Monday, December 3, 2007

Kelainan di majlis Tayangan Perdana Gelombang Kuning



Oleh Wartawan Siasah

LUAR KEBIASAAN PAS, tetapi itulah yang berlaku di majlis Tayangan Perdana Gelombang Kuning yang diadakan di Dewan Datuk Fadil Noor, Taman Melwar baru-baru ini.
Majlisnya bermula dengan nyanyian lagu Negaraku. Klip video Negaraku ditayangkan dan semua orang, termasuk Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa berdiri tegak menyanyikan lagu itu.

Lain-lain tetamu turut berdiri tegak termasuklah Mahfuz Omar (Ketua Penerangan PAS), Sivarasa Rasiah (Naib Presiden PKR) dan Ronnie Liu (anggota CWC DAP).

Yang menariknya, klip video itu menggambarkan para pimpinan PAS bersama masyarakat termasuk Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Keseluruhan majlis dikendalikan oleh tenaga muda PAS yang bertugas di Tvpas.com termasuk mempengerusikan majlis tersebut. Penerangan sebelum program (briefing) kepada para pemimpin PAS juga diberikan oleh tenaga muda sehingga ada yang tertanya-tanya, "siapakah budak itu?"

Pada awalnya agak membimbangkan kerana kerusi yang disediakan oleh pihak penganjur (Lajnah Penerangan PAS, Bersih dan Tvpas.com) hanya penuh sebahagian sahaja. Namun menjelang majlis tayangan bermula, dewan besar itu hampir penuh.

Kekurangan sambutan memang dijangka kerana majlis ini majlis tayangan bukan ceramah. Dewan ini akan sentiasa penuh sesak jika ada ceramah terutama dari tokoh-tokoh besar PAS dan parti pembangkang, tetapi majlis tayangan jarang benar diadakan.

Ketika tanyagan berjalan pun, ada yang bertanya, tak ada ceramah ke lepas ini. Apabila penulis berkata, ceramah telah diadakan sebelum tayangan, beliau nampak tidak berpuas hati. Maklumlah, dewan ini adalah tempat ceramah bukan tayangan.

Namun, selepas majlis tayangan selesai, berduyun-duyun penonton sehinggalah kepada pimpinan PAS, PJR dan DAP mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur. Bagi mereka, ini satu usaha yang bagus dan perlu dilakukan.

"Tahniah, bagus," kata Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa. Beliau yang telah melancarkan tayangan itu gembira dengan tayangan yang beliau lihat.

Filem yang ditayangkan adalah Perhimpunan Bersih 10 November lalu. Dari permulaan yang merakamkan pesanan pengerusi perhimpunan itu, Muhamad Sabu yang dirakamkan perbualan telefon dengannya, sehinggalah kemuncak perhimpunan itu iaitu penyerahan memorandum Bersih kepada wakil Yang Dipertuan Agung di Istana Negara.

Nasharudin dalam ucapan berkata, "Dunia telah melihat betapa disiplin perhimpunan yang kita anjurkan ini. Usahkan cermin kereta dipecahkan atau batu dilontarkan, sekuntum bunga yang menghiasi perkarangan Istana Negara pun tidak gugur dalam perhimpunan hampir ratusan ribu orang ini. Inilah yang kita tawarkan untuk negara."

Mahfuz selaku Ketua Penerangan PAS berkata, video ini akan disebarkan ke seluruh negara agar semua rakyat dapat melihat sendiri bukannya berdasarkan berita-berita yang disiarkan oleh media milik BN sahaja.

Di majlis itu, Nasharudin turut memperkenalkan 'Kopi pra campuran Bersih' yang dibuat oleh seorang perniagaan untuk rakyat negara ini. Ia memdapat tepukan gemuruh kerana kreativiti pelbagai pihak untuk menjual agenda Bersih ini.
Pendek kata majlis ini berlainan dari kebiasaan majlis PAS yang diadakan di Dewan Datuk Fadzil Noor, Taman Melewar ini.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...