Wednesday, December 2, 2009

Timbalan Ketua Menteri II P.Pinang sedia terima tindakan undang-undang isu Tang Hak Ju


Isu kontroversi pertikaian tanah lot 954, 955 dan 956 di Seberang Perai Tengah yang melibatkan Tang Hak Ju dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang membuatkan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Prof.Dr. P. Ramasamy membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM)baru-baru ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan berkata tindakannya itu adalah satu tindakan yang betul bagi menyelamatkan Kerajaan Negeri daripada menanggung kerugian sebanyak RM40 juta yang terpaksa dibayar kepada Tang Hak Ju setelah diputuskan oleh mahkamah sebelum ini.

"Saya ada menerima notis tindakan daripada Tang Hak Ju yang mendakwa saya membuat fitnah terhadapnya berhubung penemuan maklumat tambahan yang telah diserahkan kepada SPRM.Saya juga telah diberi tempoh selama lima hari untuk menjawab notis beliau.

"Saya sanggup untuk menerima dan dikenakan apa jua tindakan undang-undang sekiranya apa yang dilaporkan kepada SPRM Itu tidak benar.Malah tujuan sebenar saya adalah untuk mengelakkan kerugian yang akan ditanggung oleh Kerajaan Negeri yang memerintah daripada membayar kepada mereka dalam kadar yang mencecah sehingga RM40 juta."

Sebelum ini Kerajaan Negeri Pulau Pinang dibawah pentadbiran Pakatan Rakyat telah menubuhkan Jawatankuasa Siasatan Khas sebaik sahaja dimaklumkan Kerajaan Negeri menghadapi kerugian berjuta-juta ringgit akibat daripada skandal dan penyelewengan tanah Tang Hak Ju.

Pemajakan tanah 4.2 hektar oleh Kerajaan Negeri Barisan Nasional ketika itu kepada Tang dan pembatalan perjanjian adalah dibawah pentadbiran Tan Sri Dr.Koh Tsu Koon dan Datuk Seri Abdul Rashid Abdullah sebagai Timbalannya.

"Justeru itu keputusan mahkamah yang memutuskan Kerajaan Negeri bersalah dan perlu membayar sejumlah besar wang kepada Tang adalah satu kerugian kepada Kerajaan yang melibatkan wang rakyat.Perkara ini perlu mendapat keadilan dan perlu disiasat."kata Ramasamy lagi.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...