Tuesday, October 21, 2014

Kempen pegang anjing bermatlamat salah

Oleh MUHAMMAD FAISAL ASHAARI 

Isu pegang anjing yang heboh sehari dua ini bukan sekadar dibincangkan dari sudut hukum atau dari sudut fiqh, tetapi lebih dari itu ia perlu dibincangkan dari sudut pemikiran moden yang berkembang dalam kalangan generasi baru.

Dari sudut fiqh, ada mazhab yang ketat dalam isu pegang anjing dan pula mazhab yang memberikan ruang dan kelonggaran seperti mazhab Hanafi. 
Ia sepatutnya tidak menjadi masalah yang besar kerana wujud kelonggaran dari sudut agama.

Masalahnya ialah ia bercanggah dengan adat dan tradisi orang Melayu di negara ini yang berasa canggung dengan anjing. Ia dikukuhkan lagi dengan mazhab fiqh orang Melayu yang berasaskan kepada mazhab Syafie yang kurang mesra dengan anjing. 

Dari sudut pemikiran, mengetengahkan isu pegang anjing merupakan suatu jenis pemikiran yang dinamakan sebagai pascamodenisme iaitu pemikiran yang sentiasa mengkritik apa yang telah mapan atau yang sudah biasa diamalkan dalam masyarakat atau melakukan sesuatu menyanggah kebiasaan masyarakat. Ia menjadi trend semasa kepada generasi masa kini yang dipercayai atas alasan itu adalah hak mereka.

Banyak aktiviti kehidupan generasi masa kini yang cuba menyalahi amalan kebiasaan pada masa lalu yang dianggap sebagai inovasi. Malah, menyanggahi amalan kebiasaan dalam sesetengah keadaan sangat digalakkan atas nama inovasi. Memang tidak semua sanggahan terhadap tradisi itu haram melainkan sekiranya menyanggah perkara yang diwajibkan dalam agama. 

Sikap suka menyanggahi amalan tradisi termasuk agama adalah sifat utama kepada liberalisme dan pluralisme yang cuba membebaskan diri dari sebarang ikatan autoriti. Sifat agama yang mengikat tidak membenarkan penganutnya membebaskan diri dan melakukan amalan ikut hawa nafsu.

Namun, bagi seorang pluralis dan liberalis, tradisi dan agama telah mengongkong kehidupan mereka. Maka, menyanggahi tradisi termasuk agama adalah suatu keperluan. Mereka mengkritik biarpun perkara yang sudah tetap di dalam agama. Fenomena inilah yang disebut sebagai pascamodenisme.

Isu pegang anjing merupakan suatu usaha yang halus yang boleh dikaitkan dengan usaha untuk meruntuhkan pegangan umat Islam terhadap tradisi, termasuklah agama. Setakat ini, pegang anjing bukanlah suatu isu penting yang perlu diangkat sebagai bahan perbincangan oleh umat Islam.

Banyak lagi isu yang perlu diberikan perhatian oleh orang Islam seperti isu akidah, isu arak dan sebagainya. Tetapi ia diangkat sebagai isu yang penting dipercayai mempunyai agenda yang tertentu dan sebahagian dari kempen besar contestation dalam “politik baharu” yang ingin dibawa masuk ke dalam negara ini. Kali ini mungkin pegang anjing, mungkin akan datang lain pula isunya. 

Saidina Ali berkata: "Kata-kata yang betul, tetapi digunakan untuk tujuan yang salah."

Dr Muhammad Faisal Ashaari ialah akademik pengajian Islam di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Monday, October 20, 2014

Pakatan anti-dolar Rusia, China dan Iran

Selepas beberapa bulan rancangan Rusia dan China untuk melaksanakan rancangan yang konkrit untuk menghakis pengaruh dolar Amerika Syarikat, kedua-dua negara akhirnya mencapai satu siri perjanjian perdagangan dan kewangan pada Isnin, 13 Oktober lalu.

Pertemuan pemimpin tertinggi Rusia dan China bulan Mei lalu telah meningkatkan lagi perhatian kepada rancangan Moscow-Beijing ini, yang akhirnya termeterai minggu ini.

Pemimpin kedua-dua negara menandatangani perjanjian tenaga, perdagangan dan kewangan yang disebut sebagai dasar beralih ke Asia yang telah mencapai hasilnya.

Perjanjian ini juga dicapai untuk membantu kedua-dua Rusia dan China berdepan dengan sekatan yang semakin ditingkatkan ke atasnya oleh Barat, terutama selepas krisis Ukraine.

Sebanyak 38 perjanjian dicapai di Moscow dalam pertemuan antara Perdana Menteri Rusia Dmitri Medvedev dan Perdana Menteri China Li Keqiang, melibatkan kerjasama tenaga dan pertukaran mata wang bernilai 150 bilion yuan atau AS$25 bilion, yang boleh membantu mengurangkan peranan dolar dalam perdagangan kedua-dua negara.

Perjanjian-perjanjian tersebut ialah antara tanda kejayaan awal dasar beralih ke timur yang diarahkan oleh Presiden Vladimir Putin untuk mengelakkan peminggiran akibat sekatan.

