Tuesday, July 31, 2007

Pasukan bola Iraq mahu Amerika keluar


JAKARTA, 31 Julai: “Saya mahu Amerika keluar (dari Iraq). Hari ini, esok atau lusa, tetapi keluarlah. Saya harap orang Amerika tidak menakluki Iraq. Semoga semua masalah ini akan selesai segera.”

Itulah harapan Ketua Pasukan Bolasepak Iraq, Younis Mahmoud selepas berjaya membawa negaranya menjadi juara piala Asia baru-baru ini selepas menjaringkan gol tunggal menewaskan Arab Saudi 1- 0.

Buat masa ini sehinggalah Amerika keluar dari negaranya, Younis Mahmoud dan rakan-rakannya tidak berani pulang.

“Jika saya dan pasukan saya pulang, sesiapa sahaja boleh membunuh atau cuba mencederakan saya,” kata Mahmoud yang kini bermain dengan kelab dari Qatar, Al Gharafa.

Kejayaan Iraq buat pertama kalinya menjuarai Piala Asia disambut oleh semua rakyatnya walaupun dalam suasana peperangan.

Hampir kesemua pemain pasukan Iraq itu kini bermain bola di luar dari negara mereka.
Bagi Mahmoud, tentera Amerika yang berada di negara mereka memberikan masalah besar bukannya rahmat.

Mengharap simpati menjelang 50 tahun Merdeka


PASIR SALAK, 31 Julai: “Jika ada pihak yang bermurah hati, berilah kepada saya dan keluarga sebuah rumah yang selamat menjelang 31 Ogos nanti.”

Itulah kata-kata Puan Fatimah Hamid, 50 tahun, ibu tunggal yang tinggal di tebing Sungai Perak di Kampung Teluk Rubiah, Teluk Intan, menjelang hari Kemerdekaan negara.

Tahun ini genaplah sudah 50 tahun usia Fatimah. Beliau lahir pada 1 Februari 1957. Tetapi, walaupun usianya seumur dengan kemerdekaan negara, tetapi nasib beliau tidak seumpama mereka yang merdeka.

“Kami sekeluarga hidup dalam ketakutan selalu. Bila air pasang, rumah kami akan dimasuki air. Oleh kerana air pasang pada setiap bulan penuh dan pertengahan bulan, maka setiap kali raya kami kenalah lapkan lantai rumah kami dulu sebelum boleh menyambut raya kerana air sungai yang pasang masuk ke rumah kami,” rintih Fatimah kepada Siasah.

Sungai Perak yang terletak di belakang rumah beliau akan pasang dua kali sebulan iaitu pada pertengahan bulan dan pada hujung atau awal bulan. Ini bermakna, 24 kali setahun rumah beliau akan dimasuki air sungai Perak. Setiap kali pasang, bukan sehari, kadang-kadang sampai tiga ke empat hari.

Fatimah sudah 32 tahun tinggal di rumah itu. Beliau kini tinggal bersama dua anak dan seorang cucunya. Kerja beliau sekeluarga adalah membelat udang. Untuk satu hari, mereka boleh dapat antara 6 ekor hingga enam kilogram udang yang boleh dijual dengan harga RM25 sekilo.

Tetapi, dalam sebulan, paling banyak mereka boleh membelat 10 hari sahaja. Selebihnya, air Sungai Perak itu tidak mengizinkan mereka berbuat demikian.

Kini hanya tinggal tiga buah rumah sahaja yang tinggal di tebing Sungai Perak itu termasuk rumah Fatimah.

“Yang paling kami takut ketika air pasang adalah ular kapak yang turut masuk ke rumah bersama dengan air pasang. Begitu juga kalau ketika air pasang itu, bot yang besar lalu di sungai di belakang rumah kami, basahlah semua apa yang ada dalam rumah,” kata Fatimah.

Beliau pernah memohon bantuan dari Baitulmal untuk membina rumah baru tetapi selepas dua tahun memohon, hingga kini belum dapat hasilnya. Walaupun daif, beliau tidak menerima apa-apa bantuan dari mana-mana pihak.

Khairy dan monyet-monyet dalam laman web PM




KUALA LUMPUR, 31 Mac: Kenyataan Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin yang menyifatkan ‘bloggers’ sebagai monyet disifatkan sebagai kurang manis oleh Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa.

