Thursday, December 23, 2010

Konvensyen PR: Apa yang dicapai, dan apa yang terlepas

Konvensyen Pakatan Rakyat hujung minggu lalu telah berjaya mempersembahkan gabungan itu sebagai pesaing paling jelas kepada Barisan Nasional dan paling mampu menggantikan BN sebagai kerajaan pusat.

Buku jingga Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia yang diedarkan menyenaraikan program PR untuk dinilai, menegaskan persediaan PR untuk melaksanakan tugas sebagai pemerintah dengan lebih berkesan.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam ucapan perasmian telah menggariskan usaha kerjasama yang realistik dan cadangan praktikal meletakkan calon-calon yang bersih.

Kepentingan usaha itu dapat dilihat berdasarkan cabaran daripada kumpulan-kumpulan yang dianggap kuasa ketiga dalam politik Malaysia seperti Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita), Gerakan Kebebasan Sivil Malaysia (MCLM) dan kumpulan seperti Hindraf.

MCLM dalam satu kenyataannya menegaskan pencalonan calon bersih, dan pada masa sama mahu bertanding di bawah tiket PR.

Berdasarkan perkembangan ini, PR dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti perlu menyenaraikan calon-calon terbaik, yang sekiranya diletakkan bersebelahan calon-calon lain akan jelas kelebihan mereka, sekiranya PR tidak mahu kerusi mereka disaingi juga oleh pihak lain.

Buku jingga yang dikemukakan mungkin satu kelebihan, kerana berbanding kumpulan lain, PR telah memperincikan progam dengan jelas dan secara kolektif sebagai sebuah pakatan pilihan raya.

Satu perkembangan menarik ialah parti-parti PR, terutama PAS dan DAP telah menunjukkan kompromi dalam hal ideologi, melibatkan isu negara Islam.

Ini walau bagaimanapun tidak boleh dilihat sebagai satu kemuncak kerjasama parti-parti PR melainkan satu proses yang masih berjalan dan dirundingkan. Tawar-menawar dalam hal ini masih berjalan dan boleh berubah secara dramatik pada bila-bila masa.

PAS sama sekali tidak boleh membaca dengan berlebihan kenyataan Karpal Singh itu dan menganggap debat isu tersebut sebagai sudah selesai dan DAP menerima ide negara Islam PAS.

Apa yang berlaku hanya satu kompromi, dan menunjukkan PR ialah satu usaha sama parti-parti pembangkang dalam hal yang dipersetujui sahaja.

Ungkapan popular Putrajaya masih kedengaran, walaupun tidak sekerap sebelum ini. Dalam hal ini, kesepakatan dan program yang lebih terperinci yang dipersembahkan mungkin lebih mendalam dan berkesan serta menjanjikan berbanding ungkapan Putrajaya yang sudah terlalu banyak digunakan.

Ucapan-ucapan pemimpin, termasuk oleh Lim Guan Eng dan Datuk Seri Anwar Ibrahim kelihatan lebih kepada untuk menarik sorakan dan membina sentimen feel good tanpa menjelaskan sebarang isu baharu.

Lim mempromosikan lagi kerajaannya sebagai mengutamakan Melayu dengan mengemukakan satu daripada banyak data yang ada, yakni penganugerahan kontrak kerajaan. Isu-isu seperti tapak perniagaan di kawasan percutian, penggunaan bahasa Melayu dan banyak lagi isu kerajaan tempatan tidak disentuh.

Anwar pula menarik khalayak dengan isu Apco dan Israel, menumpukan perhatian terus kepada Umno dan Apco tanpa menjawab laporan kenyataan pemimpin Singapura Lee Kuan Yew mengenai dakwaan liwat terhadapnya.

Persembahan dramatik Anwar telah mengalihkan tumpuan konvensyen kepada Apco dan Umno.

Ucapan Karpal pada akhir konvensyen menjadi satu lagi ucapan menarik sorakan hadirin, dengan serangan peribadi terhadap bekas-bekas ahli PKR dengan kasar dan tidak bersopan, termasuk menggunakan perkataan "celaka."

Apa yang ingin disampaikan boleh dijelaskan dengan lebih berkesan tanpa sebarang usaha mensensasikan isu tersebut oleh Karpal.

DAP boleh dianggap sebagai pihak yang mendapat manfaat terbesar daripada konvensyen yang diadakan di negeri di bawah pentadbirannya itu.

Ketua Menteri Lim telah mengambil kesempatan memberikan sumbangan kepada rakyat negeri itu pada waktu rehat, selepas menyenaraikan kebaikan-kebaikan kerajaan negeri pada ucapan awal.

Ucapan presiden PAS mungkin yang paling tidak mendapat perhatian, kerana nada serius dan bersifat introspektif terhadap pakatan pembangkang itu, ketika sebahagian besar ahli dan penyokong PR masih menagih retorik-retorik, termasuk pujian-pujian dan kecaman terhadap musuh.

Budaya politik PR masih memerlukan penambahbaikan yang menyeluruh supaya tidak hanya mengulang dan meneruskan apa yang disaksikan selama ini.

PR tidak lagi boleh hanya menggunakan hujah ia lebih baik berbanding BN dalam semua perkara.