Pada Mei lalu, kedua-dua negara memeterai perjanjian perdagangan gas asli bernilai AS$400 bilion, yang dicapai segera selepas Barat meningkatkan tekanan terhadap Rusia ekoran krisis Ukraine.

Amerika Syarikat dan Eropah memberi sokongan kepada kumpulan pro-Barat di Ukraine, yang melakukan protes besar-besaran sehingga mencetuskan krisis, yang akhirnya mendorong Rusia menakluk Crimea.

"Saya menganggap keupayaan kita membuka kemungkinan baharu walaupun berdepan sekatan sebagai satu pencapaian penting," kata Medvedev selepas majlis menandatangani perjanjian.

Tetapi China menunjukkan tanda yang rasa curiga masih belum terhapus sepenuhnya, apabila kelihatan masih berhati-hati, termasuk ketika mengulas prospek perjanjian pada 2015 pembinaan saluran bekalan gas kedua membekalkan gas Rusia ke China.

"Kerjasama dalam gas asli antara Rusia dan China telah lama berjalan. Tetapi banyak lagi rundingan antara syarikat terbabit perlu diadakan," kata Li.

Perjanjian ini membantu Rusia yang semakin disekat oleh Barat, termasuk dalam sektor perbankan yang menyukarkan bank Rusia untuk berurusan dengan pasaran Barat.

Pertukaran mata wang yang dicapai, melibatkan Rusia dan China berurus niaga dengan satu sama lain dalam mata wang ruble dan yuan, membantu China meluaskan penggunaan yuan di peringkat antarabangsa, sekaligus mengurangkan penggunaan dolar.

China, yang memiliki 34 peratus daripada AS$4 trilion rizab asing yang dilaburkan dalam hutang kerajaan AS, mahu menghadkan kerugian yang boleh disebabkan oleh penurunan nilai dolar dalam jangka pendek. Perancangan jangka panjangnya ialah meningkatkan pengaruh yuan dan menjadikannya satu mata wang rizab global.

Medvedev berkata,perdagangan antara Rusia dengan China berkembang sebanyak lebih daripada 100 peratus sepanjang enam tahun ini antara AS$40 bilion kepada AS$90 bilion.

Menurutnya, Rusia dan China ialah rakan dagang yang rapat, satu lagi kenyataan yang menegaskan kepentingan perdagangan kedua-dua negara, yang kini memasuki satu fasa yang kuat dipengaruhi geopolitik kuasa-kuasa besar. 

Di bawah perjanjian baharu ini, kerjasama akan dijalankan dengan lebih mendalam antara pengeluar minyak milik negara Rosneft dan Perbadanan Petroleum Nasional China, termasuk dalam projek gas asli cecair dan kemungkinan bekalan gas asli cecair ke China.

Bank-bank VTB, VEB dan Bank Pertanian Rusia - yang seperti Rosneft juga terjejas akibat sekatan - menandatangani perjanjian rangka kerja dengan Bank Exim China untuk pengurusan kredit.

Pengendali telefon bergerak MegaFon dan Bank Pembangunan China bersetuju untuk menguruskan pembiayaan bernilai AS$500 juta.

Li, yang tiba di Rusia dari Jerman kemudian akan ke sidang kemuncak pemimpin Eropah dan Asia, dan dijadual bertemu Putin untuk perbincangan.

Satu lagi tanda pemulihan hubungan antara Rusia dan China ialah peningkatan eksport minyak mentah ke China sepanjang Januari hingga September sebanyak hampir 45 peratus. Penghantaran ke Eropah dari pelabuhan Primorsk di Laut Baltik merosot hampir 20 peratus.

Menurut satu syarikat perunding tenaga, JBC Energy, eksport semakin bertambah ke pasaran Timur dan merosot ke Barat, trend yang dijangka terus meningkat dalam keadaan politik semasa.

Beijing mahu meningkatkan urus niaga dengan Rusia, mengambil kesempatan daripada kemerosotan hubungan Moscow dengan Barat, yang kini berada pada tahap terburuk selepas Perang Dingin.

Walau bagaimanapun, masih banyak perlu dilakukan untuk menghapuskan rasa saling mencurigai antara satu sama lain, yang baru menyelesaikan pertikaian sempadan pada dekad lalu.

Beijing berminat untuk melabur dalam pembangunan infrastruktur, tenaga dan komoditi di Rusia, tetapi Moscow mungkin berhati-hati dalam membenarkan pelaburan dalam industri strategik.

China mungkin juga bimbang untuk melabur dalam ekonomi Rusia yang berdepan pelbagai hambatan, termasuk sekatan dan kemerosotan harga minyak, eksport paling penting Rusia.

Pada masa sama, Rusia juga merancang bersama Iran untuk menubuhkan sebuah bank kerjasama untuk meningkatkan perdagangan dua hala dan mengatasi sekatan terhadap sektor perbankan Iran, lapor media Iran Press TV baru-baru ini.

Tehran dan Moscow sedang mengkaji kemungkinan membuka halaman baharu dalam perdagangan antara kedua-dua negara yang memberikan keupayaan untuk memecahkan dominasi mata wang Barat dalam urusniaga dua hala, Asadollah Asgaroladi, ketua Dewan Perniagaan Iran-Rusia dilapor berkata.