Apa-apa pun, Husam mempersoalkan apakah ‘monyet-moyet’ yang ‘bergantungan’ di laman web rasmi Perdana Menteri akan dibuat laporan polis atau tidak.

Ini kerana, dalam web PM itu, banyak tulisan-tulisan yang bersifat perkauman dan disiarkan oleh laman web itu, kata Husam.


Menurut Khairy, tindakan undang-undang perlu diambil ke atas penulis blog yang menyebarkan laporan berbentuk fitnah di laman blog mereka, kata Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin. Katanya penulis blog sebegitu tidak pernah memikirkan sensitiviti orang lain.


"Tidak ada undang-undang di alam siber kecuali undang-undang rimba. Jadi tindakan harus diambil supaya 'monyet-monyet' lain takut dan mengambil iktibar daripadanya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Pemuda Umno bahagian Papar, Kimanis dan Sipitang di sini hari ini.

Menurut Husam, muka depan laman PM ini menyiarkan satu rencana panjang dari seorang penulis bernama Dr. Ng Seng, bertajuk 'Bersatulah Kaum Cina.'


Antara petikan rencana itu ialah;


“Kita semua kaum Cina di mana sahaja kita berada mestilah berbangga dengan bangsa kita, samada Cina Amerika, Cina Singapura, Cina , Taiwan dan Cina Malaysia. Kita mestilah mengekalkan identiti kita.

“Sebagai orang Cina tulin, saya juga berbangga dengan cara yang dilakukan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang untuk memecah belahkan orang-orang Melayu di sana.


"Beliau telah berjaya mengambil tanah-tanah orang-orang Melayu dan memajukannya sebagai kawasan perumahan dan perindustrian (dalam geran ada nyatakan 30% jenis pekerjaan sekurangnya mestilah dari orang Melayu tapi mereka beri jawatan seperti pengawal keselamatan dan operator sahaja, jawatan penting dan teknikal yg bergaji, RM3 ribu keatas semua dari Orang Cina kecuali melayu yang ada kepentingan bagi mereka itupun seorang dua saje). Oleh kerana harga rumah-rumah itu terlalu tinggi bagi orang Melayu, mereka tiada keupayaan langsung untuk memiliki rumah-rumah tersebut.


“Kita sekarang telah banyak di Pulau Pinang dan ini markas kita , kita mesti kerjasama dgn orang kita di Singapura, supaya satu hari Pulau pinang boleh jadi milik kita secara yang tak disedari, banyak anak-anak didik kita telah diserapkan dalam kerajaan Tempatan, walaupun dalam kerajaan negeri maseh dimonopoli oleh orang Melayu.”


Bagi Husam, tulisan Dr. Ng Seng ternyata amat perkauman bentuknya. Macammana tulisan seperti ini dibiarkan tergantung di laman web Perdana Menteri sendiri sekian lama?


“Jika Ketua Penerangan UMNO Malaysia terbaca artikel ini, adakah beliau akan membuat laporan polis ke atas Perdana Menteri kerana menyiarkan tulisan berbau perkauman di laman rasmi Perdana Menteri?” tanya beliau.

Katanya lagi, Perdana Menteri sudah tentu tidak menulis rencana ini.


Beliau juga tidak mengendalikan laman tersebut. Beliau tidak bertanggungjawab pun terhadap penyiaran rencana ini.


“Kerana itu beliau tidak harus diambil tindakan. Tetapi mengapa pula tindakan perlu diambil ke atas blogger lain kerana ada komen liar, mungkin dari cyber troopers yang telah diupah khas untuk menyucuk masuk komen seperti itu ke dalam mana-mana blog untuk tujuan jahat mereka sendiri?” tanya Husam lagi.


Pada masa yang sama, katanya, sejumlah pegawai di Jabatan Perdana Menteri gagal menyemak apa-apa yang tersiar di laman rasmi bos mereka?

Bagaimana itu boleh berlaku. Khairy sendiri tidak tersilau laman rasmi Mertua beliau, tanya Husam.


