Wednesday, November 30, 2011

Lisa Surihani tingkat imej pop Umno

Selepas ketinggalan jauh dalam persaingan menarik (atau menumpang imej) selebriti, Umno menerima suntikan positif ekoran anugerah khas puteri Umno kepada selebriti Lisa Surihani yang diberikan hari ini.

Lisa menerima hadiah pencapaian khas daripada Pergerakan Puteri Umno sempena perhimpunan agung parti itu tahun ini, yang dijangka terakhir sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 tidak lama lagi.

Perkembangan ini memperlihatkan trend memberi anugerah kepada tokoh popular pada perhimpunan tahunan semakin menjadi amalan parti-parti politik untuk membina imej popular.

Pakatan pembangkang pertengahan tahun lalu menghangatkan dunia politik dan budaya popular apabila pengacara popular Wardina Safiyyah Fadhullah Wilmot kelihatan menunjukkan sokongan kepada pembangkang, mencetuskan reaksi keras pemblog-pemblog Umno.

Sebelum itu, selebriti Bob Lokman menyertai PAS dan aktif berceramah di pentas parti itu sehingga mencetuskan kontroversi dalam kalangan seniman dan dengan pihak berkuasa agama.

Umno kelihatan bimbang dengan imej pop yang jauh ketinggalan berbanding pakatan pembangkang ekoran semakin ramai selebriti mendekatkan diri dengan pembangkang, yang berpotensi membina imej untuk menarik sokongan orang ramai terutama golongan muda.

Persaingan imej popular melalui selebriti semakin hangat menuju pilihan raya umum akan datang yang dijangka diadakan awal tahun depan.

Sokongan selebriti memudahkan sesebuah parti diterima orang ramai disebabkan populariti penggiat budaya popular terbabit, yang mendapat lebih tumpuan berbanding dasar dan tindakan parti yang lebih sukar dan mungkin kontroversi.

Tindakan Lisa menghadiri perhimpunan Umno dan menerima anugerah itu walau bagaimanapun dijangka mencetuskan reaksi kurang senang sesetengah pihak, terutama peminat yang juga penyokong kuat pembangkang.

Lisa ialah selebriti muda popular dan menerima lebih daripada sejuta peminat - jauh meninggalkan selebriti lain - di laman Facebook beliau, jumlah yang terbesar bagi selebriti Malaysia.

Sebelum Lisa, Datuk Siti Nurhaliza (sebelum berkahwin) menjadi selebriti kegilaan kedua-dua pembangkang dan parti pemerintah, menjadi topik rujukan dalam ucapan dan ceramah pemimpin kedua-dua parti.

Mawi, penyanyi yang muncul daripada rancangan televisyen realiti juga menjadi rebutan parti-parti politik pada masa kemunculannya pada 2005.

Siti walau bagaimanapun tidak menunjukkan sokongan kepada mana-mana parti politik pada masa itu, walaupun pernah disebut menyertai puteri Umno.

Monday, November 28, 2011

Wasatiyyah kempen imej antarabangsa Najib

Wasatiyyah, kempen baharu pentadbiran Najib ialah usaha terbaharu Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak dalam membina imej antarabangsa sebagai pemimpin Muslim moderat, imej yang diharapkan untuk mengukuhkan kedudukan dan mendapat kepercayaan Barat.

Walaupun ada yang melihat konsep itu sebagai satu ide baharu yang merupakan reaksi kepada kempen 1 Malaysia sebagai persediaan menghadapi pilihan raya, wasatiyyah mengukuhkan lagi gagasan moderat yang diusahakan Najib sejak mula menjadi perdana menteri pada 2009.

Kenyataan-kenyataan Najib sebelum ini, antaranya melibatkan isu gerakan politik Ikhwan al-Muslimin di Mesir dan laporan kematian Osama bin Laden telah menampakkan sikap yang cuba ditunjukkan oleh Najib itu.

