Thursday, August 7, 2008

Anwar bebas dengan jaminan RM20,000

KUALA LUMPUR, 7 Ogos: Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan dengan jaminan peribadi sebanyak RM20,000 selepas mengaku tidak bersalah atas tuduhan meliwat Mohd Saiful Azlan Bukhari di Mahkamah Sesyen, Kompleks Mahkamah Jalan Duta hari ini.

Beliau tidak perlu menyerahkan pasportnya sebagaimana yang diminta pendakwaraya kerana "dia nampaknya tidak akan melarikan diri", kata hakim mahkamah Sesyen, SM Komarthy.

Anwar diminta datang semula ke mahkamah pada 10 September di mana tarikh perbicaraannya akan ditetapkan dan akan dipindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi.

Beliau tiba di mahkamah itu jam 9.30 pagi dengan diiringi oleh isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail dan anaknya, Nurul Izzah.

Turut berada di perkarangan mahkamah adalah Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa, Setiausaha Agung Dap Lim Guan Eng, Naib Presiden PKR, Azmin Ali dan hampir 500 penyokong.

Anwar didakwa di bawah seksyen 337B Penal Code iaitu atas tuduhan meliwat tanpa paksaan ke atas Saiful pada jam 3.01 hingga 4.30 petang di Unit 11-5-1 Kondo Desa Damansara, Kuala Lumpur.

"Ini tuduhan jahat dan saya tidak mengaku bersalah," kata Anwar menjawab pertuduhan itu.

Anwar dibela oleh tujuh peguam yang diketuai oleh Haji Sulaiman Abdullah. Peguam yang lain adalah R Sivarasa, Sankara Nair, Saiful Izham Ramli, Amer Hamzah, Edmund Bon and Leela J Jesuthasan.

Polis tahan Penarik Beca aka Bakaq


KUALA LUMPUR, 7 Ogos: Penulis blog Penarik Beca, Abu Bakar Mohamad Rashid masih disiasat polis dan direman hingga esok, kata peguam Mohamed Hanipa Maidin kepada Siasah.

Kata Hanipa, beliau telah meminta kebenaran daripada pihak polis tetapi tidak mendapat kebenaran.

Lewat malam semalam, sepasukan polis dari bahagian Jenayah Perdagangan menahan dan merampas komputer milik Abu Bakar jam 11 malam semalam.Beliau ditahan di rumahnya, di Taman Koperasi Polis, dekat Gombak, kata isterinya, Puan Salwa.
Hanipa memberitahu Abu Bakar disiasat di bawah Akta Hasutan.

Hanipa bagaimanapun menggesa semua pihak tidak membuat spekulasi berhubung siapa yang membuat laporan itu.

Gambar daripada penarikbeca.blogspot.com

Wednesday, August 6, 2008

PKR kecam keganasan terhadap petugas media

KUALA LUMPUR, 6 Ogos: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyesali keganasan membabitkan seorang petugas media dan orang awam di ceramah Ketua Umum KeADILAn Anwar Ibrahim di Seberang Jaya, Pulau Pinang pada 3 Ogos 2008 dan menafikan anggota keselamatannya terlibat dalam kejadian itu.

Demikian kata Ketua Penerangannya, Tian Chia dalam satu kenyataan medianya.

Dalam kejadian tersebut, seorang jurugambar wanita, Loh Hooi Hoon, dari akhbar Guang Ming Daily, dipukul oleh seorang lelaki yang tidak dikenali sedang beliau membuat liputan di ceramah berkenaan.

"PKR mengecam keganasan tersebut, yang berlaku di saat-saat Anwar Ibrahim menggerakkan kempen "Pakatan Rakyat Menuju Ke Putrajaya" menjelang pilihanraya kecil Permatang Pauh," katanya.

Menurut beliau, PKR telah menjalankan siasatan keatas hal ini dan mendapati bahawa lelaki yang mengasari Loh bukan anggota Skuad Keselamatan.

Ketua Skuad Keselamatan KeADILan di Permatang Pauh, Mazlan Mohd Zaid, mengesahkan perkara tersebut, katanya. Mazlan adalah saksi kejadian tersebut, dan membantu menyelamatkan Loh Hooi Hoon dari serangan lelaki misteri itu.
"Kami mengutuk keras serangan tersebut, yang mungkin dirancang oleh pihak tertentu bagi menimbulkan kekecohan dalam perhimpunan yang dihadiri lebih 30 ribu orang malam itu," katanya.

PKR dan Skuad Keselamatan bersedia bekerjasama dengan pihak polis dalam siasatan berkenaan peristiwa ini, tambah beliau. "Kami percaya kejadian seperti ini tidak dilakukan oleh petugas KeADILan, yang sentiasa mengalu-alukan kehadiran wakil media.

