Saturday, July 19, 2014

Implikasi global tragedi MH17

Oleh HARIS ZALKAPLI

Malaysia ditimpa tragedi penerbangan kedua dalam tempoh empat bulan, apabila pesawat Penerbangan Malaysia MH17 terhempas akibat ditembak jatuh di wilayah berkonflik Ukraine, dekat dengan sempadan Rusia.

Kedua-dua insiden malang ini muncul menjadi peristiwa penentu penting dalam geopoltik dunia, dengan Malaysia menjadi negara yang tersepit dan dipaksa memainkan peranan yang kritikal, pada masa sama Kuala Lumpur berusaha mengimbangi kuasa-kuasa besar yang terlibat.

Sejurus laporan dan ulasan peristiwa ini muncul di media, satu konsensus dalam media Barat kelihatan telah dicapai, mengaitkan pemberontak pro-Rusia malah tentera Rusia sendiri sebagai pihak yang bertanggungjawab.

Media Amerika Syarikat dan negara-negara Barat lain telah membina dan terus mengekalkan naratif kaitan kumpulan pemberontak pro-Rusia dan pertanggungjawaban Moskow dengan kemalangan pesawat MH17 sejak awal, dan pada masa sama segera memberi gambaran implikasi geopolitik peristiwa ini.

Presiden AS Barack Obama segera membuat kenyataan amaran kepada Rusia dan pemberontak agar tidak mencemarkan lokasi pesawat terhempas, dan menyatakan kesediaan AS untuk membantu siasatan kepada Presiden Ukraine Petro Poroshenko, yang menyatakan kesediaan menerima penyiasat antarabangsa.

Naib Presiden Joe Biden pula menegaskan yang peristiwa itu bukan satu kemalangan yang tidak disengajakan. Menurutnya, apa yang jelas daripada yang dapat diperhatikan ialah pesawat Malaysia itu ditembak.

Bekas Setiausaha Negara Hillary Clinton menyampaikan kenyataan keras, mengatakan bahawa ada petunjuk kuat yang pemberontak pro-Rusia bertanggungjawab. Tegasnya, tindakan perlu diambil untuk menyampaikan mesej kepada Putin yang beliau telah bertindak berlebihan.

John McCain, senator yang menganggotai jawatankuasa hubungan luar senat, walaupun menegaskan tidak akan menuduh mana-mana pihak selagi tiada bukti, menyatakan yang Rusia bakal berdepan tindakan keras sekiranya terbukti pihak Rusia atau pemberontak pro-Rusia terlibat menembak MH17.

Sekutu kuat AS di Asia Pasifik, Australia juga telah menunjukkan pandangan yang selari dengan AS dan menjadi sekutu paling lantang menyuarakan pandangan yang kritikal terhadap Rusia.

Perdana Menteri Tony Abbott mengatakan di parlimen yang peristiwa itu kelihatan lebih sebagai satu tindakan jenayah berbanding kemalangan.

Abbott turut menegaskan yang Rusia tidak boleh berdiam diri kerana kejadian berlaku di kawasan pemisah yang disokong Rusia.

Implikasi geopolitik insiden ini telah jelas dapat diperhatikan sejak awal, ekoran kenyataan-kenyataan dari Barat dan kedudukan Ukraine sebagai titik panas dalam hubungan Rusia dengan Barat.

Ukraine di bawah kepimpinan baharu kini ialah sekutu rapat Washington dalam persaingan dengan Rusia di wilayah pasca-Soviet yang masih menyaksikan penguasaan dan tindakan agresif Rusia, yang semakin meningkat di bawah Presiden Vladimir Putin kini.

Ukraine menghadapi kebangkitan rakyat yang menjatuhkan pemerintah pro-Moskow pada penghujung 2004 hingga awal 2005, tetapi pemerintah pro-Moskow di bawah Presiden Viktor Yanukovych kembali menang selepas beberapa tahun, hingga dijatuhkan awal tahun ini oleh kelompok pro-Barat.

Sebagai respons, Mac lalu Rusia menakluk Crimea, wilayah Ukraine berbentuk semenanjung di Laut Hitam, dalam satu tindakan mengejutkan dan meningkatkan permusuhan antara Rusia dengan Barat, terutama AS.

Crimea yang terletak dalam kawasan yang lebih cenderung ke Rusia menempatkan pengkalan tentera laut Rusia di Laut Hitam, di Sevastopol.

Pangkalan Sevastopol ialah pangkalan tentera laut Rusia di kawasan penting, di wilayah bersempadan dengan negara-negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara, Nato, dan tidak beku semasa musim dingin.

Konflik terus berlangsung di Ukraine, apabila kumpulan militan pemisah disokong Rusia terus aktif di wilayah timur Ukraine yang didiami majoriti penduduk cenderung ke Rusia.

Perkembangan terbaharu ini meningkatkan konfrontasi antara Rusia dengan Barat, dan memberi peluang kepada AS dan sekutu meningkatkan tekanan dan mengolah tindakan baharu terhadap Putin dan Moskow.