“Semoga ini menyedarkan Perdana Menteri dan juak-juak beliau yang sedang bersiap menyerang blogger, supaya berfikir lebih waras dan matang. Dunia cyber memerlukan paradigma baru,” kata beliau lagi.

Friday, July 27, 2007

Menteri dipecat kerana kapal terbang jatuh di Brazil



BRASILIA, 27 Julai: Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva memecat Menteri Pertahanannya, Waldir Pires, yang menguruskan keselamatan udara ekoran kemalangan sebuah kapal terbang yang menyebabkan kematian 200 orang minggu lalu.

Nelsom Jobim, bekas hakim Mahkamah Persekutuan dilantik menggantikan beliau untuk menjadikannya pegawai tertinggi mengawal system keselamatan udara Negara itu.

Sementara itu di KUALA LUMPUR, Setiausaha Agung PAS, Datuk Kamarudin Jaffar (foto)menyifatkan apa yang dilakukan oleh Presiden Brazil itu sebagai lambang tanggungjawab yang dipikul oleh pemimpin negara berkenaan.

“Tetapi di negara kita, apa sahaja yang berlaku pemimpin tak kesah. Bukan kata nak letak jawatan atau memecat mereka yang bertanggungjawab, pulang dari bercuti dan menziarahi mangsa tragedi pun tidak,” kata beliau.

Kamarudin merujuk kepada kemalangan yang berlaku ke atas Helikopter Nuri yang menyebabkan kematian enam perwira negara baru-baru ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dikatakan bercuti di luar negara bersama keluarga manakala timbalan beliau yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kemalangan itu disebabkan cuaca buruk.

Padahal 16 tahun lalu, negara sudah digegarkan dengan kemalangan yang dialami oleh helikopter jenis yang sama dan Nuri dianggap sebagai ‘keranda terbang’.

120 usahawan Muslim antarabangsa bertemu di Kelantan



KOTA BHARU, 27 Julai: Forum Rangkaian Perniagaan Muslim Antarabangsa 2007 yang diadakan di sini baru-baru ini berjaya menarik seramai 120 usahawan Muslim termasuk dari luar negara.

(gambar : Pertukaran dokumen MoU di antara Wan Yahya Wan Salleh)

Peserta terbabit iaitu dari Thailand, Indonesia, Filipina, Singapura, Brunei, India, Burma, Vietnam dan Pakistan menyertai forum yang diadakan selama dua hari bermula 21 Julai lalu.

Forum tersebut lebih memfokuskan kepentingan membina rangkaian perniagaan di kalangan umat Islam. Ia merupakan kali kedua diadakan di sini.

Forum berkenaan dianjurkan kerajaan negeri dengan kerjasama Pupuk Nilai Murni Bhd dan Persekutuan Belia Muslim Asean.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian dan Sumber Manusia, Haji Zulkifli Mamat berharap penyertaan pada forum serupa tahun hadapan lebih ramai lagi.

Katanya, forum tersebut yang menjadi landasan strategi untuk menemukan peniaga Islam dari seluruh dunia dapat meningkatkan jalinan kerjasama dalam bidang ekonomi, perniagaan dan perkhidmatan lain.


“Penganjuran forum ini bertujuan mewujudkan jalinan rangkaian perniagaan di kalangan umat Islam untuk melonjakkan tahap kerjasama menerusi perdagangan antarabangsa,” katanya pada perasmian penutup program itu.

Kejayaan forum terbabit dapat dilihat apabila 10 memorandum persefahaman perniagaan berjaya ditandatangani di kalangan peserta.

Antaranya, Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dengan Arab Asian Trade (AAT), Koperasi Pemasaran Kelantan Bhd dengan I Medikel Pharmaceutikal Sdn Bhd, SM Budimas Enterprise dan AAT.

Pusat Tahfiz Gemilang dengan Agarwood Fattani & Pacific Co Ltd Thailand, K-Pasar dan Murni Marketing, Kelantan Biotech Corporation Sdn Bhd dan Gerak Tani Sedar serta Agarwood Fattani & Pacific Co Ltd Thailand.

Selain itu Sinar Wanku Enterprise dengan Ramlee Bin Salleh, Atr Global Technology Sdn Bhd dan Pyramid International Consultancy Ltd, HPA Industries Sdn Bhd dan Koperasi Pemasaran Kelantan Bhd, HPA Industries Sdn Bhd dan Pupuk Nilai Murni Bhd serta Pupuk Nilai Murni Bhd dan AAT.

