Friday, May 17, 2013

Kabinet balas jasa dan kukuhkan sokongan

Kabinet yang baru disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak menampakkan pilihan yang semakin sukar dihadapi Umno yang memimpin Barisan Nasional.

Selepas pilihan raya umum yang secara praktikalnya telah menamatkan retorik 1 Malaysia, kepimpinan negara kini tertumpu pada Umno dan parti utama dari Malaysia Timur yang masih kekal kubu kuat BN.

Najib berdepan pilihan yang semakin sukar dan terhad, dan memilih apa yang ada dan diperlukan untuk mengukuhkan sokongan sedia ada dan yang masih ada selepas Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu.

Umno menguasai kabinet kali ini, termasuk perumahan dan kerajaan tempatan, dan pada masa sama memangku Kementerian Pengangkutan yang kedua-duanya sebelum ini dipegang oleh MCA.

Najib juga membalas jasa dengan meletakkan beberapa pemimpin dalam kabinet kali ini, termasuk pemimpin Hindraf, Waytha Moorthy Ponnusamy di Jabatan Perdana Menteri dan Datuk Seri Idris Jusoh di Kementerian Pelajaran dan Pengajian Tinggi.

Pelantikan Khairy Jamaluddin Abu Bakar - pemimpin pemuda Umno yang sebelum ini dinafikan tempatnya - ke Kementerian Belia dan Sukan juga satu tindakan membalas jasa, selain merapatkan barisan dan mengelak tindakan tawar-menawar Khairy yang boleh menjejaskan Najib.

Perkembangan ini menunjukkan Umno dan parti Melayu di Sarawak terus mempunyai sokongan yang cukup untuk membentuk kerajaan tanpa komponen utama parti Cina, tetapi menunjukkan juga sokongan yang semakin kurang dan menyukarkan kerajaan BN mengendalikan pentadbiran negara.

Kabinet kali ini masih besar, dan beberapa pilihan kelihatan sangat mudah dipersoalkan seperti Datuk Seri Hishammuddin Hussein di Kementerian Pertahanan dan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz di Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

Memasukkan muka-muka baharu mungkin lebih mudah bagi Najib, berbanding meletakkan muka lama di tempat yang sewajarnya, tempat yang termasuk juga bukan di dalam kabinet.

Kabinet Najib ini dibina dengan tujuan penting membalas jasa dan mengukuhkan sokongan dalaman, dan menyediakan pemimpin-pemimpin tertentu - seperti Hishammuddin - menghadapi pemilihan parti akan datang, tetapi belum pasti dapat membina sokongan tambahan yang diperlukan, dalam menghadapi penggal ini dan mengukuhkan BN menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Monday, May 13, 2013

Peristiwa 13 Mei: Patut dilupakan atau dikaji?


Oleh RUSTAM A SANI

Dr Kua Kia Soong sebagai penulis buku May 13: Declassified Documents on the Malaysian Riots 1969 (Suaram: Kuala Lumpur, 2007) sungguh beruntung. Beberapa hari sebelum diterbitkan, dan beberapa hari setelah diterbitkan, bukunya masih meluas diperkatakan – dari posting di laman-laman blog hinggalah kepada kenyataan oleh timbalan perdana menteri.

Para pegawai dari Kementerian Keselamatan Dalam Negeri sudah mulai bertindak merampas beberapa naskah buku itu dari sebuah toko buku yang ternama di Kuala Lumpur. Meskipun ada kata-kata yang bermaksud mengancam daripada timbalan menteri tentang kemungkinan buku itu diharamkan, namun sehingga waktu rencana ini ditulis pengharaman itu tampaknya masih belum terjadi.

Bahawa rakyat Malaysia begitu berminat terhadap kandungan buku ini tidaklah terlalu menghairankan saya. Peristiwa rusuhan kaum yang telah tercetus di beberapa kawasan Kuala Lumpur-Petaling Jaya dan beberapa bandar besar di Semenanjung Malaysia 38 tahun lalu itu memanglah merupakan peristiwa hitam yang penting dalam sejarah semasa negara ini.

Namun peristiwa itu tetap merupakan peristiwa yang penuh rahsia dan sukar ditafsirkan secara saksama implikasi dan pengertiannya terhadap realiti sosial dan politik negara itu.

Sehingga kini pun masih terlalu banyak yang tidak kita ketahui tentang peristiwa itu – sebahagiannya kerana banyak fakta yang sengaja dirahsiakan daripada kita untuk memberikan kredibiliti kepada penceritaan "rasmi" tentangnya, dan sebahagiannya kerana pentafsirannya yang diputarbelitkan pihak-pihak tertentu demi kepentingan politik mereka sendiri.

