Wednesday, August 15, 2012

Semua pihak mesti tegas isu lompat parti

Tindakan keluar parti beberapa nama dikenali dari parti pemerintah mencetuskan sambutan positif daripada Pakatan Rakyat, yang melihatnya sebagai satu kemenangan yang meningkatkan lagi kekuatan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13.

Dalam episod terbaharu, Datuk Seri Wilfred Bumburing, Datuk Seri Lajim Ukin dan Tamrin Abdul Ghafar keluar parti dan menyertai kem PR. 

Perkembangan ini semakin menunjukkan sikap tidak konsisten parti-parti politik termasuk di pihak PR terhadap tindakan lompat parti.

Dalam kes individu seperti Wilfred, Lajim dan Tamrin, kesannya tidak sebesar lompatan ahli politik yang menjadi wakil rakyat, sama ada di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri, tetapi sikap yang ditunjukkan pihak pembangkang memperlihatkan pendirian moral yang membimbangkan dalam isu ini.

Kedua-dua pihak Barisan Nasional dan PR perlu menunjukkan sikap yang jelas dalam isu moral ini, yang implikasinya setara dengan isu moral seperti rasuah, yang kuat dikecam pemimpin-pemimpin PR sepanjang masa.

Kedua-dua pihak BN dan PR jelas bersikap selektif dalam isu lompat parti, dengan logik moral yang diubah dan diselaras sewenang-wenang dalam menangani isu lompat parti.

Sikap tidak konsisten kedua-dua pihak telah dicatat dalam sejarah, melalui episod projek 16 September, 2008 yang bermatlamat menumbangkan kerajaan BN di peringkat persekutuan dan kemudian lompatan yang menjatuhkan kerajaan negeri Perak dikuasai DAP, PKR dan PAS.

Kedua-dua pihak BN dan PR pernah menunjukkan sokongan kepada penggubalan undang-undang menghalang lompat parti, tetapi mengubah pendirian apabila kepentingan menyebelahi mereka.

Banyak pihak bersetuju dengan peraturan melepaskan kerusi sebagai wakil rakyat sekiranya melompat parti, kerana umumnya wakil tersebut dipilih berdasarkan ideologi atau perjuangan parti oleh pengundi di konstituensinya. 

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar baru-baru ini bersuara menuntut undang-undang lompat parti digubal.

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar dalam satu kenyataan menegaskan, "Kita tidak mahu wakil rakyat mencabul hak rakyat sebagai pemilih."

"Jika seseorang wakil rakyat lompat, maka dia perlu dikenakan tindakan gugur jawatan sebagai wakil rakyat, sama ada Parlimen atau Adun," katanya dipetik Harakahdaily.  

Menurut Mahfuz, isu ini "bukan soal PAS (atau) BN. Ini soal mengkhianati amanah rakyat."  





Pendirian ini perlu terus ditegaskan dan diusahakan menjadi undang-undang yang dapat mengawal moral dan integriti politik negara kita daripada pengkhianatan amanah.

PAS sendiri kini mendesak Ahli Parlimen Bachok, Nasharuddin Mat Isa yang juga bekas timbalan presiden parti itu agar melepaskan jawatan sebagai wakil rakyat ekoran hubungan rapat dengan Umno.

Pendirian ini bermakna PAS perlu menunjukkan sikap yang sama konsisten dalam hal melibatkan lompat parti, terutama melibatkan wakil rakyat.

Hal yang sama juga perlu dilaksanakan melibatkan wakil rakyat yang meletak jawatan tanpa sebab yang munasabah seperti isu kesihatan, contohnya untuk memberi laluan kepada ahli politik lain bertanding di kerusi sama.

Isu lompat parti ialah satu isu moral yang besar, melibatkan implikasi luas. Sudah sampai masanya isu moral melibatkan lompat parti tidak hanya dijadikan senjata untuk menyerang lawan.

Lompat parti perlu segera ditangani dengan tegas, dihalang daripada menjadi satu ciri politik negara kita.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...