Wednesday, March 14, 2012

Politik Malaysia: Persoalan perkauman dan ideologi (Bhg 1/3)

Oleh WAN ABDUL RAHMAN WAN AB LATIF

Makalah ini merupakan satu pendedahan awal mengenai ciri-ciri dan persoalan asas politik Malaysia.

Tidak dapat dinafikan bahawa politik Malaysia adalah politik perkauman par excellence seperti yang dibuktikan oleh sebahagian besar pengkaji-pengkaji politik Malaysia arus perdana seperti Ratnam, Milne dan Mauzy.

Ini bermakna faktor ras atau etnisiti memainkan peranan yang penting mencorak rupa bentuk politik Malaysia. Terdapat juga penulis yang mewakili pandangan minoriti seperti P Ramasamy dan Syed Husin Ali yang mentafsir politik Malaysia bukan dari sudut ras atau etnik tetapi dari sudut yang luas iaitu dari sudut kelas.

Dihujahkan bahawa elit-elit politik dalam parti-parti politik yang berteraskan ras seperti Umno, MCA dan MIC adalah pada hakikatnya adalah terdiri dari satu kelas, paling tidak dari sudut gaya hidup.

Persoalan yang boleh dibangkitkan seterusnya ialah sekiranya politik Malaysia boleh dianalisis dari perspektif kelas, maka faktor ideologi memainkan peranan yang penting. Sekiranya "ideologi" didefinisi secara mudah sebagai "satu sistem pemikiran" (system of ideas) yang digunakan bagi merencana dasar-dasar yang mengikat kehidupan rakyat, maka Islam juga dari sudut ini boleh juga dilihat sebagai satu bentuk ideologi sungguhpun ia datang dari Allah dan bukan terbit dari pemikiran manusia.

Dilihat dari sudut ini, ruang untuk Islam berkembang dan mentakrif rupa bentuk politik dalam kerangka masyarakat majmuk Malaysia amat positif sekali dan dalam hal ini peranan PAS amat penting sekali.

Di Malaysia, politik perkauman biasanya dikaitkan dengan sifat masyarakat majmuk. Model politik perkauman berdasarkan masyarakat majmuk yang paling klasik adalah analisis yang dikemukakan oleh Furnivall (1953).

Secara mudah Furnivall berhujah bahawa salah satu sifat asas masyarakat majmuk ialah kecenderungan mereka untuk berkonflik. Ini amat difahami dan sesuatu yang logikal kerana ketiga-tiga kelompok etnik (Melayu, Cina dan India) yang dominan mempunyai asas agama, budaya dan bahasa yang berbeza.

Ketiga-tiga aspek ini dikawal dengan rasa penuh cemburu oleh ketiga-tiga kelompok etnik ini. Paling ketara dalam konteks Malaysia ialah kedudukan kelompok etnik Cina yang tidak boleh dilihat sebagai mempunyai status minoriti (dari sudut peratusan penduduk mungkin betul, tetapi dalam saat yang sama mereka menguasai bidang ekonomi).

Mereka amat sensitif sekiranya dasar-dasar yang digubal oleh kerajaan ditafsir sebagai boleh menghakis asas budaya dan bahasa mereka dan mereka akan terjemahkan kerisauan mereka di peti-peti undi semasa pilihan raya dengan menyokong calon-calon pembangkang.

Menyedari sifat masyarakat majmuk yang begitu rapuh dan secara hakikinya berkecenderungan untuk berkonflik, maka Furnivall mengemukakan hujahnya dengan mengatakan disebabkan masyarakat majmuk tidak mempunyai kekuatan dalaman bagi menjamin kesepaduan dan seterusnya kelangsungan masyarakat, maka ia perlu kepada kuasa luaran bagi tujuan mengikat dan seterusnya mendisiplin masyarakat majmuk tersebut.

Kuasa luaran yang dimaksudkan oleh Furnivall ialah kuasa kolonialisme. Hujah yang dikemukakan oleh Furnivall adalah amat difahami kerana beliau sendiri adalah seorang pegawai tadbir kolonial Inggeris yang berpengkalan di Burma (Myanmar).

Adalah sesuatu yang amat bercanggahan (kontradiksi) apabila pihak pentadbir kolonial Inggeris mempunyai pandangan bahawa masayarakat majmuk mempunyai kecenderungan untuk berkonflik/berpecah, tetapi mereka pada hakikatnya mengemukakan dasar-dasar pentadbiran kolonial yang juga berbentuk pecah dan perintah!

Asas pentadbiran kolonial Inggeris yang bersifat "pecah dan perintah" sudah semestinya turut mempengaruhi sikap pengkaji (mereka juga adalah pentadbir kolonial Inggeris) dari luar khususnya mengenai masyarakat Melayu seperti yang diusahakan oleh Winstedt (1935) Wilkinson, Clifford (1897) dan Swettenham (1906).