Buku terbaru Kua ini menarik minat umum kerana penceritaan dan analisisnya didasarkan pada dokumen-dokumen yang sudah tidak dilindungi dan dirahsiakan lagi di Pejabat Rekod Awam di London.

Sejak dua tiga hari sebelum buku itu dilancarkan, Malaysiakini telah menyiarkan banyak bahan promosi tentang buku ini (termasuk wawancara dengan Kua). Pada 13 Mei lalu (sempena "perayaan" peristiwa itu dan Hari Ibu) pelancaran buku tersebut telah berlangsung di Dewan Perhimpunan Cina Selangor di Kuala Lumpur.

Turut terlibat dalam forum pelancaran dan pembicaraan buku itu ialah beberapa penulis dan ahli akademik seperti Dr Syed Husin Ali, Dr S Nagarajan dan Beth Yaph – selain pembicaraan oleh Kua sendiri.
Saya sendiri sejak semula telah membuat telahan bahawa buku tersebut akan merupakan buku yang penting lagi menarik – dan akan menimbulkan perbincangan yang mendalam dan meluas di kalangan masyarakat.  Bagi saya, Peristiwa 13 Mei itu merupakan peristiwa yang penting, meskipun getir, untuk difahami kerana implikasinya yang mendalam terhadap ciri-ciri suasana sosial dan politik di negara kita hingga kini.

Secara kebetulan, tahun lalu (9 September 2007) saya telah memasang sebuah "posting" di laman blog saya dalam bahasa Inggeris yang berjudul: Are We Heading Towards Another May 13? Rencana itu mulanya ditawarkan kepada Malaysiakini yang enggan menyiarkannya – tetapi kemudiannya disiarkan oleh Aliran Monthly (September 2007).

Kegusaran yang telah mendorong saya menulis rencana itu ialah tanggapan saya bahawa ciri-ciri serta keriuhan wacana dan percaturan yang seringkali terjadi sekitar waktu itu amat kuat mengingatkan saya akan persamaannya yang mengerikan dengan suasana sekitar waktu tercetusnya peristiwa rusuhan kaum pada Mei 1969.

Percaturan politik yang saya maksudkan itu ialah peristiwa saling kecam mengecam – dan saling menuntut permohonan maaf – antara para pemimpin pemuda Umno (seperti Khairy Jamaluddin dan Hishamuddin Hussein yang menghunus keris) dan para pemimpin parti-parti Cina seperti MCA dan Gerakan, isu-isu yang bersifat keagamaan, isu peratusan habuan untuk pelbagai kaum sebagai kesan DEB, dan sebagainya.

Oleh itu saya berasa khuatir bahawa percaturan politik yang demikian itu akan membawa kepada kesan politik dan sosial yang sama seperti yang telah terjadi pada tahun 1969 itu.

Setelah membeli, dan membaca buku Kua itu secara sambil lalu, pada majlis pelancaran itu, memang saya akui bahawa buku tersebut merupakan suatu sumbangan penting terhadap kefahaman kita tentang sejarah sosial dan politik terkini negara ini. Namun demikian, saya tidaklah begitu yakin bahawa penerapan bahan-bahan "declassified" itu dengan sendirinya akan menaikkkan taraf maupun nilai analisis buku tersebut.

Seperti yang dinyatakan oleh Syed Husin dalam forum pelancaran buku itu, laporan para diplomat Inggeris dan para diplomat Komanwel (Australia dan New Zealand, misalnya) maupun laporan para wartawan Barat tidak semestinya lebih tepat, lebih peka malah lebih telus daripada pemerhatian orang tempatan atau penganalisis tempatan.

Bagi saya, kesimpulan paling menarik yang dikemukakan Kua dalam buku yang memanfaatkan bahan-bahan tersebut ialah bahawa peristiwa 13 Mei itu merupakan hasil daripada sebuah coup d'etat yang berhasil yang telah dilancarkan oleh beberapa pemimpin Umno lainnya dan sekumpulan para kapitalis tunjangan negara (state capitalists) terhadap Tunku Abdul Rahman yang mereka anggap terlalu berlembut dengan kaum Cina.

Selain itu, kelompok itu juga menjadi gempar oleh kedudukan mereka yang terasa goyah oleh keputusan pilihan raya umum tahun 1969 yang baru sahaja berakhir, dengan keputusan yang begitu menggalakkan bagi pihak pembangkang.

Oleh kerana golongan ini turut menguasai jentera negara, maka beberapa alat negara seperti polis dan tentera tidaklah dapat dianggap sebagai unsur-unsur yang berkecuali dalam peristiwa itu. Para "hoodlums" (samseng) Melayu dari luar juga telah diangkut ke Kuala Lumpur untuk terlibat dalam peristiwa itu.