Ini meningkatkan lagi kepentingan kritikal Malaysia dalam percaturan politik kuasa besar global, yang menyaksikan kemungkinan peningkatan konflik bersenjata.

Tragedi MH17 di Ukraine berlaku kurang sehari selepas AS dan Eropah mengumumkan sekatan baharu terhadap syarikat-syarikat penting Rusia, termasuk institusi kewangan dan syarikat tenaga.

Peristiwa ini sedang menyaksikan kesan negatif kepada Rusia, apabila AS dan sekutu-sekutu telah melemparkan kritikan terhadap Rusia, yang tertumpu pada pertanggungjawaban Rusia kerana membekalkan peralatan perang yang canggih kepada pemisah di Ukraine, negara yang kini dikuasai pemerintah pro-Barat.

Obama, dalam sidang medianya pada Jumaat menegaskan solidariti dengan negara-negara yang terlibat, dan menekankan sekali lagi keperluan kerjasama negara-negara terlibat termasuk Rusia dan agar kawasan kemalangan tidak dicemar dan keperluan penyiasat antarabangsa yang bebas.

Beliau juga menyatakan yang bukti menunjukkan pesawat Penerbangan Malaysia itu ditembak jatuh menggunakan senjata buatan Rusia dari kawasan dikuasai pemberontak, yang kemungkinan besar dibekalkan oleh Moskow kepada pemberontak.

Penyiasat antarabangsa yang bebas ini ditegaskan sejak awal bersama presiden Ukraine dan Perdana Menteri Malaysia Dato' Seri Mohd Najib Abdul Razak, yang bermaksud sebagai satu amaran kepada Rusia tidak menghalang siasatan ke atas insiden ini yang berlaku di wilayah dikuasai pemisah pro-Rusia.

Pada Jumaat, penyiasat Organisasi bagi Keselamatan dan Kerjasama di Eropah, OSCE, telah tiba di lokasi insiden. Pemberontak dikatakan menghalang akses kepada kawasan pesawat terhempas, dan kemungkinan penglibatan mereka bakal mendorong lagi tindakan menyekat penyiasat luar.

Obama juga dalam ucapan itu menegaskan pendirian AS mendesak gencatan senjata dilaksanakan segera di wilayah berkonflik di timur Ukraine itu.

Kejadian MH17 ini melibatkan pihak utama yang merupakan sekutu rapat AS seperti Belanda, Malaysia, Australia dan Ukraine. Hal ini membolehkan AS memimpin respons terhadap kejadian ini dan kesan-kesannya kemudian.

Dalam sidang media itu Obama juga menegaskan bahawa konflik di Ukraine kini memperlihatkan implikasi globalnya yang tidak boleh diabaikan lagi oleh dunia.

Setakat ini, Washington secara rasmi masih tidak menunjukkan kecenderungan untuk secara terbuka dan keras menekan Rusia, tetapi secara konsisten membina sokongan daripada masyarakat antarabangsa untuk menunjukkan respons yang seragam.

Perkembangan ini bermakna Malaysia kini berdepan kemungkinan menghadapi ujian dalam hubungan dengan Rusia, selepas hubungan dengan China terjejas akibat peristiwa kehilangan MH370 empat bulan lalu.

Najib dijangka menyelaraskan pandangan dan tindakan dengan Washington, seperti yang disaksikan dalam respons terhadap MH370 yang melibatkan AS dan China.

China dan Rusia ialah sekutu yang semakin merapatkan hubungan dan kerjasama dalam politik, perdagangan dan ekonomi sejak kebelakangan ini, yang berjalan selari dengan kemerosotan hubungan dengan AS.

Kedua-dua negara ialah sebahagian daripada lima negara kuasa ekonomi dan politik yang pantas meningkat yang digelar Brics, menggabungkan Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan.

Gabungan ini baru-baru ini mengumumkan penubuhan bank pembangunan yang dilihat sebagai pencabar kepada Bank Dunia dan Dana Kewangan Antarabangsa, IMF, dan pada masa yang sama melaksanakan urusniaga yang meningkatkan profil mata wang yuan China.

Latar ini, walaupun tidak boleh dikaitkan terus dengan insiden MH17 dan respons Barat, menampakkan persaingan global kuasa-kuasa besar terbabit, dan mungkin menambahkan motivasi kepada AS untuk terus menekan Rusia.

Rusia telah kelihatan terkesan akibat insiden ini sejak awal, dan dijangka berdepan lebih tekanan dalam sidang kemuncak Kumpulan 20, G 20, di Australia. Insiden ini bukan pertama kali peristiwa yang memalukan Kremlin berlaku menjelang sidang antarabangsa yang berprofil tinggi.

Perkembangan ini menunjukkan Malaysia kini terlibat lagi dalam persaingan kuasa besar dunia, yang implikasinya bakal mempengaruhi politik global, terutama melibatkan hubungan AS dan sekutu dengan Rusia.

