Friday, March 16, 2012

Politik Malaysia: Persoalan perkauman dan ideologi (Bhg 3/3)

Oleh WAN ABDUL RAHMAN WAN AB LATIF

Pendekatan kelas amat dipengaruhi oleh pemikiran Marx yang melihat masyarakat (termasuk masyarakat Malaysia) secara asasnya terbahagi kepada dua kelompok iaitu golongan pemodal (kapitalis-borjuis) dan pekerja (proletar).

Hubungan antara dua golongan ini dicirikan oleh eksploitasi dan permusuhan. Golongan pemodal yang kaya dan berkuasa mengeksploitasi buruh golongan pekerja (proletar).

Atas hakikat ini maka lahirlah permusuhan antara dua kelas ini (class antagonism). Bagi mereka yang menganut fahaman Marxis, fenomena eksploitasi dan permusuhan ini berlaku dalam sejarah kehidupan manusia sejak dulu hinggalah sekarang.

Semasa zaman feudal, kajian yang dibuat oleh Gullick (1958) memperlihatkan kepada kita betapa berkuasanya raja/sultan yang memerintah (the ruler) ke atas rakyat yang diperintah (the ruled).

Dari perspektif pemikiran Marxis hubungan antara yang memerintah dengan yang diperintah adalah hubungan yang bersifat eksploitatif.

Kepatuhan rakyat kepada raja diperkukuhkan dengan pelbagai isbat (sanctions) yang bersifat jelas seperti pelbagai hukuman yang dikenakan dan bersifat simbolis seperti terangkum dalam konsep daulat.

Di peringkat daerah, bentuk hubungan yang sama wujud antara pembesar daerah dan pengikutnya.

Begitu juga di peringkat kampung di antara elit tempatan khususnya tuan tanah (landlords) dan petani khususnya petani yang tidak memiliki tanah.

Bentuk hubungan yang wujud di pelbagai lapisan masyarakat, sebagaimana yang dikemukakan secara ringkas di atas, nampaknya membenarkan tanggapan Marx.

Kajian dikalangan masyarakat Melayu luar bandar oleh Syed Husin Ali (1975) juga membenarkan hakikat ini.

Sayangnya kajian yang menggunakan pendekatan kelas dalam kalangan masyarakat Cina dan India belum diterokai dengan secara yang lebih mendalam dan sistematis.

Berbeza dengan Marx, Weber (seorang ahli sosiologi Jerman yang terkenal) berpandangan bahawa perbezaan kelas (terutamanya kelas sosial) dalam kalangan masyarakat bukan semata-mata ditentukan oleh aspek kebendaan tetapi oleh rasa hormat yang tinggi (deference) kerana individu berkenaan memiliki ciri-ciri yang istimewa yang tidak ada pada individu lain.

Sebagai contoh, seorang professor universiti dihormati (dalam erti kata mempunyai status sosial yang tinggi) bukan disebabkan beliau memiliki harta kekayaan yang banyak tetapi memiliki ilmu yang hebat.

Seorang imam di peringkat kampung dihormati bukan atas dasar beliau seorang yang berharta tetapi disebabkan oleh beliau memiliki sifat-sifat yang terpuji seperti warak.

Penghormatan ke atas Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang boleh dilihat dari perspektif yang sama.


Ciri bukan kebendaan (non-material) lain, selain rasa penghormatan yang tinggi, yang membezakan kelas sesaorang dengan yang lain, adalah gaya hidup (lifestyles).

Angkubah gaya hidup seperti lokasi perumahan, jenis rumah, hobi, bahasa percakapan harian, jenis hotel penginapan, jenis kenderaan yang digunakan dan sebagainya akan menentukan kelas sesaorang.

Dengan menggunakan kayu ukur inilah maka pengkaji seperti Syed Husin Ali (1972) berhujah mengatakan pimpinan tertinggi politik Barisan Nasional (terdiri dari Melayu, Cina dan India) adalah tergolong dalam kelas yang sama.

Ini juga bermakna faktor ras atau perkauman tidak lagi relevan dalam perkiraan penentuan kelas. Pandangan ini mempunyai kekuatan hujahnya yang tersendiri.

Cuma apa yang menjadi masalah atau problematik dari sudut analisis kelas ialah apabila golongan elit politik atasan dikaitkan dengan golongan bawahan.

Tidak menjadi masalah untuk elit politik pelbagai ras bersatu dalam satu kelas yang tersendiri berdasarkan gaya hidup yang mereka ikuti.

Walau bagaimanapun, golongan bawahan pelbagai ras masih tidak mampu untuk bersatu dalam satu kelas bagi tujuan "menentang" golongan atasan.

Ini tidak menafikan hakikat bahawa golongan bawahan pelbagai ras mempunyai gaya hidup yang sama iaitu mereka semua dibelenggu oleh fenomena kemiskinan.

Ini juga bermakna hubungan antara golongan atasan dengan golongan bawahan tidak didasari oleh permusuhan kelas (class antagonism).

Sudah semestinya terdapat penyuaraan "permusuhan" dalam kalangan orang Melayu yang miskin kepada orang Melayu yang kaya.

Begitu juga halnya di kalangan masyarakat bawahan Cina dan India. Tetapi suara-suara yang memprotes ketidakadilan ini tidak dapat digembelingkan dalam satu kolektiviti yang menyeluruh yang merentasi sempadan perkauman.