Saya memang senantiasa menyokong seruan agar Peristiwa 13 Mei itu dikaji dengan mendalam dan terperinci – dengan mengutip sebarang bahan bukti yang mungkin dan sebarang bahan dokumen yang mungkin. Namun, kajian yang demikian itu mestilah mantap dari segi pemikiran analitisnya dan mantap perspektif intelektualnya – bukan sekadar untuk menuduh sesuatu pihak sebagai bertanggungjawab.

Bagi saya, sekarang pun – sewaktu buku Kua ini sedang mendapat perhatian dan perbincangan yang mendalam – terlalu banyak nada perbincangan yang tidak sihat yang dapat saya kesan. Dan nada perbincangan seperti itu – yang berlangsung dalam suasana dan iklim politik Malaysia yang amat perkauman (racist) sifatnya ini – tidaklah akan membawa kita kepada kefahaman yang bermanfaat.

Malah saya khuatir perbincangan yang bernada demikian itu – seperti yang telah saya nyatakan dalam posting di laman blog saya tahun lalu itu – lebih banyak kemungkinannya mencetuskan lagi peristiwa getir yang sama juga seperti Peristiwa 13 Mei itu.

Pada asasnya saya dapat melihat dua perspektif yang terbit daripada perbincangan yang telah dicetuskan oleh buku Kua ini.

Di satu pihak terdapat golongan racist Melayu. Mereka ini tetap melihat Peristiwa 13 Mei itu sebagai sesuatu yang wajar dicetuskan oleh orang Melayu – demi mempertahankan kedudukan dan hak mereka sebagai kaum peribumi.

Jika ada para ahli politik Melayu yang sebenarnya mengambil kesempatan daripada suasana keruh tahun 1969 itu, maka mereka itu harus dianggap sebagai wira dan penyelamat Melayu. Oleh itu, perbuatan jahat mereka itu tidak harus diungkit-ungkit dan diperkatakan lagi – malah harus disanjung atau sekurang-kurangnya dilupakan begitu sahaja.

Di hujung yang lain pula terdapat pandangan golongan racist bukan Melayu yang menganggap Peristiwa 13 Mei itu sesungguhnya sebagai suatu pertanda jelas tentang sifat perkauman dan sikap menindas di kalangan orang Melayu (atau satu kelompok pemimpin mereka yang bersifat fascist).

Bagi sudut pandangan ini, Peristiwa 13 Mei itu harus terus menerus dikaji dan diperkatakan – sehingga hakikat sebenarnya (yakni sikap perkauman orang Melayu itu) disedari dan dikecam – dan sikap "tidak perkauman" orang bukan Melayu, serta keperluan mereka membela diri dan menyelamatkan budaya mereka, diberikan pengikhtirafan yang sewajarnya.

Pandangan saya sendiri cenderung untuk menolak kedua-dua perspektif ini. Bagi saya sikap perkauman dalam politik Malaysia bukanlah monopoli orang Melayu atau parti pemerintah sahaja. Sikap itu, hingga ke hari ini, merupakan ciri asasi kehidupan sosial dan politik yang dominan di kalangan semua pihak dan kelompok di negara ini.

Penerusan sikap ini, bagi saya, merupakan bukti kegagalan kolektif kita semua untuk melakukan penyimpangan daripada struktur sosial yang telah diwariskan oleh situasi kolonial dalam proses pembinaan bangsa kita selepas kemerdekaan. Penerusan sikap perkauman yang masih wujud hingga kini merupakan pertanda tentang kegagalan cendekia kita semua.

Bagi saya, Peristiwa 13 Mei itu sekadar merupakan satu bukti tentang kegagalan tersebut. Yang bersikap racist sekitar peristiwa tersebut, sehingga mencetuskan rusuhan, bukanah sekadar Melayu dan bukan juga sekadar bukan Melayu – tetapi semuanya.

Jerit pekik para hoodlum Melayu di depan kediaman Harun Idris di Princess Road memanglah bersikap perkauman, tetapi demikianlah juga perarakan kelompok bukan Melayu di Chow Kit Road dan di Imbi Road. Di kedua-dua pihak memang terdapat para "pemimpin" jahat yang senantiasa menunggu peluang untuk memanfaatkan situasi yang genting seperti itu.

Sehingga kini realiti sosial dan politik kita masih terus berkeadaan demikian, masih belum berubah – semata-mata kerana kedangkalan cendekia kita semua. Sehingga kini juga para pemimpin yang demikian memang terdapat di semua pihak, bersiap sedia untuk memanfaatkan sebarang suasana genting yang bakal dicetuskan oleh kecetekan cedekia kita bersama itu.