Ini mendedahkan Malaysia kepada cabaran keselamatan yang semakin meningkat, yang disukarkan lagi oleh peranan besar kuasa-kuasa global yang mempunyai hubungan baik dengan Kuala Lumpur. - Julai 18, 2014

Wednesday, July 16, 2014

Peranan Perancis dalam konflik di dunia Islam

Perancis ialah kuasa penjajah yang berperanan besar dalam membentuk Asia Barat seperti yang dikenali hari ini, melalui peranannya menetapkan sempadan baharu bersama Inggeris selepas keruntuhan Empayar Uthmaniyah.

Perancis membentuk Syria dan Lubnan, dua jajahan diperolehinya selepas perpecahan Uthmaniyah, dan bersama Inggeris berperanan membentuk sempadan negara-bangsa yang dikenali di Asia Barat pada hari ini.

Kuasa kolonial Perancis juga sampai ke Afrika, membentuk negara-negara yang berbahasa Perancis dan memilih serta mengekalkan pemerintah-pemerintah diktator hingga ke hari ini.

Selepas berakhir Perang Dunia ke-2, Perancis berundur dari arena antarabangsa, sekurang-kurangnya berundur daripada peranannya sebelum ini, dan mengambil peranan lebih kecil dalam politik dunia.

Walau bagaimanapun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Perancis mula muncul dengan dasar luar agresif di arena antarabangsa, tindakan yang dilihat sebagai satu usaha menempatkan kembali Perancis sebagai kuasa besar berpengaruh.

Pada 2011, Perancis di bawah Presiden Nicolas Sarkozy bersama Inggeris mendepani usaha untuk menjatuhkan pemimpin Libya Muammar Gaddafi yang ditentang pemberontak.

Sarkozy yang mula menjawat jawatan presiden Perancis pada 2007 telah membawa satu haluan baharu dasar luar negara itu, merapatkan hubungan dengan AS dan menyertai semula struktur pemerintahan Nato.

Sarkozy juga menunjukkan pendirian selari dengan AS berhubung Iran, dengan menegaskan yang program nuklear Iran sebagai satu ancaman, hingga menggambarkan yang Iran perlu diserang.

Perancis juga, sebagai salah sebuah negara anggota Majlis Keselamatan PBB, menunjukkan sikap konsisten menyokong resolusi meningkatkan sekatan terhadap Iran.

Paris dan London bersama-sama membina kes untuk campur tangan secara ketenteraan di Libya untuk menewaskan Gaddafi, dan akhirnya menghasilkan Resolusi Majlis Keselamatan 1973 yang diterima pada 17 Mac 2011, menguatkuasakan zon larangan terbang tetapi telah dijadikan alasan membenarkan serangan, dilakukan bersama Amerika Syarikat dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara, Nato.

Perancis turut menghantar bekalan senjata dan makanan untuk pemberontak Libya, meningkatkan lagi konflik bersenjata di negara Afrika utara itu.

Semasa pertempuran antara pemberontak dan kerajaan Gaddafi berlangsung, Perancis menjadi negara pertama mengiktiraf kerajaan ditubuh pemberontak, Majlis Transisi Nasional, NTC, sebagai kerajaan Libya yang sah, ketika negara-negara lain masih berwaspada dan tidak mahu terburu-buru.

Pada masa itu, Perancis mula mendapat perhatian di peringkat antarabangsa disebabkan tindakannya mendorong dan terlibat dalam operasi tentera di Libya itu hingga akhirnya berhasil menewaskan Gaddafi.

Tindakan Paris itu bertentangan dengan keengganannya menyokong kempen ketenteraan pimpinan AS di Iraq sedekad lalu, hingga menjejaskan hubungan baik dengan Washington.

Kali ini, Paris mendepani usaha memulakan tindakan ketenteraan di sebuah negara asing dan Washington mengikuti dari belakang.

Presiden Barack Obama pada masa itu telah menampakkan kecenderungan untuk tidak terlibat dalam konflik, selepas kompleksiti di Iraq dan Afghanistan yang masih berlarutan.

Di bawah Presiden Francois Hollande, Perancis meneruskan dasar luar campur tangan, dengan menghantar tentera ke Mali dan Republik Afrika Tengah, dua negara bekas jajahannya.

Pada Januari 2013, Perancis menghantar tentera ke Mali untuk menangani konflik di negara yang menghadapi kesan militarisasi konflik Libya itu, dan pada November, tentera Perancis dikerahkan ke Republik Afrika Tengah untuk menangani konflik sektarian antara Kristian dengan Muslim.

Pentadbiran Hollande juga menunjukkan sikap keras terhadap Tehran, seperti yang ditunjukkan oleh Sarkozy. Tentangan Perancis menyebabkan rundingan awal Barat dengan Iran berhubung program nuklearnya gagal mencapai persetujuan.

Di bawah Hollande, konflik di Syria sedang berlangsung, dan Perancis tidak melepaskan peluang mengambil kesempatan ini untuk melonjakkan lagi nama dalam politik global.

Di Syria, Paris sekali lagi menjadi penyokong kuat pihak pemberontak dan menggesa tindakan ketenteraan terhadap rejim yang ditentang.

Pada November 2012, selepas terbentuk gabungan pemberontak Syria yang baharu dan lebih merangkumi pelbagai kumpulan, Perancis menjadi negara Barat pertama mengiktiraf kumpulan itu, Pakatan Nasional Syria, SNC.

