Friday, January 4, 2008

PAS minta ahlinya jangan hirau kenyataan Rashid


KUALA LUMPUR, 4 Jan: PAS meminta petugasnya jangan melayan kenyataan tidak bertanggungjawab Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sebaliknya meminta mereka terus melaksanakan tugas yang diamanahkan kerana lawan mereka yang sebenar adalah Barisan Nasional (BN).

Bagi Pengarah Pilihanraya PAS, Datuk Mustafa Ali, Pengerusi SPR, Tan Sri Rashid Abdul Rahman hanya menjadi jurucakap Barisan Nasional (BN) sahaja.

Bagi beliau, Rashid tidak harus membuat kenyataan yang tidak bertanggungjwab sesuai dengan kedudukannya sebagai pengerusi sebuah badan bebas

Mustafa berkata demikian ketika mengulas kenyataan Pengerusi SPR itu yang mancabar parti pembangkang memboikot pilihanraya jika mereka merasakan pilihanraya tidak bebas di negara ini.

Bagi Mustafa, kenyataan Rashid itu tidak bertanggungjawab kerana sebagai pengerusi SPR beliau harus bebas dari sebarang pengaruh politik.

Dia mesti menjangka, setiap tindakan SPR bakal terdedah kepada kritikan dan teguran dari parti politik yang sememangnya klien SPR.

"Dia tidak boleh melenting. Kenyataan beliau itu sudah melampaui tugas yang diberikan kepada SPR," kata Mustafa kepada Siasah.

Bagi beliau, kenyataan Rashid itu dibuat selepas beliau merasa panas dan tidak boleh mengendalikan teguran dan kritikan yang diberikan kerana terbukti ia benar.

Menurut Mustafa, Rashid sendiri dalam perjumpaan dengan PAS dan lain-lain parti politik mengaku, SPR tidak bebas kerana masih ada undang-undang yang mengatasi SPR dan dia sendiri berkata proses pilihanraya yang ada tidak free dan fair (bebas dan adil) melalui kaedah pilihanraya yang sebenar.

"Tetapi kenapa dia membuat kenyataan yang mengelirukan dan tidak bertanggungjawab ini. Ini buktikan dia sendiri berpihak dalam tindakannya," kata Mustafa lagi.

Bagi Mustafa, PAS tidak boleh memboikot pilihanraya umum akan datang 'bagi membuktikan segala teguran dan kritikan yang dikemukakan kepada SPR dilaksanakan atau tidak.'
"Kalau boikot macamana kita nak tau dia laksanakan janjinya atau tidak," katanya.

Beliau juga berkata, penyertaan PAS dan lain-lain parti pembangkang dalam pilihanraya sebelum inilah yang menyumbang kepada keamanan dan kestabilan negara sekarang.

"Jika PAS seperti pembangkang di beberapa negara lain, dah lama kacau bilau negara ini," kata beliau.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...