Kempen ini sebahagiannya boleh dijelaskan oleh perkembangan politik semasa, iaitu posisi kerajaan Barisan Nasional ditunjangi Umno yang semakin lemah dan kelihatan mengharapkan sokongan dan kepercayaan kuasa-kuasa Barat.

Pemerintah kini bersaing dengan gerakan pembangkang untuk memperlihatkan diri sebagai kuasa demokrasi liberal yang boleh dipercayai untuk menerajui Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin merasmikan seminar membincangkan ide wasatiyyah baru-baru ini, bersempena perhimpunan agung Umno, parti terbesar dalam gabungan membentuk kerajaan pusat.

Dua pengumuman penting penubuhan sebuah gerakan moderat oleh Najib di peringkat antarabangsa dilakukan di Amerika Syarikat.

Januari tahun depan, Gerakan Moderat Global (GMM) dijadual dilancarkan di Malaysia, setahun selepas Najib mengumumkan gagasan ini di New York.

Najib mengumumkan pelancaran GMM dalam satu majlis di East-West Center, Honolulu, Hawaii, lokasi sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik, Apec, pertengahan November.

Perkembangan terbaharu ini berpotensi menambahkan imej positif Najib, yang berjaya menjadi Apec - yang tahun ini menyaksikan Presiden AS Barack Obama menjadi tuan rumah - satu platform melonjakkan satu agenda dasar luarnya.

Najib telah menunjukkan usaha merapatkan beberapa dasar seperti nuklear, hak asasi dan terorisme dengan pendirian kuasa-kuasa besar, yang dilihat sebagai usaha untuk memenangi sokongan dalam persaingan dengan pembangkang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pertemuan Najib dengan Obama membincangkan isu nuklear, penggubalan akta keselamatan baharu yang didakwa bermodelkan Akta Patriot AS merupakan beberapa perkara yang memberi gambaran hubungan terkini pentadbiran Najib dengan Washington.

Monday, November 21, 2011

Era kebangkitan rakyat, bagaimana Malaysia?

Revolusi Global: Dunia Dalam Era Kebangkitan Rakyat (2011)
Oleh Haris Zalkapli
Buku Harakah, RM15.00.

Buku terbaharu terbitan Harakah, Revolusi Global: Dunia Dalam Era Kebangkitan Rakyat, membawa isu protes rakyat yang menjadi trend sedunia pada masa ini, hingga dirasai kesannya di Malaysia.

Buku menghimpunkan artikel isu kebangkitan rakyat yang sedang berpusat di dunia Arab. Mengulas isu-isu serantau dunia Arab sejak 2009, ketika kebangkitan berlaku di Yaman, dan tahun berikutnya di Bahrain.

Mengandungi analisis krisis dan konflik serantau dan kedudukannya dalam percaturan serantau melibatkan persaingan Arab Saudi dan Iran, agenda Turki, Qatar dan kuasa besar Barat.

Turut menimbulkan persoalan peranan internet, media baharu dalam kebangkitan dan konteks tempatan; potensi "revolusi" berlaku di Malaysia.

Pada masa ini, boleh didapati di kedai buku Nufair, 22 Jalan Pahang Barat. Atau hubungi En Faisal 019 292 4683 atau En Zali 019 202 5679.

Thursday, November 10, 2011

Ku Li, dari team B ke plan B

Tengku Razaleigh Hamzah, Ahli Parlimen Umno mewakili Gua Musang di Kelantan memunculkan semula dirinya dalam politik negara, memperlihatkan ketahanan ahli politik veteran ini.

Beliau yang juga dikenali sebagai Ku Li ialah seorang daripada dua orang yang pernah mencabar presiden Umno, dan kini masih lagi bersama parti itu.

Dibandingkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang rancangannya menjatuhkan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1998 tidak berjaya, Ku Li tidak berdepan akibat seperti yang dihadapi Anwar, dan masih dapat diterima dalam Umno.

Pada masa yang sama, Ku Li berjaya menunjukkan diri sebagai tokoh yang berpengaruh - walaupun semua tidak sependapat dalam hal ini - di kedua-dua belah garis politik membahagikan kumpulan terbesar, dan diambil kira dalam rancangan pembangkang mengambil alih pentadbiran negara sejak rancangan 16 September pada 2008.