Paris menganggap SNC sebagai wakil tunggal rakyat Syria, dan bakal membentuk kerajaan demokratik di negara itu selepas kerajaan Bashar al-Assad digulingkan.

Tindakan Perancis itu, seperti pengiktirafannya untuk kumpulan pemberontak Libya, bertujuan meningkatkan kredibiliti pemberontak Syria - yang sejak awal sentiasa dibelenggu pertikaian dan pergeseran dalaman hingga tidak menampakkan kewujudan pembangkang yang kredibel - dan menggerakkan usaha untuk bertindak keras ke atas Bashar ke hadapan.

Tindakan Perancis itu membawa tekanan kepada negara-negara Barat lain terutama AS untuk turut sama mengiktiraf kumpulan pemberontak itu dan mempercepatkan usaha menjatuhkan Bashar melalui cara ketenteraan.

Tindakan dasar luar Perancis, terutama melibatkan campur tangan ketenteraan, walau bagaimanapun banyak bergantung kepada kesediaan Washington untuk bertindak, seperti disaksikan dalam kes Syria dan Iran.

Hollande lebih bebas bertindak di bekas jajahan Perancis di Afrika, tetapi memerlukan kerjasama AS dan sekutu-sekutu Barat untuk bertindak di Asia Barat dan Afrika Utara.

Di Libya, tindakan ke atas Gaddafi dapat diambil segera, antaranya disebabkan kepentingan Inggeris dan negara Eropah lain dari sudut ekonomi dan pada masa sama kesediaan Obama menyokong tindakan itu.

Di Syria, bekas jajahan Perancis di Asia Barat, keadaan jauh lebih kompleks berbanding Libya, dan Damsyik turut mempunyai sekutu kuat, Iran dan Rusia yang memberikan bantuan sokongan politik dan ketenteraan.

Bermula dengan Sarkozy dan diteruskan oleh Hollande, dasar luar baharu ini menampakkan kesediaan Perancis untuk mengambil posisi yang lebih tinggi dalam politik serantau Asia Barat dan Afrika Utara, dan konflik di Syria telah menyediakan peluang kepada Paris untuk menggerakkan agendanya.

Kepentingan politik domestik memainkan peranan dalam mendorong tindakan Sarkozy dan Hollande, tetapi haluan dasar luar bukan digerakkan semata-mata oleh perkiraan politik pilihan raya.

Perancis mempunyai kepentingan untuk muncul sebagai sebuah kuasa yang disegani dan diyakini dalam politik antarabangsa, pada masa seluruh rantau Asia Barat dan sekitarnya berdepan perubahan yang meluas.

Pada masa pengaruh AS semakin merosot dan menumpukan perhatian kepada Asia Timur yang sedang berdepan kebangkitan pantas China, Perancis melihat peluangnya untuk menjadi kuasa dunia berpengaruh. - Julai 7, 2014

Sunday, July 13, 2014

Gaza diserang, siapa bantu Hamas hadapi serangan Israel?

Setiap kali berlaku serangan ke atas Gaza di Palestin, atau sebarang konflik dalam wilayah dunia Islam, Pertubuhan Kerjasama Islam, OIC, sering disebut dalam kenyataan-kenyataan, mendesak pertubuhan terbesar masyarakat Islam dunia itu bertindak.

Malangnya, realiti politik aliansi global tidak membenarkan peranan yang besar itu diambil oleh OIC, sebuah pertubuhan yang dikuasai oleh Arab Saudi dan tidak melibatkan diri dalam isu politik yang rumit.

Negara-negara Arab yang secara tradisi menguasai dunia Islam dan sekaligus OIC ialah Arab Saudi dan Mesir, dua negara yang juga sekutu kuat Amerika Syarikat.

Dua negara ini ialah negara yang tidak senang dengan Ikhwan al-Muslimin dan Hamas, kumpulan yang umumnya berkongsi falsafah perjuangan yang sama.

Maka, amat sukar untuk melihat OIC yang dikuasai Saudi dan Mesir berupaya mengambil tindakan yang tegas dalam isu Palestin.

Mesir di bawah Abdel Fatah al-Sisi kini lebih kuat memusuhi dua kumpulan ini, dan tidak dapat diharapkan sama sekali untuk membantu dalam kes Gaza.

Dalam dunia Arab, politik serantau seperti konflik Syria dan Iraq biasanya ditangani melalui Liga Arab, yang kini juga dikuasai oleh Arab Saudi dan sekutu-sekutunya di Teluk Parsi.

Tindakan paling tegas diambil oleh Liga Arab sejak beberapa tahun lalu, pada 2011, ialah menggantung keahlian Syria, dalam satu tindakan yang memperlihatkan persaingan serantau melibatkan konflik di negara itu.

Syria yang bersekutu dengan Iran sejak 1979 kini digugat oleh Saudi, Qatar, Turki dan negara sealiran yang lain dalam usaha melemahkan paksi Syria-Iran dan kumpulan-kumpulan yang disokong mereka, yang paling utama Hizbullah dan Hamas.

