Perancis ialah kuasa penjajah yang berperanan besar dalam membentuk Asia Barat seperti yang dikenali hari ini, melalui peranannya menetapkan sempadan baharu bersama Inggeris selepas keruntuhan Empayar Uthmaniyah.
Perancis membentuk Syria dan Lubnan, dua jajahan diperolehinya selepas perpecahan Uthmaniyah, dan bersama Inggeris berperanan membentuk sempadan negara-bangsa yang dikenali di Asia Barat pada hari ini.
Kuasa kolonial Perancis juga sampai ke Afrika, membentuk negara-negara yang berbahasa Perancis dan memilih serta mengekalkan pemerintah-pemerintah diktator hingga ke hari ini.
Selepas berakhir Perang Dunia ke-2, Perancis berundur dari arena antarabangsa, sekurang-kurangnya berundur daripada peranannya sebelum ini, dan mengambil peranan lebih kecil dalam politik dunia.
Walau bagaimanapun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Perancis mula muncul dengan dasar luar agresif di arena antarabangsa, tindakan yang dilihat sebagai satu usaha menempatkan kembali Perancis sebagai kuasa besar berpengaruh.
Pada 2011, Perancis di bawah Presiden Nicolas Sarkozy bersama Inggeris mendepani usaha untuk menjatuhkan pemimpin Libya Muammar Gaddafi yang ditentang pemberontak.
Sarkozy yang mula menjawat jawatan presiden Perancis pada 2007 telah membawa satu haluan baharu dasar luar negara itu, merapatkan hubungan dengan AS dan menyertai semula struktur pemerintahan Nato.
Sarkozy juga menunjukkan pendirian selari dengan AS berhubung Iran, dengan menegaskan yang program nuklear Iran sebagai satu ancaman, hingga menggambarkan yang Iran perlu diserang.
Perancis juga, sebagai salah sebuah negara anggota Majlis Keselamatan PBB, menunjukkan sikap konsisten menyokong resolusi meningkatkan sekatan terhadap Iran.
Paris dan London bersama-sama membina kes untuk campur tangan secara ketenteraan di Libya untuk menewaskan Gaddafi, dan akhirnya menghasilkan Resolusi Majlis Keselamatan 1973 yang diterima pada 17 Mac 2011, menguatkuasakan zon larangan terbang tetapi telah dijadikan alasan membenarkan serangan, dilakukan bersama Amerika Syarikat dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara, Nato.
Perancis turut menghantar bekalan senjata dan makanan untuk pemberontak Libya, meningkatkan lagi konflik bersenjata di negara Afrika utara itu.
Semasa pertempuran antara pemberontak dan kerajaan Gaddafi berlangsung, Perancis menjadi negara pertama mengiktiraf kerajaan ditubuh pemberontak, Majlis Transisi Nasional, NTC, sebagai kerajaan Libya yang sah, ketika negara-negara lain masih berwaspada dan tidak mahu terburu-buru.
Pada masa itu, Perancis mula mendapat perhatian di peringkat antarabangsa disebabkan tindakannya mendorong dan terlibat dalam operasi tentera di Libya itu hingga akhirnya berhasil menewaskan Gaddafi.
Tindakan Paris itu bertentangan dengan keengganannya menyokong kempen ketenteraan pimpinan AS di Iraq sedekad lalu, hingga menjejaskan hubungan baik dengan Washington.
Kali ini, Paris mendepani usaha memulakan tindakan ketenteraan di sebuah negara asing dan Washington mengikuti dari belakang.
Presiden Barack Obama pada masa itu telah menampakkan kecenderungan untuk tidak terlibat dalam konflik, selepas kompleksiti di Iraq dan Afghanistan yang masih berlarutan.
Di bawah Presiden Francois Hollande, Perancis meneruskan dasar luar campur tangan, dengan menghantar tentera ke Mali dan Republik Afrika Tengah, dua negara bekas jajahannya.
