Satu
perubahan geopolitik yang bakal memberi kesan meluas sedang berlangsung, tetapi belum mendapat
perhatian media. Pada masa depan, satu bahagian besar tentera laut
Amerika Syarikat di Asia Barat mungkin akan menghabiskan masa yang
kurang di Teluk Parsi berbanding di Lautan Hindi di sebelahnya. Manama
di Bahrain akan kekal menjadi ibu pejabat Armada Kelima.
Tetapi kapal perang dan kru AS, dan juga pelbagai
perkhidmatan penyelengaraan dan bekalan yang diperlukan, mungkin akan
tertumpu pada pelabuhan baharu Duqm di Oman, yang terletak di luar Teluk
Parsi, dekat Laut Arab, bahagian barat Lautan Hindi.
Pegawai-pegawai tertinggi pertahanan AS, daripada kalangan tentera dan pegawai
awam, banyak melawat Oman, terutama Duqm kebelakangan ini. Beberapa tahun
lepas, di atas peta Duqm hanya satu tempat kosong, menghadap laut dan membelakangi padang pasir.
Kini, sebanyak AS$2 bilion telah dilaburkan untuk membina
jeti sepanjang berkilometer, dok kering, jalan raya, landasan kapal terbang dan
hotel. Menjelang masa Duqm muncul sebagai sebuah bandar nanti, AS$60 bilion
akan siap dibelanjakan, kata seorang pegawai Oman.
Pembangunan jelas nampak tidak asli. Ia tidak
bermatlamat menjadi pusat media, kebudayaan atau hiburan seperti Doha
atau Dubai, tetapi sebuah tempat yang menjadi sebahagian daripada satu
rangkaian pengangkutan bekalan, yang asas kewujudannya semata-mata
geografi dan geopolitik.
Duqm tidak mempunyai sejarah yang menarik, maka ia akan
hanya muncul sebagai lokasi untuk perdagangan dan perniagaan. Jika
dilihat pada peta, Duqm berada betul-betul di luar kawasan yang
berkemungkinan berkonflik di Teluk Parsi, tetapi cukup dekat untuk
mengambil manfaat daripada laluan bekalan tenaga di sana.
Duqm juga berada
di tengah Laut Arab, di antara India dan Afrika Timur yang sedang pesat
membangun, dengan kelas menengah yang berkembang.
Bagi Oman, Duqm ialah satu anak kunci bagi pembangunan
negara, kerana ia akan menghubungkan lagi wilayah Dhofar di barat daya
dan pelabuhannya Salalah dengan pelabuhan-pelabuhan di Muscat dan Sohar
di timur laut Oman.
Bagi AS, Duqm akan dapat menyaingi, walaupun tidak
sepenuhnya, pelabuhan Gwadar yang terletak tidak jauh dari sana, di
Pakistan.
Pada masa China meneruskan penglibatannya dalam pelabuhan
Lautan Hindi (seperti yang saya tulis dalam buku tahun 2010 saya,
Monsoon: The Indian Ocean and the Future of American Power), AS akan
terus berusaha mengekalkan imbangan kuasa di Lautan Hindi melalui
kehadiran ketenteraan dan perdagangan.
Penekanan baharu pada Duqm bakal menjadi satu lonjakan
besar menjadikan tentera laut AS satu pasukan Lautan Hindi-Pasifik dan
bukan lagi Atlantik-Pasifik.
Dari Duqm, tentera laut AS akan kekal dekat
dengan Teluk Parsi untuk mengebom Iran, tetapi tidak mendedahkan kapal
AS kepada serangan seperti halnya sekarang dengan penempatan di Bahrain.
Peralihan ini akan berlaku dengan berperingkat dan
mengambil sedikit masa. Tentera laut AS bukan meninggalkan Bahrain dan
Teluk Parsi.
Bagi China, Duqm boleh menjadi hab bagi
pengangkutan barangannya ke benua kecil India dan Afrika Utara -
terutama untuk ke pasaran baru muncul di Tanzania dan Mozambique. Dalam
kata lain, kapal kontena akan tiba dari China, kontena diturunkan di
Duqm dan kemudian dibawa dengan kapal kecil ke banyak tempat di Afrika,
India dan Asia Barat serta kawasan sekitar.
Salalah, yang kedudukannya agak jauh ke barat daya, telah
berfungsi seperti ini. Tetapi pegawai tempatan bertegas yang akan
banyak lagi kapal komersil akan tiba dan menjadikan Duqm juga berdaya
maju.
Walaupun China telah menunjukkan minat untuk menggunakan pelabuhan
di Duqm, pegawai Oman berpandangan China tidak akan berpengaruh ke atas
pelabuhan baharu ini seperti pengaruhnya di pelabuhan lain di Lautan
Hindi.
