Tindakan sebuah mahkamah Mesir menjatuhi hukuman mati ke atas 529 ahli dan penyokong Ikhwan al-Muslimin telah menyampaikan satu mesej yang jelas bahawa Mesir sedang kembali kepada kawalan tentera dan kelompok rejim lama.
Kemunculan dan kebangkitan pantas Abdul Fatah al-Sisi, yang telah mengisytiharkan akan bertanding merebut jawatan presiden, dan dilihat mempunyai peluang yang cerah, menunjukkan satu perubahan besar yang bukan sahaja melibatkan politik dalaman Mesir, tetapi juga landskap politik serantau.
Apa yang sedang berlaku di Mesir pada masa ini tidak dapat dipisahkan daripada percaturan kuasa-kuasa serantau, terutama Arab Saudi, dalam membina semula susunan kuasa seperti yang wujud sebelum diubah oleh kebangkitan Arab yang mencapai kemuncaknya pada 2011.
Arab Saudi mungkin kuasa yang paling bimbang dengan kebangkitan massa serantau yang melanda hampir semua negara di Asia Barat, termasuk jiran-jirannya di Teluk Parsi.
Semasa kebangkitan mula tercetus di Mesir, Riyadh mengambil langkah-langkah untuk membantu, termasuk menyatakan sokongan kepada Mubarak dan mendesak sokongan lebih kuat daripada Amerika Syarikat.
Saudi melihat sekutu kuatnya itu, yang bersamanya dianggap sebagai tonggak dunia Arab, perlu dipastikan kekal dikuasa oleh Presiden Hosni Mubarak atau sekurang-kurangnya pemimpin yang mengekalkan sistem dan aliansi politik sedia ada.
Kejatuhan Mubarak menjatuhkan satu sekutu penting Saudi, dan menandakan permulaan kebangkitan gerakan Ikhwan al-Muslimin yang bersifat popular dan republikan, bertentangan dengan sifat sistem politik keluarga monarki Saudi dan "pseudo-monarki" Mesir.
Ikhwan sebagai sebuah gerakan politik mempunyai cita-cita politik merentasi sempadan negara yang besar, dan mempunyai kuasa-kuasa tersendiri, termasuk tarikan dari sudut keagamaan.
Penguasaan
Ikhwan di Mesir menandakan gerakan itu mempunyai satu negara yang
ditadbir, dan membuka peluang kepadanya untuk membina hubungan dengan
kuasa-kuasa serantau dan global, sekaligus mengukuhkan kedudukan di
dunia Arab dan dunia Islam.
Kehilangan Mesir dan dikuasai gerakan Ikhwan membuka
kepada pelbagai kemungkinan yang dilihat oleh Riyadh sebagai mencabar
ketuanannya di rantau Arab, termasuk perluasan pengaruh ideologi gerakan
Islam itu dan kemungkinan pembinaan hubungan dengan Iran.
Pengaruh meluas Ikhwan telah membolehkannya memenangi
pilihan raya di Mesir, dan meningkatkan profil dalam kalangan gerakan
Islam serantau dan global. Tarikan popular ini telah menunjukkan
potensinya dalam kebangkitan yang menjatuhkan Mubarak, dan Saudi tidak
mahu sentimen ini berleluasa di dunia Arab dan sampai ke sempadannya dan
negara-negara serantau lain.
Kaherah di bawah Morsi tidak menunjukkan kecenderungan
untuk membina hubungan dengan Tehran, tetapi kemungkinan hal ini berlaku
membimbangkan Riyadh.
Kejatuhan Presiden Mohamed Morsi membuka peluang kepada
Saudi untuk mengembalikan Mesir ke zaman sebelum ini, dengan hubungan
yang rapat dengannya dan berperanan seperti semasa era Mubarak.
Bantuan dan sokongan yang diberikan Riyadh kepada Kaherah selepas
penggulingan Morsi menunjukkan kesungguhan Saudi untuk memandu Mesir ke
arah yang dikehendakinya, dengan sokongan sekutu UAE dan juga Kuwait.
Arab Saudi dan sekutu-sekutu di Teluk Parsi pada masa yang sama
menekan Qatar dengan lebih kuat, mendesak negara penanung Ikhwan itu
menghentikan usaha agenda serantaunya menyokong dan menaikkan Ikhwan al-Muslimin.
Tindakan terhadap Qatar dilakukan ekoran sokongan kepada Ikhwan, dan agenda meluaskan pengaruh serantau dengan Ikhwan sebagai proksi seperti di Mesir dan Syria. Desakan ini terus dilakukan dan
beberapa tindakan diambil tidak lama sebelum sidang Liga Arab di Kuwait
minggu lalu.
Sejurus selepas Arab Saudi, UAE dan Bahrain memanggil
pulang duta masing-masing dari Qatar, Riyadh mengisytiharkan Ikhwanul Muslimin sebagai pertubuhan teroris.
Di Mesir, media
instrumen dasar luar Qatar, al-Jazeera terus berdepan tekanan dengan
wartawannya ditahan dan dibicarakan atas tuduhan mengubah rakaman yang menjejaskan nama baik Mesir dan membantu teroris.
Tuduhan itu, yang dikenakan terhadap tiga orang wartawan
al-Jazeera, Peter Greste, Mohamed Fahmy dan Baher Mohamed sedang
dibicarakan di mahkamah Mesir.
Tindakan ini dilihat
sebagai satu tindakan balas dendam terhadap al-Jazeera, media utama yang
membuat liputan kebangkitan yang menjatuhkan Mubarak dan menunjukkan
sokongan kepada Ikhwan.
Sukar untuk menjangkakan perkembangan yang
berlaku pada masa ini dilakukan tanpa pengaruh Riyadh, daripada
penarikan duta-duta dari Qatar, tindakan Kaherah terhadap wartawan
al-Jazeera, bantuan kewangan kepada Kaherah selepas kejatuhan Morsi
hingga kepada sokongan kepada al-Sisi bertanding jawatan presiden Mesir.
Arab Saudi dan sekutunya di Teluk Parsi yang membentuk
Majlis Kerjasama Teluk dan menguasai Liga Arab kini sedang mengambil
peranan sebagai sekutu dan penaung baharu kepada Mesir, yang sedang
pantas bergerak ke arah dikuasai kuasa lama yang terbina di bawah
kepimpinan Mubarak.
Riyadh dan sekutunya sedang membina semula aturan yang
terjejas dan diubah ekoran perubahan politik akibat kebangkitan Arab,
dan apa yang sedang berlaku di Mesir menunjukkan agenda ini semakin
hampir dicapai. - Mac 28, 2014
No comments:
Post a Comment