Realiti inilah yang sepatunya merisaukan kita, mencemaskan kita, bukan sekadar bercakap kosong berulang-kali tentang Peristiwa 13 Mei yang sama – meskipun dengan menggunakan bukti-bukti baru dari sumber-sumber baru tetapi dengan terus menggunakan pemikiran dan kefahaman kita yang terus menerus cetek dan dangkal.

 Artikel di atas ditulis oleh Allahyarham Rustam A Sani, dan diterbitkan pertama kali dalam akhbar Siasah bilangan 48 pada 2007.

Friday, May 10, 2013

PRU 13: Ini Kalilah!, Ubah, bina sokongan Pakatan Rakyat

Slogan kempen Pakatan Rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-13 lalu; "Ini Kalilah!" dan "Ubah" muncul sebagai slogan kempen menarik dan popular, dan mungkin telah membantu pembinaan sokongan rakyat kepada gabungan parti itu.

Dengan hanya dua slogan yang seragam dan mudah disebut ramai, PR kelihatan telah menggerakkan kempen yang berjaya, walaupun masih gagal menewaskan Barisan Nasional di peringkat persekutuan.

Slogan PR itu juga menjadi slogan yang diingati, dan pada masa sama BN tidak muncul dengan slogan yang menarik, selain "Janji Ditepati," tetapi menimbulkan pelbagai isu untuk dikemukakan di media.

Walau bagaimanapun, penyokong BN telah membalas slogan "Ini Kalilah" dengan "Lain Kalilah" yang tidak kurang menarik dan sinis.

Dibandingkan antara slogan PR dan BN kali ini, slogan PR lebih mudah dan menarik, pada masa sama slogan "Janji Ditepati" BN kelihatan seperti kerajaan yang menuntut balasan kerana telah melaksanakan tugas.

Perbandingan yang hampir sama dapat dilihat dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-12, apabila Parti Keadilan Rakyat diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan slogan "Harapan Baru untuk Malaysia," dan BN dengan "Selamat, Aman, Makmur."

Dari sudut kempen dan slogan, PR jelas telah berjaya mengatasi BN, ketika kedua-dua gabungan bersaing mengemukakan janji-janji populis kepada rakyat.

Slogan yang mudah dan ringkas, yang menunjukkan kesatuan matlamat dan mudah difahami membantu menjayakan kempen, dan bakal lebih diingati dalam sejarah.

Satu contoh ialah slogan kempen calon Republikan, Dwight Eisenhower dalam pemilihan presiden Amerika Syarikat pada 1952.

Berpuluh tahun sebelum kemunculan internet dan laman sosial Facebook, Eisenhower menggunakan slogan "I Like Ike" dalam kempennya, dan berganding dengan popularitinya pada masa itu, beliau akhirnya menang dalam pemilihan presiden pada pemilihan presiden 1952.

Pada zaman ini, Barack Obama muncul dengan slogan menarik "Change We Can Believe In" dan "Yes We Can," disertai imej popular Obama dengan perkataan "Hope," yang juga menarik orang ramai dan membantunya memenangi pilihan raya presiden 2008.

Slogan-slogan berjaya tersebut dapat menangkap semangat semasa, yang dirasakan oleh sejumlah besar rakyat, dan gabungan slogan menarik itu dan sokongan kuat rakyat telah menyumbang kepada pencapaian yang cemerlang dalam pilihan raya umum lalu.

Tuesday, May 7, 2013

PRU 13: Mampukah Anwar gerak protes besar-besaran?

Datuk Seri Anwar Ibrahim meningkatkan usaha menggerakkan protes besar-besaran menolak keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 yang didakwa tidak bersih.

Satu perhimpunan besar akan diadakan di Kelana Jaya malam esok dalam usaha memulakan mobilisasi memprotes pilihan raya yang didakwa penuh dengan penipuan itu.

Kehadiran di perhimpunan itu akan menjadi satu pengukur sejauh mana protes yang mahu digerakkan oleh Anwar itu dapat dijalankan dengan berkesan.

Anwar sejak awal melalui akaun Twitter telah membina sentimen penyokong Pakatan Rakyat dengan menegaskan bahawa gabungan PR telah menang dan menggesa Umno dan Suruhanjaya Pilihan Raya tidak merampas keputusan tersebut.

Rafizi Ramli, strategis PKR kini menjadi penggerak penting kempen ini apabila ditugaskan mengetuai siasatan penipuan yang didakwa itu.