Dengan memahami budaya orang Melayu iaitu kelompok etnik yang dominan, dan dengan cara menyerap elit tradisional Melayu ke dalam struktur pentadbiran kolonial Inggeris maka ini akan menyenangkan pihak Inggeris mentadbir Malaya.

Ini amat difahami kerana elit tradisional Melayu mempunyai kedudukan yang istimewa dalam masyarakat Melayu. Mereka berperanan sebagai penaung (patron) dan rakyat terbanyak sebagai klien (client). Sistem penaungan (patronage system) ini berterusan sehinggalah ke hari ini terutama dalam parti-parti politik seperti Umno.

Pegawai kolonial Inggeris yang mengkaji masyarakat Malaya/Malaysia, di samping memperkukuhkan perspektif pecah dan perintah bagi tujuan mempermudahkan perjalanan pentadbiran kolonial, perspektif ini nampaknya turut mempengaruhi persepsi mereka terhadap budaya kelompok-kelompok etnik yang berbeza.

Persepsi ini biasanya lebih bersifat negatif. Ini dikenali juga sebagai stereotyping. Natijah dari pemikiran yang bersifat negatif ini maka lahirlah tanggapan seperti orang Melayu adalah "malas dan suka kepada keseronokan," orang Cina "rajin tapi penipu" dan orang India adalah "pengotor."

Dari satu segi, persepsi yang negatif ini semacam mempengaruhi budaya kerja ketiga-ketiga kelompok etnik ini terutamanya dilihat dari perspektif pentadbiran negara.

Sifat "malas dan suka kepada keseronokan" orang Melayu menyebabkan orang Melayu lebih suka bekerja sebagai pegawai kerajaan atau penjawat awam kerana mereka menganggap kerja dengan kerajaan adalah lebih stabil dan terjamin (security of tenure) dan mempunyai kadar risiko yang rendah seperti dalam kes-kes pembuangan pekerja seperti yang berlaku di sektor swasta apabila berlakunya kegawatan ekonomi.

Tambahan lagi, kecenderungan orang Melayu bekerja di sektor awam telah diperkukuhkan lagi dengan peruntukan tertentu dalam perlembagaan negara.

Sifat "rajin tapi penipu" orang Cina dikaitkan dengan kegigihan orang Cina bekerja dalam sektor ekonomi dan komersial. Dalam sektor inilah mereka memperolehi keuntungan yang banyak.

Maka lahirlah hujah kenapa orang Cina tidak begitu berminat untuk bekerja dalam sektor awam, terutama bagi kategori khidmat sokongan seperti jawatan konstabel dalam perkhidmatan polis dan jawatan anggota tentera biasa.

Ia dikaitkan dengan pendapatan yang rendah. Besar kemungkinan orang Cina akan lebih berminat sekiranya peluang untuk menjawat jawatan pegawai tadbir awam yang lebih tinggi iaitu bagi kategori profesional dan kepakaran terbuka luas untuk mereka.

Sifat orang India yang "kotor" telah melayakkan mereka bekerja sebagai buruh kasar, pemandu, pegawai keselamatan dan sebagainya. Pentadbiran kolonial menempatkan mereka dalam sektor perladangan.

Terdapat agak ramai pegawai tadbir awam di kalangan masyarakat India dalam kategori profesional. Dalam kategori kepakaran, seperti bidang perundangan (peguam) dan kesihatan (doktor) sebahagian besarnya didominasi oleh orang India terutamanya di sektor swasta.

Wujudnya pengkhususan peranan berdasarkan latar belakang etnik (specialization of roles on the basis of ethnicity) bukanlah lahir dari perbezaan budaya kerja seperti yang dibincangkan di atas; ia lebih merupakan perancangan secara sedar pihak pentadbiran kolonial berpandukan pendekatan pecah dan perintah bagi memudahkan terlaksananya perancangan politik kolonial Inggeris.

Sekiranya Inggeris menggalakkan orang Melayu menceburkan diri dalam sektor ekonomi seperti perlombongan, sudah semestinya orang Melayu juga akan maju dan menguasai sektor ekonomi pada masa kini.

Tetapi pihak Inggeris telah mengatur segala-galanya: Orang Melayu kekal di sektor tradisional ekonomi luar bandar yang kurang maju dan kurang berdaya saing; orang India pula ditempatkan di ladang-ladang getah sebagai pekerja bukan sebagai pengurus; dan orang Cina di sektor perlombongan bijih timah (yang pada mulanya diusahakan oleh pembesar-pembesar Melayu) yang dinamis dan berdaya maju.

Golongan pemodal selat Inggeris turut membantu pengusaha-pengusaha Cina atau melalui kerja sama.

Penulis ialah mantan pensyarah sains politik di Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM.

1 comment:

poknik said...

Assalamualaikum, tinjauan saudara prof. teliti dan mmberi kesedaran yang jelas dan nyata tentang ujudnya perkauman. Jalan penyelesaian ada saya coretkan di face book saya, portnik karya infiniti. Wassalam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...