Syria dan Iran - dan juga Sudan - memainkan peranan penting dalam mengukuhkan kekuatan persenjataan Hamas dan Hizbullah dalam berdepan dengan Israel.

Syria dan Iran ialah pembekal utama senjata kepada Hamas dan Hizbullah, yang menjadi satu sebab AS yang melindungi Israel mahu pakatan Syria-Iran diputuskan.

Selain dua negara itu, Sudan berperanan sebagai satu saluran bekalan senjata dari Iran ke Hamas dan Hizbullah. Kilang senjata, yang satu destinasinya utamanya ialah Gaza, turut beroperasi di wilayah Sudan.



Pada tahun 2012, sebuah kilang senjata di Sudan, tidak jauh dari Khartoum, dibom, dipercayai oleh Israel sebagai usaha menjejaskan bekalan senjata kepada musuhnya di Gaza dan Lubnan.

Kilang tersebut dikatakan dimiliki oleh Iran, dan dioperasikan untuk membekalkan senjata kepada musuh-musuh Israel di kawasan Syam.

Sudan sebelum itu pada 2009 menjadi sasaran serangan udara, dipercayai oleh AS ke atas konvoi membawa senjata. Satu serangan pada Januari dan satu lagi pada Februari, 2009, dilaporkan mengorbankan 88 orang.

Hari ini, Iran masih membekalkan senjata kepada Hamas - dan juga semakin banyak kepada Jihad Islami - yang berdepan dengan serangan Israel.

Realiti politik serantau menunjukkan yang kuasa-kuasa Arab tidak diyakini untuk berdepan secara tegas dengan Israel, akibat pelbagai kepentingan dan keterbatasan.

Sebuah lagi negara Islam, Turki, telah menunjukkan kesediaan berdepan dengan Israel pada tahap tertentu, tetapi kedudukannya sebagai anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara, Nato, menghalangnya daripada bertindak lebih tegas.

Realiti politik rantau Arab mendedahkan kompleksiti yang menjadikan sebarang tindakan tegas ke atas Israel sukar dilakukan oleh kuasa-kuasa Arab, terutama Mesir yang bersempadan dengan Gaza, yang kini dipimpin oleh al-Sisi.

Kekuatan dan iltizam politik yang lebih kuat diperlukan oleh kerajaan-kerajaan negara Islam untuk membantu umat di Palestin.

Ini tidak bermakna usaha membantu terhad kepada kerajaan, kerana pertubuhan-pertubuhan kemanusiaan telah menunjukkan kemampuan dalam membantu warga Palestin. Tetapi, realiti politik melibatkan persaingan kuasa-kuasa di dunia Islam ini menjadikan penyelesaian masalah Palestin menjadi semakin sukar, dan bermakna serangan ke atas Gaza akan terus berulang.

Dalam menangani isu kekejaman Israel, selain bantuan kemanusiaan, penyelesaian politik tetap diperlukan kerana faktor kuasa negara yang menjadi penentu besar dalam hal ini.

Tetapi, pada masa sama, perhatian yang serius juga perlu diberikan pada umat Muslim di negara-negara lain yang juga berdepan kezaliman seperti di Burma, Thailand, Filipina, dan Sri Lanka. - Julai 11, 2014

Wednesday, July 9, 2014

Tragedi nasional Brazil

Tuan rumah Piala Dunia Fifa 2014, Brazil, mengalami kekalahan besar yang memalukan dan mengejutkan dalam perlawanan separuh akhir menentang Jerman hari ini, dengan Jerman menjaringkan tujuh gol dan Brazil hanya mendapat satu gol yang tidak membawa banyak kesan.

Bagi Brazil, negara yang telah membelanjakan AS$11 bilion untuk menjadi tuan rumah tahun ini, kekalahan ini merupakan satu tragedi nasional yang besar, dan berupaya mencetuskan krisis sosial dan politik yang mendalam.

Kedudukan Brazil sebagai kuasa bola sepak dunia terjejas teruk akibat kekalahan ini, dan kini memaksa penilaian semula, refleksi diri dan debat nasional yang kritikal oleh pasukan yang dianggap paling berjaya dalam Piala Dunia itu, memenangi piala paling berprestij bola sepak itu sebanyak lima kali.

Kekalahan paling teruk Brazil sebelum ini, dengan agregat yang sama, berlaku 94 tahun lalu, iaitu kekalahan dengan Uruguay pada 1920, dengan jaringan 6-0, peristiwa yang telah lama hilang daripada ingatan.

Pada 1950, Uruguay sekali lagi mendatangkan bencana kepada Brazil apabila menewaskan pasukan tuan rumah di laman sendiri dalam perlawanan akhir Piala Dunia, ketika Brazil dianggap sebagai pasukan yang pasti menang.

Peristiwa itu, yang dikenang sebagai Maracanazo, kini diangkat kembali ekoran kekalahan teruk kepada Jerman hari ini. Brazil sebagai sebuah kuasa bola sepak dunia kini sekali lagi terpaksa berdepan kekalahan memalukan yang memberi kesan mendalam.

