Masih belum jelas sama ada catuan ini akan ditamatkan dalam masa terdekat atau diteruskan lagi untuk beberapa bulan lagi, walaupun hujan lebat telah mula melanda banyak kawasan di Selangor dan Kuala Lumpur.
Seiring dengan krisis air ini, tumpuan ahli politik, media dan orang ramai ialah pada isu pengurusan air di Selangor, yang menjadi tempat tumpuan jutaan penduduk.
Isu air, walau bagaimanapun, hanya satu daripada bahagian penting sumber penting yang semakin kritikal pada masa ini dan perlu diberi perhatian lebih serius oleh semua.
Sumber air berkait rapat dengan dua sumber lain iaitu tanah dan makanan, dan ketiga-tiganya saling memberi kesan kepada yang lain.
Sumber air menjadi semakin penting dalam keadaan negara kita hari ini, dan menjadi salah satu topik penting dalam keselamatan bukan tradisional.
Krisis air yang terjadi pada masa ini berlaku dalam keadaan negara kita boleh dikatakan masih dalam keadaan yang baik, tanpa krisis bencana dan ancaman keselamatan, sama ada yang tradisional mahu pun bukan tradisional.
Ini bermakna negara kita berada dalam keadaan agak terdedah kepada ancaman keselamatan berhubung air, walaupun perkembangan baharu menunjukkan infrastruktur dan industri air di Lembah Klang bakal ditingkatkan lagi.
Hanya dengan catuan dan bukan krisis yang lebih besar, dapat diperhatikan suasana kesukaran, kelam-kabut dan malah panik dalam kalangan orang ramai.
Malah, catuan yang dibuat ini pun telah diumumkan agak awal, dan masih memberikan masa kepada orang ramai untuk bersedia.
Tambahan pula keadaan bandar-bandar besar, seperti bangunan kediaman tinggi dan sebagainya, mempengaruhi dan memburukkan lagi keadaan jika berlaku krisis yang besar.
Ini diburukkan lagi oleh sentimen politik yang sangat tebal pada masa ini, dan kelihatan mempengaruhi banyak hal yang sepatutnya dapat ditangani dengan lebih cekap.
Dalam peristiwa
krisis, misalnya bencana alam seperti kemarau, banjir dan sebagainya,
sumber air biasanya menjadi yang pertama terjejas.
Kesukaran yang melanda meningkat tahapnya dengan segera,
dan mudah mencetuskan pula masalah lain yang boleh menambahkan lagi
risiko keselamatan.
Isu air perlu dilihat melalui
perspektif yang lebih menyeluruh, dan disedari kedudukannya yang
kritikal dalam keselamatan bukan tradisional yang semakin perlu diberi
perhatian.
Perancangan jangka panjang, termasuk melibatkan budaya
kesedaran yang tinggi berhubung hal ini, perlu diusahakan untuk
menjadikan kita bersedia berdepan suasana yang semakin tidak pasti.
No comments:
Post a Comment