Menjelang 11 September, 2008, Ku Li pernah disebut-sebut akan menyertai gabungan pembangkang dan bersama merampas kerajaan pusat daripada Barisan Nasional.

Menjelang Pilihan Raya Umum ke-13, Ku Li sekali lagi menjadi tumpuan ekoran gerakannya sejak beberapa bulan lalu, sehingga disebut-sebut ditawar untuk menggantikan Anwar sekiranya ketua pembangkang itu dipenjara.

Ku Li kini melalui Angkatan Amanah Merdeka terus cuba meletakkan diri di kedudukan yang penting kepada kedua-dua pemerintah dan pembangkang Pakatan Rakyat.

Beliau sememangnya menjaga hubungan baik dengan PAS yang menguasai Kelantan, dan bersama dalam menuntut royalti minyak, satu perjuangan penting PAS Kelantan.

Ekoran rasminya penubuhan Amanah, Ku Li kelihatan cuba menjarakkan diri daripada Umno, dengan cuba mengambil satu ruang tengah yang berpotensi membolehkan beliau meningkatkan kepentingan kepada kedua-dua pemerintah dan PR.

Pilihan bergerak melalui Amanah kelihatan menjadi pilihan terbaik Ku Li, dengan memperlihatkan tidak sepenuhnya sehaluan dengan Umno yang dinilai dalam keadaan kritikal dan pada masa sama tidak menyertai PR dan mencetuskan rasa kurang senang ramai pemimpin yang bersaing untuk mendapat kedudukan.

Ku Li kini menjadi pemimpin paling senior dan mungkin paling mudah menjadi pilihan kompromi untuk menjadi perdana menteri dalam kes senario Anwar dipenjara dan BN berdepan situasi lebih buruk berbanding 2008, kerana agak kurang mencetuskan pertentangan berbanding beberapa tokoh lain.

Berbanding pemimpin-pemimpin lain juga, Ku Li mungkin yang paling bercita-cita besar dan paling bersedia untuk berjuang mendapatkan kedudukan perdana menteri.

Aktiviti Ku Li bersama Amanah kini boleh dilihat sebagai tempoh paling aktif dan agresif beliau untuk menempatkan diri di posisi kuasa selepas episod mencabar Mahathir pada 1987 dan tewas.

Kemunculan semula Ku Li dengan tawaran baharu kini menggambarkan kesediaannya untuk sekali lagi berusaha mencapai impian kuasanya, yang pertama kali dilakukan pada 1987.

Ku Li, ekoran perkembangan ini, berpotensi menjadi pelan B kepada rancangan pakatan pembangkang merampas Putrajaya di bawah pimpinan Anwar, sekiranya PR menerima beliau sebagai sekutu, sekiranya situasi memerlukan nanti.

Wednesday, November 9, 2011

Marina Mahathir gambaran realiti elit Melayu

Sikap Marina Mahathir, anak bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap golongan gay yang dizahirkan ekoran tentangan terhadap Seksualiti Merdeka baru-baru ini bukan sesuatu yang mengejutkan.

Malah, pernyataan sikap itu menjelaskan satu realiti elit Melayu yang terbina hasil dominasi politik parti etnonasionalis Umno.

Aktivis liberal yang juga pengulas sosio-politik ini dalam penulisannya telah memperlihatkan pandangan yang jauh lebih liberal sejak awal lagi, ketika aktivis liberal lain masih berhati-hati.

Beliau menerbitkan buku himpunan tulisannya In Liberal Doses pada 1998, sekitar masa bermula perjuangan golongan liberal dengan lebih terbuka dan agresif.

Sebagai anak pemimpin yang berpengaruh, Marina dengan berani mengutarakan pelbagai pandangan yang jelas sifat liberalnya, termasuk yang menyasarkan parti pemerintah Umno berhubung satu skandal pemimpinnya.