PR masih memerlukan maklum balas daripada rakyat berhubung buku jingga yang dikemukakan itu, kerana agenda tersebut bukan satu kitab suci yang perlu diterima semua rakyat Malaysia.

Tambahan pula, banyak perkara di dalamnya yang perlu diperincikan lagi dan ditegaskan, supaya tidak wujud tafsiran yang pelbagai.

Satu contoh ialah isu tempat ibadat yang sesuai untuk semua agama. Hal ini akan terdedah kepada pertikaian seperti yang telah berlaku di Shah Alam, Selangor.

Begitu juga dengan isu perumahan dan "satu keluarga, satu rumah." Berdasarkan penerusan sistem ekonomi neoliberal yang diterima oleh parti-parti PR, sukar untuk dijangka apa yang telah berlaku selama ini dikawal atau dihentikan di bawah kerajaan PR, kerana kuasa pendesak golongan kapitalis yang sering lebih berjaya berbanding rakyat biasa.

Isu ini melibatkan satu dasar yang sangat besar. Masa akan menentukan sama ada kerajaan PR benar-benar serius dengan janji ini.

Rakyat masih perlu menuntut janji sejak 2008 ditunaikan oleh PR. Agenda dalam buku jingga yang dilancarkan itu masih perlu kepada penambahbaikan, untuk benar-benar menjadikan agenda PR sekiranya berjaya memerintah negara akan memulihkan sistem sedia ada dan bukan hanya menukar pemain lain.

Dan yang lebih menuntut keikhlasan PR ialah usaha mencapai agenda-agenda tersebut walaupun tidak berjaya membentuk kerajaan pusat pada pilihan raya akan datang.

Friday, December 17, 2010

Kes Khir Toyo: Berakhirkah impian seorang pemimpin muda?

Nota: Penulis politik Abdul Aziz Ismail, telah kembali ke rahmatullah pada 4.30 petang, Khamis, 16 Disember, 2010 di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bharu akibat serangan jantung.

Allahyarham banyak menulis di akhbar Siasah selama penerbitan akhbar politik itu di bawah kendalian Kumpulan Harakah.

Tulisan ini disempurnakan dan dikirimkan melalui emel oleh anaknya kepada SiasahDaily sebentar tadi. Al-Fatihah.

Apapun keputusan mahkamah kelak tentang perbicaraan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamad Khir Toyo, masa depan beliau dalam kepimpinan Umno sudah boleh dijangka.

Walaupun mungkin didapati tidak bersalah, namun rekod bersih beliau sudah tercalar, dipertikai dan sukar diterima semula sebagai pemimpin masa depan Umno. Sejarah Umno membuktikan, mereka yang sudah didakwa dan didapati tidak bersalah, tidak mudah kembali ke pangkuan kepimpinan Umno kerana persepsi ahli dan masyarakat umum sudah mendapati beliau tidak kelihatan bersih walaupun mahkamah bertindak sebaliknya.

Bekas pemimpin itu mungkin ditawarkan jawatan tinggi mengetuai sebuah agensi kerajaan dalam Felcra, Fama, Mara, Majuikan dan banyak lagi dengan tanggungjawab tidak besar tetapi bergaji besar.

Jika didapati bersalah dan dijatuhi hukum, masa depan politik dan keluarga pemimpin itu lebih parah dan gelap kecuali mendapat belas kasihan tertentu dari pemimpin pusat Umno yang masih bersimpati.

Namun, kariernya dalam Umno pasti musnah dan hilang semua sokongan dan penyokong. Masa depan yang ada mungkin berniaga atau terlibat sama perniagaan dengan kawan-kawan yang mempunyai pengaruh dan wang.

Khir dituduh di mahkamah kerana membeli hartanah berjumlah RM6.5 juta pada harga cuma RM3.5 juta. Jika ada bukti kukuh dan dokumen lengkap, sukar bagi beliau terlepas daripada tuduhan, tambahan pula bila dikaitkan dengan jawatan istimewa beliau ketika itu yang membenarkan semua jual beli dan segala bentuk perjanjian menjadi lebih mudah dan ditanggung beres.

Banyak persoalan boleh dibangkitkan sekitar kes beliau seperti di manakah begitu banyak beliau mendapat wang untuk membeli hartanah yang berjumlah RM3.5 juta sedangkan gaji beliau sebagai menteri besar tidaklah begitu besar? Mungkinkah beliau ada hartanah peribadi dan harta pusaka keluarga yang berjumlah jutaan ringgit hingga mampu membeli hartanah itu?

Apakah mungkin ada kawan-kawan atau saudara mara yang bermurah hati meminjamkan wang sebanyak itu untuk beliau membeli hartanah itu? Dan yang lebih signifikan, mengapa hartanah itu dijual kepada beliau dengan harga begitu rendah sehingga menjadi persoalan pelik dan nampak tidak masuk akal?

Episod Khir bermula selepas Selangor jatuh ke tangan Pakatan Rakyat dalam tsunami politik Pilihan Raya Umum ke-12 lalu yang menyaksikan PKR memimpin negeri itu. Satu demi satu kelemahan beliau dan kepimpinan Umno Selangor dibongkar pemimpin PR terutama DAP untuk menunjukkan kepada rakyat negeri itu bahawa Khir bukanlah bekas menteri besar yang bersih dan boleh dibanggakan.