Ia tidak boleh berfungsi sebagai satu tenaga atau kuasa yang kuat yang boleh menggugat kedudukan golongan atasan atau borjuis.

Bagi Marx, manifestasi kelas yang wujud secara dalaman dalam kalangan golongan bawahan yang tidak mampu merubah status quo politik yang ada dikenali sebagai class-in-itself.

Sebaliknya kelas bawahan yang mampu merubah status quo politik yang ada dikenali sebagai class-for-itself.

Dalam kalangan masyarakat Melayu, pada tahun 1960-an, sebagaimana yang dihujah oleh Swift dalam kajiannya terhadap masyarakat Melayu di Jelebu, Negeri Sembilan, mendapati masyarakat Melayu tidak memiliki kesedaran kelas (class consiousness) tetapi lebih kepada kesedaran sinis (cynical awareness).


Gerakan reformasi pada akhir 1990-an yang diikuti dengan pilihan raya umum 1999 bagaimana pun telah merubah persepsi di atas. Perubahan politik ini dilihat oleh sebahagian pengkaji sebagai suatu perubahan politik yang agak radikal.

Mereka melabel perubahan ini sebagai "politik baharu" Malaysia. Hasil dari "politik baharu" ini ada tanda-tanda yang memperlihatkan bahawa golongan bawahan mampu bersatu merentasi sempadan perkauman dalam menyuarakan hal-hal yang berkaitan dengan keadilan dan pengagihan.

Peranan gerakan Islam seperti PAS adalah penting dalam membentuk nilai dan gerakan dalam era "politik baharu" ini bukan dalam bentuk menaja permusuhan kelas tetapi menyediakan program-program yang pelbagai (ekonomi, politik dan sosial) bagi merealisasi secara praktikal gagasan keadilan pengagihan (distributive justice) yang selari dengan tuntutan al-adl wa al-ihsan sebagaimana yang terdapat dalam al-Quran.


Dari sudut perbahasan teoritis, pendekatan yang menggunakan paradigma ras atau perkauman tidak bersifat ideologikal.

Ini kerana perkauman itu sendiri bukanlah merupakan satu bentuk ideologi kerana secara lazimnya idelogi didefinisikan sebagai satu sistem pemikiran (a system of ideas).

Dari perspektif ini, usaha-usaha untuk memahami realiti politik Malaysia dengan menggunakan pendekatan kelas adalah lebih bersifat idelogikal.

Secara yang khusus, Islam bukanlah sebuah ideologi yang terbit dari pemikiran manusia; ia adalah wahyu Allah. Walau bagaimanapun, Islam sebagai satu sistem yang syumul untuk mentadbir kehidupan manusia, maka dari sudut ia memiliki ciri "ideologi."


Persoalan idelogi mungkin menjadi suatu yang signifikan sebagai instrumen bagi menganalisis politik Malaysia, sekiranya ada usaha yang serius untuk membina sub-bidang pemikiran politik Malaysia ini.

Pemikiran politik sudah semestinya bersifat ideologikal. Dominannya BN (sebelum Pilihan Raya Umum ke-12) dalam politik Malaysia yang bergerak atas pertimbangan pragmatisme, menyebabkan kerelevanan ideologi sebagai satu kaedah untuk memahami realiti politik Malaysia, terus terpinggir.

Sekiranya DAP yang perjuangannya berpegang kepada ideologi democratic socialism, PAS dengan ideologi Islamnya dan PKR dengan ideologi social justice diberi peluang memainkan peranan yang dominan dalam politik Malaysia, maka persoalan ideologi sebagai satu instrumen bagi menganalisis dan juga mentakrif politik Malaysia akan sudah semestinya menjadi lebih penting.

Dalam hal ini sudah semestinya PAS akan menjuarainya kerana ideologi Islam sebagai asas perjuangannya adalah untuk mengajak manusia ke jalan kebenaran dan kesejahteraan hidup tanpa dibebani dengan persoalan perkauman.


Penulis ialah bekas pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dan pengarang Teori Domino: PRU 13 BN Tumbang terbitan Jundi Resources.

Thursday, March 15, 2012

Politik Malaysia: Persoalan perkauman dan ideologi (Bhg 2/3)

Oleh WAN ABDUL RAHMAN WAN AB LATIF

Tahap pembangunan politik dan ekonomi sesebuah negara, terutamnya dalam konteks negara membangun seperti Malaysia, adalah faktor lebih penting mempengaruhi sikap sesaorang termasuk pegawai tadbir awam, berbanding latar belakang etnik pegawai berkenaan.

Kajian oleh Scott (1968) telah membenarkan hakikat ini. Secara asasnya Scott lebih berminat untuk mengkaji apa yang beliau gelar sebagai "ideologi politik" Malaysia.

Ideologi politik yang dimaksudkan oleh Scott ialah lebih menjurus kepada persolaan pembinaan sistem kepercayaan dalam kalangan penjawat awam kategori "A" (profesional) dari pelbagai latar belakang etnik.

Scott mendapati, sungguhpun wujud kesangsian antara pentadbir Melayu dan bukan Melayu tetapi kedua-dua golongan pegawai tadbir awam ini terikat dengan imej barangan terhad (image of limited goods).

Apa yang dimaksudkan dengan imej barangan terhad ialah mereka mempunyai pandangan bahawa kekayaan negara (the pie) adalah tidak berubah (constant).

Ini juga bererti sekiranya seorang pegawai tadbir dinaikkan pangkat (bertambah pendapatan, rezeki) ini bermakna pegawai berkenaan telah merampas pendapatan/rezeki pegawai-pegawai lain.