Perbezaan sikap dan pandangan dunia Marina dengan parti bapanya telah kelihatan sejak awal. Mahathir agresif melahirkan sikap anti-Barat, meliputi isu politik hingga kepada perang budaya, tetapi Marina yang berpendirian liberal dan mesra dengan Barat menunjukkan sikap berbeza.

Marina, hasil kedudukannya dalam elit kuasa yang dibina parti konservatif Umno, kini dapat menjalani kehidupannya seperti dilihat kini; memperjuangkan agenda liberal termasuk kebebasan gay dan memperlihatkan sokongan kepada agenda reformasi pilihan raya Bersih 2.0, yang kewujudannya sebahagian besar dapat dikaitkan dengan amalan pemerintah sejak pemerintahan bapanya.

Hal yang sama berlaku di banyak negara membangun, seperti Indonesia, menyaksikan generasi kedua, anak pemimpin-pemimpin konservatif yang menguasai politik negara mengambil haluan liberal, pada masa sama mendapat manfaat yang banyak daripada kedudukan sebagai elit politik.

Ini tidak dapat dielakkan ekoran mobiliti sosial yang meningkat, mengubah kehidupan elit tersebut menjadi lebih berpendidikan dan memperolehi rujukan yang lebih luas.

Kelompok ini juga, yang sejumlah besarnya mendapat pendidikan di luar sistem persekolahan nasional, tidak dapat mengelakkan diri daripada menyertai satu lingkaran sosial yang lebih berada dan liberal, walaupun ada yang terus bersikap konservatif dalam politik.

Realiti elit politik Melayu ini juga terkait dengan isu dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris, yang diperkenalkan dan dipaksakan oleh pentadbiran Mahathir dan mendapat sokongan sekelompok elit politik Melayu.

Mereka sebahagian besarnya lebih selesa berbahasa Inggeris - malah mungkin juga Perancis - dan bergaul dengan elit yang gaya hidupnya tidak berbeza dengan mereka.

Elit politik Melayu inilah yang akibat mobiliti sosial yang lebih pantas itu menikmati satu kehidupan yang berbeza dengan sebahagian besar rakyat yang menjadi mangsa dasar menyeleweng itu.

Mereka bukan sahaja menikmati taraf ekonomi yang lebih tinggi, malah sebahagian besar turut memegang nilai dan pandangan hidup yang berbeza berbanding sejumlah besar rakyat Melayu Muslim.

Elit yang beridentiti baharu ini juga tidak dapat dielakkan daripada mempunyai pengaruh terhadap parti Melayu dominan itu, seperti disaksikan dalam kes PPSMI.

Malah, kalangan ini juga mampu untuk mengambil lebih banyak posisi-posisi penting dalam politik (parti Melayu Umno dan juga parti-parti lain) dan pentadbiran negara, menandakan masa depan yang lebih mencabar dalam usaha mempertahankan jati diri Melayu.

Monday, November 7, 2011

Siapa sebenarnya politikkan Seksualiti Merdeka?

Acara kempen kesedaran hak gay, Seksualiti Merdeka menjadi satu lagi isu yang memperlihatkan perbezaan politik yang menjurus kepada perpecahan Melayu Muslim di Malaysia, ketika umat sedang melalui musim haji.

Kedua-dua parti politik Melayu Muslim, PAS, Umno dan penyokong mereka, memperlihatkan kecenderungan menggunakan isu itu sebagai kempen politik.

Umno jelas sekali lebih didorong untuk mengecam program dan gaya hidup itu disebabkan penglibatan Datuk Ambiga Sreneevasan yang mengetuai Bersih 2.0 yang digerakkan oleh PAS dan Pakatan Rakyat.

Tetapi perlu diakui hal ini bukan satu-satunya faktor mendorong Umno menyatakan pendirian yang tegas itu. Sebagai parti yang konservatif, penentangan itu sememangnya kena dengan pendiriannya.