Pembangunan pesat di sini jelas menunjukkan kepentingan
geopolitik yang semakin meningkat berhubung Lautan Hindi. Dalam satu
perjalanan saya ke sana, jalan antara Muscat dan Duqm hanya kawasan
tandus dan hanya ada unta dan kambing.
Di Duqm, selain pembangunan pelabuhan yang telah
kelihatan, juga kelihatan kapal perang dari negara-negara Majlis
Kerjasama Teluk yang sedang bersedia untuk satu latihan perang. Dok
kering dipenuhi kapal menunggu untuk diperbaiki.
Kapal perang AS juga
semakin sering singgah di sini. Pihak berkuasa pelabuhan ini juga sedang
merancang fasiliti lebih lengkap untuk menyelenggara kapal pengangkut
pesawat dan kapal selam AS berkuasa nuklear.
Pegawai-pegawai Oman memberi taklimat tentang
perancangan pembangunan Duqm, yang akan mempunyai kemudahan perumahan,
penapisan minyak, hab transit pertrokimia, jalan keretapi, pembuatan
berasaskan galian, fasiliti penapisan air laut, hospital, pusat
membeli-belah, sekolah antarabangsa, pusat bandar dan kawasan
pelancongan. Lapangan terbang akan dilengkapi kemudahan kargo.
Landasan di lapangan terbang cukup panjang untuk menerima
penerbangan dari Eropah. Dengan 80 km pantai baharu di pesisir Duqm,
bandar ini berpotensi menjadi lebih besar daripada Bahrain atau
Singapura.
Semua ini hanya sebahagian daripada fasa satu, dan
menunjukkan Duqm menjadi bukti pentingnya geografi pada abad ini,
seperti juga abad sebelumnya.
Penemuan gas asli di kawasan padang pasir bakal
menyumbang kepada tenaga yang diperlukan Duqm, yang dijangka mempunyai
populasi 67,000 menjelang tahun 2020. Rangkaian keretapinya akan
menghubungkan dengan Muscat, Dubai dan pelabuhan-pelabuhan lain hingga
ke utara di Kuwait.
Sekiranya pemulihan hubungan antara AS dan Iran berjaya,
Duqm akan menjadi boleh menjadi satu lokasi penyelenggaraan kapal Iran
dan pangkalan luar bagi ekonomi Iran yang berkembang, dan sekiranya
tidak, Duqm akan masih menjadi pilihan kerana kedudukannya yang agak
jauh dari Teluk Parsi yang lebih tidak stabil.
Untuk meningkatkan lagi pembangunan, Duqm akan memperkenalkan rangka perundangan baharu dan akan membenarkan pemilikan 100 peratus perniagaan tempatan oleh pihak asing. Saya diberitahu syarikat asing yang melabur di sini akan menikmati status bebas cukai dan dibenarkan beroperasi tanpa kekangan dan syarat tukaran wang.
Kelebihan terbesar Duqm bagi AS ialah Oman selama
berdekad lamanya kekal sebuah negara paling stabil, diurus tadbir dengan
baik dan paling kurang menekan rakyatnya di seluruh rantau Asia Barat
dan kawasan berdekatannya. Pihak China pula bermasalah kerana Gwadar di
Pakistan pula sebaliknya.
Kedudukan geografi yang strategik bagi sebuah pelabuhan memerlukan bukan
hanya kelebihan lokasi berhubung laut, tetapi juga dengan daratan. Apa
yang menjadikan tempat-tempat seperti Salalah, Sohar dan Duqm menarik
ialah jalan, landasan keretapi dan saluran paip gas atau minyak dari
pelabuhan Oman di luar Teluk Parsi yang menghubungkannya dengan
pelabuhan dalam Teluk, dari Dubai ke Kuwait.
Sekiranya Duqm berjaya - pada tahap ini semua masih belum pasti - tempat ini akan menjadi satu nama besar dalam abad ke-21, seperti Aden pada abad ke-19 dan Singapura pada abad ke-20.
Perkembangan demografi yang pesat dan prospek dinamisme ekonomi di India dan Afrika Timur - pada masa Eropah berdepan pertumbuhan populasi sifar dan ekonomi yang terlalu dikawal dan tidak bergerak - Lautan Hindi, seperti yang telah bertahun saya jelaskan dalam tulisan saya, bakal menjadi pusat geopolitik era pascamoden. Saya yakin Duqm akan membuktikannya.
Robert Kaplan baru menerbitkan buku Asia's Cauldron: The South China Sea and the End of a Stable Pacific. Artikel ini diterjemahkan daripada tulisan beliau yang diterbitkan di Stratfor.
No comments:
Post a Comment