Imej barangan terhad ini tidak sepatutnya menjadi tassawur para pegawai yang memiliki ijazah dari universiti kerana kajian di negara membangun seperti di Amerika Latin memperlihatkan pandangan dunia ini hanya dimiliki oleh para petani yang tidak mempunyai pendidikan tinggi.

Imej barangan terhad ini seolah-olah mempunyai persamaan dengan idea qada dan qadar dalam Islam yang diterjemahkan dalam masyarakat Melayu sebagai "rezeki secupak tidak akan jadi segantang." Pandangan ini tidak mengambil kira faktor ikhtiar dalam kehidupan manusia, yang amat digalakkan oleh Islam.

Seorang pegawai tadbir yang memiliki pandangan hidup yang terikat dengan "imej barangan terhad" akan membantut kerja-kerja yang diceburi, membunuh inisiatif dan kreativiti. Ini tentunya menjejaskan pembangunan negara.

Ini diburukkan lagi apabila pegawai tadbir juga turut terikat dengan nilai-nilai birokrasi yang agak negatif kerana arus autoritinya bersifat "dari atas ke bawah" (top-down) dan kurang membenarkan iniatif "dari bawah ke atas."

Birokrasi bentuk ini amat tidak produktif dan membebankan negara dari sudut pembiayaan awam. Birokrasi bentuk ini telah ditafsirkan sebagai biro yang "keras" lagi "basi."

Umno mempunyai saham yang besar dalam pembentukan budaya birokrasi yang negatif atas sifat berlakunya pempolitikan pentadbiran (politicization of administration) yang agak serius.

Memahami realiti ini maka fahamlah kita kenapa ketimpangan berlaku dalam menggubal Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Selari dengan autoriti birokrasi yang berbentuk dari atas ke bawah, maka pegawai atasan bersegera menandatangani perjanjian tanpa mengambil kira aspek keadilan pengagihan (distributive justice) kepada kategori lain terutama kumpulan sokongan di peringkat bawahan yang amat terhimpit dengan kenaikan kos barangan asas.

Dalam kes Malaysia, suasana yang kurang memberangsangkan ini telah dapat diatasi apabila kekayaan atau kek negara (the pie) berkembang dan membesar dengan agak pesat.

Sekiranya kekayaan negara merosot, disebabkan faktor ketirisan dan perancangan ekonomi yang salah, maka kesejahteraan negara akan terjejas.

Secara kesimpulannya, analisis ringkas di atas memperlihatkan kepada kita bahawa faktor budaya, ekonomi dan kolonialisme adalah merupakan faktor-faktor yang juga penting selain faktor "perkauman" dalam usaha kita untuk memahami sifat politik Malaysia yang mempunyai masyarakat majmuk.

Ini bermakna penekanan kepada faktor perkauman seperti yang ditradisikan oleh Umno-BN dan terkini oleh NGO seperti Perkasa makin tidak relevan dan makin tersisih oleh realiti baharu politik Malaysia.

Perbincangan sebelum ini melihat politik Malaysia dari perspektif ras atau perkauman. Ini dilihat oleh sebahagian besar pengkaji sebagai pendekatan arus perdana dalam usaha memahami sifat politik Malaysia.

Salah satu aspek penting pendekatan ini ialah gagasan yang mengatakan bahawa politik Malaysia ditentukan oleh persaingan kuasa antara orang Melayu (yang memiliki kuasa politik) dan orang bukan Melayu khususnya Cina (yang memiliki kuasa ekonomi).

Terdapat kritikan yang mengatakan bahawa usaha untuk memahami politik Malaysia dari perspektif Melayu lawan bukan Melayu merupakan pendekatan yang simplistik atau linear sifatnya.

Kumpulan pengkaji ini mengemukakan hujah bahawa realiti politik Malaysia perlu dilihat secara yang lebih menyeluruh (holistic) dengan mengambil kira bukan sahaja faktor ras atau etnik (dalam konteks Melayu lawan bukan Melayu) tetapi juga faktor sejarah dan sosial negara dan analisis perlu bersifat cyclical atau lebih tepat dialectical. Pendekatan ini boleh dilihat sebagai memihak kepada pendekatan kelas.

Penulis ialah bekas pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dan pengarang Teori Domino: PRU 13 BN Tumbang terbitan Jundi Resources.

Wednesday, March 14, 2012

Politik Malaysia: Persoalan perkauman dan ideologi (Bhg 1/3)

Oleh WAN ABDUL RAHMAN WAN AB LATIF

Makalah ini merupakan satu pendedahan awal mengenai ciri-ciri dan persoalan asas politik Malaysia.

Tidak dapat dinafikan bahawa politik Malaysia adalah politik perkauman par excellence seperti yang dibuktikan oleh sebahagian besar pengkaji-pengkaji politik Malaysia arus perdana seperti Ratnam, Milne dan Mauzy.

Ini bermakna faktor ras atau etnisiti memainkan peranan yang penting mencorak rupa bentuk politik Malaysia. Terdapat juga penulis yang mewakili pandangan minoriti seperti P Ramasamy dan Syed Husin Ali yang mentafsir politik Malaysia bukan dari sudut ras atau etnik tetapi dari sudut yang luas iaitu dari sudut kelas.

Dihujahkan bahawa elit-elit politik dalam parti-parti politik yang berteraskan ras seperti Umno, MCA dan MIC adalah pada hakikatnya adalah terdiri dari satu kelas, paling tidak dari sudut gaya hidup.

