Tuesday, August 2, 2011

Kematian peserta demo Bersih, BN terus ditekan

Kematian Baharuddin Ahmad yang menyertai demonstrasi Bersih pada 9 Julai lalu terus meningkatkan tekanan terhadap kerajaan Barisan Nasional.

Terbaharu, keluarga Baharuddin yang mendapat sokongan Pakatan Rakyat menuntut inkues diadakan ekoran pertikaian sebab kematian Allahyarham.

Kes Baharuddin menambah lagi kes kematian yang dipertanggungjawabkan ke atas pemerintah selepas Teoh Beng Hock dan Ahmad Sarbaini Mohamed.

Selepas kematian Teoh, pembantu wakil rakyat DAP dan anggota kastam Ahmad Sarbaini di bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, SPRM, kematian Baharuddin menjadi isu baharu yang menjadikan pentadbiran Najib defensif.

Kematian Teoh yang disiasat Suruhanjaya Diraja dinilai oleh BN sebagai memberi kelebihan kepada mereka ekoran keputusan yang menunjukkan Teoh membunuh diri.

Kematian Ahmad Sarbaini diputuskan siasatan forensik sebagai tidak mempunyai tanda bunuh diri atau dibunuh.

Kedua-dua kematian masih menjadi kontroversi dan dipertikaikan sesetengah pihak terutama pembangkang, yang kelihatan masih tidak berpuas hati dan mahu kerajaan dipertanggungjawabkan.

Ketiga-tiga kematian mempunyai elemen politik yang membolehkan pihak berkepentingan mengambil kesempatan untuk membina sentimen sokongan dan tentangan terhadap pemerintah.

Parti-parti PR kini meningkatkan kempen untuk mengekalkan momentum Bersih 2.0 dengan kematian Baharuddin menjadi salah satu isu utamanya, pada masa sama blog-blog propemerintah mengecam PR kerana didakwa "mempolitikkan" kematian Baharuddin.

Kematian dalam protes menentang pemerintah menjadi antara isu tumpuan yang menyumbang kepada kejatuhan kerajaan dalam kebangkitan di Tunisia dan Mesir. Kematian peserta demonstrasi menjadi salah satu ciri utama kebangkitan di dunia Arab, dan menjadikan rejim terbabit kecaman masyarakat antarabangsa.

Pakatan pembangkang dilihat menjadikan kebangkitan di Afrika Utara dan Asia Barat sebagai model untuk membina sentimen negatif terhadap kerajaan BN di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak.

PR mengadakan siri forum dan ceramah selepas tercetus kebangkitan di dunia Arab dan memberi fokus pada persamaan suasana politik di negara terbabit dengan Malaysia, seperti penguasaan elit politik yang mengaut kekayaan secara tidak adil.

Antara persamaan yang ditumpukan ialah isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor yang dijadikan sasaran kritikan dan sindiran kerana disamakan dengan wanita-wanita pertama rejim Tunisia dan Mesir yang mewah berlebihan.

Protes Bersih 2.0 pada awal Julai merupakan sebahagian usaha meneruskan momentum menuju Pilihan Raya Umum ke-13 yang semakin hampir.

1 comment:

Anonymous said...

Berhubung isu kematian Encik Baharuddin bin Ahmad, sungguh kasihan kepada Allahyarham dan ahli keluarganya yang telah dipolitikkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk meraih populariti politik murahan. Sepatutnya penganjur BERSIH yang perlu dipersalahkan kerana mengadakan demontrasi liar merosakkan keamanan negara sesuka hati mereka seolah-olah hanya mereka sahaja manusia di negara ini sedangkan orang lain bukan manusia, sebabnya, penganjur BERSIH cakap mereka berdemontrasi liar atas alasan hak asasi manusia, maka orang lain yang mendapat susah kerana demontrasi liar itu bukan manusialah pada pemikiran penganjur BERSIH sebab tidak pedulikan kesusahan orang lain.

Selain itu, isu Suhardi bin Md. Isa yang berlakon sebagai Allahyarham Baharuddin bin Ahmad, apa cerita pula? Hingga sebegini rupa pihak Pakatan Rakyat dan gerombolan BERSIH sanggup bermain politik, bersandiwara di sana sini untuk merosakkan pemikiran masyarakat. Saya tidak tahulah apa jenis manusia dalam Pakatan Rakyat dan gerombolan BERSIH yang sanggup menyusahkan orang, menjadi perosak, menjadi penghasut, pemecah belah keharmonian masyarakat, merosakkan ekonomi negara hingga berlaku inflasi, bila harga barang naik, salahkan kerajaan pula sedangkan lihatlah siapa si buta kayu yang bangang melakukan pelbagai kegiatan yang tidak elok terhadap negara ini kalau bukan Pakatan Rakyat. Pakatan Rakyat ini tidak ubah seperti parasit, kehadirannya hanya menyusahkan orang, merosakkan masyarakat dan menjadi penjahanam keamanan negara kerana tamakkan kuasa politik. Kalau dengan cara sah dan elok seperti pilihanraya Pakatan Rakyat ditolak oleh rakyat, maka mereka menggunakan taktik kotor untuk menang pilihanraya dengan menghasut masyarakat supaya membenci kerajaan, tetapi sebelum itu Pakatan Rakyat menjadikan keadaan haru biru, bila negara bermasalah, maka Pakatan Rakyat pun menuduh Barisan Nasional sebagai Kerajaan Malaysia menyebabkan keadaan haru biru berkenaan sedangkan petualang sebenar adalah Pakatan Rakyat. Pakatan Rakyat patut cermin diri, terutama sekali para tok guru, ulama, ustaz, ustazah, syeikh dan lain-lainnya dalam PAS yang kononnya ingin menegakkan negara Islam, tetapi perlakuan mereka ikut cara Islamkah? Hari-hari mereka menderhaka kepada ulil-amri (Kerajaan Malaysia - Barisan Nasional), apakah Islam membenarkan keadaan sedemikian rupa? Sudah tentu tidak, PAS dan Pakatan Rakyat mempolitikkan agama untuk kepentingan politik sedangkan pihak kerajaan Barisan Nasional tidak pula bersikap sedemikan kerana Barisan Nasional bersikap profesional dan rasional, tetapi Pakatan Rakyat pula bersikap iri hati, tamak haloba, dengki, khianat dan emosional dalam tindakan. Sebab itulah setiap kali pilihanraya Barisan Nasional menang sebab kualiti Barisan Nasional adalah tinggi, bukan macam Pakatan Rakyat, lebih teruk dari sampah, kerana menjadi parasit perosak negara dan masyarakat.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...