Turut terbabit pada forum perniagaan itu, bekas anggota Exco kerajaan Terengganu, Dato’ Abu Bakar Chik, Adun Anak Bukit, Amiruddin Hamzah dan Penyelia Dun Melor, Wan Ismail Wan Jusoh.

Seorang pengusaha industri minuman dari Pengkalan Chepa, Dr Kamal Shah ketika sesi dialog mendedahkan mereka yang mempunyai kepakaran dalam bidang tertentu kurang diberi perhatian kerajaan di negara ini.

“Contoh profesor yang membuat penyelidikan di universiti tidak dapat dimanfaatkan hasil kajian mereka dalam industri kerana ada halangan-halangan tertentu.


“Sedangkan di negara lain, mereka yang mempunyai kepakaran dalam bidang tertentu mendapat perhatian khusus oleh kerajaan,” ujarnya.

Sempena forum itu turut diadakan pameran pelbagai produk dan perkhidmatan oleh usahawan tempatan termasuk makanan dan minuman ringan. Sebanyak lima kertas kerja dibentang pada forum tersebut.

Kerajaan negeri tolak cadangan wujud Lembaga Kelantan Utara


Pastikan RMK-9 terlaksana dahulu


KOTA BHARU, 27 Julai: Kerajaan Kelantan menganggap cadangan Umno supaya kerajaan mewujudkan Lembaga Kemajuan Wilayah Utara Kelantan sebagai tidak perlu memandangkan telah ada banyak agensi pelaksana dimiliki kerajaan.

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Yakob berkata, buat masa ini lembaga seperti itu dianggap belum sesuai memandangkan sudah banyak peruntukan disalurkan kerajaan Pusat dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) bagi membangunkan kawasan utara Kelantan.

“Cuma pemimpin Umno negeri ini perlu pastikan segala projek pembangunan yang dirancang di bawah RMK-9 kepada Kelantan dilaksana mengikut jadual ditetapkan.

“Sekiranya segala proses itu berjalan lancar, tiada sebab mahu diwujudkan lembaga baru,” katanya ketika diminta mengulas cadangan pemimpin Umno bagi mewujudkan Lembaga Kemajuan Wilayah Utara Kelantan.

Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak dilaporkan berkata, kerajaan akan mengumumkan pelan pembangunan Koridor Pantai Timur dalam masa terdekat.

Menurutnya konsep itu dilihat bagi memberi perhatian kepada kawasan yang kurang pembangunan termasuk cadangan penubuhan Lembaga Kemajuan Wilayah Utara Kelantan.

Ahmad yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Tanah dan Wilayah berkata, kewujudan lembaga seperti dicadangkan tersebut juga mungkin menyebabkan berlaku pertindihan tugas dengan agensi sedia ada.

Katanya, agensi milik kerajaan negeri atau Pusat sudah banyak bagi membangunkan wilayah Kelantan utara dan dianggap tidak perlu lagi kepada agensi baru yang boleh meningkatkan kos ditanggung kerajaan.

“Daripada mencadangkan penubuhan lembaga baru, lebih baik pemimpin Umno tidak menghalang Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan hadir pada mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri.

“Setakat diwujudkan pegawai kanan terbabit tidak pernah hadir biar pun disenaraikan sebagai anggotanya. Malah, wakil pun tidak dihantar pada mesyuarat yang diadakan,” ujarnya.

Cadangan mewujudkan Lembaga Kemajuan Wilayah Utara Kelantan mungkin dibuat selepas dilihat kejayaan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) menjadikan Gua Musang sebagai kubu Umno di negeri ini.

Ini dapat dilihat sejak pilihan raya 1995 sehingga sekarang kawasan itu didominasikan Umno. Cuma pada 1990 kerajaan negeri berjaya menguasai parlimen Gua Musang di atas tiket Semangat 46.

Pensyarah ekonomi dari Kolej Teknologi Darulnaim, Dr Abdullah Sudin berkata, mungkin akan berlaku pertindihan fungsi memandangkan di kawasan utara sudah ada Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) dan agensi lain.