Persoalan yang boleh dibangkitkan seterusnya ialah sekiranya politik Malaysia boleh dianalisis dari perspektif kelas, maka faktor ideologi memainkan peranan yang penting. Sekiranya "ideologi" didefinisi secara mudah sebagai "satu sistem pemikiran" (system of ideas) yang digunakan bagi merencana dasar-dasar yang mengikat kehidupan rakyat, maka Islam juga dari sudut ini boleh juga dilihat sebagai satu bentuk ideologi sungguhpun ia datang dari Allah dan bukan terbit dari pemikiran manusia.

Dilihat dari sudut ini, ruang untuk Islam berkembang dan mentakrif rupa bentuk politik dalam kerangka masyarakat majmuk Malaysia amat positif sekali dan dalam hal ini peranan PAS amat penting sekali.

Di Malaysia, politik perkauman biasanya dikaitkan dengan sifat masyarakat majmuk. Model politik perkauman berdasarkan masyarakat majmuk yang paling klasik adalah analisis yang dikemukakan oleh Furnivall (1953).

Secara mudah Furnivall berhujah bahawa salah satu sifat asas masyarakat majmuk ialah kecenderungan mereka untuk berkonflik. Ini amat difahami dan sesuatu yang logikal kerana ketiga-tiga kelompok etnik (Melayu, Cina dan India) yang dominan mempunyai asas agama, budaya dan bahasa yang berbeza.

Ketiga-tiga aspek ini dikawal dengan rasa penuh cemburu oleh ketiga-tiga kelompok etnik ini. Paling ketara dalam konteks Malaysia ialah kedudukan kelompok etnik Cina yang tidak boleh dilihat sebagai mempunyai status minoriti (dari sudut peratusan penduduk mungkin betul, tetapi dalam saat yang sama mereka menguasai bidang ekonomi).

Mereka amat sensitif sekiranya dasar-dasar yang digubal oleh kerajaan ditafsir sebagai boleh menghakis asas budaya dan bahasa mereka dan mereka akan terjemahkan kerisauan mereka di peti-peti undi semasa pilihan raya dengan menyokong calon-calon pembangkang.

Menyedari sifat masyarakat majmuk yang begitu rapuh dan secara hakikinya berkecenderungan untuk berkonflik, maka Furnivall mengemukakan hujahnya dengan mengatakan disebabkan masyarakat majmuk tidak mempunyai kekuatan dalaman bagi menjamin kesepaduan dan seterusnya kelangsungan masyarakat, maka ia perlu kepada kuasa luaran bagi tujuan mengikat dan seterusnya mendisiplin masyarakat majmuk tersebut.

Kuasa luaran yang dimaksudkan oleh Furnivall ialah kuasa kolonialisme. Hujah yang dikemukakan oleh Furnivall adalah amat difahami kerana beliau sendiri adalah seorang pegawai tadbir kolonial Inggeris yang berpengkalan di Burma (Myanmar).

Adalah sesuatu yang amat bercanggahan (kontradiksi) apabila pihak pentadbir kolonial Inggeris mempunyai pandangan bahawa masayarakat majmuk mempunyai kecenderungan untuk berkonflik/berpecah, tetapi mereka pada hakikatnya mengemukakan dasar-dasar pentadbiran kolonial yang juga berbentuk pecah dan perintah!

Asas pentadbiran kolonial Inggeris yang bersifat "pecah dan perintah" sudah semestinya turut mempengaruhi sikap pengkaji (mereka juga adalah pentadbir kolonial Inggeris) dari luar khususnya mengenai masyarakat Melayu seperti yang diusahakan oleh Winstedt (1935) Wilkinson, Clifford (1897) dan Swettenham (1906).

Dengan memahami budaya orang Melayu iaitu kelompok etnik yang dominan, dan dengan cara menyerap elit tradisional Melayu ke dalam struktur pentadbiran kolonial Inggeris maka ini akan menyenangkan pihak Inggeris mentadbir Malaya.

Ini amat difahami kerana elit tradisional Melayu mempunyai kedudukan yang istimewa dalam masyarakat Melayu. Mereka berperanan sebagai penaung (patron) dan rakyat terbanyak sebagai klien (client). Sistem penaungan (patronage system) ini berterusan sehinggalah ke hari ini terutama dalam parti-parti politik seperti Umno.

Pegawai kolonial Inggeris yang mengkaji masyarakat Malaya/Malaysia, di samping memperkukuhkan perspektif pecah dan perintah bagi tujuan mempermudahkan perjalanan pentadbiran kolonial, perspektif ini nampaknya turut mempengaruhi persepsi mereka terhadap budaya kelompok-kelompok etnik yang berbeza.

Persepsi ini biasanya lebih bersifat negatif. Ini dikenali juga sebagai stereotyping. Natijah dari pemikiran yang bersifat negatif ini maka lahirlah tanggapan seperti orang Melayu adalah "malas dan suka kepada keseronokan," orang Cina "rajin tapi penipu" dan orang India adalah "pengotor."

Dari satu segi, persepsi yang negatif ini semacam mempengaruhi budaya kerja ketiga-ketiga kelompok etnik ini terutamanya dilihat dari perspektif pentadbiran negara.