"Oleh kerana bank-bank Rusia bimbang akan implikasi berurusan dengan Iran disebabkan sekatan, kami mahu menubuhkan bank kerjasama Iran-Rusia dengan bantuan bank pusat dan sektor swasta kedua-dua negara," kata Asgaroladi.


"Bank seperti itu akan boleh menukarkan wang antara dua pihak menggunakan rial Iran dan rubles Rusia, tanpa menggunakan dolar, euro atau pound," tambahnya.

Iran telah mengalami kesukaran ekonomi beberapa tahun kebelakangan ini disebabkan sekatan Barat terhadap sektor tenaga dan kewangan Iran.

Malah, sejak beberapa tahun lalu, Amerika Syarikat mengenakan sekatan ke atas beberapa individu dan entiti Iran walaupun pada masa sama meneruskan rundingan untuk mencapai penyelesaian komprehensif program nuklear Iran. (Reuters, Xinhua)

Kerana memusuhi Kurdi, AKP memihak kepada ISIS?

Oleh CENGIZ CANDAR

Pada 7 Oktober lalu, saya bersama rakan sekerja dan seorang sahabat lama Hasan Cemal makan malam di Istanbul. Dalam perjalanan ke restoren berkenaan, saya difahamkan berlaku kekacauan di wilayah-wilayah yang diduduki rakyat Kurdi di Turki.

Ramai yang terbunuh dan perintah berkurung terpaksa dikenakan di enam pusat wilayah dan beberapa daerah. Sewaktu kami duduk makan, kami diberitahu bahawa di beberapa kawasan di Istanbul, tercetus pergaduhan antara pihak berkuasa dengan pembantah; Cemal menerima panggilan bertali arus.

Dia memberitahu saya bahawa awal pagi esok beliau akan ke sempadan wilayah Mardin menyertai majlis yang dihoskan Datuk Bandar Ahmet Turk, seorang ahli politik Kurdi veteran, barangkali seorang tokoh Kurdi yang sangat dihormati dalam kalangan pendapat awam Turki.

Berita ini tidak mengejutkan saya. Cemal boleh dianggap sebagai dekan bagi institusi kewartawan Turki. Beliau telah terlibat dalam profesyen berkenaan lebih daripada 40  tahun, dan pernah berkhidmat sebagai ketua pengarang akhbar tertua di Turki, Cumhuriyet, selama satu dekad.

Sewaktu pemerintahan tentera pada awal 1980-an, beliau berada dalam jawatankuasa eksekutif, Institut Akhbar Antarabangsa. Selepas mempamerkan karier profesional yang cemerlang untuk tempoh masa yang panjang, beliau menjuruskan dirinya membuat laporan-laporan lapangan khususnya mengenai isu Kurdi.

Beliau kerap berjalan dan membina hubungan yang kukuh dalam kalangan ahli politik elit Kurdi. Beliau baru menerbitkan sebuah buku bertajuk, Kurdistan Gunlukleri (Urutan Sejarah Kurdi), mengenai perjalanannya yang banyak dan hubungan yang dimilikinya di Rojava, daerah masyarakat Kurdi di Syria, bersebelahan sempadan Turki.

Apabila kumpulan Negara Islam di Iraq dan al-Syam (ISIS) mula menyerang dan melakukan keganasan di Kobani, dan Turki pada waktu itu hanya bertindak melihat kuasa ekstremis menyembelih masyarakat Kurdi dan berfikir apakah kesannya ke atas masyarakat Kurdi di Turki, Cemal tidak mampu berbuat apa-apa melainkan harus pergi ke daerah tersebut membuat laporan.

Dan itulah yang beliau lakukan. Inilah sedutan daripada tulisan pertama beliau pada 8 Oktober di bawah tajuk Serhildan-I (Kebangkitan Kurdi). Membaca impresi Cemal menjadikan tajuk itu lebih menarik: "Ahmet Turk berkata, 'Saya menjadi bingung dengan isu Kobani ini. Saya pernah fikir bahawa Turki akhirnya akan membantu Kurdi. Saya silap. Ia tidak berlaku.'"

Cemal percaya tindakan Ankara membiarkan sahaja kelompok Kurdi menghadapi kumpulan ganas ISIS merupakan isu yang menghilangkan sepenuhnya kepercayaan kelompok Kurdis kepada negara. Beliau menulis, "Mereka yang tidak pernah mengundi kami, mereka yang menyokong AKP (Parti Keadilan dan Pembangunan) semuanya berada di Suruc. Mereka berada di atas jalan raya sekarang. Dasar Ankara membiarkan ISIS untuk menghapuskan PKK (Parti Pekerja Kurdistan) dan PYD (Parti Kesatuan Demokratik) dengan tujuan untuk mengajar mereka, telah memusnahkan segala-galanya.

"Membiarkan masyarakat Kurdi dipenggal kepala, perempuannya dirogol serta sikap pasif Turki terhadap sikap ganas ini menghilangkan terus kepercayaan masyarakat Kurdi pada Ankara. Masyarakat Kurdi dapat melihat bagaimana negara itu membutakan mata terhadap perlakuan ISIS."


