1982 dalam muktamar pemuda PAS dan kemudiannya dibentangkan dalam muktamar Agung PAS pada tahun yang sama seterusnya diluluskan.

Walaupun begitu, Perlembagaan PAS tidak menetapkan bahawa jawatan presiden dan timbalan presiden mesti dilantik dari kalangan ulama.

Bagaimanapun dalam perkembangan terbaru, timbulnya pandangan dari kalangan sesetangah ahli parti supaya jawatan presiden dan timbalan dikhususkan kepada kumpulan ulama sahaja.

Ekoran itu, konsep Kepimpinan Ulama kini menjadi isu hangat yang diperdebatkan dalam PAS serta memperlihatkan berlakunya perbezaan pandangan secara terbuka dikalangan pemimpin PAS.

Siasah turut difahamkan, satu usul untuk meminda perlembagaan PAS supaya jawatan presiden dan timbalan presiden dikhaskan kepada ulama turut akan dikemukakan ekoran perkembangan tersebut.

Mujahid sedia tanding naib presiden

KEPALA BATAS, 4 Mei: AJK PAS Pusat, Dr Mujahid Yusof berkata, beliau sedia bertanding untuk jawatan naib presiden PAS jika ada pencalonan untuknya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan mesyuarat agong PAS kawasan Kepala Batas bagi kali ke 31 yang telah diadakan di Dewan Orang Ramai Bakau Tua, Penaga, Kepala Batas.

Mujahid disebut-sebut sebagai salah seorang calon yang sesuai untuk menggantikan Salahudin Ayub sebagai ketua pemuda PAS.

Menurut Mujahid, beliau sudah lama meninggalkan exco Dewan Pemuda PAS.

Oleh kerana itu agak sukar bagi beliau untuk kembali menerajui kerusi tersebut yang akan dilepaskan oleh ketuanya yang ada.

"Namun begitu sekiranya ada pencalonan bagi saya meneruskan khidmat sebagai naib presiden maka saya akan menerima pencalonan tersebut.
"Tapi itu bergantung kepada pencalonan yang diterima apabila berakhirnya mesyuarat agong kawasan-kawasan tidak lama lagi," katanya.

Saturday, May 2, 2009

Agama anak: Macma juga bantah keputusan kabinet

PULAU PINANG, 2 Mei: Keputusan kabinet bahawa anak yang masih dibawah umur perlulah dibesarkan mengikut agama asal ibu atau ayahnya setelah mereka memeluk Islam telah dikecam hebat oleh Persatuan Cina Muslim Malaysia(Mecma).

Menurut Setiausaha Agong Mecma,Ann Wan Seng, tindakan kabinet itu memberi implikasi buruk yang cukup besar kepada perkembangan dakwah Islamiah dalam negara ini.

"Apabila ibu bapa menukar agama akan ada masalah sekiranya anak-anak tidak dibenarkan ikut sama. Ia akan menjejaskan institusi kekeluargaan. Bagaimana dalam satu keluarga anak yang perlu dibimbing oleh keluarga tetapi tidak dapat bertindak sedemikian oleh ibu dan bapa.

"Ini menunjukkan keputusan tersebut adalah menafikan hak terhadap anak-anak.Pencabulan terhadap hak asasi manusia,hak yang diperuntukan oleh agama serta hak yang sepatutnya dimiliki oleh kedua ibu bapa yang punyai hak dan tanggungjawab terhadap anak-anak mereka," katanya.

Beliau juga mendesak kerajaan supaya mengkaji semula serta menarik balik keputusan tersebut.

"Kerajaan sepatutnya membuat kajian terlebih dahulu dan mendapat maklum balas daripada Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.Mereka juga perlu memohon perkenan Tuanku Yang Di Pertuan Agong sebagai ketua agama dalam negara ini.

"Pasangan yang memeluk Islam sepatutnya menyelesaikan segala isu yang berkaitan perceraian dan penjagaan anak-anak di mahkamah syariah dan bukannya di mahkamah sivil.Saya yakin keputusan yang dibuat itu tidak dirujuk kepada ulama dan tiada perbincangan serius dengan pihak berkuasa agama Islam.

"Akhirnya inilah natijahnya sehingga menimbulkan kesan yang besar dalam membendung masalah kemurtadan dan kepada institusi keluarga Islam sendiri," katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...