Beliau mungkin bagus dari kaca mata Umno dan kelihatan menunjukkan bakat dan berprestasi ketika menjalankan tugas. Namun, jawatan tinggi yang dipangku dan pelbagai suasana baharu mendadak menerpa kehidupan diri dan keluarganya mengubah cara hidup dan sikap seorang pemimpin.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (ketika itu Datuk Seri) telah mengejutkan ramai pemimpin dan tokoh Umno Selangor apabila memilih Khir sebagai menteri besar muda yang menewaskan ramai tokoh lama yang berpengalaman dan dikatakan layak sehingga ramai pemimpin yang merajuk dan membawa diri. Ketika itu Khir nampak calon paling sesuai, bersih berbanding yang lain, tidak berpuak dan kelihatan berpotensi memimpin negeri yang banyak hasil mahsul itu.

Terbukti, pada awalnya beliau begitu konsisten dan komited dalam menjalankan tugas sebagai ketua pentadbir yang baik dan berhasil. Namun, waktu lama memerintah telah mengubah cara bertindak dan cara fikir seseorang individu sehingga membawa kepada kes tuduhan beliau terlibat membuat banyak harta hingga mampu membeli hartanah berjumlah RM3.5 juta.

Tanpa mendahului keputusan mahkamah - sama ada bersalah atau tidak - episod Khir membawa interpretasi awal bahawa jawatan tinggi dan kuasa boleh mengubah sikap dan pandangan hidup seseorang individu.

Seorang yang pernah hidup susah dan tiba-tiba menempuh dan menikmati kesenangan - jika tidak berhati-hati dan tahan uji - mungkin boleh berubah mendadak dan tergoda dengan segala kemewahan yang terhidang di depan mata.

Sukar untuk menjadi seorang ketua yang terus kekal jujur dan komited - apalagi dalam usia masih muda - setelah dikelilingi persekitaran baharu yang belum pernah dinikmati serta kawan-kawan baharu yang boleh membawa implikasi kebaikan atau keruntuhan.

Sukar untuk mempertahan kebaikan dan mengawal nafsu diri dalam suasana sekitaran yang kondusif dan mencabar jika tidak disertai dengan kekuatan iman, keinsafan dan tanggungjawab diri yang besar.

Konvensyen kedua dan cabaran getir PR

Pakatan Rakyat akan mengadakan konvensyen kedua pada 19 Disember ini, di tengah-tengah suasana yang sangat mencabar bagi gabungan parti pembangkang ini.

Selepas kegembiraan ekoran Mac 2008, kegagalan projek 16 September Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan 13 pilihan raya kecil, konvensyen kali ini jauh sekali daripada konvensyen di Shah Alam pada tahun lalu.

Konvensyen pertama masih penuh dengan harapan, cita-cita besar dan semangat pakatan baharu yang berdepan Umno dan Barisan Nasional yang agak lemah dan berpecah-belah.

Dalam konvensyen pertama, yang berlangsung ketika cabaran menuju Pilihan Raya Umum ke-13 masih jauh, pelbagai janji dan harapan diberikan, janji dan harapan yang perlu ditunaikan dalam konvensyen kedua nanti.

Konvensyen Ahad nanti bakal berjalan dalam suasana ahli-ahli berada dalam keadaan battle weary, selepas cabaran sebenar realpolitik, politik aliansi dan pentadbiran kerajaan-kerajaan negeri menghambat parti-parti komponen.

Beberapa pilihan raya kecil terakhir menyaksikan peningkatan prestasi Umno dan BN dan gabungan parti pemerintah itu mula mendapat suntikan semangat baharu kebelakangan ini, dan telah membuka keahlian yang dijangka akan meningkatkan undi BN dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Pada masa sama, parti-parti PR berdepan pelbagai cabaran, terbaharu pergeseran dalaman pemilihan parti Parti Keadilan Rakyat dan DAP.

Pendaftaran PR sebagai sebuah entiti seperti BN, yang mencetuskan isu seperti lambang bersama dalam pilihan raya dan sebagainya tidak memberi kelebihan kepada PR, malah mungkin menjadi isu yang akan menjadi sasaran BN untuk dieksploit.

Isu ideologi masih menjadi isu sensitif yang mampu menjejaskan eksperimen terbaharu parti-parti pembangkang ini, selepas Angkatan Perpaduan Ummah dan Barisan Alternatif berpecah akibat perdebatan isu ideologi.

Konvensyen ini dijangka menjadi pertemuan besar terakhir sebelum pilihan raya umum akan datang, menjadikannya medan untuk menunjukkan wajah bersatu dan bersefahaman kepada rakyat, dan paling utama, untuk meyakinkan diri sendiri.

PR kini berdepan cabaran paling getir sejak penubuhannya, iaitu menyelesaikan banyak agenda sekaligus dalam satu pertemuan, untuk menyampaikan mesej positif kepada rakyat.

Thursday, December 16, 2010

Kita: Sejauh mana Zaid mampu tarik lebih ramai ahli?

Datuk Zaid Ibrahim telah berjaya menerajui sebuah parti, dinamakan Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air, Kita, yang sebelum ini dikenali Akim.

Seperti dijangka, Zaid akan meneruskan agenda liberalnya, dengan tindakan pertama menjadikan Kita parti berbilang kaum.