Katanya, dari aspek luaran mungkin berlaku pertindihan memandangkan peranan yang dimainkan Kada juga termasuk mengurangkan kadar kemiskinan penduduk melalui sektor pertanian.

“Bagi saya cadangan itu boleh menjadi rasional apabila kesemua agensi berkaitan pembasmian kemiskinan rakyat diletak di bawah satu bumbung yang boleh diurusetia melalui satu lembaga.

“Dan keadaan ini mungkin lebih berkesan kerana ada penyelarasan kerja secara lebih teratur. Sedangkan sebelum ini agensi terbabit bergerak secara bersendirian,” katanya.

Pengerusi Kelab Penyokong PAS Kebangsaan, Hu Pang Chaw melihat cadangan menubuh Lembaga Kemajuan Wilayah Kelantan Utara lebih bermesej politik.


Ini kerana katanya perancangan mengenai pembangunan ekonomi negara sudah hampir 50 tahun dijalankan kerajaan, namun nampaknya ia belum mampu diselesaikan

Annuar Musa + Zaid Ibrahim vs Awang Adek + Mustapa Mohamed


ANALISIS
Oleh M FAQIH

MENGAPA tiba-tiba Timbalan Presiden Umno meminta Badan Perhubungan Umno Kelantan mencapai sifar masalah dalaman. Dato’ Seri Najib Razak meluahkan isi hatinya itu ketika merasmikan mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Tanah Merah, 20 Julai lalu.

Kata orang, kalau tidak ada angin masakan pokok boleh bergoyang.

Sayangnya apa yang diluahkan Najib tidak berlaku di depan Pengerusi Perhubungan Umno Negeri, Dato’ Seri Annuar Musa. Pemimpin Umno Kelantan yang ada ketika itu hanya timbalan ketua, Dato’ Dr Awang Adek Hussin dan ahli Majlis Tertinggi, Dato’ Mustapa Mohamed.

Ke mana menghilangnya Annuar. Khabarnya beliau bercuti di Eropah sejak 8 Julai lalu. Dan difahamkan hanya kembali ke Kelantan pada 21 Julai. Tentunya agak tidak manis kedatangan seorang Timbalan Perdana Menteri tidak disambut ketua Umno negeri.

Ada andaian yang menyebut kedatangan Najib pada Jun lalu juga tidak disenangi Annuar. Mengikut maklumat dari Jeli, Najib cuba mempopularkan setiausaha politiknya, Dato’ Mohd Fatmi Che Salleh yang kini memangku jawatan Ketua Bahagian Kota Bharu.

Sehingga kini kehadiran Fatmi telah berjaya menyingkirkan Dato’ Zaid Ibrahim yang masih digantung tidak bertali sebagai ketua bahagian. Biar pun Zaid pernah diberi tempat sebagai Timbalan Ketua Perhubungan, namun kelantangannya menyebabkan pemimpin di Kuala Lumpur merasakan tidak selesa.

Malah, kedudukan Zaid hanya berubah selepas Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi mengambil kedudukan nombor satu di Pusat. Alasan bagi menukar mana-mana pemimpin yang pernah rapat dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dilakukan melalui pelantikan penaja selepas berlaku persempadanan kawasan pilihan raya menjelang pilihan raya umum 2004.

Ketika itulah tokoh-tokoh politik seperti Dato’ Ibrahim Ali dan Dato’ Wan Zaid Wan Abdullah turut disingkirkan.

Lalu diberinya kerusi nombor dua di Kelantan kepada Dato’ Dr Awang Adek Hussin yang ketika itu nampak bersih.

Namun, kekeliruan baru pula berlaku apabila dikatakan Annuar sekarang difahamkan cuba ‘berjinak’ semula Zaid yang sudah berpatah arang dengan Umno Pusat. Gambarnya bersama Zaid terpampang pada banner di Kampung Paloh, Pintu Geng. Ini seakan membuka satu dimensi baru politik Umno Kelantan.

Annuar dilihat meletakkan dirinya dalam kem kedua, seakan-akan menjarakkan dirinya dengan Awang Adek dan Mustapa.