Laporan-laporan kritikal mengenai infrastruktur yang menelan belanja berlebihan dan gagal disiapkan dengan sempurna sehingga menuntut Presiden Dilma Rousseff membuat kenyataan menjawab kini kelihatan hanya kebimbangan yang kecil perlu dihadapi Brazil.

Pada masa sama, kritikan-kritikan berhubung impak sosial dan ekonomi penganjuran Piala Dunia ini melibatkan rakyat negara itu, terutama warga miskin yang terjejas, kini mendapat perhatian baharu.

Kos besar dan impak sosial penganjuran kejohanan ini telah menjadi isu yang membayangi pemimpin Brazil, dan kekalahan besar dengan Jerman ini bakal meningkatkan lagi implikasi politik terhadap pemerintah negara hos itu.

Protes dan rusuhan telah tercetus sejak sebelum kejohanan Piala Dunia ini berlangsung, tetapi kelihatan masih terkawal dan tidak mendatangkan kesan politik yang menjejaskan kepada Presiden Rousseff.

Rousseff bakal berdepan implikasi politik tragedi ini, terutama disebabkan pelbagai isu yang membelenggu penganjuran Piala Dunia kali ini, yang mendapat perhatian dan kritikan meluas dalam media antarabangsa.


Kepimpinan Presiden Rousseff berdepan satu ujian sukar, apabila kekalahan ini menambahkan ujian yang telah bermula dengan kritikan terhadap impak sosial penganjuran kejohanan ini.

Rousseff akan bertanding untuk mengekalkan jawatan presiden Oktober nanti, dan kejohanan Piala Dunia kali ini dapat menjadi satu perkara penting untuk dikemukakan sebagai satu kejayaan. Kekalahan ini berpotensi memberi kesan kepada peluang beliau nanti.

Piala Dunia di Brazil kali ini mendapat perhatian meluas dunia, walaupun tidak mencapai perhatian dan tumpuan yang dihadapi oleh Rusia yang menganjurkan Olimpik Musim Sejuk beberapa bulan lalu, temasya sukan yang menjadi medan pertembungan politik antara Rusia dengan Amerika Syarikat ekoran isu-isu melibatkan kedua-dua negara, termasuk berhubung hak LGBT.

Walau bagaimanapun, krisis ini tidak diburukkan oleh isu-isu politik dengan Jerman, yang tidak mempunyai isu berbangkit dan berpanjangan dengan Brazil, sebahagian besarnya disebabkan interaksi yang kurang antara kedua-dua negara.

Amerika Latin menyaksikan konflik bersenjata pada Julai 1969, apabila dua negara yang bersaing sengit dalam bola sepak, Honduras dan El Salvador berperang akibat sentimen yang memuncak ekoran perlawanan bola sepak antara kedua-dua negara.


Konflik bersenjata Honduras-El Salvador itu bermula pada 14 Julai dan berakhir apabila gencatan senjata dicapai pada 18 Julai, selepas lima hari perang berlangsung mengorbankan 6,000 nyawa dan mencederakan 12,000 lagi.

Perang yang dikenali sebagai La guerra del fútbol itu terakam dalam sejarah bola sepak dunia sebagai manifestasi paling jelas bola sepak dengan politik.

Tanpa pesaing yang membawa bersama isu-isu politik - seperti Honduras dan El Salvador atau Argentina dengan England - tumpuan lebih tertumpu dalam negara Brazil.

Brazil kini menghadapi masa yang sukar ekoran kekalahan di tempat sendiri, semasa menjadi tuan rumah kepada Piala Dunia yang dijangka menyediakan peluang untuk negara itu menjadi juara buat kali keenam.

Satu usaha yang luar biasa kini diperlukan untuk bangkit semula daripada tragedi ini yang kini terakam dalam memori kolektif rakyat Brazil dan tercatat sebagai peristiwa yang mungkin paling diingati berhubung bola sepak Brazil sehingga menjejaskan rekod kecemerlangannya.

Thursday, July 3, 2014

Isytihar tubuh khilafah, sejauh mana ISIS dapat sokongan?

Kumpulan Negara Islam di Syria dan al-Syam, ISIS, telah mengumumkan penubuhan pemerintahan khalifah dari kedudukannya di Syria dan Iraq, dan turut mendakwa mewakili umat Muslim di seluruh dunia.

Kumpulan ini, yang dalam bahasa Arab dikenali dengan nama singkatan Da'ish, telah mengubah nama kepada Negara Islam atau Daulah Islamiyah, untuk mencerminkan sifatnya yang global.

Selain Syria dan Iraq, ISIS mempunyai pengaruh di seluruh dunia Arab, malah hingga ke Indonesia di Asia Tenggara. Selepas berjaya menawan kawasan luas di Iraq, ISIS dilihat akan meluaskan operasi hingga ke Lubnan, sebuah lagi negara yang mempunyai populasi Syiah yang besar.

ISIS bermula sebagai al-Qaeda di Iraq, yang aktif dan berkembang sepanjang konflik pascaperang selepas pemerintahan Baath dijatuhkan.