Sifat "malas dan suka kepada keseronokan" orang Melayu menyebabkan orang Melayu lebih suka bekerja sebagai pegawai kerajaan atau penjawat awam kerana mereka menganggap kerja dengan kerajaan adalah lebih stabil dan terjamin (security of tenure) dan mempunyai kadar risiko yang rendah seperti dalam kes-kes pembuangan pekerja seperti yang berlaku di sektor swasta apabila berlakunya kegawatan ekonomi.

Tambahan lagi, kecenderungan orang Melayu bekerja di sektor awam telah diperkukuhkan lagi dengan peruntukan tertentu dalam perlembagaan negara.

Sifat "rajin tapi penipu" orang Cina dikaitkan dengan kegigihan orang Cina bekerja dalam sektor ekonomi dan komersial. Dalam sektor inilah mereka memperolehi keuntungan yang banyak.

Maka lahirlah hujah kenapa orang Cina tidak begitu berminat untuk bekerja dalam sektor awam, terutama bagi kategori khidmat sokongan seperti jawatan konstabel dalam perkhidmatan polis dan jawatan anggota tentera biasa.

Ia dikaitkan dengan pendapatan yang rendah. Besar kemungkinan orang Cina akan lebih berminat sekiranya peluang untuk menjawat jawatan pegawai tadbir awam yang lebih tinggi iaitu bagi kategori profesional dan kepakaran terbuka luas untuk mereka.

Sifat orang India yang "kotor" telah melayakkan mereka bekerja sebagai buruh kasar, pemandu, pegawai keselamatan dan sebagainya. Pentadbiran kolonial menempatkan mereka dalam sektor perladangan.

Terdapat agak ramai pegawai tadbir awam di kalangan masyarakat India dalam kategori profesional. Dalam kategori kepakaran, seperti bidang perundangan (peguam) dan kesihatan (doktor) sebahagian besarnya didominasi oleh orang India terutamanya di sektor swasta.

Wujudnya pengkhususan peranan berdasarkan latar belakang etnik (specialization of roles on the basis of ethnicity) bukanlah lahir dari perbezaan budaya kerja seperti yang dibincangkan di atas; ia lebih merupakan perancangan secara sedar pihak pentadbiran kolonial berpandukan pendekatan pecah dan perintah bagi memudahkan terlaksananya perancangan politik kolonial Inggeris.

Sekiranya Inggeris menggalakkan orang Melayu menceburkan diri dalam sektor ekonomi seperti perlombongan, sudah semestinya orang Melayu juga akan maju dan menguasai sektor ekonomi pada masa kini.

Tetapi pihak Inggeris telah mengatur segala-galanya: Orang Melayu kekal di sektor tradisional ekonomi luar bandar yang kurang maju dan kurang berdaya saing; orang India pula ditempatkan di ladang-ladang getah sebagai pekerja bukan sebagai pengurus; dan orang Cina di sektor perlombongan bijih timah (yang pada mulanya diusahakan oleh pembesar-pembesar Melayu) yang dinamis dan berdaya maju.

Golongan pemodal selat Inggeris turut membantu pengusaha-pengusaha Cina atau melalui kerja sama.

Penulis ialah mantan pensyarah sains politik di Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM.

Monday, March 12, 2012

Misi bantuan Dewan Pemuda PAS

Oleh DEWAN PEMUDA PAS

Dewan Pemuda PAS Malaysia melancarkan tabung khas untuk membantu sekitar dua pertiga penduduk dalam Dewan Undangan Negeri Dusun Tua, Hulu Langat, Selangor yang dilanda banjir lumpur yang dahsyat, 5 hingga 10 kaki menenggelamkan rumah penduduk yang didiami sejak 40 tahun yang lalu. Sumbangan juga akan disalurkan ke penduduk Ampang yang turut menerima musibah yang sama. Semua sumbangan warga prihatin boleh disalurkan ke :

Tabung Rakyat Prihatin
564025400414
(Maybank
)

Sementara bantuan kebajikan buat keluarga (isteri dan tujuh orang anak) Imam Hoslan Hussin yang dijatuhi hukuman penjara selama setahun dan Dewan Pemuda PAS Malaysia juga prihatin terhadap nasib seorang ibu tua yang lumpuh Faridah Maulud, 66, yang dilaporkan telah ditinggalkan oleh anak tunggalnya di sebuah hotel bajet di Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baru beberapa hari lepas. Insya Allah bantuan kebajikan sebahagian turut akan disalurkan kepada beliau. Semua bantuan warga prihatin untuk bantuan kebajikan ini boleh disalurkan ke :

Tabung Kemanusiaan Pemuda
564025400100
(Maybank
)

Friday, March 9, 2012

Kebangkitan Syria dan pengajaran kepada umat Muslim Malaysia

Syria kini sedang menyaksikan persaingan kuasa serantau dan antara proksi kuasa-kuasa serantau di dunia Arab.

Walaupun isu tuntutan rakyat dan demokrasi tidak dapat dinafikan sebagai satu isu penting, kepentingan rakyat Syria kini dikaburi dengan kuat oleh permainan antara kuasa-kuasa berkepentingan.

Isu utama yang dapat diperhatikan dalam persaingan kuasa ialah usaha meleraikan paksi Iran, Syria dan gerakan Islam di Palestin dan Lubnan.

Beberapa kuasa utama rantau Asia Barat berkepentingan dalam menjejaskan rejim Bashar al-Assad, terutama Arab Saudi, Qatar, dan Israel.