Bersih, kumpulan pemerhati pilihan raya pro-PR dalam satu kenyataan menegaskan belum bersedia mengiktiraf kerajaan baharu Barisan Nasional yang ditubuhkan selepas Pilihan Raya Umum ke-13, menggambarkan pendirian yang selari dengan Anwar dalam hal ini.

Bersih yang bekerjasama dengan PR mempunyai kemampuan untuk menggerakkan protes pascapilihan raya yang boleh menggugat pemerintah, mengikut model yang pernah dilakukan di beberapa negara.

Aktivis pro-PR telah menggerakkan kempen memprotes keputusan pilihan raya umum yang baharu lepas di laman sosial, termasuk dengan meletakkan gambar bertema gelap sebagai gambar profil.

Suruhanjaya Pilihan Raya didakwa bekerjasama dengan pemerintah BN melakukan pemalsuan pilihan raya sehingga membolehkan BN mengekalkan kuasa.

Antara dakwaan yang dibuat termasuk menyeludup masuk 40,000 orang "pengundi ragu" dari Sabah dan Sarawak sejak 25 April lalu.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang walau bagaimanapun telah menerima keputusan Pilihan Raya Umum ke-13.

Dalam mesej di akaun Facebook beliau, Abdul Hadi menulis: "Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pengundi yang telah mengundi PAS dan Pakatan Rakyat. Terimalah keputusan ini dengan penuh kesyukuran dan kesabaran. Yakinlah sesungguhnya janji Allah pasti akan tiba."

Sebahagian besar pemimpin PR walau bagaimanapun telah mengangkat sumpah jawatan masing-masing, termasuk Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sebagai ketua menteri Pulau Pinang.


PRU 13: Utusan Malaysia cetus api perkauman

Utusan Malaysia, akhbar dikuasai Umno meneruskan kempen bersifat perkauman melalui tajuk Apa Lagi Cina Mahu? yang mencetuskan reaksi marah banyak pihak, kurang seminggu sebelum tarikh 13 Mei yang masih mampu membangkitkan sentimen.

Tajuk muka depan dan pendirian editorial Utusan itu ditulis oleh Zulkiflee Bakar, yang artikelnya dimuatkan di muka surat 6.

Mesej disampaikan Utusan ini bertentangan dengan mesej Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak dalam ucapan kemenangannya semalam, yang mengajak kepada perdamaian dan penyatuan.

Najib walau bagaimanapun dalam mengajak perdamaian nasional dilaporkan telah mempertahankan mesej Utusan itu.

Semalam, Utusan turut menyiarkan tulisan bertajuk Bukti Pengundi Cina Tak Tahu Balas Budi? di halaman 2, juga oleh Zulkiflee.

Penulis artikel ini menyifatkan pengundi Cina tidak tahu membalas budi kerana menyokong pakatan pembangkang, yang didakwa hanya mahu "memperalatkan undi mereka."

Tindakan akhbar ini juga membenarkan dakwaan sesetengah pihak bahawa Umno yang bakal mencetuskan sentimen yang boleh menjuruskan kepada ketegangan ekoran tidak berpuas hati dengan keputusan Pilihan Raya Umum ke-13.

Tindakan Utusan ini telah mengundang respons keras daripada Pakatan Rakyat dan banyak pihak lain yang mesra Umno dan BN.

Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Najib bertanggungjawab atas tindakan Utusan itu, yang didakwa mengikut mesej yang disampaikan Najib.

Di media sosial, pendirian tidak bersetuju dengan Utusan ini telah ditunjukkan, termasuk oleh bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah.

Asyraf Wajdi Dusuki, ahli Umno dan juga Perkasa, turut melahirkan rasa tidak bersetuju dengan Utusan dalam tulisan di laman Facebook: "Baru lihat paparan muka depan akhbar Utusan Malaysia yang menulis Apa Lagi Cina Mahu, yang tidak sewajarnya diungkapkan oleh akhbar tersebut. 

"Walaupun jelas pola-pemilihan kali ini menunjukkan pengundi Cina menyokong pembangkang tapi usahlah meniup api kebencian yg hanya memporak-porandakan kesejahteraan negara. Seharusnya dilakukan muhasabah diri kenapa pengundi tidak menyokong daripada menyalahkan orang lain."

Malah, wartawan Utusan turut dilihat menyampaikan mesej yang dipercayai menolak permainan perkauman akhbar itu. Helmi Mohd Foad, ketua biro Selangor akhbar Utusan menulis mesej ringkas di Facebook beliau: "Tolak perkauman dan sektarian."

Utusan Malaysia dijangka berhadapan tentangan dan kecaman hebat ekoran tindakannya ini, yang secara jelas melakukan provokasi bersifat perkauman selepas kecewa dengan sokongan merosot kepada BN.