Pada Januari 2013, Perancis menghantar tentera ke Mali untuk menangani konflik di negara yang menghadapi kesan militarisasi konflik Libya itu, dan pada November, tentera Perancis dikerahkan ke Republik Afrika Tengah untuk menangani konflik sektarian antara Kristian dengan Muslim.
Pentadbiran Hollande juga menunjukkan sikap keras terhadap Tehran, seperti yang ditunjukkan oleh Sarkozy. Tentangan Perancis menyebabkan rundingan awal Barat dengan Iran berhubung program nuklearnya gagal mencapai persetujuan.
Di bawah Hollande, konflik di Syria sedang berlangsung, dan Perancis tidak melepaskan peluang mengambil kesempatan ini untuk melonjakkan lagi nama dalam politik global.
Di Syria, Paris sekali lagi menjadi penyokong kuat pihak pemberontak dan menggesa tindakan ketenteraan terhadap rejim yang ditentang.
Pada November 2012, selepas terbentuk gabungan pemberontak Syria yang baharu dan lebih merangkumi pelbagai kumpulan, Perancis menjadi negara Barat pertama mengiktiraf kumpulan itu, Pakatan Nasional Syria, SNC.
Paris menganggap SNC sebagai wakil tunggal rakyat Syria, dan bakal membentuk kerajaan demokratik di negara itu selepas kerajaan Bashar al-Assad digulingkan.
Tindakan Perancis itu, seperti pengiktirafannya untuk kumpulan pemberontak Libya, bertujuan meningkatkan kredibiliti pemberontak Syria - yang sejak awal sentiasa dibelenggu pertikaian dan pergeseran dalaman hingga tidak menampakkan kewujudan pembangkang yang kredibel - dan menggerakkan usaha untuk bertindak keras ke atas Bashar ke hadapan.
Tindakan Perancis itu membawa tekanan kepada negara-negara Barat lain terutama AS untuk turut sama mengiktiraf kumpulan pemberontak itu dan mempercepatkan usaha menjatuhkan Bashar melalui cara ketenteraan.
Tindakan dasar luar Perancis, terutama melibatkan campur tangan ketenteraan, walau bagaimanapun banyak bergantung kepada kesediaan Washington untuk bertindak, seperti disaksikan dalam kes Syria dan Iran.
Hollande lebih bebas bertindak di bekas jajahan Perancis di Afrika, tetapi memerlukan kerjasama AS dan sekutu-sekutu Barat untuk bertindak di Asia Barat dan Afrika Utara.
Di Libya, tindakan ke atas Gaddafi dapat diambil segera, antaranya disebabkan kepentingan Inggeris dan negara Eropah lain dari sudut ekonomi dan pada masa sama kesediaan Obama menyokong tindakan itu.
Di Syria, bekas jajahan Perancis di Asia Barat, keadaan jauh lebih kompleks berbanding Libya, dan Damsyik turut mempunyai sekutu kuat, Iran dan Rusia yang memberikan bantuan sokongan politik dan ketenteraan.
Bermula dengan Sarkozy dan diteruskan oleh Hollande, dasar luar baharu ini menampakkan kesediaan Perancis untuk mengambil posisi yang lebih tinggi dalam politik serantau Asia Barat dan Afrika Utara, dan konflik di Syria telah menyediakan peluang kepada Paris untuk menggerakkan agendanya.
Kepentingan politik domestik memainkan peranan dalam mendorong tindakan Sarkozy dan Hollande, tetapi haluan dasar luar bukan digerakkan semata-mata oleh perkiraan politik pilihan raya.
Perancis mempunyai kepentingan untuk muncul sebagai sebuah kuasa yang disegani dan diyakini dalam politik antarabangsa, pada masa seluruh rantau Asia Barat dan sekitarnya berdepan perubahan yang meluas.
Pada masa pengaruh AS semakin merosot dan menumpukan perhatian kepada Asia Timur yang sedang berdepan kebangkitan pantas China, Perancis melihat peluangnya untuk menjadi kuasa dunia berpengaruh. - Julai 7, 2014
No comments:
Post a Comment