Penegasan pendirian Umno yang menentang gaya hidup gay itu juga dapat dimanfaatkan untuk memberi tumpuan kempen negatif terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dan aktivis liberal yang aktif dalam PKR.

Kempen negatif terhadap Anwar dan PKR itu menjadi salah satu isu utama yang dimainkan oleh Umno terhadap musuh politik mereka itu, terutama ekoran kes melibatkan bekas pembantu Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan yang menjejaskan ketua PKR itu.

Lebih memberi poin politik kepada Umno ialah tindakan Anwar dan partinya berdiam diri, atau tidak bercakap selantang pihak lain terutama rakannya dalam PR, PAS.

Pada masa sama, Umno dan penentang Anwar menimbulkan kembali satu kenyataan Anwar berhubung homoseksualiti yang menegaskan golongan itu tidak sepatutnya didiskriminasi, kenyataan yang boleh dibaca sebagai pendirian yang mesra gay.

Sebagai parti berideologi liberal, PKR tidak dapat memperlihatkan penentangan terhadap gaya hidup itu, untuk mengelakkan daripada kelihatan bermuka-muka atau membelakangi perjuangan hak asasi manusia.

Tahun ini juga menyaksikan tindakan tegas oleh pihak polis dan pemerintah terhadap acara kempen gay itu, yang disebabkan profil lebih tinggi dinikmati acara itu ekoran perhatian ramai ekoran kaitannya dengan pembangkang.

Hal ini telah memberi modal kepada PAS untuk mengalihkan tumpuan kepada kerajaan Barisan Nasional dikuasai Umno, dengan menyatakan pemerintah membiarkan acara itu berlangsung sebelum ini.

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar dilapor berkata pemerintah membenarkan acara itu berjalan sebelum ini, dalam satu kenyataan yang dilihat sebagai usaha mengalihkan tumpuan kepada Umno.

Hakikatnya, sejak 2008, acara itu diadakan secara tidak terbuka, tidak seperti tahun ini yang melibatkan kempen meluas melalui media baharu.

PAS sendiri hanya mula menyatakan penentangan secara lantang pada tahun ini, sama seperti Umno yang didakwa berdiam diri itu.

Sebelum Mahfuz, Salahuddin Ayub, seorang lagi naib presiden memulakan usaha mengalih perhatian daripada PAS kepada pihak lain dengan mengaitkan Majlis Fatwa Kebangsaan, yang dalam kenyataannya didesak mengeluarkan fatwa menghalang acara itu.

Dewan Muslimat PAS turut melakukan usaha yang sama, dengan menyatakan kerajaan hanya bertindak terhadap Seksualiti Merdeka kerana acara tahun ini melibatkan Ambiga.

Dalam keadaan defensif dan terdesak menyelamatkan diri, PAS - kecuali Dewan Pemuda yang mengeluarkan kenyataan lebih jelas dan tegas - telah terlibat dalam satu permainan politik murahan dengan kenyataan-kenyataan itu, yang bermatlamat sekadar menyelamatkan diri dan meletakkan kesalahan kepada pihak lain.

Sebenarnya PAS hanya perlu menyatakan pendirian yang tegas dan jelas berhubung isu itu, tanpa memperlihatkan keadaan terdesak dan bermain politik dengan mengalihkan perhatian kepada pihak lain dengan cara yang tidak sewajarnya.

Isu yang menyentuh sensitiviti dan maruah umat itu kelihatan telah dibiarkan berlalu dengan hanya memberi perhatian kepada unsur politik kepartiannya.

PAS, sebagai contoh, boleh menjawab dengan menegaskan sokongan kuat untuk usaha reformasi pilihan raya, dengan tidak menjadikan Ambiga atau sesiapa sahaja sebagai isu. Sokongan untuk Bersih 2.0 boleh ditegaskan sebagai sokongan kepada usaha membersihkan proses pilihan raya dan bukan sokongan untuk Ambiga.

PAS telah terpalit dengan implikasi negatif acara itu disebabkan hubungan parti itu dengan Ambiga. Hal ini tidak dapat dielakkan walaupun hubungan seperti itu tidak cukup untuk membuktikan perkongsian pandangan tentang sesuatu isu.