Saudi ialah pesaing utama Syria di Lubnan. Saudi dan sekutu Baratnya menyokong penguasaan Rafik dan Saad al-Hariri dan aliansi 14 Mac, manakala Syria menyokong Hizbullah, Amal dan gerakan anti-14 Mac.

Saudi juga ialah musuh tradisi Iran, dan berusaha memastikan kedudukannya sebagai sebuah negara yang menguasai rantau Arab dipelihara.

Qatar bersatu dengan Saudi dalam hal ini, dalam kerjasama yang dapat diperhatikan bermula sejak kebangkitan rakyat di dunia Arab tercetus dan sampai ke negara-negara Majlis Kerjasama Teluk, GCC, terutama Bahrain.

Qatar juga berkepentingan untuk melonjakkan dirinya dalam politik serantau dan meningkatkan hubungan dengan kuasa-kuasa Barat.

Kedua-dua negara juga bersatu dari segi aliran agama dalam menangani aliansi Syria-Iran.

Isu aliran Islam Syiah dan Alawi menjadi salah satu isu yang dijadikan tumpuan dalam propaganda anti-Syria, malah dicetuskan dalam banyak isu lain termasuk kebangkitan di Bahrain dan timur Saudi.

Banyak isu seperti kebangkitan di Bahrain dipermudahkan sebagai “ancaman asing” yang bermaksud Iran dan Syiah.

Satu peristiwa yang memberi gambaran aliansi Saudi-Qatar ini ialah penamaan sebuah masjid utama di Doha dengan nama Imam Muhammad Abdul Wahhab, satu perkembangan yang mencerminkan peningkatan hubungan kedua-dua negara.

Israel, musuh utama Iran, Syria dan gerakan Islam di Syam mempunyai kepentingan yang paling jelas tetapi paling kurang mendapat perhatian media.

Israel secara sedar tidak mahu kelihatan secara terang berperanan di Syria, dan sebolehnya mahu isu Syria ditangani oleh kuasa Arab supaya isu tersebut tidak menjadi pertembungan antara Arab dengan Israel.

Paling utama, Zionis mahu melihat paksi Iran-Syria dan gerakan Islam Syam terjejas. Ini dapat dilihat daripada kenyataan beberapa orang tokoh Israel.

Dan Meridor, menteri perisikan Israel dilapor berkata oleh akhbar New York Times: “Iran berusaha keras untuk menyelamatkan rejim Assad. Sekiranya pakatan antara Iran, Syria dan Hizbullah boleh diputuskan, ia sesuatu yang sangat positif."

Bekas pengarah Mossad, Efraim Halevy pula dalam satu tulisannya di akhbar sama menegaskan: "Memastikan Iran dihalau daripada hab serantaunya di Damsyik akan memotong aksesnya kepada proksi (Hizbullah di Lubnan dan Hamas di Gaza) dan secara terbuka akan menjejaskan prestij Iran di peringkat dalam negara dan antarabangsa, dan mungkin memaksa rejim yang lemah di Tehran menghentikan program nuklearnya."

Kuasa serantau paling berprofil tinggi dalam persaingan ini ialah Qatar, yang bersama sekutunya dalam GCC, Arab Saudi, kini menguasai Liga Arab.

Qatar kini mengulangi peranannya dalam menjatuhkan Muammar Gaddafi di Libya dengan pelbagai usaha menekan rejim Bashar di Syria.

Secara agresif, Qatar bersama Saudi menyokong pemberontak Majlis Nasional Syria, SNC termasuk secara terbuka menyokong pembekalan senjata kepada Tentera Bebas Syria, FSA, rakan SNC dalam usaha menjatuhkan rejim Damsyik.

SNC, gabungan yang memonopoli suara pembangkang dalam kalangan media antarabangsa dan kuasa tertentu itu sendiri mempunyai banyak isu yang perlu dipersoalkan dari segi kredibilitinya.

Satu isu yang kini semakin mendapat perhatian ialah peranan al-Jazeera milik Qatar dalam melaporkan perkembangan di Syria.

Al-Jazeera ialah pemain media utama dalam kebangkitan di Asia Barat dan Afrika Utara sejak lebih setahun lalu, dan terlibat secara mendalam dalam perang media kuasa-kuasa serantau.

Satu isu terkini yang menjejaskan al-Jazeera ialah pendedahan tentang bias stesen itu dalam melaporkan kebangkitan di Syria, sehingga dilaporkan menyebabkan wartawannya meletak jawatan sebagai protes.


Pandangan kritikal terhadap liputan dan rakaman krisis di Syria telah dikemukakan banyak pihak, termasuk terhadap rakaman-rakaman persendirian yang dipersoalkan kesahihan dan agendanya.

Kecondongan laporan dan komentar kepada sebelah pihak ini dijadikan hujah pihak berkepentingan untuk menuntut campur tangan asing dan bantuan senjata.

Kes di Syria – dan sebelum itu Libya – menyediakan banyak pengajaran dalam isu propaganda dan permainan politik kuasa-kuasa tertentu yang mengambil kesempatan daripada kebangkitan rakyat menuntut demokrasi.

Kempen propaganda yang menjadikan isu agama sebagai asas rujukan dilihat mudah untuk menarik ramai pihak memberikan sokongan untuk kepentingan yang sebenarnya mewakili agenda sempit kuasa-kuasa tertentu.

Sebahagian umat Muslim di Malaysia yang turut termakan kempen propaganda terhadap Iran dan Syria, menerima bulat-bulat kempen propaganda yang kelihatan dicetuskan oleh musuh politik negara tersebut.