"Sesungguhnya kami berterima kasih kepada pihak media yang memberi liputan yang setimpal kepada KeADILan selama ini," tambah Tian lagi.

Pagi semalam (5 Ogos), Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail telah membuat panggilan kepada Loh bagi merakamkan kekesalan atas apa yang berlaku. Beliau berjanji perkara ini tidak akan berulangan.

Exco Kerajaan Pulau Pinang Law Choo Kiang (Timbalan Pengerusi PKR Pulau Pinang), Abdul Malik Abul Kassim (Setiausaha PKR Pulau Pinang) bersama dengan Mazlan bin Mohd Zain juga telah melawat ke Guang Ming Daily tengahari 5 Ogos lepas.

Anwar didakwa esok, penamaan calon 16 Ogos

KUALA LUMPUR, 6 Ogos: Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima saman hari ini dan diminta datang ke Mahkamah Jalan Duta jam 10 pagi, 7 Ogos esok. Ia dipercayai ada kaitan dengan dakwaan liwat yang dibuat ke atas beliau.

Dalam masa sama, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan pilihan raya kecil Permatang Pauh akan diadakan pada 26 Ogos manakala hari penamaan calonnya adalah 10 hari lebih awal iaitu 16 Ogos.

16 Ogos adalah hari kedua Muktamar PAS yang berlangsung di Stadium Indramulia, Ipoh, Perak.



Sementara itu, Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) mengecam keras penyerahan notis ke atas Dato' Seri Anwar Ibrahim yang meminta beliau hadir ke Mahkamah Majistret Jalan Duta esok, 7 Ogos 2008.

Ketuanya, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, tindakan ini adalah satu bentuk intimidasi politik ke atas Anwar dalam keadaan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) baru sahaja mengumumkan tarikh penamaan calon dan pengundian bagi Pilihanraya Kecil Parlimen Permatang Pauh iaitu ada 16 dan 26 Ogos depan.

AMK percaya bahawa tindakan ini adalah merupakan satu tindakan yang tidak berperi kemanusiaan yang bertujuan untuk menghalang Anwar untuk berkempen secara aktif seterusnya bertanding di dalam Pilihanraya Kecil tersebut.


"AMK tidak menolak bahawa wujudnya campurtangan politik yang melampau yang bertanggungjawab mencatur tindakan ini demi memastikan kemaraan rakyat pimpinan Anwar terus mara menghampiri Putrajaya kelak," katanya lagi.


Justeru, AMK menggesa agar pihak mahkamah, sekiranya terdapat kes yang disabitkan ke atas Anwar, hendaklah memberikan ikat jamin ke atas beliau dan tidak menafikan hak beliau sebagai warganegara yang dijamin haknya sebagaimana dinyatakan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Saturday, August 2, 2008

Ezam: Hasil turning over terbaik

KUALA LUMPUR, 2 Ogos: Bekas Ketua Pemuda Parti Keadilan Rakyat, Ezam Mohd Nor disifatkan sebagai hasil kerja terbaik 'turning over' (pengubahan minda dan sikap) pasukan Cawangan Khas.

Kerja 'turning over' itu dijangka berlaku semasa Ezam menjalani hukuman penjara kerana didapati bersalah di bawah Akta Rahsia Rasmi.

Ahli Majlis Tertinggi PKR yang turut bersama menjadi setiausaha kepada Anwar ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri, Khalid Jaafar berkata, jika tidak masakan Ezam boleh menulis surat panjang kepada Perdana Menteri menjelang pembebasannya dari penjara sebelum ini.
"Ezam juga tahanan ISA yang paling diraikan tetapi dia tidak pernah mahu berada dalam satu sidang akhbar bersama mereka (tahanan ISA yang lain) dan juga mengelakkan diri dari berada dalam satu majlis dengan mereka," tulis Khalid Jaafar dalam Malaysia Insider.

Ezam telah menawarkan diri untuk menjadi calon BN bagi menentang bekas ketuanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh yang akan ditentukan tarikhnya tidak lama lagi.
"Ya, dia boleh tawarkan diri tetapi terserah kepada parti untuk memutuskannya," kata Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika mengulas tawaran Ezam itu.

Ketua Umno Permatang Pauh, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid menolak Ezam dan berkata, pihaknya mahukan anak tempatan Permatang Pauh untuk bertanding.

Bekas calon BN di situ, Datuk Pisdaus Ismail pula bersedia untuk mencuba buat kali ketiga di situ.