"Merujuk kepada Presiden Recep Tayyip Erdogan, Ahmet Turk berkata, 'Di mata rakyat, Erdogan sekarang seorang diktator. Apa jenis kesombongan yang ditunjukkannya?'

"Ahmet Turk seterusnya menyambung, 'Dengar, apa yang kita lalui sejak dua hari lepas adalah serhildan Kobani, satu kebangkitan. Di luar usaha mana-mana organisasi. Ia adalah kebangkitan rakyat. Asas cara berfikir negara tidak berubah. Tengok, beberapa tahun kemudian, kereta perisai akan kembali semula ke atas jalan raya. Dengan cara berfikir seperti ini, kesamarataan bagi rakyat Kurdis adalah mimpi palsu. Kamu tidak akan mampu menyelesaikan isu ini menurut cara berfikir seperti itu."

Cemal kemudian memetik pandangan masyarakat Kurdi yang tidak dikenali: "Mengenai pemisahan, seorang daripada mereka berkata, 'Dasar AKP adalah memberi sokongan kepada ISIS. Itu dasar yang memecahbelahkan Turki. Rakyat Kurdi dapat melihat realiti ini. Mereka faham bahawa proses rundingan bukan untuk menyelesaikan masalah tetapi untuk melemahkan masyarakat Kurdi.'

"Yang lain menambah, 'Erdogan meletakkan ISIS dan PKK dalam bakul yang sama, semuanya dipanggil kumpulan pengganas. Ini membuatkan rakyat Kurdi sakit hati. Mereka tidak percaya semua ini berlaku.'"

Pada tengah malam 9 Oktober, Cemal menulis Serhildan-II dari bandar Kurdi iaitu Suruc, yang sempadannya hanya dipisahkan oleh landasan keretapi dari Kobani:

"Kamu dengar rungutan terhadap Erdogan dalam setiap langkah di sini. Beliau berkata Kobani kemungkinan ditawan dan akan ditawan. Tidakkah beliau sedar bahawa Diyarbakir telahpun jatuh dan ditawan? Jika hal ini terus berlaku, minta Tuhan menolong kita, keseluruhan negara ini akan hangus. Adakah Erdogan sedar hal ini?"

Arzu Yilmaz merupakan seorang ahli akademik muda berketurunan Kurdi. Beliau adalah calon kedoktoran di jabatan sains politik, Universiti Ankara, dan beliau dianggap sebagai tokoh yang mempunyai perspektif paling terkehadapan dalam isu Kurdi.

Untuk disertasi PhD nya, beliau menghabiskan masa lebih dua tahun di Dahuk, wilayah Kurdi Iraq, di mana beliau mengkaji pergerakan politik Kurdi. Pada saat tercetusnya kebangkitan rakyat di wilayah Kurdi di Turki, beliau menulis seperti berikut:

"Jangan sesiapa pun diperbodohkan. Turki secara terbuka telah mengisytiharkan perang, bukan sahaja di luar sempadannya, malah di dalam negara juga. Rakyat Kurdi telah bangkit. Di Kurdistan telah berlaku kebangkitan popular dengan sokongan popular yang belum pernah berlaku sebelum ini. Apa yang jelas, tidak kira kota, bandar atau kampung. Ia adalah bom yang besedia untuk meletup."

Satu perkara kecil yang tidak menarik minat ramai orang, bagi saya sangat penting. Teyrenbazen Azadiya Kurdistan (TAK), dipercayai merupakan organisasi cabang dalam PKK, yang bertanggungjawab ke atas beberapa aksi keganasan di kawasan bandar, mengeluarkan kenyataan yang berbunyi: "Peringatan kepada pemilik-pemilik senjata yang selama ini dihalakan ke arah Kobani. Mulai sekarang, semua bandar utama merupakan medan tempur kami dan semua kekuatan musuh menjadi sasaran utama kami. Apabila Kobani dibakar, semua bandar di Turki tidak akan tidur selesa. TAK akan memindahkan semua kesengsaraan yang ditimpakan di Kobani, kepada kekuatan musuh di bandar-bandar besar dan akan menjadikannya neraka."

Laporan media pada 9 Oktober menyifatkan rekod TAK sebagai berikut: "TAK, yang merupakan sebahagian daripada PKK tetapi beroperasi secara bebas daripada organisasi tersebut, sehingga kini mendakwa bertanggungjawab terhadap banyak peristiwa serangan bom di bandar-bandar besar dan tempat tarikan pelancong. Serangan di Kusadasi, Marmaris dan Antalya dalam 2005 dan 2006, dan serangan pada 22 Jun 2010 di Istanbul yang mengorbankan lima orang, empat daripadanya anggota tentera, didakwa dilakukan TAK. Serangan pada 31 Oktober 2010 di Taksim, Istanbul yang mencederakan 32 orang, dan serangan pada 20 September 2011 di Ankara yang membunuh tiga orang juga didakwa dilakukan organisasi ini."

Turki memilih jalan yang sangat bahaya ke arah keganasan, yang memungkinkan berlakunya perang saudara dan perbalahan kelompok masyarakat. Ini merupakan berita yang sangat buruk. Lebih buruk lagi, PKK dan pemimpinnya yang dipenjarakan Abdullah Ocalan tidak akan berupaya mengawal perkembangan tersebut.

