Tuesday, January 29, 2008

Shahidan kata, Radzi yang patut dipecat


KUALA LUMPUR, 29 Jan: Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, pihak yang telah mencadangkan beliau dipecat dari jawatannya sekarang patut dipecat dari parti itu.

"Orang yang mahu saya pergi telah mendapat laporan meluas dari media. Jika kita ikut peraturan parti, orang itu patut dipecat. Ada kes precedent di sini bila Zaharin Mohd Yassin (bekas Setiausaha Umno Bandar Tun Razak) mengkritik pemimpin Umno (Perdana Menteri), dia telah ditendang dari parti," kata Shahidan sebagaimana dilaporkan NST hari ini.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad telah mencadangkan agar Menteri Besar Perlis itu ditukar kerana menurutnya dia telah membawa perpecahan dalam Umno Perlis.

Kenyataan ini telah disiarkan oleh semua media termasuk Siasah sebelum ini.
Siasah juga telah menyiarkan justifikasi tindakan Radzi itu di samping penjelasan Shahidan sendiri mengenainya.

Laporan lanjut dalam Siasah Ahad ini.

Monday, January 28, 2008

Minta rakyat tolak pemimpin gagal: Najib maksud Abdullah atau Samy?


PULAU PINANG, 28 Jan: Siapakah yang dimaksudkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak agar rakyat menolak pemimpin yang gagal melaksanakan amanah selepas diberikan tanggungjawab.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah atau Menteri Kerjaraya, Datuk Seri S Samy Vellu? tanya Ketua Pembangkang Lim Kit Siang dalam ucapannya di sini baru-baru ini.
"Adakah dia merujuk kepada Samy Vellu yang sedang berjuang untuk menyelamatkan karier politiknya selepas 28 tahun memimpin MIC;

"Atau Najib merujuk kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang menggunakan video Lingam dan banyak membuktikan kegagalan selepas empat tahun memimpin negara sehingga popularitinya jatuh sehingga 61% sahaja Disember lepas berbanding 91% semasa mula menjadi Perdana Menteri dahulu," tanya Kit Siang dalam ucapannya itu.


Ikuti laporan penuh dalam Siasah Ahad ini.

Tuesday, January 22, 2008

Isteri Dr. Hidayat Nurwahid kembali ke rahmatullah


oleh HermanSamsudeen

JOGJAKARTA, 22 Jan: Partai Keadilan Sejahtera (PKS) kehilangan isteri kepada tokoh besarnya, Hjh. Kastian Indriawati, isteri kepada Dr. Hidayat Nurwahid yang kembali ke rahmatullah pada pukul 12.49 tengah malam tadi di Rumah Sakit Jogya International Hospital (RS JIH).

Dr. Hidayat adalah mantan Presiden PKS dan meletak jawatan 11 Oktober 2004 setelah dilantik menjadi Ketua Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR-RI) bagi sesi 2004-2009 mengantikan Amien Rais.

Hjh. Kastian, 49 telah meninggalkan beliau bersama empat orang anak, Inayatu Dzil Izzati, Ruzaina, Alla Khairi, dan Hubaib Shidiqi. Sebelum itu, Hjh. Kastian telah dimasukan ke Rumah Sakit berkenaan sejak 17 Januari lalu setelah dilaporkan mengalami masalah pernafasan sehingga mengalami hyperteroid dan mengakibatkan gangguan beberapa fungsi organ seperti jantung dan ginjal.

Jenazah beliau telah dimakamkan di TPU Kebon Dalem, Prambanan, Klaten, Jawa Tengah pada pukul 2 petang tadi.

Jasa dan pengorbanan beliau di dalam mendokong aspirasi perjuangan Dr. Hidayat dan PKS serta gerakan Islam secara umumnya pastinya menjadi suatu kenangan bermakna.

Semoga roh beliau aman dan sejahtera di dalam redha Allah.

PM diminta perjelaskan isu kepada semua rakyat


KUALA LUMPUR, 22 Jan: Perdana Menteri dicadangkan memberikan taklimat terbuka isu-isu semasa bukan tertutup untuk para pemimpin Umno sahaja tetapi kepada semua rakyat kerana mereka memerlukan penjelasan dari PM.

Cadangan ini dikemukakan Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa dalam kenyataannya hari ini.

Beliau mengulas pertemuan PM bagi memberikan taklimat tertutup isu-isu semasa kepada para pemimpin Umno semua peringkat di PWTC hari ini.

Laporan penuh dalam Siasah Ahad ini

Monday, January 7, 2008

55.6 peratus kata demonstrasi boleh menjadikan negara demokratik

KUALA LUMPUR, 7 Jan: Selepas berpuluh-puluh hari berkempen agar rakyat benci dengan demonstrasi, kajian Mstar, sebuah laman web milik akhbar The Star mendapati 55.6 peratus dari 3886 pengundinya berpendapat demonstrasi boleh menjadikan negara demokratik.

Hanya 33.6 peratus atau 1306 pengundi mengundi demontrasi boleh menjadikan negara huru hara dan 10 peratus atau 420 pengundinya berpendapat demontrasi boleh menjadikan negara macam biasa sahaja.

Keputusan ini diperolehi pada jam 12.15 tengahari 7 Januari lepas.

Friday, January 4, 2008

Exco Wanita di Kelantan selepas pilihan raya


KUALA LUMPUR, 4 Jan: PAS Kelantan akan melantik seorang Exco kerajaan negeri di kalangan wanita selepas pilihan raya umum akan datang, kata timbalan Pesuruhjayanya, Datuk Husam Musa.

"Tuan Guru Menteri Besar telah bersetuju dengan cadangan ini dan akan kita laksanakan dalam pilihan raya umum akan datang," kata Husam.

