Tuesday, August 14, 2012

Pemuda PAS gesa peranan aktif OIC, Asean tangani minoriti Muslim

Pemuda PAS melalui lajnah antarabangsanya telah menggerakkan dua kempen bantuan dalam bulan Ramadan ini, melibatkan minoriti Muslim di Thailand dan Burma (Myanmar).

Awal Ogos lalu, delegasi Lajnah Antarabangsa Pemuda PAS diketuai pengerusi lajnah yang juga Naib Ketua Pemuda Dr Raja Ahmad Iskandar al-Hiss menyampaikan bantuan kepada anak-anak yatim mangsa keganasan di Tak Bai, Narathiwat, di selatan Thailand.

Delegasi turut disertai ahli lajnah yang lain antaranya Abdul Ariffahmi Ab Rahman, Fariz Irwan Mustafa dan Dr Rosli Alani Kader.

Ekoran perkembangan terkini politik serantau, Lajnah Antarabangsa Pemuda PAS bakal memberi tumpuan khusus kepada isu minoriti Muslim khususnya di Asia Tenggara yang membentuk Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara, Asean.

Pemuda PAS bersama wakil pemuda parti Islam serantau baru-baru ini juga telah hadir ke Jakarta, Indonesia menyampaikan memorandum berhubung kekejaman terhadap Muslim Rohingya di Burma, hasil satu ketetapan yang dibuat di Kuala Lumpur Julai lalu.

Pemuda PAS mengadakan kempen kutipan bantuan yang boleh disampaikan ke akaun Bank Islam, 14014010026320.

Tindakan menyampaikan memorandum itu merupakan sebahagian usaha Pemuda PAS untuk mendesak peranan lebih aktif dan tegas Asean sebagai badan serantau dalam menangani isu kritikal seperti keganasan dan pembersihan etnik di Burma dan Thailand.

Pemuda PAS turut meningkatkan usaha mendesak Pertubuhan Kerjasama Islam, OIC, agar menjalankan fungsi yang lebih berkesan dalam menangani isu dunia Islam, seperti perang saudara di Syria dan keganasan terhadap etnik Rohingya di Burma yang masih berlangsung.

OIC kini sedang mengadakan sidang kemuncak tergempar di Mekah, Arab Saudi, untuk menangani isu semasa umat Muslim.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak kini berada di Mekah menghadiri sidang kemuncak tergempar pertubuhan itu.

PAS dan Pakatan Rakyat dalam satu kenyataan menggesa peranan lebih tegas Malaysia dalam menangani isu Rohingya, yang berlaku di sebuah negara anggota Asean, pertubuhan serantau yang Malaysia menjadi sebuah ahli pengasasnya. 

Lajnah Antarabangsa Pemuda PAS melihat sidang kemuncak ini, dan pertemuan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali, NAM di Iran tidak lama lagi sebagai peluang untuk mencapai persetujuan, membina kerjasama dan meningkatkan tekad politik untuk menangani isu-isu umat dengan lebih berkesan.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...