Kita akan menyaksikan skop tindakan spontan kebangkitan masyarakat Kurdi di Turki dan bakat ahli politik elit Kurdi menangani keadaan ini.

Bagi kerajaan Turki - yang kelihatannnya telah hilang keupayaan untuk berfikir secara komprehensif - usaha untuk menghalang Turki daripada terjerumus ke dalam kancah perang saudara kebanyakkannya bergantung kepada ahli politik elit Kurdi dan kawalannnya ke atas generasi baru Kurdi, yang menunjukkan keberangan semakin memuncak ekoran peristiwa di Kobani.

Kerana, jika apa yang berlaku ini adalah "serhildan," maka kejadian selepas ini dijangkakan lebih buruk.


Artikel ini dipetik daripada laman Al-Monitor, dan diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh MUHAMMAD NOR ABD SAMAD.

Sunday, October 19, 2014

India mula tumpu Laut China Selatan

Oleh C RAJA MOHAN

Hakikat bahawa Laut China Selatan disebut buat pertama kali dalam kenyataan bersama antara India dan Amerika Syarikat semasa lawatan Perdana Menteri India Narendra Modi ke Washington telah mendapat perhatian semua. Rujukan terhadap wilayah perairan itu lebih memberi gambaran tentang perubahan sikap di bawah Modi berbanding dasar New Delhi terhadap pertikaian maritim di Laut China Selatan dan Timur antara Beijing dan jiran-jirannya di Asia, terutama Jepun, Vietnam dan Filipina.

Sejak China menjadi semakin asertif di Pasifik, New Delhi yang turut terlibat dalam pertikaian dengan Beijing di Himalaya, mula mempertimbangkan isu kebebasan navigasi. Ini memandangkan sebahagian besar perdagangan India yang semakin meningkat dengan Asia Timur melalui Laut China Selatan.

Modi telah mempertegaskan semula hal ini dalam kenyataan bersama dengan Presiden AS Barack Obama dan menegaskan pendirian India bahawa pertikaian wilayah maritim di Laut China Selatan perlu diselesaikan menurut Konvensyen Pertubuhan bangsa-Bangsa Bersatu tentang Undang-Undang Laut, UNCLOS.

Penegasan ini kini semakin biasa muncul dalam kenyataan bersama India dengan rakan-rakan di Asia Timur. Apa yang baharu dalam hal ini ialah New Delhi di bawah Modi tidak lagi segan-segan dalam menegaskan pendirian yang selari dengan AS. Salah satu legasi diplomasi yang dikesali, yang lahir daripada dasar berkecuali India ialah keengganan India untuk menegaskan pendirian yang selari dengan AS berhubung isu serantau dan global. Modi yang lebih yakin membantu dalam hal ini dengan menyuntik sedikit pragmatisme dan keterbukaan dalam pendirian India.

Kepentingan India dengan AS, sebuah kuasa maritim terulung dunia, kini semakin selari, ekoran perdagangan yang meningkat dan kebergantungan yang meningkat pada lautan sebagai laluan import sumber tenaga.

Persamaan kepentingan ini dicerminkan oleh kerjasama yang semakin meluas antara tentera laut India dan AS sejak India mula dilanda globalisasi ekonomi pada 1990-an. Tetapi kelihatan wujud sikap teragak-agak dalam pentadbiran Aliansi Progresif Bersatu (UPA, yang ditubuhkan pada 2004) sebelum ini untuk merealisasikan potensi sepenuhnya kerjasama dengan tentera laut dengan AS. Modi, walau bagaimanapun, menunjukkan kesediaan untuk menerokai potensi ini.

Maka, tidak mengejutkan apabila Modi dan Obama bersetuju meningkatkan kerjasama maritim dua hala dan meningkatkan kualiti siri latihan tentera laut Malabar. Siri eksesais Malabar bermula pada awal 1990-an di bawah kerajaan Parti Kongres pimpinan PV Narasimha Rao, dan didayakan lagi oleh Pranab Mukherjee, yang berkhidmat sebagai menteri pertahanan pada dua tahun pertama kerajaan UPA berkuasa bermula 2004.

Tetapi kerjasama keselamatan maritim antara India dengan AS mula merosot selepas AK Anthony menggantikan Mukherjee sebagai menteri pertahanan pada 2006. Anthony kelihatan kurang sedar terhadap kepentingan maritim India dan teragak-agak untuk memperkukuhkan kerjasama dengan AS. Beliau malah tidak selesa dengan nama "Malabar" yang dipilih untuk menamakan latihan bersama India dengan AS, yang dikhuatiri menyinggung sentimen Muslim di negeri asal beliau, Kerala.

Tempoh tujuh tahun Modi di kementerian pertahanan telah membantutkan kerjasama tentera laut India dengan AS dan juga negara-negara lain. Modi bakal mengambil masa yang agak lama untuk memulihkannya.

Rujukan terhadap meningkatkan latihan Malabar dalam kenyataan bersama menunjukkan yang New Delhi dan Washington kini bersedia untuk bukan sahaja meningkatkan kualiti latihan itu tetapi juga membuka penyertaan kepada pihak lain seperti Jepun, Australia, Singapura dan negara-negara Asia Timur lain yang berminat.