Ekoran konflik berpanjangan di Syria, ISIS mendapat manfaat melalui sentimen yang berleluasa akibat pertembungan sektarian dan kempen "jihad" menentang pengaruh Syiah, yang bermakna Syria dan Iraq menjadi medan yang tidak dapat dipisahkan.

Perkembangan ini menjadikan ISIS dikenali dengan kawasan baharunya Iraq dan al-Syam, kawasan yang meliputi timur Mediterranean, dari selatan Turki hingga utara Mesir.

Kemunculan militan pimpinan Abu Bakr al-Baghdadi ini mengisytiharkan negara Islam ini bermakna gerakan militan global kini mempunyai sebuah kumpulan yang boleh dilihat sebagai pemimpin.

Kumpulan ini kini dijangka akan mengatasi al-Qaeda dari segi tarikan kepada mereka yang ingin menyertai gerakan militan bersenjata, ekoran kejayaannya dilihat sebagai mempunyai kuasa ke atas sebuah wilayah dan mendapat sokongan popular.

Kejayaan menawan satu wilayah besar di Iraq dinilai sebagai satu kemenangan terhadap "agen Iran" yang menguasai Iraq, terutama pemimpinnya Perdana Menteri Nouri al-Maliki yang telah menjalankan dasar anti-Sunni sejak sekian lama.

ISIS kini mendepani penentangan terhadap Syiah dan Iran, dan setakat ini, boleh disifatkan sebagai berjaya mencapai misi menubuhkan khilafah atau pemerintahan sentral bagi umat Muslim yang menjadi cita-cita kumpulan-kumpulan Islam Sunni pelbagai kecenderungan, daripada Ikhwan al-Muslimin, kepada Hizb al-Tahrir.

Dari sudut perjuangan radikal dan bersenjata, ISIS juga kini mempunyai imej sebagai kumpulan bersenjata yang berjaya, terutama ekoran kejayaan simbolik menawan utara Iraq dengan pantas.

Pengumuman ISIS ini baharu sahaja berlaku. Tindakan ini dilihat sesetengah pihak sebagai hanya satu kempen publisiti dan tidak akan bertahan lama, ekoran sokongan yang bakal merosot selepas tempoh tertentu dan kekuatan ISIS untuk bertahan.

ISIS sukar untuk mendapat sokongan negara serantau, yang bimbang dengan kebangkitan kumpulan militan itu, dan dijangka akan mengambil langkah untuk mengekang dan menentangnya.

Kumpulan ini juga dilihat sebagai ancaman oleh kuasa-kuasa yang bertentangan dalam politik serantau Asia Barat, iaitu Iran dan Arab Saudi.

Tindakan ISIS di Iraq menggugat pengaruh Iran di negara yang semakin terpecah itu, dan pada masa sama mencemaskan Arab Saudi, sekutunya Jordan yang lebih dekat dengan Iraq, Turki yang bersempadan dengan Iraq, dan negara-negara Arab Teluk Parsi. 

Iran menentang kumpulan-kumpulan militan seperti al-Qaeda, ISIS dan kumpulan-kumpulan militan yang terlibat menentang sekutunya Bashar al-Assad di Syria dan pada masa sama turut memerangi Syiah.

Penentangan kumpulan-kumpulan ini, yang disifatkan oleh Iran sebagai berideologi takfiri, menentang pemerintah Syria sebagai sebahagian perang terhadap pengaruh Syiah di dunia Arab.

Di Syria, Hizbullah telah turut terlibat dalam konflik bersenjata menentang militan pemberontak yang memerangi pemerintah Syria yang merupakan sekutu kuat Hizbullah dan Iran.

Arab Saudi juga semakin bimbang dengan peningkatan kumpulan-kumpulan ekstremis seperti al-Qaeda dan ISIS sendiri, yang berpendirian keras menentang pemerintahan monarki Saudi yang tidak selari dengan pemerintahan cara Islam.

Pemerintahan monarki Saudi dan negara-negara Arab Teluk dan Jordan dilihat oleh kelompok ektremis sebagai satu penghalang kepada penubuhan pemerintahan Islam.

Riyadh sejak kebelakngan ini telah menunjukkan perubahan sikap apabila meningkatkan usaha mengekang militan, termasuk melalui kerjasama dengan Amerika Syarikat.

Malangnya, Saudi dan Qatar menjadi pihak yang memberi sumbangan paling besar kepada percambahan kumpulan dan ideologi militan melalui sokongan mereka kepada kumpulan-kumpulan militan yang memberontak menentang pemerintah Syria.

Terbaharu, AS merancang membelanjakan AS$500 juta untuk membiayai pembangkang "moderat" untuk menentang Bashar, tindakan yang bakal meningkatkan lagi militarisasi konflik Syria, yang tidak akan dihadkan oleh sempadannya.

Secara spesifik, tidak dapat dikaitkan dengan pasti sumbangan dan sokongan Riyadh secara rasmi kepada ISIS seperti yang wujud pada hari ini, tetapi lambakan wang dan senjata, propaganda berideologi ekstrem yang digerakkan sepanjang kempen Syria telah menyediakan medan yang subur untuk kumpulan seperti ini tumbuh dan berkembang.