Sentimen mazhab kelihatan terlalu mudah dipergunakan dan mudah memancing sentimen yang menjurus kepada perpecahan.

Satu kempen di Facebook dilihat dibuat semata-mata atas sentimen anti-Syria dan tanpa sebarang rujukan lain yang lebih bebas.

Kenaifan yang diperhatikan ini mencetuskan persoalan tentang kemampuan mereka yang terlibat itu dalam menangani isu-isu yang menguji itu sekiranya berlaku di negara ini, yang wacana politiknya semakin dikuasai emosi dan sentimen.

Tuesday, March 6, 2012

Album: Orang cool geng kita






Dalam usaha meningkatkan imej positif dan mesra generasi muda, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak kelihatan agak berjaya, dengan secara konsisten menunjukkan kemampuan mengambil segala peluang untuk mencapai tujuan itu.

Baru-baru ini, Najib muncul di program Festival Muzik Belia Barisan Nasional, dengan baju kasual hitam dan seluar jeans, yang kelihatan sengaja dikoordinasikan bersama pemimpin-pemimpin pemuda Umno termasuk Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Antara yang dilakukan Najib, selain menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang ialah bergambar sambil memegang sebuah gitar.

Perkembangan ini menunjukkan bagaimana budaya popular semakin menjadi satu medan kempen politik di negara ini, dan tidak lagi menjadi satu aktiviti yang sukar didekati pemimpin-pemimpin politik, termasuk yang berimej konservatif dan berumur.

Foto dari Laman Facebook Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak.

Monday, March 5, 2012

Hamas dalam percaturan politik serantau Asia Barat

Oleh HARIS ZALKAPLI

Tekanan dihadapi rejim Bashar al-Assad dan percaturan Qatar dalam politik serantau dunia Arab mula menampakkan kesannya terhadap Hamas, gerakan Islam yang semakin menghadapi ujian getir sejak menyertai pentadbiran Palestin ekoran kemenangan besar dalam pilihan raya 2006.

Tekanan hebat dihadapi rejim Bashar di Syria mula menjejaskan perlindungan yang diperolehi Hamas di Damsyik, satu-satunya kawasan selamat bagi gerakan Islam Palestin itu.

Akibat tekanan kuat ke atas Damsyik oleh kuasa-kuasa serantau diketuai Arab Saudi dan Qatar dengan sokongan kuasa Barat, pangkalan Hamas itu kini menyaksikan perpindahan keluar pemimpin dan biro politik pergerakan itu.

Khaled Mishaal, ketua biro politik yang juga bertanggungjawab terhadap dasar luar Hamas itu kini telah berpindah ke Doha, Qatar, negara kaya yang menjadi pemain penting dalam politik serantau pada masa ini.

Pada masa sama, Moussa Abu Marzouk, timbalan ketua politik Hamas pula kini berpangkalan di Kaherah, Mesir.

Perubahan ini memberi implikasi yang besar kepada haluan Hamas dalam era politik yang mencabar kini.

Di Damsyik, Hamas mendapat sokongan dan bantuan daripada Syria dan Iran, dua sekutu kuat yang membina paksi antara Iran, Syria dan gerakan-gerakan Islam di Palestin dan Lubnan.

Walaupun bantuan Damsyik itu turut ditentukan oleh perkiraan realpolitik, kedudukan Hamas – dan gerakan Islam lain Jihad Islami dan Hizbullah – di Damsyik selama ini menjadi faktor penting yang membantu perjuangan gerakan Islam itu.

Tekanan terhadap pemerintah Syria kini sedang merungkai dan menjejaskan kelebihan yang dinikmati Hamas selama ini.


Kedudukan geografi Syria yang menyempadani wilayah ditakluk Zionis Israel dan Lubnan memberikan kemudahan dalam banyak perkara, terutama logistik.

Perpindahan keluar kepimpinan Hamas dari Damsyik bermakna Hamas yang ruang pergerakannya terhad itu memerlukan penaung dan pelindung baharu.

Qatar yang kini sedang aktif menggerakkan dasar luarnya untuk mendapat manfaat daripada kebangkitan rakyat melanda dunia Arab sejak lebih setahun lalu sedang menuai hasil daripada tekanan yang dihadapi Syria.

Selepas peranannya di Libya yang membawa kepada kejatuhan Muammar Gaddafi dan penguasaan kumpulan disokong Barat, Doha kini memainkan peranan aktif untuk mengubah rejim di Syria.

Perpindahan kepimpinan Hamas ke Doha dan kelemahan rejim Bashar – yang sekaligus memutuskan atau menjejaskan hubungan Damsyik dengan Tehran – membolehkan Qatar mengambil peranan sebagai pelindung dan pembiaya Hamas.

Peranan ini bakal meningkatkan lagi prestij Qatar di dunia Arab dan juga seluruh dunia Islam.

Doha, pemain penting dalam Liga Arab dan pertubuhan Majlis Kerjasama Teluk, GCC, kini telahpun memiliki satu kelebihan dalam dunia Islam melalui kedudukan ilmuan Dr Yusuf al-Qaradawi di sana.

Perbezaan sikap negara-negara tertentu seperti Qatar dan Saudi dapat diperhatikan sejak awal tercetus kebangkitan di dunia Arab.

Qatar, Saudi dan pertubuhan serantau Liga Arab dan GCC menunjukkan sikap berbeza dalam kes kebangkitan di Mesir, Yaman, Bahrain, Libya dan Syria.