Satu lagi yang menarik ialah kenyataan tentang meningkatkan kerjasama teknologi tentera laut antara kedua-dua negara. Menurut spekulasi pihak yang dekat dengan perbincangan, AS mungkin telah bersedia untuk menawarkan beberapateknologi kritikal kepada India untuk membantu pembinaan kapal pengangkut pesawatnya yang baharu. 

Diplomasi maritim Modi tidak terhad kepada ruang ketenteraan laut sahaja. Pembangunan infrastruktur rentas sempadan menjadi satu prioriti utama bagi kerajaan beliau. Kenyataan bersama Modi dengan Obama menyebut tentang kerjasama dalam mengintegrasikan benua kecil itu dengan pasaran Asia Timur melalui satu "Koridor Ekonomi Indo-Pasifik."

Cadangan ini serupa dengan rancangan China untuk membina laluan sutera maritim menghubungkan Lautan Pasifik dan Hindi. Bagi India, yang kelihatan curiga terhadap rancangan China di Lautan Hindi, Koridor Ekonomi Indo-Pasifik mungkin satu langkah pertama dalam membina laluan sutera maritimnya sendiri.


C Raja Mohan ialah penganalisis politik antarabangsa dan penulis buku Samudra Manthan: Sino-Indian Rivalry in the Indo-Pacific. Artikel ini dipetik dan diterjemahkan daripada The Indian Express.

Saturday, October 11, 2014

Selepas kemaraan Houthi, ke mana hala tuju Yaman?

Selepas pertempuran dan protes besar-besaran sejak hujung tahun lalu, pihak yang paling banyak mendapat keuntungan ialah kumpulan Houthi, yang kini mendapat suara yang lebih besar dalam usaha penubuhan kerajaan baharu, selepas diabaikan dalam persidangan dialog kebangsaan sebelum ini.

Houthi yang meningkat pencapaian dan pengaruhnya dengan setiap pertembungan dengan kerajaan kini mencapai kemuncaknya apabila berjaya menguasai Sanaa dan meningkatkan pengaruhnya dalam kerajaan di ibu negara, selepas berjaya menewaskan Islah dan sejumlah kecil tentera yang menentang mereka - pada masa sama mendapat sokongan daripada sebahagian tentera Yaman - dua kumpulan berpengaruh yang menguasai Yaman.

Kemenangan Houthi ini tidak dapat dielakkan daripada dilihat sebagai peningkatan penguasaan Syiah dan Iran, ekoran hubungan baik Houthi dengan Tehran, walaupun tidak jelas lagi sejauh mana Houthi dapat menguasai pentadbiran di Sanaa dan membantu mencapai agenda serantau Iran, disebabkan kedudukannya sebagai minoriti Zaidiyah dan bukan sebahagian puak terkuat di Yaman.

Houthi walaupun dapat menguasai Sanaa dilihat tidak meneruskan kemaraan lebih jauh lagi, dipercayai kerana bimbang dengan reaksi keras yang bakal diundang melalui tindakan yang lebih drastik itu, selepas membuat kejutan dengan langkah pantas menguasai ibu negara dan lokasi-lokasi penting.

Tindakan kumpulan pemberontak ini tidak mahu berundur daripada Sanaa walaupun selepas perjanjian dicapai mengundang keresahan ramai, dan telah mendorong serangan daripada pihak al-Qaeda yang anti-Syiah.

Kemaraan Houthi ini kini digunakan untuk mengukuhkan naratif kebangkitan Syiah yang mengancam penguasaan Sunni di rantau Arab secara simplistik dan mengundang ketakutan, seperti yang digunakan di Syria dan Iraq untuk memperlihatkan pertembungan Sunni-Syiah dan membakar lagi sentimen sektarian.

Walau bagaimanapun, selain disebarkan oleh pihak musuh Iran dan Syiah, pihak di Iran sendiri turut menyumbang kepada pengukuhan pandangan ini, apabila ada pihak di Iran sendiri melihat kemaraan Houthi sebagai satu kejayaan Iran. Seorang ahli Parlimen Iran, Alireza Zakani dilaporkan berkata yang Iran kini menguasai empat ibu negara Arab; Baghdad, Damsyik, Beirut dan Sanaa.

Naratif ancaman Syiah digunakan dalam propaganda panjang dalam konflik di Syria, hingga menyuburkan medan perang itu dengan militan dari seluruh dunia Islam, yang akhirnya membawa Syria dan juga seluruh dunia Islam ke satu konflik ganas sektarian dan krisis kemanusiaan yang berpanjangan.

Pelbagai kumpulan yang menjadikan penentangan terhadap Syiah sebagai satu bahagian utama perjuangan muncul dan beroperasi di Syria dan kawasan sekitar, yang bentuk paling buruknya ialah militan yang menamakan diri mereka Negara Islam di Iraq dan al-Syam.

Sebahagian media telah menampakkan kecenderungan membingkaikan perkembangan di Yaman dengan memberi tumpuan yang terlalu besar pada kata kunci Syiah, yang ekoran naratif yang dibangunkan dan disebarkan hasil konflik di Syria, memberi gambaran hanya mengenai satu sudut peristiwa yang kompleks itu.