Monday, May 6, 2013

PRU 13: Selesai pilihan raya, Malaysia hadapi politik lebih mencabar

Keputusan penuh parlimen

BARISAN NASIONAL 133
PAKATAN RAKYAT 89

PAKATAN RAKYAT menguasai SELANGOR (44/56 kerusi, BN 12), PULAU PINANG (30/40, BN 10) dan KELANTAN (33/45 kerusi, BN 12)


Barisan Nasional diumumkan berjaya menubuhkan kerajaan persekutuan selepas mencapai majoriti mudah 112 kerusi parlimen hampir satu jam selepas memasuki tarikh 6 Mei, 2013, selepas melalui persaingan paling sengit dalam sejarah terkini.

Keputusan ini boleh dilihat sebagai satu tamparan kepada BN yang terus kehilangan sokongan besar, dan kegagalan bagi Pakatan Rakyat yang tidak dapat merampas kuasa persekutuan daripada BN.

Walau bagaimanapun, keputusan ini wajar dilihat sebagai satu keputusan yang menjelaskan realiti baharu yang perlu terus dihadapi dan malah diraikan, iaitu pemerintah yang tidak menikmati kuasa yang terlalu besar dan pembangkang peringkat persekutuan yang kuat.

Pemimpin BN, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak dalam ucapan mengumumkan kemenangan BN membentuk kerajaan persekutuan kelihatan menyedari cabaran dihadapi, apabila mengajak kepada usaha pemulihan hubungan nasional selepas pertempuran getir pilihan raya ini.

Kedua-dua BN dan PR kini perlu menumpukan pada kerja-kerja yang sepatutnya, berkhidmat kepada rakyat - dan juga bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 - dan mengurangkan politik kepartian dan kepuakan yang tidak membina.

Kedua-dua gabungan jelas kelihatan perlu meningkatkan usaha membina kesatuan dan kesepakatan, antara parti dan juga dalaman masing-masing parti, yang masih tidak kukuh dan tidak meyakinkan.

PR yang memasuki pilihan raya umum ini pertama kali sebagai satu gabungan memperlihatkan masih banyak ruang yang perlu diperbaiki di peringkat paling asas iaitu pembahagian kerusi, walaupun telah pergi jauh dengan menghasilkan program-program bersama dalam usaha menawan Putrajaya.

BN menerima pukulan hebat apabila ramai nama-nama besar termasuk menteri dan timbalan dalam kabinet lalu tewas, antaranya Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin, Dr Mohd Puad Zarkashi, Datuk Saifuddin Abdullah, Datuk Abdul Ghani Othman dan Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

PR, terutama DAP memperlihatkan peningkatan apabila mencapai kemenangan besar, terutama Lim Kit Siang di Gelang Patah dan Liew Chin Tong di Kluang, tindakan yang memperlihatkan dengan jelas kejayaan parti itu menembusi negeri kubu kuat Umno, walaupun perkembangan ini menguatkan lagi identiti Cina DAP.

Kemenangan besar DAP ini juga menandakan parti itu telah menyempurnakan usaha menggantikan MCA, menjadi wakil utama dan kuat kepada kaum Cina, dan dalam PR yang semakin kuat.

Ini dijelaskan melalui hakikat bahawa konstituensi DAP ialah kaum Cina, tidak tertakluk kepada negeri tertentu.

Kaum Cina bersatu hati sepenuhnya memberikan sokongan kepada DAP, yang dilihat lebih mampu memperjuangkan kepentingan kaum tersebut.

Hal ini menjanjikan peningkatan kuasa tawar-menawar yang kuat kepada kaum Cina, dan menurut permainan baharu yang tidak seperti BN yang mengiktiraf kedudukan istimewa Melayu melalui posisi Umno dalam BN.

Sokongan secara blok kaum Cina kepada DAP dan pembangkang, dan sokongan kuat Melayu kepada Umno dan BN menandakan satu perkembangan yang tidak sihat kepada pembangunan negara, dan mewujudkan satu pembahagian yang berpotensi menjadi lebih buruk, terutama sekiranya sentimen sektarian terus dimainkan dalam persaingan politik parti.

Umno dan BN, yang telah berusaha keras mengekalkan kuasa perlu meningkatkan usaha berganda untuk terus kekal relevan dalam persaingan politik masa kini.

Usaha yang diperlukan lebih daripada sekadar memberi habuan besar-besaran kepada rakyat - yang tidak pernah dilakukan selama berkuasa sebelum ini - tetapi memerlukan pembaikan besar-besaran di peringkat dalaman.

Umno menjadi semakin dominan dalam BN, tetapi BN yang semakin lemah, apabila komponen Cina dan India utama, MCA dan MIC semakin tidak relevan dan kehilangan sokongan besar-besaran.