Parti baharu Zaid ini dikatakan akan menarik beberapa orang ahli berprifil tinggi PKR.

Dengan munculnya parti Kita, Zaid telah berjaya dengan jalan pintas, menubuhkan parti dan meletakkan diri dan partinya dalam peta politik tanah air, dan mengemukakan dirinya sebagai satu daripada kuasa ketiga.

Seperti ditulis SiasahDaily pada 18 November lalu, kuasa ketiga bakal menjadi satu harapan baharu untuk liberal di Malaysia:

"Gabungan liberal dalam kuasa ketiga ini menunjukkan realiti dalam politik, iaitu sistem dua gabungan sangat terhad ruang bergeraknya, kerana kepelbagaian kepentingan amat sukar untuk diterjemahkan melalui gabungan dua parti sahaja.

"Kemunculan kuasa ketiga berpotensi memperkuatkan lagi gerakan liberal di Malaysia - sama ada melibatkan Datuk Zaid Ibrahim atau tidak - yang kini bersedia memasuki gelanggang politik pilihan raya.

"Sekiranya gabungan ini cukup kuat, ia bakal mempunyai kuasa tawar-menawar yang cukup untuk menjadi satu penentu dalam penubuhan kerajaan pusat, satu kekuatan yang diharapkan oleh kumpulan ini."

Sama ada parti Zaid disertai ahli-ahli Gerakan Kebebasan Sivil Malaysia (Malaysian Civil Liberty Movement, MCLM) atau tidak, Kita akan mempunyai hubungan yang baik dengan gerakan itu, termasuk melibatkan perkiraan pilihan raya.

Tuesday, December 14, 2010

WikiLeaks dan perang persepsi

Dari Harakahdaily.net, 13 Disember, 2010:

Politik WikiLeaks, Anwar Ibrahim dan Pakatan Rakyat

Oleh Haris Zalkapli

Pendedahan WikiLeaks tentang komunikasi perisikan Singapura dengan Australia yang mengaitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan tuduhan liwat sekali pandang tidak menjelaskan apa-apa yang konkrit.

Maklumat yang didedahkan itu menunjukkan bahawa pihak tertentu di Singapura dan Australia percaya dengan tuduhan terhadap Anwar, berdasarkan risikan mereka.

Kenyataan setiausaha agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail bahawa maklumat WikiLeaks tentang Anwar disensasikan tidaklah keterlaluan, disebabkan nilai berita itu kepada pihak tertentu untuk kepentingan politik.

Pihak peguam Anwar pula menganggap pendedahan maklumat itu sebagai subjudice memberi amaran supaya media tidak menerbitkannya.

Tetapi kesan maklumat itu menyumbang kepada permainan persepsi yang sedang berlangsung di media, menjelaskan mengapa sebuah akhbar propemerintah meletakkan berita itu di muka hadapan, walaupun tidak melaporkan dengan lebih lanjut isu itu (ini walau bagaimanapun tidak akan menghentikan pemain-pemain media baharu pro-Umno daripada memperpanjangkan isu ini untuk membina dan mengukukan persepsi negatif).

Ini kerana WikiLeaks ditakuti oleh semua pemain politik, sama ada kerajaan atau pembangkang.

Sekiranya satu pendedahan maklumat yang negatif bagi pihak lawan disambut sebagai fakta sahih akan memerangkap diri sekiranya pendedahan memanfaatkan lawan pula berlaku.

Sekiranya diperhatikan, kedua-dua pihak tidak segera mengambil kesempatan daripada pendedahan WikiLeaks, walaupun boleh memberikan mileage yang besar.

Pendedahan melibatkan syarikat Malaysia yang dikaitkan dengan Iran dan komunikasi pegawai Amerika Syarikat dengan pegawai Malaysia berhubung sebuah bank Iran tidak disambut seperti biasa oleh pembangkang.

Pada masa sama, pihak pemerintah juga tidak kelihatan seperti memperakui maklumat pendedahan itu, mungkin sebagai satu langkah untuk tidak memberi kredibiliti kepada WikiLeaks.

Dilaporkan masih banyak kawat melibatkan Malaysia diperolehi WikiLeaks. Kemungkinan untuk maklumat itu nanti mendedahkan keburukan pemimpin – atau mana-mana ahli politik Malaysia – tidak dapat ditolak.

Disebabkan pertimbangan inilah kedua-dua pihak kerajaan dan Malaysia tidak mahu memberikan WikiLeaks kredibiliti seperti yang biasa dilakukan terhadap laporan dari Barat yang menguntungkan, kerana potensinya untuk menjejaskan sesiapa sahaja.

Berhubung perang persepsi yang sedang berlangsung pada masa ini, pendedahan itu tidak dapat dielakkan daripada memberi kesan kepada Pakatan Rakyat dan bukan hanya Anwar dan PKR.

Menjelang konvensyen Pakatan yang bakal diadakan tidak lama lagi, perkembangan ini menuntut satu penilaian kritikal di pihak Pakatan disebabkan kesan manipulasi maklumat itu kepada gabungan ini.

Konvensyen itu nanti perlu fokus pada apa yang ingin dicapai dan dikemukakan kepada rakyat, dan tidak menjadi medan menangani maklumat WikiLeaks itu dan tertumpu kepada isu Anwar semata-mata.