Yaman yang telah sedia menjadi satu pangkalan al-Qaeda kini berpotensi untuk terjerumus dalam konflik sektarian yang dahsyat, dan menarik militan-militan dari seluruh dunia Islam yang tertarik dengan mesej sektarian yang terhasil daripada konflik ini.

Pemerhatian terhadap perkembangan terkini ini, selain ditumpukan pada Iran, juga perlu diberikan pada Arab Saudi yang juga satu pemain utama dan mendapat manfaat daripada kemaraan Houthi yang berjaya menjejaskan musuh di negara jirannya itu.

Pada masa sama, Arab Saudi yang kelihatan mencapai satu persefahaman dengan Iran yang menyokong Houthi tidak akan membiarkan negara jirannya itu menjadi kubu Iran dan Houthi, yang mempunyai lebih banyak perbezaan berbanding persamaan.

Menurut seorang pemerhati, Abdullah Hameed al-Deen yang menulis di akhbar al-Hayat, Riyadh dan Tehran kelihatan bekerjasama secara taktikal dalam memberikan sokongan untuk Houthi menewaskan Islah dan kelompok yang dilihat mengkhianati Ali Abdullah Saleh, sekutu kuat Saudi di Yaman.

Tulis Abdullah, pada tahap ini, Riyadh membenarkan Houthi mara dan Iran mendapat manfaat daripada perkembangan ini, tetapi kemaraan Houthi dan potensi perluasan pengaruh serantau Tehran ini tidak akan dibenarkan berterusan lebih daripada yang sepatutnya.

Menurutnya, pada tahap seterusnya, Saudi dijangka akan bergerak untuk kembali menguasai Yaman melalui pihak-pihak yang mempunyai hubungan baik dengannya, selepas musuh-musuhnya terdiri daripada Ikhwan al-Muslimin dan pihak yang bekerjasama dengan Ikhwan untuk menjatuhkan Ali Abdullah ditewaskan oleh Houthi.

Presiden Abd Rabbuh Mansur Hadi sendiri ialah sekutu Saudi dan sekutu penting Amerika Syarikat dalam "perang menentang terorisme."

Sekiranya ini berlaku, Riyadh perlu membina persefahaman dengan Houthi dan Iran, sekiranya tidak mahu rancanganya itu berdepan halangan dan tentangan. Perkembangan terbaharu ini, yang semakin jelas selepas pertemuan wakil Riyadh dan Tehran di New York, Amerika Syarikat beberapa minggu lalu menunjukkan satu kecenderungan baharu Arab Saudi dan Iran untuk menyelaraskan dasar luar masing-masing berdasarkan perkembangan semasa, walaupun masih mempunyai perbezaan yang besar.

Di pihak lain, Qatar dan Turki melihat penghakisan pengaruh yang pantas berlaku selepas pencapaian-pencapaian luar biasa sejak beberapa tahun lalu hingga sekitar 2012, pada masa imbangan kuasa di rantau Arab berubah dengan dramatik.

Qatar sebelum ini bekerjasama rapat dengan Saudi dalam usaha menjatuhkan Presiden Bashar al-Assad di Syria, dengan memberikan bantuan persenjataan, kewangan, sokongan media dan diplomasi kepada kumpulan-kumpulan penentang rejim Bashar.

Doha menerima tekanan kuat Riyadh dan jiran-jiran Majlis Kerjasama Teluk yang lain - selain Oman yang berpendirian berbeza - untuk tidak lagi menyokong Ikhwan al-Muslimin serantau, dan beberapa tindakan Saudi dan sekutu kebelakangan ini telah melemahkan kedudukan serantau Qatar.

Perkembangan terkini di Yaman menunjukkan yang negara ini menjadi medan persaingan terbaharu kuasa-kuasa serantau, dan membuktikan lagi yang kebangkitan rakyat yang bermula empat tahun lalu masih belum sampai kepada satu penamat, tetapi telah membuka kepada pelbagai kemungkinan dan meningkatkan lagi persaingan geopolitik yang sengit. - Oktober 2, 2014

Thursday, October 9, 2014

Menilai potensi parti pasca-Islamis di Malaysia

Sarjana Perancis, Olivier Roy dalam bukunya The Failure of Political Islam menyediakan penjelasan asas tentang pasca-Islamisme, istilah yang kemudian dicetuskan dan dipopularkan oleh akademik dari Amerika Syarikat, Asef Bayat untuk menjelaskan kecenderungan kumpulan politik Islam yang mengubah pendekatan dan pegangan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan semasa.

Perkembangan melibatkan pencapaian politik kumpulan Islam yang bermodel Ikhwan al-Muslimin dilihat sebagai petunjuk bahawa politik Islam menghadapi keadaan yang semakin sukar untuk mengemukakan cara Islam untuk menangani persoalan semasa.

Slogan "Islam penyelesaian semua masalah" akhirnya berdepan rintangan sukar realiti politik dan pentadbiran yang amat kompleks dan jauh lebih sukar daripada dua pilihan hitam dan putih.

Walaupun masalah yang dikemukakan oleh Roy disifatkan oleh sesetengah pihak daripada Islam Syiah sebagai "kegagalan Islam politik Sunni," Bayat mengemukakan masalah yang sama melanda dunia Syiah di Iran pasca-Khomeini.