Tetapi umum mengakui bahawa persepsi mempunyai pengaruh yang besar dalam medan politik, dan boleh menjadi cukup untuk dijadikan asas pembuatan keputusan sesetengah ahli masyarakat.

PAS perlu mengambil pengajaran daripada episod ini, dengan menyiapkan pendirian tegas dalam pelbagai isu mencabar dalam suasana yang disebut "politik baharu" masa kini.

Isu hak asasi manusia yang terkandung di dalamnya orientasi seksual, hak beragama dan mengamalkannya dan banyak lagi hal yang divisif akan menjadi satu topik besar dalam politik tempatan.

Semua pihak, sama ada pembangkang atau pemerintah tidak akan dapat lari daripada perdebatan isu kritikal tersebut.

Suasana semasa, dan pada masa akan datang, akan menyaksikan pertembungan lebih terbuka dan getir melibatkan pandangan dunia dipegang oleh PAS dan pihak lain, melibatkan pelbagai jenis ideologi dan falsafah.

PAS, atau mana-mana parti politik tidak akan dapat memuaskan hati semua pihak dengan bercakap dalam pelbagai bahasa yang berbeza kepada kelompok yang berbeza.

Sesebuah parti boleh mempunyai elemen yang lebih liberal atau lebih konservatif secara relatif berbanding arus perdana parti, tetapi tidak akan dapat diterima sepenuhnya oleh dua kumpulan yang ekstrem pertentangannya.

Dalam hal-hal yang kritikal melibatkan pegangan utamanya sebagai sebuah parti Islam seperti yang dijelaskan dalam perlembagaan, PAS perlu menzahirkan pendirian dengan tegas.

Sunday, November 6, 2011

Umno pejuang utama PPSMI?

Berita terkini berhubung dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) memanaskan lagi suasana politik negara yang sedang menanti Pilihan Raya Umum ke-13.

Isu ini jelas sekali dipolitikkan untuk memperlihatkan ketegasan Umno yang menguasai pemerintahan negara menamatkan dasar yang tidak popular itu.

Baru-baru ini, ekoran pengumuman menteri pelajaran, dua akhbar harian dikuasai parti pemerintah, satu dalam bahasa Melayu dan satu lagi dalam bahasa Inggeris bercakap dalam bahasa masing-masing kepada audiens masing-masing.

Akhbar berbahasa Melayu tersebut, Utusan Malaysia, mengumumkan berakhirnya dasar PPSMI, manakala akhbar berbahasa Inggeris yang kuat memperjuangkan PPSMI, The Star membawa sisi kejayaan perjuangan pro-PPSMI.

Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataan pada 4 November lalu menegaskan kerajaan tidak akan melaksanakan semula PPSMI, dan pemansuhan dasar itu kekal.

Walau bagaimanapun, pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Melayu sepenuhnya hanya akan terlaksana pada 2012 untuk sekolah rendah dan 2021 untuk sekolah menengah.

Hal ini sebenarnya menjadikan isu utamanya bukan pemansuhan PPSMI, tetapi penangguhan pemansuhan PPSMI. Penegasan PPSMI tidak akan dilaksanakan semula hanyalah hal sampingan untuk dijadikan berita utama oleh media pemerintah berbahasa Melayu.

Isu ini kini menjadi satu lagi beban kepada Umno, yang kredibilitinya berhubung memperjuangkan hak dan kepentingan Melayu semakin terjejas.

Pada 7 Mac, 2009, satu demonstrasi besar-besaran menentang PPSMI diadakan di ibu negara, dihadiri dan disokong ribuan peserta, termasuk tokoh seni dan akademik.

PPSMI diumumkan akan dimansuhkan ekoran tentangan popular terhadap dasar yang dimulakan oleh bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad itu, membuktikan perkiraan politik pilihan raya tindakan pemerintah itu.