Doha menunjukkan sikap yang agresif menangani Libya dan Syria, termasuk menyokong dan memberi bantuan senjata dan kewangan.

Qatar menjadi negara Arab pertama menyokong campur tangan di Libya dan juga Syria.

Dalam kes Hamas, bantuan yang mampu diberikan kepada Hamas – dan potensi bantuan pihak lain seperti Syria dan Iran tersekat - mampu mengukuhkan hubungan pemerintah Qatar dengan Hamas.

Dalam politik serantau berkaitan Palestin, pihak yang berperanan menjadi penyokong dan pembiaya Palestin mendapat satu imej positif yang besar, seperti yang pernah dimiliki oleh Presiden Saddam Hussein di Iraq.

Palestin, pada tahap tertentu, dijadikan modal politik untuk membina kedudukan dan meluaskan pengaruh dalam politik serantau dunia Arab.

Tanpa mengira populariti dan rekod pemerintahan dalam negara, imej sebagai pembantu Palestin memberi satu kedudukan moral yang tinggi kepada negara yang terbabit.

Pada masa sama, negara penyokong itu juga memiliki pengaruh tersendiri terhadap Hamas dan politik gerakan Islam Syam.

Sekiranya Qatar berjaya dalam menonjolkan dirinya sebagai pembela Palestin, peranan yang dimainkan oleh Iran dan Syria selama ini akan tenggelam, bermakna pengaruh Syria-Iran di Syam juga terjejas.

Pengaruh Qatar telah dilihat dengan jelas melalui perjanjian membentuk kerajaan perpaduan antara Hamas dengan Fatah yang dicapai Februari lalu di negara Arab Teluk Parsi itu.

Perjanjian itu walau bagaimanapun dikritik Perdana Menteri Ismail Haniyeh dan Mahmoud al-Zahar, kepimpinan Hamas di Gaza, Palestin.

Perpecahan dalam Hamas ini, yang tidak pernah terzahir seperti ini ialah salah satu kesan awal daripada percaturan politik serantau kini.

Dengan sokongan kuat Qatar, haluan bersama Fatah berpotensi dikemukakan sebagai pilihan yang perlu diambil, lalu meminggirkan kelompok yang menentang kerjasama kerajaan perpaduan dengan Fatah itu.

Kepimpinan Hamas di Gaza berdepan pilihan bersetuju dengan perjanjian di Doha itu ataupun berdepan risiko terpinggir, lebih-lebih lagi sekiranya sokongan dan bantuan Syria-Iran seperti dinikmati selama ini terjejas.

Satu perubahan nada telah berlaku baru-baru ini apabila Haniyeh dalam satu kenyataan di Mesir menegaskan sokongan kepada pemberontak Syria.

Haniyeh ketika sambutan ulangtahun revolusi Iran Februari lalu melawat Tehran dan memberi ucapan menyatakan sokongan kepada Iran dan menolak sebarang usaha mengiktiraf Israel.

Kenyataan terbaharu beliau menunjukkan satu perubahan dalam nada Hamas di Gaza berhubung Damsyik dan kepimpinan Bashar.

Qatar dan Arab Saudi, sekutu dalam persaingan dengan paksi Iran di dunia Arab kini telah menampakkan tanda-tanda kejayaan dalam melemahkan pengaruh Syria-Iran di wilayah Syam.

Malangnya, percaturan politik serantau yang turut dikemukakan sebagai satu persaingan mazhab ini juga telah memperlihatkan implikasi negatifnya kepada gerakan Islam serantau.

Selain kepentingan Qatar dan Saudi, pada masa sama Israel turut berpotensi menerima manfaat besar daripada apa yang berlaku di Syria kini.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam satu tulisan baru-baru ini mengingatkan tentang agenda-agenda lain yang turut digerakkan oleh pihak berkepentingan termasuk Israel dalam menangani isu Syria.

Pada masa sama, perbezaan mazhab turut diperbesarkan dengan tujuan membakar sentimen dan mengaburi daripada isu sebenar.

Abdul Hadi mengemukakan penegasan mendesak langkah sewajarnya daripada pemerintah Syria, tetapi pada masa sama mengingatkan agar umat tidak diperangkap oleh agenda musuh Islam.

Menurutnya, apa yang digerakkan dalam menangani isu Syria oleh pihak tertentu “bukan untuk menyelamatkan Syria tetapi lebih daripada itu untuk menekan, melemah dan menghapuskan Hamas, Jihad Islami dan Hizbullah serta Iran.”

Di Syria, Ikhwan al-Muslimin yang bersama dalam Majlis Nasional Syria telah menunjukkan pendirian yang bertentangan dengan kepentingan rakyat Syria secara keseluruhan, dan menjadi alat kuasa-kuasa tertentu mencapai agenda kuasa mereka.

Di seluruh dunia Arab dan Islam, banyak gerakan Islam menerima satu versi cerita di Syria tanpa melihat dengan lebih kritikal dan membawa cadangan yang lebih adil.

Episod terbaharu ini mendedahkan bagaimana percaturan kuasa-kuasa menjadikan gerakan Islam terperangkap dan dipergunakan, dengan menjadikan sentimen politik – dan juga perbezaan aliran agama – sebagai senjata.

Gerakan Islam perlu segera mengambil pelajaran daripada banyak peristiwa global supaya tidak mudah diperdaya dan terperangkap akibat sentimen dan kenaifan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...