PAS, yang berhasrat menggantikan Umno sebagai suara orang Melayu, masih memerlukan usaha yang lebih panjang untuk mengambil peranan ini.

Secara keseluruhan, orang Melayu kelihatan kurang keyakinan terhadap PAS, dan orang Cina juga masih belum bersedia memberi sokongan padu kepada PAS, dan ini ditunjukkan oleh DAP sendiri, sekutu PAS dalam PR.

PAS ganti Umno, misi yang penting yang akan membolehkan PAS memperolehi posisi lebih dominan dalam PR dan politik Malaysia masih belum nampak dapat direalisasikan dalam masa terdekat, terutama tanpa usaha yang lebih gigih dan sistematik.


Saturday, May 4, 2013

PRU 13: Menjelang hari mengundi, tinjauan pendapat jadi senjata

Satu tinjauan pendapat oleh Pusat Merdeka mendapati populariti pemimpin Barisan Nasional, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak merosot dan Pakatan Rakyat mendahului sebagai pilihan untuk membentuk kerajaan persekutuan pada Pilihan Raya Umum ke-13 ini. 

Tinjauan sama juga mendapati 42 peratus mahu PR diberi peluang memerintah, berbanding 41 yang percaya hanya BN mampu menjalankan tugas itu.

Hasil tinjauan ini ialah yang paling jelas menunjukkan penguasaan gabungan PR dalam kempen pilihan raya kali ini, pada hari terakhir sebelum pengundian esok.

Pada masa sama, Najib turut mengemukakan hasil tinjauan oleh Pusat Kajian Pew, menunjukkan yang sebahagian besar rakyat Malaysia berpuas hati dengan hala tuju negara ini.

Sebelum itu, satu laporan palsu sebuah portal berita disebar melalui emel, melaporkan yang populariti Najib mencapai jumlah 73 peratus dan menjadi pilihan utama rakyat Malaysia sebagai perdana menteri.

Persaingan sengit ini berlaku ekoran tinjauan pendapat yang semakin menjadi senjata penting dalam pilihan raya masa kini, menyumbang kepada pembinaan sokongan dan momentum, lebih-lebih lagi hasil yang diumumkan secara strategik sehari sebelum mengundi.

Sebelum ini, tinjauan Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya di Universiti Malaya (Umcedel) mendapati Datuk Seri Anwar Ibrahim mendahului sebagai pilihan ramai untuk menjadi perdana menteri yang baharu, keputusan yang dipertikaikan oleh BN.

Keputusan kajian Universiti Utara Malaysia dan Majlis Profesor Negara kemudian menjangka BN akan kekal berkuasa, dan 58 peratus memilih Najib sebagai perdana menteri berbanding Anwar yang hanya menjadi pilihan 42 peratus.

Tinjauan pendapat menjadi semakin popular sejak beberapa tahun lalu, dan menjadi tajuk penting dalam perbincangan berhubung pilihan raya disebabkan keupayaannya menilai dan kemungkinan juga mempengaruhi pilihan orang ramai.

Di beberapa negara, sentimen yang dibina oleh hasil tinjauan pendapat mencetuskan sentimen yang kemudian mendorong kepada protes besar-besaran apabila hasil tinjauan itu tidak diterjemahkan dalam bentuk keputusan pengundian.

Menurut sesetengah pihak, protes selepas pilihan raya didakwa dirancang oleh pihak tertentu antaranya melalui kempen Malaysian Spring yang berpusat di Bangsar, Kuala Lumpur, yang diwakili Nurul Izzah Anwar penggal lalu.

Bloomberg dalam laporannya semalam melaporkan Malaysia bakal menyaksikan protes selepas pilihan raya esok ekoran tindakan berat sebelah Suruhanjaya Pilihan Raya, SPR, seperti didakwa badan pendesak Bersih.

Laporan itu memetik pemerhati politik Bridget Welsh dari Universiti Pengurusan Singapura, yang mengatakan keputusan kemenangan BN dengan kelebihan 15 hingga 20 kerusi boleh menyebabkan pertikaian dan mencetuskan protes.  


Friday, May 3, 2013

PRU 13: Ideologi dan wacana politik Malaysia

Ideologi ialah satu tajuk yang sangat kurang mendapat perhatian dalam wacana politik di negara kita, disebabkan sebahagian besarnya debat yang lebih cenderung bersifat emotif.

Di peringkat massa, sentimen (yang mempunyai kaitan dengan ideologi) menguasai perbincangan politik, dengan pembahagian mudah hitam-putih dalam menyifatkan kumpulan yang disokong dan yang ditentang.