Hal ini lebih jelas ekoran tindakan PAS merapatkan diri dengan perjuangan bahasa Melayu, sehingga memberikan anugerah kepada A Samad Said yang aktif dalam menentang PPSMI.

Mahathir kini masih menjadi satu suara pro-PPSMI yang lantang, dan dipercayai memberi kesan terhadap sikap kerajaan, terutama Muhyiddin yang mendapat sokongan bekas perdana menteri itu.

Hakikatnya, sejumlah besar pemimpin Umno dan ahli keluarga mereka merupakan sebahagian elit di negara ini yang lebih selesa dengan bahasa Inggeris dan memberi penilaian yang rendah terhadap bahasa Melayu, yang terbukti antaranya melalui sokongan kuat mereka terhadap PPSMI sejak dimulakan.

Wednesday, November 2, 2011

PAS tentang kempen gay Seksualiti Merdeka

PAS mula menyuarakan tentangan terhadap kempen kebebasan seksual Seksualiti Merdeka, menegaskan lagi tentangan parti itu terhadap gaya hidup gay ketika isu protes konsert penyanyi gay Elton John masih panas.

Sayap pemuda parti itu dalam satu kenyataan hari ini menegaskan penolakan terhadap gaya hidup itu dan menggesa agar isu itu tidak diperjuangkan di negara ini.

Menurut ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan, amalan itu bertentangan bukan sahaja dengan agama Islam malah juga agama lain dan norma masyarakat tempatan.

"Kebebasan bukan bermakna manusia bebas melakukan apa sahaja sehingga bertentangan dengan fitrah dan agama.

"Kalaupun seseorang tidak beragama sekalipun, akal yang masih dimiliki tidak mungkin membenarkan manusia melakukan apa sahaja di atas tiket kebebasan. Sebaliknya manusia mesti hidup berteraskan peraturan-peraturan tertentu yang mengikat komitmen dirinya agar tidak terbabas dari kebaikan dan kemuliaan," kata Nasrudin dalam kenyataan itu.

Kenyataan tegas ini dilihat sebagai usaha PAS menangani implikasi yang tercetus ekoran penglibatan pengerusi Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreneevasan dalam program itu. Beliau dijadual merasmikan program tahunan komuniti gay itu yang berlangsung sehingga pertengahan bulan ini dan diikuti tidak lama selepas itu oleh konsert Elton John.

Sejak semalam, penentang PAS menjadikan isu penglibatan aktivis hak asasi Ambiga dalam program itu untuk mengecam PAS yang didakwa terkait sama dan mendiamkan diri dalam hal ini kerana menyentuh sekutunya.

Isu ini dijangka akan terus mendapat perhatian musuh politik PAS dan parti-parti pembangkang. Blog-blog pro-Umno dan kumpulan propemerintah dijangka menjadikan isu ini untuk meningkatkan kempen negatif terhadap PAS.

Ahli Parlimen bebas Zulkifli Noordin dalam tulisan di blognya semalam mengecam keras pembangkang dan turut mengaitkan pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan kecenderungan seksual itu.

PAS menjadi penyokong utama himpunan Bersih kedua diketuai Ambiga di ibu negara Julai lalu tetapi menolak menyertai Himpunan Sejuta Umat di Shah Alam akhir bulan lalu, mencetuskan dakwaan PAS mengutamakan kepentingan politik berbanding hal lain yang menyentuh kepentingan agama.

Sebelum ini, naib presiden parti itu Salahuddin Ayub dilapor mendesak Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa melarang penganjuran Seksualiti Merdeka, tindakan yang dilihat cuba mengalihkan tumpuan kepada pihak berkuasa agama.

Salahuddin juga dilapor berkata gaya hidup itu bertentangan dengan semua agama dan memberitahu PAS akan mengadakan perbincangan dan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung isu itu.

Isu kelompok ini, melibatkan lesbian, gay, biseksual dan transgender, menjadi salah satu isu hak asasi manusia yang diperjuangkan oleh liberal di negara ini yang semakin berpengaruh dan lantang.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...