Tindakan menyalahkan pihak lain semata-mata tanpa menjelaskan bagaimana menanggapi maklumat daripada pihak ketiga itu hanya akan mencetuskan satu imej negatif bagi pihak PKR.

Mengabaikan terus pendedahan itu dengan harapan isu tersebut akan berlalu begitu sahaja juga bukan sesuatu yang tepat, kerana maklumat itu akan tetap memberikan kesan.

Maklumat ini mungkin bukan yang terakhir didedahkan WikiLeaks yang mampu menjejaskan Pakatan.

Dalam hal ini, Pakatan tidak boleh kelihatan seperti ketakutan atau terdesak mempertahankan diri dengan cara yang tidak berwibawa seperti mengemukakan teori konspirasi yang berlebihan.

Pakatan perlu memberi tumpuan pada rakyat dan bukan individu-individu dalam aliansi ini.

Friday, December 10, 2010

Umno tingkat kempen pulih imej

Umno kini sedang meningkatkan usaha memulihkan imej buruk yang menyumbang kepada kekalahan di Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-12.

Muka depan akhbar Utusan Malaysia hari ini memberi gambaran lebih jelas kepada usaha terbaharu Umno pada masa ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak dilapor berkata kerajaan serius memerangi rasuah tanpa mengira martabat dan jawatan.

Persoalan terhadap manfaat tindakan itu kepada pemerintah, yang diulas pertama kali oleh SiasahDaily dalam komentar bertajuk Kes Khir Toyo: Peluang Umno Bersih Imej Hadapi PRU 13, semakin menjadi persoalan kini.

Dalam tulisan itu, SiasahDaily menulis: "Perkembangan ini membuka peluang kepada Umno untuk membersihkan imej parti itu di Selangor dan meletakkan calon yang lebih muda dan muka baharu di negeri yang dirampas Pakatan Rakyat pada 2008 itu.

"Kes Khir memberi gambaran bahawa pemerintah serius memerangi rasuah, tanpa mengira kedudukan."

Najib dilapor berkata martabat dan jawatan bukan jaminan tidak dikenakan tindakan kerana rasuah, merujuk kepada kes Datuk Seri Mohd Khir Toyo.

Walau bagaimanapun, tindakan terhadap Khir lebih banyak menimbulkan persoalan daripada jawapan yang pasti.

Tindakan terhadap Khir menimbulkan spekulasi tentang persaingan merebut kedudukan dalam Umno di Selangor, yang berharap merampas negeri itu dalam pilihan raya akan datang.

Dalam hal ini, tindakan itu kelihatan seperti satu tindakan pembersihan dalaman dicetuskan oleh Umno sendiri.

Tindakan itu juga berlaku terlalu lama - dan selepas Khir tidak lagi menjadi menteri besar - selepas laporan-laporan awal terhadapnya timbul.

Keseriusan membanteras rasuah tidak cukup dengan hanya mendakwa Khir yang kelihatan sebagai satu token, atau hanya untuk memenuhi syarat minima, tetapi perlu dibuktikan dengan pendakwaan seorang yang berjawatan lebih tinggi dan masih lagi memegang jawatan, dan lebih penting, bukan individu kurang penting yang hendak dikorbankan.

Konvensyen kedua perlu siapkan PR hadapi PRU 13

Pakatan Rakyat akan mengadakan konvensyen tahunan buat kali kedua pada 19 Disember nanti, di Butterworth, Pulau Pinang.

Gabungan yang ditubuhkan ketika kemenangan besar Pilihan Raya Umum ke-12 masih disambut pada 2008 kini telah berusia hampir tiga tahun.

Politik nasional kini sedang menyaksikan isu-isu kontroversi dalam PR timbul, yang sebahagian besarnya merupakan ujian menghadapi realiti politik sebagai satu aliansi dan kerajaan pemerintah negeri.

Umno dan Barisan Nasional menunjukkan kesatuan dan persediaan untuk menghadapi pilihan raya umum.

Pelbagai isu yang boleh membantu BN, daripada dakwaan terhadap bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Khir Toyo kepada pengunduran Datuk Seri S Samy Vellu, kini timbul dan disambut baik oleh media pro-BN.

Pada masa sama, satu kajian oleh penyelidik Universiti Malaya mendapati sokongan kepada Parti Keadilan Nasional dan kepercayaan terhadap kredibiliti Datuk Seri Anwar Ibrahim terjejas.

DAP di Perak, negeri kedua paling dikuasai parti itu, juga mengalami pergolakan antara faksi yang berprofil tinggi.

PAS yang menghadapi pemilihan kepimpinan paling sengit dua tahun lalu masih merasakan sentimen yang berpotensi menjejaskan perpaduan dan kesatuan parti.

Menjelang pilihan raya umum yang prestasi PR tidak dapat tidak akan diukur dan dibandingkan dengan Pilihan Raya Umum ke-12, konvensyen kali ini perlu mencapai sesuatu yang lebih konkrit.

Tempoh hampir tiga tahun sepatutnya telah menyediakan peluang yang luas untuk mengambil pelajaran dan memastikan pakatan yang dibina dengan nama rakyat itu terus mampu menyumbang untuk rakyat.