Menurut Khalid, Ezam hanya dua tahun sahaja berkhidmat untuk Anwar iaitu sebagai Setiausaha Politik. Dia menjadi Setiausaha Akhbar Anwar lebih 10 tahun begitu juga Azmin Ali juga berkhidmat lebih 10 tahun.

"Saya menyesal kerana memberikan sokongan yang kuat ketika mahu mengambil Ezam bekerja dahulu," kata Khalid lagi dalam tulisannya.

Friday, August 1, 2008

Mat Dalam cabar Shabery di Kemaman

KUALA LUMPUR, 1 Ogos: Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek akan menghadapi tentangan dalam pemilihan timbalan ketua Umno Bahagian Kemaman apabila Mat Dalam Awang, 55, mengumumkan beliau menawarkan diri untuk jawatan itu.

Mat Dalam, bekas Pengerusi Tetap Umno Kemaman datang sendiri ke pejabat Siasah dekat sini bagi memaklumkan perkara itu.
"Kenapa saya mahu mencabar Shabery senang sahaja. Kerana Umno Kemaman memerlukan seorang yang boleh memberikan fokus kepada bagi kerpentingan ahli bahagian ini," katanya kepada Siasah.

Sedangkan, katanya, Shabery gagal berbuat demikian dan banyak menghabiskan masanya di Kuala Lumpur.

"Umno Kemaman memerlukan timbalan ketua bahagian yang bekerja secara sepenuh masa untuknya bagi membantu ketua bahagian yang kini adalah Menteri Besar," kata Mat Dalam yang terkenal dengan panggilan Penghulu Dalam ini.

Ketua Bahagian Kemaman adalah Datuk Ahmad Said, MB Terengganu sekarang.
Dalam mengakui, Shabery memang pandai bercakap.

"Sebab itu dia boleh berdebat dengan (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) baru-baru ini. Tetapi kerja belum tentu bahkan tidak," katanya kepada Siasah.

Atas dasar itu, katanya, dia menawarkan diri untuk bertanding timbalan ketua bahagian yang disandang oleh Shabery sekarang bagi memantapkan jawatankuasa Umno bahagian Kemaman itu.

Menurut Dalam, ketika perasmian mesyuarat agung berkelompok cawangan-cawangan Umno bahagian Kemaman pada 17 dan 18 Julai baru-baru ini Shabery tidak menghadiri.

Selain itu, Dalam mendakwa, ahli Umno marahkan Shabery kerana kegagalan beliau mempertahankan dasar kerajaan dalam debat dengan Anwar baru-baru ini.

"Bagi saya, Shabery tidak patut berdebat dengan Anwar baru-baru ini. Inilah masalahnya apabila Shabery tidak sedar Anwar bukan calang-calang orang untuk berdebat dengannya," kata Dalam kepada Siasah.

Selain itu, katanya, Shabery juga gagal mematuhi peraturan biasa dalam debat.

"Masa saya sekolah dulu, kalau kita berdebat dan serang peribadi orang, kita akan dipotong markah. Kenapa Shabery buat perkara ini masa debat dengan Anwar?. Ini yang kecewakan ahli Umno," kata Dalam.

Muktamar terbuka untuk wartawan

IPOH, 1 Ogos: Walaupun muktamar PAS kali ini dijangka akan panas dengan pelbagai isu yang sedang berlaku sekarang, ia akan dibuka sepenuhnya kepada wartawan.

Orang ramai juga boleh mengikuti siaran secara langsung muktamar ini melalui webtv.

Perkara ini disahkan oleh Ketua Publisiti Penitia muktamar ini, Misbahul Munir Masduki.

Selain mendengar perbahasan panas dari perwakilan dan pemimpin PAS, para peserta Muktamar PAS juga akan dapat berhibur dengan beberapa persembahan pentas, katanya.

Antaranya adalah nasyid, pentomin, nyanyian lagu-lagu ketuhanan dan juga pembacaan puisi. Persembahan itu akan dibuat di tapak gerai bersebelahan dengan Stadium Indramulia.

Muktamar kali ini akan bermula dengan perasmian Muktamar Dewan Pemuda PAS pada 13 Ogos jam 9 malam di Stadium Indramulia. Ia akan dirasmikan oleh Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa.

Pada 14 Ogos mulai jam 8.00 pagi, Dewan Ulamak akan bermuktamar di Dewan Dewan Bandaraya Ipoh manakala Dewan Muslimat di dewan hotel Hillcity.

Muktamar PAS Pusat pula akan bermula jam 8.00 pagi pada 15 Ogos di Stadium Indramulia.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dijangka akan memberikan Ucapan Dasarnya di majlis perasmian muktamar itu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...