Pada masa ini, pihak yang paling rugi akibat kebangkitan ISIS yang paling jelas ialah pemerintah pusat Iraq yang berpotensi kehilangan wilayah dan sumber, dan berdepan negara yang semakin tergugat keselamatannya.

Iran turut berdepan kerugian apabila negara sekutu yang dikuasainya - walaupun bukan sepenuhnya - ditawan kumpulan militan yang menewaskan tentera kerajaan, yang membawa mesej sekutunya di Iraq lemah dan tidak popular. 

Ekoran kejayaannya di Iraq dan pengumuman penubuhan pemerintahan khalifah, ISIS kini muncul sebagai pemimpin baharu gerakan militan global, dan kelihatan sedang menggantikan peranan yang dipegang oleh al-Qaeda.

ISIS bakal membawa semangat militan ini ke peringkat lebih tinggi akibat perkembangan semasa yang menyaksikan konflik yang semakin dahsyat.

Pada masa sama, ISIS juga meneruskan dan meningkatkan pertembungan sektarian di rantau Asia Barat dan juga seluruh dunia Islam melalui mesej yang disampaikan melalui perjuangan mereka.

Akibatnya, dunia Islam kini berdepan satu lagi cabaran besar, menambahkan krisis dan konflik akibat kebangkitan massa di Asia Barat dan Afrika terus menyaksikan kesannya. - Jun 30, 2014

Tuesday, July 1, 2014

Selepas rombakan kabinet, tiada lagi tsunami Cina?

Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak telah menambah anggota kabinetnya minggu lalu, melantik wakil-wakil MCA dan Gerakan.

Parti-parti Cina itu kembali ke kabinet melalui pelantikan itu, selepas "tsunami Cina" pada Pilihan Raya Umum ke-13 menyaksikan MCA, parti Cina terbesar dalam Barisan Nasional tewas teruk.

Kemasukan kembali wakil-wakil Cina ke kabinet menyusuli kemenangan wakil Gerakan, Datuk Mah Siew Keong dalam pilihan raya kecil Parlimen Teluk Intan bulan lepas.

Teluk Intan menjadi petanda jelas peralihan undi etnik Cina, apabila wakil DAP tewas kepada calon BN, yang dijanjikan jawatan dalam kabinet Najib sekiranya menang.

MCA telah agak lama menunjukkan kesediaan untuk kembali ke kabinet, satu perubahan pendirian yang menunjukkan penilaian semula oleh parti itu selepas tsunami Cina tidak menghasilkan perubahan pemerintahan di peringkat persekutuan.

MCA menunjukkan yang parti itu melihat ketiadaan mereka dalam kabinet merugikan, dan juga memberi gambaran parti Cina itu bersedia berperanan semula dalam pemerintahan BN.

Penilaian semula ini menunjukkan sikap pragmatik parti MCA dan juga komuniti Cina yang diwakili mereka, yang bertindak berdasarkan keperluan semasa.

Di pihak Najib, penambahan anggota kabinet Cina ini menunjukkan yang beliau masih berusaha memenangi undi Cina melalui MCA dan Gerakan, dan mampu mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan Umno sendiri.

MCA dilihat oleh sesetengah pihak dalam Umno sebagai menjadi penyumbang besar kepada kemerosotan undi yang besar dalam pilihan raya umum lalu.

Malah ada yang menilai MCA tidak menunjukkan usaha yang cukup dalam mempertahankan BN dan melawan kempen lawan terutama DAP.

Najib yang mengambil pendekatan liberal sejak menjawat jawatan perdana menteri menunjukkan yang beliau masih tidak berputus asa dalam usaha memenangi undi Cina, menunjukkan beliau telah memulakan usaha menghadapi pilihan raya akan datang.

Hal ini dilihat sesuatu yang rasional sekiranya didasarkan pada hasil pengundian di Teluk Intan, dan berdasarkan penilaian pencapaian DAP dan Pakatan Rakyat melibatkan undi Cina telah mencapai jumlah maksimum dalam Pilihan Raya Umum ke-12.

Satu perkembangan semasa menunjukkan sesuatu yang dapat menjelaskan peranan MCA dalam membantu BN dan menjejaskan DAP, iaitu melibatkan permainan isu militan dalam media.

Akhbar dikuasai MCA, Star melapor dan menyorot isu militan di Syria dan Iraq secara berterusan, yang antara kesannya yang boleh dijangka ialah kesan negatif terhadap PAS dan juga sekutunya.

Hal yang hampir sama berlaku ekoran peristiwa serangan pada 11 September, 2001 di Amerika Syarikat, apabila kumpulan-kumpulan Islam termasuk PAS dipalitkan dengan imej sangat negatif, hingga memberi kesan kepada hubungannya dengan parti rakan.

Permainan dalam media MCA ini menunjukkan satu agenda yang besar melibatkan peranannya dalam BN, dan menandakan satu perkembangan baharu dalam politik BN-PR. - Jun 27, 2014
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...