Thursday, December 9, 2010

Isu TPM: Pakatan Rakyat jangan hilang tumpuan

Suasana panas ketika ramai sedang menjangka Pilihan Raya Umum ke-13 akan diadakan beberapa bulan sahaja lagi telah mencetuskan pelbagai isu.

Di kedua-dua pihak BN dan Pakatan Rakyat, sensitiviti terhadap isu-isu yang timbul pada masa ini meningkat dengan semua memerhati setiap perkembangan.

Dakwaan terhadap Datuk Seri Dr Khir Toyo, peralihan kepimpinan MIC dan timbalan perdana menteri kerajaan PR semuanya mencetuskan respons segera semua pihak.

Terbaharu, parti-parti PR terlibat dalam debat hangat berhubung timbalan perdana menteri kerajaan PR yang dikatakan dijanjikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Lim Kit Siang.

Kedua-dua pihak yang menyokong dan menentang mengambil posisi masing-masing, mengulas isu sensitif ini.

Walau bagaimanapun, ingatan daripada presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang memperlihatkan sikap rasional dan berhati-hati dalam menangani isu ini.

Hakikatnya, Pilihan Raya Umum ke-13 belum berlaku lagi, dan tidak dapat dipastikan suasana politik ketika pilihan raya itu berlangsung nanti, yang menurut keadaan kini, hampir pasti tidak menyamai suasana pilihan raya umum yang lalu.

Kemenangan PR sehingga berjaya menubuhkan kerajaan pusat, parti mana yang akan menang paling banyak kerusi, siapa yang bakal menjadi perdana menteri dan banyak lagi isu masih jauh daripada jelas, apatah lagi kedudukan timbalan perdana menteri.

Kedudukan timbalan perdana menteri dan semua jawatan menteri dalam kabinet bukan mudah untuk diselesaikan, dan pasti persoalan timbalan perdana menteri dan menteri-menteri lain tidak akan ditangani secara berasingan.

Ini jelas menunjukkan bagaimana isu timbalan perdana menteri ini telah menjadikan tumpuan PR tersasar. Sekiranya isu timbalan perdana mentei diperdebatkan, boleh juga jawatan penting lain diperdebatkan juga, seperti menteri kewangan, menteri dalam negeri, perumahan dan kerajaan tempatan dan pelajaran.

Sensitiviti isu ini juga mampu menjejaskan kerjasama dalam kalangan PR ekoran sentimen yang mampu dicetuskan. Ini berpotensi menjejaskan hubungan sesama PR, jauh sebelum pertempuran sebenar PRU 13 bermula.

Menjelang konvensyen PR yang bakal diadakan pada 19 Disember nanti, parti-parti pakatan ini perlu bertindak dan berfikir secara matang dan tidak tersasar daripada isu utama mengukuhkan kerjasama.

Monday, December 6, 2010

Kes Khir Toyo: Peluang Umno bersih imej hadapi PRU 13

Tindakan yang sedang dikenakan ke atas Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo memberi gambaran lebih jelas kepada jangkaan pilihan raya umum awal dan memberi peluang Umno meletakkan muka baharu di Selangor.

Perkembangan ini membuka peluang kepada Umno untuk membersihkan imej parti itu di Selangor dan meletakkan calon yang lebih muda dan muka baharu di negeri yang dirampas Pakatan Rakyat pada 2008 itu.

Kes Khir memberi gambaran bahawa pemerintah serius memerangi rasuah, tanpa mengira kedudukan.

Ini akan membolehkan Umno kelihatan lebih bersih dalam pilihan raya umum akan datang, berdepan dengan PR yang sedikit terjejas akibat pergeseran dalaman dan pelbagai masalah lain, terutama yang dicetuskan kempen Umno.

Tindakan terhadap Khir juga memberi kesan positif terhadap kumpulan pesaingnya dalam Umno Selangor, yang ada antaranya mempersalahkan bekas menteri besar itu dalam kekalahan pada pilihan raya umum 2008.

Pesaing Khir tidak mahu beliau berperanan dalam dalam Selangor, terutama sekiranya Umno berjaya merampas negeri kaya itu.

Tindakan ke atas Khir akan membuka peluang kepada tokoh-tokoh Umno lain untuk berperanan lebih besar di Selangor, termasuk Senator Mohamad Ezam Mohd Noor.

Saturday, December 4, 2010

Perpaduan BN, PRU 13 ujian kejayaan 1 Malaysia

Konvensyen Barisan Nasional yang sedang berlangsung kini, dengan tema 1 Malaysia menjadi salah satu penentu keberkesanan strategi yang sedang dilaksanakan kini.

Di tengah-tengah jangkaan Pilihan Raya Umum ke-13 dan usaha BN mengukuhkan gabungan itu, konvensyen kali ini merupakan usaha penting untuk mengukuhkan barisan.

Walau bagaimanapun, dengan cabaran menangani politik kaum bagi memenangi sokongan Melayu dan konsep 1 Malaysia bagi mencapai sokongan meluas bukan Melayu, Umno sebagai parti dominan BN masih berdepan cabaran getir.

Keahlian terbuka BN yang lebih sama rata dan BN sebagai satu parti tunggal merupakan antara tuntutan yang didasarkan pada 1 Malaysia yang ditafsir dengan lebih liberal.