Dan kekeliruan tambah jelas lagi apabila Annuar tiada semasa Najib datang ke Tumpat dan Pasir Mas. Sekali pun masih melancong atau mengurus bisnes yang belum selesai di United Kingdom, kehadirannya amat perlu.

Sebab itulah Najib seperti sudah merasai bahang dalaman Umno Kelantan sekarang. Sebagai Timbalan Presiden beliau amat mengharap Umno Kelantan sifar masalah dalaman, lebih-lebih lagi bagi menghadapi pilihan raya umum tidak lama lagi.

Mesej yang dibawa Najib mungkin pesanan dari Presiden parti sendiri. Ini kerana sudah banyak peruntukan dilaburkan ke Kelantan dalam agenda merampas negeri dari tangan PAS.

Bisnes Besar

Nampaknya, habuan peruntukan yang diharapkan, membuatkan Umno Kelantan semakin berkecamuk. Mengikut sumber, Ketua Penerangan Umno Negeri, Dato’ Alwi Che Ahmad pada satu perjumpaan dengan kontraktor di sebuah hotel di Kota Bharu baru-baru ini mengakui semua pemimpin Umno Kelantan mempunyai bisnes besar.

Malah, ada kontraktor mendakwa Alwi mempunyai projek ratusan juta di luar Kelantan. Dan dia seperti mengakui menghadapi kekangan masa untuk memikul tanggungjawabnya sebagai Ketua Penerangan Umno parti kerana hambatan projek di tempat jauh.

Dan kontraktor yang hadir itu dibisik-bisikkan, Adun Kok Lanas juga dikatakan mempunyai bisnes besar termasuk di Indonesia dan United Kingdom . Ada kontraktor yang nakal membisikkan ‘Annuar Musa bercuti di UK kerana sedang mengurus perniagaan.’

Bukan setakat bisnes sahaja, agak nakal diberitahu pemimpin terbabit mengarahkan kontraktor yang diberi anugerah projek di Ketereh menampal gambarnya pada signboard.

Inilah isu yang berligar dalam rumah tangga Umno Kelantan. Secara jelas digambarkan agenda pemimpin Umno yang ada sekarang bukan lagi kerana ketuanan Melayu sebaliknya membina empayar peribadi.

Seorang bekas pemimpin Umno Gua Musang mengakui hakikat itu. Tiga projek besar yang akan diumumkan sempena lawatan Perdana Menteri 2 Ogos depan, kesemuanya sudah berada di dalam genggaman pemimpin Umno. Bukannya kumpulan kontraktor Melayu yang siang malam merayu mendapatkan projek bagi membeli keperluan anak isteri.

Projek pembinaan Kolej Matrikulasi di Kok Lanas, kampus tetap Universiti Malaysia Kelantan di Bachok dan pembinaan jambatan Sultan Yahya Petra kedua semuanya milik pemimpin Umno.

Projek itu dikatakan memberi keuntungan berganda kepada mereka, bukan lagi sekadar membeli keperluan anak isteri. Isunya apa pula yang mampu dilakukan 3,411 kontraktor berdaftar dengan Pusat Khidmat Kontraktor dan CIDB.

Ini kerana semua projek mega dikaut pemimpin Umno.

Harapan yang ada mereka hanya menunggu tempiasnya untuk mendapatkan subkontrak, setidak-tidaknya boleh membayar ansuran Mercedes. Masalah seperti inilah yang menyebabkan tiga jambatan kecil di Tendong, Bukit Panau serta Ketereh yang dianugerah kepada kontraktor politik gagal disiapkan selepas bertahun.

Mungkinkah ekoran kecelaruan itu menyebabkan semakin ramai bekas pemimpin Umno yang ada jati diri mengisytihar meninggalkan parti. Sehingga kini empat bekas anggota jawatankuasa Umno di Ketereh mengucap selamat tinggal kepada Annuar.

Namun, bagi pendokong Umno yang mengharap rezeki dengan anugerah projek kerajaan masih mendambakan harapan kepada Awang Adek. Ini kerana jawatannya sebagai Timbalan Menteri Kewangan.

Sebab itulah beliau dijemput merasmikan mesyuarat agung tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Cawangan Kelantan, baru-baru ini. Namun, di sebaliknya kehebatan ikon baru itu, rupa-rupa wibawanya juga semakin merosot.

