Bulan Ogos ini, ketika umat Muslim dunia
sedang melaksanakan ibadah Ramadan dan menyambut kedatangan bulan Syawal, dua sidang kemuncak pertubuhan
antarabangsa akan diadakan tidak jauh daripada satu sama lain.
Di Arab Saudi, pada 14 dan 15 Ogos,
Riyadh menjadi tuan rumah sidang tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam,
OIC, yang dijadual untuk berlangsung pada tarikh 27 Ramadan, tarikh yang
signifikan kepada pengikut Islam.
Kemudian, di Iran, sidang kemuncak
Pergerakan Negara-Negara Berkecuali, NAM, dijadual pada 16 hingga 31
Ogos, ketika suasana Aidilfitri masih dirasakan.
Kedua-dua pertemuan diadakan pada masa
yang kritikal dalam politik global - semasa kebangkitan di dunia Arab
masih berlangsung dan persaingan kuasa-kuasa serantau dan dunia sedang
rancak berjalan, yang menyaksikan Riyadh dan Tehran berada di kedudukan
berseberangan.
Arab Saudi dan Iran sedang terlibat
dengan mendalam di Syria, negara diperintah sekutu kuat Tehran yang
sedang berdepan gugatan daripada kuasa Barat dan serantau terdiri
daripada Saudi, Qatar, Turki dan sekutu.
Syria menjadi isu yang amat divisif dan
mengambil bahagian terbesar dalam hubungan luar negara-negara serantau,
yang menjadi satu penentu kepada pengukuhan pengaruh Saudi dan Qatar dan
faktor terbesar dalam menggugat pengaruh dan kedudukan Iran dalam paksi
bersama Syria dalam menghadapi Israel dan kuasa Barat di Asia Barat.
Kedua-dua pertemuan OIC dan NAM yang
bakal diadakan akan menangani isu Syria yang kritikal kepada dunia Arab -
dengan sedikit perhatian kepada keganasan terhadap etnik Rohingya di
Burma - dengan kedua-dua Riyadh dan Tehran menggunakan pengaruh
masing-masing untuk mendapatkan sesuatu yang sehaluan dengan kepentingan
mereka seboleh-bolehnya.
Suasana Ramadan dan Syawal yang akan
melatari pertemuan OIC dan NAM nanti tidak dapat dielakkan daripada
dilihat sebagai satu elemen yang memberi gambaran perpaduan, tetapi
keadaan kritikal dalam hubungan kuasa-kuasa utama dalam dunia Islam pada
masa ini dijangka terus akan mempengaruhi posisi negara-negara
terbabit.
Kedua-dua OIC dan NAM mempunyai sifat
yang berbeza, dan muncul daripada latar politik serantau dan global yang
kritikal dalam sejarah.
Malaysia, di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak yang sedang cuba menonjolkan diri sebagai negara Muslim moderat dan penting dalam politik dunia kini, telah mencatat sejarah sebagai ahli penting kedua-dua OIC dan NAM, dan wajar memainkan peranan dalam menangani isu-isu umat pada masa ini, terutama melibatkan Muslim di negara serantau Burma.
OIC yang menyatukan negara-negara Islam
dalam satu forum ditubuhkan dengan dukungan kuat Arab Saudi
sebahagiannya sebagai satu usaha untuk mengimbangi pengaruh Nasserisme
atau Pan-Arabisme yang dilihat sebagai satu ancaman oleh Riyadh, dan
sebagai mengimbangi pengaruh Liga Arab yang pada masa itu memperlihatkan
pengaruh Mesir yang kuat.
Dalam mengukuhkan pengaruh dalam dunia
Islam, OIC menjadi penting kepada Riyadh, walaupun negara lain seperti
Turki dan Iran turut mampu memperlihatkan pengaruh mereka.
Dalam hal ini, Saudi mempunyai kelebihan ekoran kedudukan pejabatnya di Jeddah, Arab Saudi.
Masa pertemuan diadakan pada 27 Ramadan juga mempunyai signifikan yang mampu dimanfaatkan oleh Riyadh.
OIC walau bagaimanapun berdepan kritikan
hebat ekoran apa yang dilihat sebagai ketidakmampuannya menangani
pelbagai isu melibatkan umat Muslim, termasuk isu Palestin yang menjadi
pencetus yang membawa kepada penubuhannya.
Pada masa dunia Arab menyaksikan
kebangkitan, yang ingin dikekang oleh Saudi dan sekutunya negara-negara
Arab monarki di Teluk Parsi, Riyadh merasakan keperluan yang mendesak
untuk menggunakan pengaruhnya menangani isu-isu berkaitan, dan
memelihara kepentingannya dalam hal Syria.
NAM yang menemukan negara-negara
berkecuali kini mempunyai kepentingan yang besar kepada Iran, yang
sedang mendepani cabaran kuasa besar Amerika Syarikat dan sekutu, isu
yang selari dengan asas pergerakan ini, walaupun relevan pergerakan ini
terjejas selepas berakhirnya Perang Dingin.
Sejarah penubuhan NAM yang melibatkan
pemimpin seperti Sukarno, Jamal Abdul Nasir dan Jawaharlal Nehru juga
memberikan prestij dan relevan dalam menangani isu yang dihadapi Iran
dan sekutunya Syria pada masa ini, melibatkan campur tangan asing.
Tehran pada masa ini sangat
berkepentingan supaya semangat NAM digerakkan dan menjadi faktor besar
dalam hubungan negara-negara, terutamanya berhubung kedudukannya yang
ditekan kuasa besar Barat dan sekutu, sesuatu yang tidak dimiliki Saudi
dan sekutu ekoran hubungan baik negara terbabit dengan AS.
Kedua-dua pertemuan OIC dan NAM yang
dijadual diadakan tidak lama lagi bakal menangani isu-isu kritikal
melibatkan dunia Islam dan dunia secara keseluruhan, terutama melibatkan
tekanan ke atas Iran, persaingan kuasa melibatkan Syria dan kekejaman
terhadap Muslim Rohingya di Burma.
Pelbagai isu, seperti Syria yang telah dikemukakan sebagai isu perbezaan dan persaingan mazhab oleh pihak berkepentingan kini menjadi faktor yang menyumbang kepada satu lagi perpecahan dalam kalangan umat.
Pada masa sama, isu Rohingya yang melibatkan kuasa-kuasa besar AS dan China juga bakal menjadi ujian kepada kedua-dua OIC dan NAM dalam menangani isu kemanusiaan yang dibayangi pengaruh kuasa besar.
Pertemuan itu akan menunjukkan sejauh
mana negara-negara dalam dunia Islam akan bersedia menangani isu-isu
terbabit, atau sekadar menjadi satu lagi pertemuan yang tidak
mendatangkan hasil dan dipolitikkan.
1 comment:
Dimana PBB, amerika, britain atau negara eropah yang melaung2kan hak asasi manusia? keamanan sejagat? apabila orang orang islam dibunuh sebegini mereka sangat mendiamkan diri, apabila seorang rakyat barat terbunuh ketika memerangi taliban atau negara berdaulat yg sah tapi anti barat maka bergemalah tentangan dari mereka..... Adilkah tindakan mereka?????????? memalukan...bias...
Post a Comment