Tuntutan-tuntutan itu, yang dibuat oleh Gerakan, sebuah parti komponen bukan Melayu telah menunjukkan gambaran ujian yang bakal dihadapi BN dalam usaha menangani kepelbagaian ahli komponen.

Perkembangan ini menunjukkan slogan 1 Malaysia boleh membina sokongan luas pelbagai kaum, tetapi juga membawa risiko mencetuskan pergeseran.

Perpaduan BN sebagai satu gabungan parti berbilang kaum dan Pilihan Raya Umum ke-13 nanti akan menjadi pengukur sejauh mana slogan 1 Malaysia telah berjaya diterima.

Friday, December 3, 2010

Naik harga minyak, Najib ikut jejak langkah Pak Lah?

Harga minyak naik lagi, dengan kedua-dua Ron 97 dan Ron 95 naik kepada RM2.30 dan RM1.90 seliter.

Ron 97 naik kepada RM2.30 1 Disember lalu, manakala kenaikan harga Ron 95 diumumkan petang tadi, berkuatkuasa 4 Disember.

Kenaikan diumum Datuk Idris Jala, ketua eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pencapaian, Pemandu.

Kenaikan kali ini meliputi dua jenis petrol itu, diesel dan gula, dijangka memberi kesan kepada harga barangan lain, memandangkan kenaikan kos pengangkutan.

Kenaikan ini dijangka akan menghasilkan kesan negatif terhadap kerajaan Barisan Nasional pimpinan Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak, terutama sekiranya pilihan raya umum diadakan awal tahun depan.

Kenaikan harga minyak ini berpotensi menjadi kesilapan langkah Najib dalam usaha menarik kembali sokongan untuk menghadapi pilihan raya umum.

Isu minyak menjadi salah satu isu utama kempen pembangkang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Pilihan Raya Umum ke-12 pada Mac 2008.

Kenaikan susulan selepas itu menguatkan sokongan kepada gabungan pembangkang dalam rancangan peralihan kuasa 16 September, yang walau bagaimanapun tidak berjaya dilaksanakan.

Kenaikan kali ini juga berlaku ketika muncul laporan perbelanjaan RM66 juta untuk menubuhkan Pemandu, yang dilapor sejumlah besar dibayar kepada perunding luar negara sebelum penubuhan.

Kenyataan-kenyataan seperti "tidak membebankan rakyat" dan membandingkan harga dengan negara serantau mengundang lagi rasa kurang senang orang ramai yang dihidangkan dengan kenyataan yang sama setiap kali berlaku kenaikan.

Tindakan menaikkan harga yang disebut penyelarasan subsidi itu juga dikatakan bakal menjimatkan perbelanjaan kerajaan, sekaligus membolehkan peruntukan itu digunakan untuk perbelanjaan pembangunan lain.

Alasan ini turut boleh dilihat dengan kritikal. Sejak di bawah pemerintahan Abdullah, penjimatan subsidi disebut akan membolehkan perbelanjaan disalurkan untuk meningkatkan kualiti pengangkutan awam, tetapi masih tidak mendatangkan hasil yang konkrit berhubung sektor itu.

Selangor sasaran utama Umno dalam PRU 13

Hari ini, Jumaat, gabungan kumpulan yang menamakan diri mereka Gagasan Anti Penyelewengan Selangor, GAPS, mengadakan perhimpunan di Istana Kayangan, Shah Alam, Selangor selepas solat Jumaat.

GAPS yang dianggotai 50 pertubuhan bukan kerajaan mendakwa akan mendedahkan 30 kes korupsi dan salah guna kuasa oleh syarikat subsidiari kerajaan negeri seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor, PKNS, dan Yayasan Selangor.

Pada Ahad, kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor akan ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum menuntut hak pengurusan air diberikan kepada kerajaan negeri.

Kedua-dua kumpulan juga bakal bertembung dalam usaha masing-masing berhimpun dan menyerahkan memorandum kepada Yang Dipertuan Agung dijadualkan Ahad ini.

Perkembangan berkaitan Syarikat Bekalan Air Selangor, Syabas ini berada di tengah-tengah persaingan sengit Umno dengan kerajaan negeri dikuasai PR.

Satu ofensif yang dilakukan terhadap kerajaan Selangor ialah Tabung Budi yang digunakan untuk membantu mereka yang tidak mampu tetapi kelihatan mempunyai motif politik yang jelas, sebagaimana didakwa Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkifly Ahmad.

Usaha Tabung Budi itu tidak dapat dielakkan daripada dilihat bermotif politik kerana ditubuhkan ketika PR menguasai negeri, dan bergerak dalam konteks yang kritikal terhadap tindakan-tindakan kerajaan negeri.

Umno turut cuba mendapatkan manfaat daripada kenyataan Sultan Selangor berhubung isu ketuanan Melayu yang dimanipulasi oleh PKR dalam kongresnya hujung minggu lalu.

Walau bagaimanapun, kumpulan-kumpulan disokong Umno menyasarkan lebih daripada isu air, tetapi turut mengaitkan pengurusan kerajaan negeri dan syarikat-syarikat berkaitan.