Bagi sesetengah pihak, apa yang dikemukakan oleh Roy dan kemudian Gilles Kepel disifatkan sebagai satu pemerhatian yang terlalu awal, sedangkan proses perubahan dan adaptasi gerakan Islam masih terus berjalan.

Antara yang mengkritik bacaan Roy dan Kepel ialah sarjana Tariq Ramadan, yang dalam satu program di Kuala Lumpur menyifatkan yang Roy cuba menyesuaikan perkembangan terkini di Asia Barat dengan hasil karyanya berhubung "kegagalan Islam politik."

Perkembangan bermula 2011 di Tunisia, Mesir dan Maghribi, dan sedekad sebelum itu di Turki menguatkan tesis kemunculan dan kebangkitan pasca-Islamisme untuk menggantikan Islamisme tradisional.

Hal ini disambut dengan positif oleh media dan akademik di Barat dan juga dalam kalangan Muslim liberal di negara-negara Islam. Pasca-Islamisme dinilai seperti satu jawapan tuntas kepada persoalan sama ada Islam sesuai dan selari dengan demokrasi, satu tajuk yang sangat bermasalah yang menghalakan perbincangan ke arah yang sebahagian besarnya tidak produktif.

Dalam media Barat, model pemerintahan Turki oleh Parti Keadilan dan Pembangunan, AKP, kerap disebut-sebut pada masa awal sejurus pemeritahan lama Presiden Hosni Mubarak dijatuhkan dan kumpulan Islam Ikhwan dilihat berpotensi mengambil alih pemerintahan.

Parti berkecenderungan pasca-Islamis AKP yang ditubuhkan oleh sekumpulan ahli yang berpisah haluan daripada parti Islamis Turki menerima sokongan popular, dan pada masa sama berjaya membawa Turki ke satu arah yang lebih maju dan disegani di peringkat serantau dan global, terutama dalam dunia Islam.

Tempoh yang suka dilihat sebagai satu fasa baharu ini disifatkan sebagai permulaan satu "revolusi pasca-Islamis," dengan menetapkan bahawa satu hasil yang pasti daripada kebangkitan massa di dunia Arab dan perubahan politik yang diakibatkan ialah kemunculan dan kemenangan parti-parti pasca-Islamis.

Selepas kejayaan AKP di Turki, sebuah lagi parti dengan nama yang sama di Maghribi, Parti Keadilan dan Pembangunan, PJD, sebuah lagi parti yang diangkat sebagai model parti pasca-Islamis, memenangi pilihan raya di dan kini menguasai pentadbiran negara Afrika Utara itu.

Malah di Maghribi, PJD mengatasi Parti Istiqlal yang merupakan sebuah parti bekas Islamis. Tarikan pasca-Islamisme PJD, yang bermodelkan AKP di Turki berjaya menarik sokongan ramai.

Dengan dasar yang lebih liberal dan pragmatik, AKP dan PJD boleh dilihat sebagai model kejayaan parti-parti pasca-Islamis di Asia Barat, selepas kebangkitan yang mengubah, atau memulakan satu proses perubahan dan penyesuaian landskap politik rantau itu.

Tetapi perjalanan panjang pasca-Islamisme - malah takrifan istilah atau tesis itu sendiri - masih baharu bermula, dan masih terlalu awal untuk menulis satu kesimpulan tentang kejayaan bermakna parti-parti pasca-Islamis.

Contoh unggul pasca-Islamisme, AKP di Turki telah mula berdepan masalah demokrasi sejak beberapa tahun lalu. PJD yang menjanjikan reformasi di Maghribi turut berdepan tuntutan janji perubahan yang ditaburkan selama ini.

Di Malaysia, kecenderungan pasca-Islamis telah dapat diperhatikan pada sesetengah kumpulan Islam dan pemimpin-pemimpin tertentu dalam PAS sendiri, yang biasa disebut sebagai kalangan progresif.

Kelompok ini memperlihatkan kecenderungan pasca-Islamisme yang jelas, walaupun sesetengahnya masih tidak bersedia memisahkan diri dari parti yang konservatif dan dikuasai elemen kepimpinan ulama seperti Majlis Syura Ulama.

Berdasarkan populariti tokoh-tokoh berkecenderungan pasca-Islamis, sebuah parti dengan identiti dan ideologi mempunyai potensi untuk wujud dan berpartisipasi dalam medan politik Malaysia, walaupun banyak perlu dilakukan untuk mengekalkan stamina dan penerimaan oleh pengundi.

Kecenderungan generasi muda yang agak liberal dan perkembangan demografi pada masa depan memberi gambaran masa depan yang agak cerah untuk sebuah parti pasca-Islamis.

Walau bagaimanapun, seperti dijelaskan tadi, parti-parti berkecenderungan pasca-Islamis seperti AKP dan PJD turut berdepan cabaran getir, dan sentiasa ada kemungkinan persaingan yang amat sengit dengan Islamis dan kelompok konservatif yang lebih dekat dengan lebih ramai pengundi yang biasanya berada di luar jangkauan parti pasca-Islamis yang lebih elitis dan urban. - September 30, 2014
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...