Dalam kenyataannya kepada media, Husam berkata, untuk tujuan itu pihaknya sedang merancang untuk sekurang-kurangnya meletak dua orang calon wanita untuk bertanding di peringkat DUN di Kelantan.

"Jadi seorang dari mereka berdua akan menjadi Exco manakala seorang lagi akan menjadi Adun biasa dalam barisan penyokong kerajaan," kata Husam.

Ketika ditanya, berapa calon wanita untuk peringkat Parlimen, Husam berkata, perkara itu belum diputuskan lagi.

"Portfolio apa yang dipegang pun masih belum kita putuskan lagi," kata Husam.

PAS minta ahlinya jangan hirau kenyataan Rashid


KUALA LUMPUR, 4 Jan: PAS meminta petugasnya jangan melayan kenyataan tidak bertanggungjawab Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sebaliknya meminta mereka terus melaksanakan tugas yang diamanahkan kerana lawan mereka yang sebenar adalah Barisan Nasional (BN).

Bagi Pengarah Pilihanraya PAS, Datuk Mustafa Ali, Pengerusi SPR, Tan Sri Rashid Abdul Rahman hanya menjadi jurucakap Barisan Nasional (BN) sahaja.

Bagi beliau, Rashid tidak harus membuat kenyataan yang tidak bertanggungjwab sesuai dengan kedudukannya sebagai pengerusi sebuah badan bebas

Mustafa berkata demikian ketika mengulas kenyataan Pengerusi SPR itu yang mancabar parti pembangkang memboikot pilihanraya jika mereka merasakan pilihanraya tidak bebas di negara ini.

Bagi Mustafa, kenyataan Rashid itu tidak bertanggungjawab kerana sebagai pengerusi SPR beliau harus bebas dari sebarang pengaruh politik.

Dia mesti menjangka, setiap tindakan SPR bakal terdedah kepada kritikan dan teguran dari parti politik yang sememangnya klien SPR.

"Dia tidak boleh melenting. Kenyataan beliau itu sudah melampaui tugas yang diberikan kepada SPR," kata Mustafa kepada Siasah.

Bagi beliau, kenyataan Rashid itu dibuat selepas beliau merasa panas dan tidak boleh mengendalikan teguran dan kritikan yang diberikan kerana terbukti ia benar.

Menurut Mustafa, Rashid sendiri dalam perjumpaan dengan PAS dan lain-lain parti politik mengaku, SPR tidak bebas kerana masih ada undang-undang yang mengatasi SPR dan dia sendiri berkata proses pilihanraya yang ada tidak free dan fair (bebas dan adil) melalui kaedah pilihanraya yang sebenar.

"Tetapi kenapa dia membuat kenyataan yang mengelirukan dan tidak bertanggungjawab ini. Ini buktikan dia sendiri berpihak dalam tindakannya," kata Mustafa lagi.

Bagi Mustafa, PAS tidak boleh memboikot pilihanraya umum akan datang 'bagi membuktikan segala teguran dan kritikan yang dikemukakan kepada SPR dilaksanakan atau tidak.'
"Kalau boikot macamana kita nak tau dia laksanakan janjinya atau tidak," katanya.

Beliau juga berkata, penyertaan PAS dan lain-lain parti pembangkang dalam pilihanraya sebelum inilah yang menyumbang kepada keamanan dan kestabilan negara sekarang.

"Jika PAS seperti pembangkang di beberapa negara lain, dah lama kacau bilau negara ini," kata beliau.

Negara tidak akan bangkrap kerana turunkan harga minyak

PAS dan PKR memberi jaminan akan berjaya menurunkan harga runcit petrol tanpa membangkrapkan negara jika diberikan mandat untuk mentadbir negara. Yang boleh membangkrapkan negara adalah amalan tender tertutup dan korupsi di samping pengurusan yang mementingkan kroni dan kaum kerabat yang diamalkan oleh kerajaan yang ada.

Laporan penuh dalam Siasah Sabtu ini.

KENAPA Radzi melenting?


Setiausaha Agung Umno yang dikenali sebagai pemimpin yang 'cool' tiba-tiba melenting dan mencadangkan agar MB Perlis ditukar. Kenapa? Apa salah Shahidan? Ikuti laporan khas Siasah mengenainya dalam SIASAH esok (Sabtu).

Apakah dia adalah Angelina Yam?


KUALA LUMPUR, 4 Jan: Polis dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) diminta menyiasat apakah hubungan antara wanita dalam video lucah bersama dengan Menteri Kesihatan dengan projek-projek di bawah Kementerian Kesihatan.

"Saya bimbang kalau-kalau wanita ini adalah bersifat habuan seks untuk projek atau broker sebagaimana Altantuya," kata Mahfuz Omar, Ketua Penerangan PAS.

Mahfuz berkata demikian dalam sidang medianya di Pejabat PAS baru-baru ini ketika mengulas VCD lucah Menteri Kesihatan. Beliau kesal kerana Kabinet tidak langsung membincangkan perkara ini sebagaimana yang dinyatakan Perdana Menteri mengenainya.

"Benarkah namanya Angelina Yam? Jika benar, apakah hubungan dia dengan seorang ahli perniagaan wanita bernama Norasiah Mahmud? BPR dan polis kena siasat perkara ini," kata Mahfuz.

Ini kerana, syarikat yang dimiliki Norasiah dikatakan mendapat kontrak membina 50 buah klinik kerajaan di seluruh negara padahal sebelum itu kontrak itu telah diperolehi oleh syarikat lain.

Mahfuz juga meminta polis dan BPR menyiasat kaitan mereka semua dalam projek Ambulantery Call Centre yang diberi kepada satu syarikat di Kelantan yang mana projek ini terletak di bawah Kementerian Kesihatan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...