Kesungguhan Umno meningkatkan ofensif terhadap PR di Selangor dicerminkan melalui kempen ceramah yang diadakan sejak beberapa bulan lalu, mengemukakan penceramah seperti Senator Ezam Mohd Noor dan pemimpin-pemimpin kanan parti itu.

Umno kini semakin yakin dengan sokongan Melayu dan mengharapkan perubahan itu akan memberi manfaat dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Perarakan hari ini dan pada Ahad nanti akan meningkatkan lagi persaingan sengit kedua-dua PR dan BN untuk merebut negeri Selangor, dengan kedua-duanya cuba merebut perhatian daripada institusi raja.

Menjelang PRU 13, PAS semakin realistik tangani strategi, ideologi

PAS semakin mengambil langkah dan sikap yang realistik dalam membentuk strategi dan menangani hubungan dengan parti-parti dalam gabungan Pakatan Rakyat.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu wawancara mengatakan PR tidak perlu logo rasmi dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Abdul Hadi dalam wawancara itu menegaskan fokus yang sewajarnya diberikan kepada kerjasama yang boleh dijalankan bersama PR dan bukan hal-hal yang masih jauh.

Beliau sebelum ini menegaskan perlunya PAS menang hasil kekuatan sendiri dan bukan akibat daripada kelemahan parti lawan.

Perkembangan ini memperlihatkan usaha PAS untuk menjadi lebih mandiri dan kukuh dalam menghadapi persaingan politik di negara ini.

Pendekatan ini dilihat muncul ekoran perkembangan sejak Pilihan Raya Umum ke-12 dua tahun lalu yang menunjukkan masih banyak yang tidak dapat dipersetujui parti-parti PR.

Selepas berdepan pergeseran dalaman ekoran projek 16 September pada 2008, pendekatan baharu PAS ini dilihat sebagai usaha untuk parti itu bergerak berdasarkan ideologinya, dengan meneruskan kerjasama pada tahap yang dipersetujui dalam PR.

Ketua pemuda PAS, Nasrudin Hassan dalam satu tulisan di blog menegaskan perjuangan Islam PAS yang perlu ditegaskan dan tidak bersikap apologetik, menandakan kesedaran parti itu terhadap ideologinya yang agak tidak ditonjolkan sejak kebelakangan ini ekoran keperluan strategi.

Ketika polemik panas timbalan perdana menteri yang dikatakan dijanjikan kepada pemimpin DAP, Lim Kit Siang, PAS mengambil pendekatan tidak terlibat dalam debat itu, dengan Nik Mohd Amar Abdullah mengatakan tindakan memutuskan siapa timbalan perdana menteri masih jauh, kerana PR masih belum menang dan menubuhkan kerajaan pusat.

PAS juga menjarakkan diri daripada penekanan berlebihan pada Putrajaya apabila naib presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata usaha menguatkan parti perlu dilaksanakan terlebih dahulu berbanding bercakap tentang Putrajaya.

Tindakan tersebut memperlihatkan sikap berhati-hati PAS berdepan pilihan raya umum nanti, yang dijangka menyaksikan prestasi Umno dan BN yang meningkat berbanding sebelum ini.

PAS turut meningkatkan usaha menarik sokongan bukan Melayu, yang digerakkan dengan aktif oleh pemimpin seperti Dr Mujahid Yusuf Rawa.

Pada masa sama, parti ini turut semakin menyedari sokongan Melayu yang diperlukan, dan menggerakkan kempen untuk menjadi wakil kepada orang Melayu yang lebih berkesan berbanding Umno.

PAS mengadakan seminar PAS Sedia Ganti Umno di Shah Alam, Selangor bulan lalu, sebagai sebahagian usaha mempersiapkan parti mengambil peranan sebagai parti utama orang Melayu menggantikan Umno.

Thursday, December 2, 2010

Tangguh pemilihan parti untuk elak sabotaj

Keputusan Umno menangguh pemilihan parti selama 18 bulan semakin menjelaskan usaha parti itu mempersiapkan diri menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13.

Tanpa mengira bila pilihan raya umum akan diadakan, tindakan itu boleh mengelakkan pelbagai perasaan negatif dalam kalangan pemimpin dan ahli parti sehingga mampu mencetuskan sabotaj.

Pemilihan parti tidak dapat dielakkan daripada mencetuskan pergeseran dan rasa tidak senang sesetengah kelompok, terutama yang kalah.

Dengan sasaran besar menawan Selangor dan mengembalikan sokongan orang Melayu dan memenangi undi bukan Melayu, Umno tidak mahu perebutan dalam parti menjejaskan pertaruhan besar dalam pilihan raya umum nanti.

Pilihan Raya Umum ke-12 telah menunjukkan kepada Umno bagaimana rasa tidak senang ahli telah membawa kepada bencana sehingga kehilangan majoriti yang besar.

Tindakan menangguhkan pemilihan ini merupakan tindakan yang bijak bagi pihak Umno dalam menangani ahli dalam persiapan pilihan raya.

Dalam keadaan parti-parti Pakatan Rakyat berdepan pelbagai risiko hasil pemilihan kepimpinan parti, Umno memutuskan untuk menangguhkan masalah itu ke masa depan.

Ini juga boleh menjadikan ahli-ahli Umno lebih fokus pada pilihan raya, yang masih ramai menjangka diadakan pada separuh pertama tahun hadapan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...