Di peringkat lebih tinggi, ekoran peningkatan kecanggihan liputan media dan tumpuan pada politik pilihan raya, tinjauan pendapat melibatkan populariti tokoh atau parti, penilaian komposisi kaum, usia pengundi dan sebagainya semakin menarik minat.

Walau bagaimanapun, isu ideologi terus kurang dilapor dan kurang dibincangkan secara serius oleh parti-parti politik, sehingga membolehkan terlahir manifesto yang populis dan sangat kurang berpandukan sebarang asas ideologi.

Kedua-dua gabungan Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional mengemukakan manifesto masing-masing dan memberikan habuan yang mengikut apa yang disukai orang ramai, walaupun bertentangan dengan pegangan gabungan atau tokoh-tokoh utamanya.

BN dikuasai Umno yang konservatif misalnya sepanjang kempen pilian raya bersikap mesra dengan pendidikan vernakular, walaupun aliran pendidikan ini bertentangan dengan pegangan yang sepatutnya bagi sebuah parti yang nasionalis dan konservatif.

Di pihak PR, kecenderungan neoliberal dan propasaran dikaburkan oleh pendekatan yang cenderung kepada subsidi sehingga kelihatan agak bersifat sosialis.

Kedua-dua gabungan kelihatan menenggelamkan ideologi masing-masing dalam berhadapan dengan rakyat terbanyak, dalam usaha menarik sokongan merentasi garis pemisah.

Kekurangan tumpuan pada ideologi ini membenarkan parti-parti politik mempunyai ruang yang luas untuk bergerak dalam kempen kepada rakyat, dan mengarahkan wacana politik dan pembangunan negara kepada wacana popular dan lebih berdasar pada unsur seperti imej dan citra.
 
Walaupun ideologi masing-masing tercatat dalam perlembagaan parti-parti politik terbabit, penilaian terhadap hal ini tidak dilakukan oleh pengundi.

Wacana yang telah lama dibentuk pula memberi tumpuan pada tokoh dan kumpulan, yang lebih mudah diterima ramai dan lebih laku sebagai laporan di media.

Hal ini juga menyebabkan orang ramai membuat keputusan berdasarkan maklumat yang tidak lengkap berhubung parti-parti yang bersaing dalam arena politik negara.

Sikap pemimpin atau parti terhadap pelbagai isu boleh sahaja dengan mudah diselesaikan melalui ucapan-ucapan atau tindakan-tindakan simbolik tertentu, tanpa melihat lebih dalam asas ideologi pihak terbabit.


Ini dirumitkan lagi dengan gabungan parti-parti dalam PR yang berada di posisi yang jauh daripada satu sama lain melibatkan ideologi, dan pada masa sama bekerjasama dengan Parti Sosialis Malaysia yang mempunyai pendirian bertentangan dengan semua parti dalam gabungan tersebut, terutama PAS yang Islamis dan PKR yang propasaran.

DAP misalnya menunjukkan imej mesra Islam melalui ucapan-ucapan Lim Guan Eng sebagai ketua menteri Pulau Pinang, walaupun hakikatnya DAP pada dasarnya tidak setuju dengan hampir semua dasar sekutu Islamisnya berhubung isu agama Islam dan pentadbiran.

Isu Melayu juga disimpulkan dengan mudah dalam wacana popular, misalnya dengan mengemukakan carta pembahagian wakil-wakil berbangsa Melayu BN dan PR.

Pembahagian ini dengan mudah membuat andaian wakil Melayu berideologi konservatif dan bersedia mempertahankan hal-hal berkepentingan kepada orang Melayu, sedangkan ahli politik berbangsa Melayu boleh sahaja beridelogi liberal, sosialis dan sebagainya, berdasarkan parti dan aliran politik yang disertainya.

Mustahil wakil-wakil Melayu daripada parti-parti Umno, PAS, PKR dan DAP akan bertindak semata-mata berdasarkan kaum mereka dan mempersetujui semua agenda berkaitan.

Penyertaan dalam parti-parti berbeza ideologi itu sendiri telah menunjukkan perbezaan yang perlu diambil kira, dan tidak dapat dimudahkan kepada etnik mereka. 

Akibat perhatian yang kurang kepada isu ideologi, wacana politik di negara ini cenderung menjadi bersifat emotif dan tertumpu kepada isu demi isu, tanpa dapat melihat dengan lebih mendalam asas hal-hal tersebut.

Wacana yang mengabaikan ideologi ini menjadikan perbincangan politik di negara ini tidak sempurna, kerana mengabaikan satu asas penting parti-parti politik yang bersaing untuk dipilih rakyat menerajui negara ini.

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...