Tuesday, December 11, 2007

Polis kepung Pejabat Agung PAS Jalan Raja Laut

KUALA LUMPUR, 11 Dis, Jam 11.50 pagi: Seluruh pimpinan kanan PAS telah pun samada berada di Parlimen atau pun menuju ke sana. Setiausaha Agung PAS Dato Kamarudin Jaffar dan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Salahuddin Ayub masing-masing selaku ahli Parlimen telah pun kini berada di Bangunan Parlimen.

Sementara itu berita yang diterima setakat ini tiga orang pimpinan PAS Pusat iaitu Bendahari PAS Pusat Dr Hatta Ramli, AJK PAS Pusat Dr Lo'lo Dato Ghazali dan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat Ustazah Nuridah telah ditahan polis apabila kenderaan mereka menghampiri Jalan Parlimen.

Sebelum itu turut ditahan dalam kejadian lain adalah Ketua Penerangan PKR Sdr Tian Chua dan Aruchelvan dari PSM.

Sebelum ini, Pejabat Agung PAS Pusat di Jalan Raja Laut, K. Lumpur dikeremuni oleh anggota polis beruniform dan tidak beruniform. Sebanyak lima buah kereta peronda dan sebuah landrover yang membawa sepasukan kecil Unit Anti Rusuhan kini berada di hadapan premis.

Seorang pegawai polis telah menampal Perintah Larangan (exparte) yang dikeluarkan oleh Majistret Azniza Mohd Ali dari Mahkamah Majistret Kuala Lumpur bertarikh 10 Disember 2007, melarang:

1) Dr Syed Azman Syed Ahmad
2) Mohamad Sabu
3) Syed Shahir Syed Mohamud
4) Adnan Saad
5) dan mana-mana orang berkenaan

dari mengadakan perhimpunan di Perkarangan Bangunan Parlimen pada hari ini 11 Disember, 2007.

Mereka semua dilarang dan diberi amaran agar tidak hadir, berada atau mengambil apa-apa bahagian dalam perhimpunan tersebut.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...