Umno Bachok

Umno Bachok juga dikatakan bergolak sekarang. Krisis di antara Awang Adek dan timbalan ketua bahagian, Dato’ Dr Ilias Husain tidak mampu disembunyikan lagi. Puncanya dikatakan berlaku pada 8 Julai lalu apabila Awang berkenan sangat kepada Pengerusi Eksekutif Kobena, Dato’ Ibrahim Mat Din untuk dijulang di Tawang.

“Ini menimbulkan kemarahan bekas calon lalu, Zulkifli Zakaria” kata seorang ketua cawangan Umno di Jelawat. Begitu juga tarik tali mengenai tapak pembinaan Hospital Bachok. Ilias mahu kekal di Jelawat, Awang Adek mengheret ke Tangok.

Awang sekarang dikatakan cuba mempengaruhi Annuar bagi membolehkan calon tajaanya diketengahkan. Dan kehadiran Ibrahim tentunya akan mencabar kedudukan Ilias di Bachok pada pemilihan parti tahun depan.

Mungkinkah dalam situasi sekarang Annuar boleh percayakan Awang Adek yang sebelum ini diuar-uarkan bakal menggantinya di perhubungan negeri. Sebaliknya Annuar dikatakan lebih senang dengan Ilias.

Bagaimana pula suasana di Tumpat. Ketua Bahagian Dato’ Noor Zahidi Omar difahamkan tidak senang dengan gaya baru timbalannya, Mohd Nor Yaakub. Mohd Nor kini dikatakan telah berubah gaya hidup.

Tanah Merah

Tidak kurang juga di Tanah Merah. Ketua Bahagian, Dato’ Hashim Saffin dikatakan mahu beralih angin. Beliau disebut cuba mengintai kerusi Parlimen yang kini dipegang Ir Shaari Hassan.

Kedudukannya di kerusi Dun Gual Ipoh semakin tercabar sekarang. Bekas Ketua Pemuda Umno Tanah Merah, Ikmal Hisyam Aziz pula cuba dijinakkan di tempat Hashim sekarang.

Di Pasir Puteh pula sehingga kini 12 nama disebut-sebut untuk mengintai lima kerusi calon di situ. Dato’ Fahami Rejab sering kelihatan di Limbongan setiap hujung minggu. Beliau dikatakan mengintai kerusi Limbungan. Begitu juga bekas wartawan, Dato’ Yazid Othman difahamkan cuba berjinak di Selising.

Kecamuk isu calon Umno begitu ketara sekali. Keadaan yang berlaku sekarang menyebab Umno terpaksa melakukan sesuatu bagi membendung konflik yang semakin terdedah. Maka strategi yang dirancang iaitu membeli ruang iklan dalam sebuah akhbar tempatan.

Sejak beberapa minggu lalu, iklan pelbagai berita, analisis dan rencana dimuatkan setiap hari bagi menggambarkan moleknya wajah Umno Kelantan.

Akhbar terbabit yang mana permitnya dikatakan dimiliki bekas wartwan yang dikenali mempunyai hubungan rapat dengan Umno seperti sedia diperalatkan. Umno tidak mampu menggunakan akhbarnya sendiri, al Haq bagi menyampaikan mesej tersebut.

Biar pun diletak di masjid dan gerai-gerai akhbar secara percuma, tidak ramai yang berminat dengan al Haq. Lalu jalan pintas digunakan dengan menaja iklan akhbar harian itu. Strategi awal itu rupa-rupanya berjaya dikesan Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mengisytihar memboikot akhbar terbabit.

Bukan kerana sentimen kepartian, sebaliknya disebabkan akhbar itu seperti menjadi tali barut parti politik. Dan lihatkan sedikit masa lagi, akhbar itu mungkin mengambil alih peranan al Haq.

Seperti pernah diakui pengarang kan an akhbar itu kepada seorang pemimpin PAS sebelum ini. Katanya, dia tidak jamin akhbar terbabit mampu mengekalkan identiti asal menjelang pilihan raya.

Jelas di sini Umno Kelantan seperti dalam kekalutan. Bilion ringgit yang dilaburkan ke Kelantan, akhirnya PAS pula semakin dekat di hati rakyat.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...